Saturday, December 14, 2013

Temboro kampung yang perlu dimalui (Bhg 2)

CATATAN MUSAFIR                                                                        

Bersama Drs Zainuddin di puncak dalam perjalanan.
Harapan untuk makan di puncak pergunungan tidak menjadi kenyataan. Ianya indah khabar dari rupa sahaja. Rumah makan seperti di lereng gunung dalam perjalanan dari Bogor - Bandung tidak kedapatan dalam perjalanan dari Solo - Temboro. Yang ada hanya bangsal-bangsal atau kedai biasa saja yang menjual makanan rici seperti jagung bakar atau pun gorengan seperti ubi, sukon, pisang dan sebagainya.

Kecewa! Perut pula sudah memulas. Mulut pula sudah kering dan lidah mengelat bagaikan menyepah pinang. Saya mengambil sikap tawakus daripada terus merepek kepada apa yang berlaku. Dalam perjalanan seperti itu kesilapan dan kecacatan kecil adalah ujian kesabaran dan keimanan. Ulah-ulah kecil kalau tidak dilayani dengan baik ia boleh mencemarkan keharmonian permusafiran.

“Kita belum sampai puncaknya Inchek, nanti di sana ada,” Ariff cuba memberi kelegaan kepada saya selepas dia menyedari saya sudah mahu meragam gara-gara lapar. Orang Indonesia membahasakan orang Malaysia Inchek sebagai gantinama panggilan bapak. Dia merasa bersalah kerana tempat awal yang dia berhenti untuk makan tengah hari, tiada apa-apa yang menarik dan benar-benar mengugahkan nafsu makan.

Pemandangan bak permainan hijau terhampar.
“Di sana... enak..” katanya sambil terus mengenderai kenderaan dan cuba menenangkan saya, sebenarnya menenangkan keroncong perut saya. Drs Zainuddin yang tercokol di depan hanya bisa diam saja. Dia tidak mahu mengomen apa-apa kerana sudah arif dengan perangai saya. Sepatah dia berkata saya akan menjawab dua patah atau boleh menjadi 40 patah perkataan, atau boleh juga sampai hingga 180 patah genap untuk sebuah karangan rengkas bagi budak sekolah tingkatan tiga.

Tidak puas mata memandang.
Ariff terus memandu. Bawaannya bukan main lasak. Van berderum merukah mencelah lereng gunung. Matanya 'liu liah', 'liu liah; memerhati di kiri jalan takut-takut ada restoran yang saya maksudkan. Satu ketika van hampir tabrak lori sayur. Nasib baik saya sempat menjerkah. Drs Zainuddin sudah terlali dan terkejut dengan jerkahan saya.

Lautan kehijauan, tanaman sayur-sayuran.
"Hoooppp, lori," (hoop itu maknanya stop bahasa Kelantan) jerkah saya menyedarkan kelalaiannya. Zrupp... dia menekan pedal berak menyebabkan kami semua terhuyung ke depan. Anak lelakinya berusia 6 tahun bersam kami terjelapak jatuh dari kusyen. Kesian budak itu, baru beberapa kali 'uakkkkkk... urakkk...' muntah angin kerana tidak tahan dengan keadaan jalan yang berliku-liku dan naik turun macam berada di atas roller cosuter.

"Inilah untungnya berjemaah, kalau ada yang lalai, ada yang mengingatkan," Drs Zainuddin mengheningkan keadaan sambiri berfalsafah. Dia sudah mula sedar dari lali, mungkin juga sudah lapar. Bekas Adun Lombongan ini pun tidak boleh perut kosong, mulalah akan mengerunyuk. Dia juga harus jaga menu makannya.

Menyebut fasal bekas wakil rakyat ini sesuatu mengkagumkan saya dan orang lain juga, mungkin. Dia pernah diserang kangker (cancer) usus bertahun dan kerap berulang alik ke hospital. Berbagai ubat dan penawar dicari dan dipunggahnya. Sampai satu peringkat penyakit itu benar-benar seakan mahu menamatkan riyawat hidupnya. Banyak kawan mengatakan beliau sudah tidak harapan untuk terus berjuang. Beliau juga sempat menjalani kimo sebanyak enam kali.

