Saturday, July 5, 2014

Apakah keputusan Pas mengenai isu MB Selangor?

MELONTAR RASA                                                                                

Khabarnya esok Pas Pusat akan mengadakan pertemuan dengan Pas Selangor untuk membincang mengenai isu MB Selangor Abdul Khalid Ibrahim yang kini ditekan agar melepaskan jawatan itu. Pas akan mendengar maklum balas daripada Pas Selangor mengenai apa yang berlaku sekarang ini. Mungkin juga Pas Pusat akan membincangkan ketetapan atau cadangan Pas Selangor berhubung isu MB.

Hadi perlu tunjukkan setiakawan.
Perkembangan yang berlaku di Selangor mutakhir ini tidak berapa baik dan mencemaskan. Ia lebih mencemaskan daripada ketiadaan air akibat banyak empangan takungan kekeringan disebabkan fenomena alam.

Semuanya berasas kepada soal Abdul Khalid yang tidak mahu berundur daripada kerusi MB walaupun beliau diminta berbuat begitu. Mesej-mesej politik yang dihantar kepadanya terutamanya dari partinya sendiri dipandang sepi oleh MB itu.

Paling malang ada tanda-tanda Khalid akan tetap berdegil dan mempertahankan kedudukannya. Menjadi lebih parah lagi apabila kedudukannya kini dipertahankan oleh sebahagian ahli parti berkenaan yang menanti habuan di sebalik kuasa Khalid sebagai MB. Dan Khalid menjadi lebih "agah" lagi apabila ada sesetengah ahli Pas mempersucikannya. Apakah motif ahli Pas pertahankan Khalid sukar difahami walaupun sikap sebegitu sepatutnya tidak berlaku jika dilihat dari sudut persahabatan yang memerlukan semangat setiakawan.

Atas konsensus jawatan MB adalah hak PKR, Pas sepatutnya tidak membuat kenyataan yang macam-macam. Kerana adanya tindakan itu maka Pas dituduh tidak hormat kepada konsensus. Sebenarnya sikap Pas ini bukan sembarang, sokongan oleh Pas kepada Khalid bukan datang dari Yang diPertua Pas kawasan atau ketua cawangan tertentu, tetapi ia juga ditunjuki sendiri oleh Presiden Abdul Hadi Awang.

Ketika projek Kajang Move hendak dilakukan Abdul Hadi dikatakan berjumpa dengan Khalid dan memberi jaminan kepada Khalid agar terus menjadi MB. Paling menyedihkan lagi Hadi dikatakan menawarkan kepada Khalid agar menyertai Pas. Mungkin tawaran Abdul Hadi itu dalam nada bergurau, tetapi ia adalah gurau biawak bukan gurau penyu.

Apa dilakukan Abdul Hadi itulah memburukkan lagi keadaan menjadikan niat PKR untuk memperkemaskan partinya gagal. Abdul Hadi dilihat bukan sahaja tidak jujur tetapi tidak bijak.

Memang begitulah ulah dan sifat politik Machiavelli dan Mahathirisme yang juga dipraktikan oleh parti Islam? Kesempatan yang diambil oleh Abdul Hadi bukan satu kesalahan. Tetapi ia tetap akan dilihat sebagai pengkhiatan. Dalam konteks ini atas prinsip politik itu buruk dan jahat, tidak salah bagi Abdul Hadi atau Pas Selangor kalau inginkan jawatan MB. Politik itu merupakan sebuah game.

Tetapi apa yang semua pihak patut fikirkan apakah dengan tindakan bakal diambil atau sedang dalam proses diambil itu ia tidak akan mendatangkan masalah. Bahawa selepas ini Pakatan Rakyat akan hancur? Memikirkan prospek PR itu lebih penting daripada memikirkan soal untung rugi diri secara peribadi.

Jadi perjumpaan Pas Pusat dengan Pas Selangor esok hendaklah memikirkan risiko dan kesan dibimbang ini sebaik mungkin. Tegasnya, kalau Pas masih percaya kepada kerjasama dengan PKR, nah.. jangan sesekali merombak konsesus awal. Soal menentukan MB serahkan seratus peratus kepada PKR.

Pas perlu memberi sokongan kepada siapa sahaja calon pengganti Khalid yang ditentukan oleh PKR. Kalau ianya jatuh kepada Dr Wan Azizah Ismail terimalah, begitu juga kalau ia jatuhkan kepada Azmin Ali terima lah. Atas semangat persefahaman Pas tidak boleh berpihak kepada mana-mana puak dan kumpulan di sebalik perbalahan PKR itu. Jangan pula kerana PKR "berkekah" sesama sendiri, Pas mahu mengambil kesempatan mahu mencuri kerusi MB, orang akan mengatakan Pas jahat walaupun ia tidak berdosa dalam konteks politik matlamat menghalalkan cara. Perangai itu adalah seperti menangguk di air keruh.

Pas atau DAP perlu membantu PKR dalam hal  ini. Pendapat mengatakan soal menentukan MB Selangor adalah ditangan rakyat tidak bijak. Kerana yang menentu MB adalah parti, setelah parti diberikan kuasa oleh rakyat. Begitu juga berkeras mengatakan Pas berhak kerana ia mendapat kerusi lebih tidak tepat dan menepati konsensus. Pas perlu waras dan bersikap profesional dalam hal ini. Pas perlu dilihat rakan yang setia dan boleh dipercayai bukan "keret ekor".

Diharap pertemuan dan perbincangan esok menatijahkan sesuatu yang matang, berpandangan jauh dan akan menamatkan isu yang bergeliwat di Selangor kini. Pakatan Rakyat tidak ada masa untuk bergaduh kerana tempoh kuasa yang ada sekarang ini terus berjalan. Masa yang ada baik digunakan perkuatkan PR.

Lainlan kalau Pas sudah mendapat "waridat" Tuhan mengarahkan Pas agar mengubah "tahluf syaisi" daripada PKR dan DAP kepada Umno, apa boleh buat... teruskanlah. Yang penting Pas terus mencari untung dalam kerugian orang lain. Apa sikap dan pendirian Pas berhubung MB Selangor itu akan diterjemahkan oleh pemerhatian politik dengan penuh minat. Pas akan dinilai soal integritinya.

Perjumpaan esok dikira penting kerana ia memberi signifiken kepada isu MB Selangor yang bergelodak sekarang ini. Dan adalah malang kalau perjumpaan itu merumuskan soal MB Selangor perlu dicampur tangan sepenuhnya oleh Pas. Didoakan jangan keputusan perjumpaan esok meletakkan keadaan Pakatan Rakyat persis semut dalam gula. [wm.kl.11:27 am 05/06/14]
Post a Comment