Namun kuasa Allah sesiapa pun tidak dapat mengatasi dan menduga. Berkat kesabaran dan kekuatan semangatnya, akhirnya Drs Zainuddin bebas dari kanser? Sesuatu yang ajaib. Apa yang berlaku ke atas bekas wakaf rakyat satu dalam seribu.

Beliau pernah menyebut kepada saya, pembebasannya dari kanser bagaikan terlepas dari satu penjara mahal hebat. "Orang tidak mengalaminya, tidak akan memahami keadaan ini, tetapi itulah yang ana rasakan," ujarnya pada satu umbi Subuh penuh pamrih.

Kelihatan sebahagian tanaman bawang.
Sebab itu Drs Zainuddin selalu menangis. Tetapi tidak ramai yang menyedari tangisannya. Setiap kali selepas mendirikan solat malam dan berdoa dia akan menangis terisak-isak. Beberapa kali saya menjadi makmunya dapat merasai akan kesebakan mendalam dialaminya. Dan saya faham kenapa air matanya tumpah bagaikan hujan musim tengkujuh setiap kali berdoa. Beliau sendiri merasakan seperti sudah mati dihidupkan kembali. Lantaran itu dia harus berusaha membalas segala budi baik, rahman dan rahim Allah yang diterimanya.

Deretan rumah penduduk di atas gunung bagaikan dalam taman.
"Iya Allah Kau berikan aku, keluargaku, guru-guruku, sahabatku kesihatan. Kau hindarkan segala fitnah ke atas diriku, keluargaku, guru-guruku dan sahabat. Kau berikan kekuatan kepada kami menghadapi segala fitnah dan keburukkan yang dilemparkan kepada kami. Kau ampuni dosa-dosaku dan juga dosa-dosa mereka yang lain." Itulah antara rangkap doa beliau yang sempat saya tangkap dan sangat signifiken dirasakan. Baitnya sungguh insaf dan tulus.

Drs Zainuddin bukan seorang dikenali ustaz di dalam Pas. Dia adalah seorang guru berkelusuaan dalam bidang falsafah dan psykologis. Tetapi istiqamahnya dengan amal ibadat khasnya mendirikan solat malam sangat terasa. Mungkin orang yang tidak pernah bersahabat, berkelana dengan beliau tidak akan merasai kehebatan beliau ini. Orang akan melihat beliau tidak lebih sebagai badut politik saja.

Pernah terlintas di telinga saya ada seorang bekas wakil rakyat mempersenda-sendakan Zainuddin dengan apa dibuatnya. Bahkan ada menganggap beliau sebagai 'kurang sihat'. Tanggapan itu melampau tetapi tidak menjadi halangan buat mantan YB ini untuk terus meneruskan perjuangan bagi menghabiskan sisa-sisa hidupnya. Biarlah kawan apa yang hendak dicemuhi terhadapmu, namun kau tetap seorang sahabat yang suci dan ikhlas buatku. Kau berjuangan kerana Allah bukan kerana apa-apa lagi.

Memang benar falsafahnya mengenai situasi di hadapi van yang diberek mengejut tadi. Kalau jemaah atau penumpang tidak menengur sudah tentu van itu akan merimbas buntut lori sayur. Silap hari bulan semua kami akan terjunam ke bawah gaung yang sedalam lebih 100 meter. Ariff hanya ketawa, kit-kit... dan mengilai kecil sahaja.

Bak jemaah ini bukan saja jemaah (penumpang) kereta boleh menegur pemandu yang lalai atau kurang cekap memandu, tetapi jemaah (makmum) dalam sembahyang juga boleh menegur imam. Ada keperluan dan kebenaran itu serta diberikan syarat-syaratnya. Kalau dalam sembanyang boleh ditegur imam yang terkhilaf, apa lagi dalam kepimpinan dan kerajaan, lagi-lagilah boleh ditegur.

Kalau dalam sembahyang imam melakukan kesilapan setelah ditegur, makmum boleh 'mufarakah' - tingglkan imam, maka begitu juga keadaan rakyat dengan pemimpin, Jika pemimpin sudah berlaku zalim dan tidak adil, korup, bercakap bohong ia wajar ditentang. Tegasnya rakyat boleh memberi teguran kepada pemimpin atas nawaitu untuk kebaikan.

"Di Sarangan Inchek," celoteh Arif memberi harapan baru dan terus mahu menarik perhatian saya. Mungkin dia sedar saya kurang senang dengan keadaan. Sudah lapar sangat.

"Apa Sarangan?' soal saya seakan tidak sempat tangkap maksud Ariff itu. Saya sudah dapat meneka sebenarnya, di situ nanti kami akan berhenti makan. Mungkin di situ ada restoran yang sedap dan enak.

Perkhidmatan kuda untuk ditunggang di Telaga Sarangan.
Tasik seluas 4 km ini boleh dijelajahi dengan bot.
"Kita makan si situ. Di situ kita dapat menikmati panorama alam secara alami, (semulajadi). Kita juga nanti solat di situ. Boleh juga kalau mahu main-main nanti," terang dan jelas Ariff. 'Main-main', saya kurang mengerti apa yang dimaksudkan main-main.

Selepas itu saya hanya mampu sabar saja sambil sesekali menghala muncung camera ke luar tingkap untuk merakam pemandangan indah di sebelah kiri, lembah pergunungan yang sayup mata memandang dan kejauhan kesayuan. Tindakan itu juga bagi mengelak bau muntah si bocah yang duduk di belakang yang sesekali meruap ke dalam kereta. Pemandangan di kiri jalan tidak terkata dan terlukis akan keindahannya. Bukit yang diteres bagaikana tangga panjang berbentuk bulat ditanam dengan sayur-sayuran bawang, kobis dan sebagainya. Keadaanya bagaikan sebuah permaidani hijau yang dihampar diperbukitan.

Menjelang pukul 1:00 petang kami sampai di puncak yang dimaksudkan itu, Telaga Sarangan. Iya sebuah kawasan parawisata terkenal di Jawa Timur. Kawasannya memang aman. Udaranya sejuk. Ketinggiannya mencecah ribuan meter dari paras laut. Iya sebuah pekan kecil yang diawasi oleh PBT. Ala-ala pekan cowbay sahaja. Untuk masuk ke kawasan ini dikenakan tol. Ada Sherif yang mengawal.

Tetapi kerana si Ariff sudah mahir dan tahu tektik bagi mengelakkan dikenalkan tol, beliau mencelah ke jalan belakang terlepas dari diperiksa. Otak geliga kata P Ramlee, otak penipu.

Di sini tidak banyak restoran. Hanya beberapa buah kedai makan saja. Yang nyatanya banyak kedapatan hotel dan bilik penginapan. Kadar sewa tidaklah tinggi. Hostel yang kami tanya untuk didiami hanya kira-kira RM50 atau Rp170 ribu sehari untuk enam bilik.

Telaga Sarangan ini merupakan sebuah kolam bekasan kawah gunung berapi. Keluasannya kira-kira 4 km persegi. Di sekelilingnya dibina jalan kecil untuk laluan kereta, kuda dan dijadikan lalu untuk jogging. Sarangan bermaksud kawah yang dikeringkan kemudian dialirkan air ke dalamnya. Sumber aliran yang dibawah masuk dari air terjun Tirtosari yang jaraknya kira-kira 10 km. Airnya yang jernih membiru laksana mata perempuan Inggeris, memukau pandangan. Bagi perindu kalau merenung air tasik itu akan berbagar-bagar (terbayang) wajah kekasihnya.

Pengunjung dapat bersiar-siar menerusi track jungle traking yang disediakan. Perkhidmatan raidah dengan menggunakan kuda bemo juga disediakan. Berpuluh ekor kuda yang boleh disewa dengan diawasi tuannya. Kadar bayaran untuk satu pusingan Rp50,000 atau sekitar RM15.00

Pengunjung juga boleh bersiar-siar di kolam ini dengan menggunakan bot yang disediakan. Kadar untuk satu pusingan ialah Rp50,000. Anda boleh setir sendiri.

Tempat peranginan begitu mungkin sesuai untuk rombongan berkeluarga apa lagi bagi penggantin baru berbulan madu tetapi tidak untuk kami yang mahu menjejaki 'ahli suluk' di Jawa Timur khas ke kampung Temboro. Kerana takut kelewatan tiba di kampung Temboro yang masih memerlukan perjalanan selama lebih dua jam, kami terus bergerak ke Temboro. Bersambung. [wm.kl.7:38 pm 14/12/13]

No comments: