Wednesday, July 16, 2014

Sekali lagi Anwar terkhilaf dalam percaturan politik

ULASAN MALAM                                                                           

Anwar dirundung malang.
Khalid Ibrahim hari ini telah membuat kenyataan muktamad yang beliau akan kekal menjadi MB Selangor sehingga tamat penggal parlimen ke-13. Kenyataan Khalid itu juga merupakan kunci menutup pintu permasalahan di sekitar dirinya yang diasak agar turun takhta MB.

Bagi saya kenyataan Khalid itu bukan main-main. Kenyat
aan itu dibuat dengan penuh sedar dan yakin. Saya percaya beliau sudah mendapat petunjuk baru (moral support yang tinggi) membolehkan beliau membuat keputusan itu. Sekaligus kenyataan Khalid itu menggambarkan dia membelakang dan tidak mempedulikan sesiapa sahaja yang mendesaknya berhenti termasuk Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah atau Azmin Ali dan lain-lain.

Khalid juga tidak peduli kepada amaran diberikan oleh DAP berhubung kedudukannya. Begitu juga beliau tidak peduli kepada desakan beberapa orang Pas Selangor. Dia juga merasa selesa selepas berjaya mengeruhkan suasana hubungan parti-parti PKR menerusi gelagaknya.

Apakah kekuatan yang beliau perolehi sehingga beliau yakin dan tetap berdegil mempertahankan kedudukan yang dirasakan hak perbadinya itu. Dari firasat saya, pertama beliau mendapat restu Sultan Selangor, kedua mendapat sokongan penuh daripada pucuk pimpinan Pas Pusat, ketiga mendapat green light daripada Mohd Najib Razak, dan keempat menyakini sebahagian daripada rakyat Selangor bersamanya.

Khalid juga tentu mendapat bonus sokongan daripada Umno Selangor.

Dengan perkembangan itu apa lagi yang boleh dilakukan oleh mereka yang inginkan Khalid meninggalkan Bangunan Sultan Abdul Aziz itu? Apakah akan dikemukakan usul undi tidak percaya kepada Khalid di DUN Selangor? Mengenai hal ini saya sudah memberi peringatan dalam catatan yang lalu. Ia merupakan satu tindakan sangat bahaya seperti mana saya ramalkan apa yang berlaku dengan projek Kajang Move.

Perkembangan hari ini mencerminkan usul itu tidak akan mendapat sokongan solid daripada Pakatan Rakyat apabila ada Adun Pas yang akan mengambil sikap berkecuali. Sekurang-kurangnya dua Exco akan menyatakan sokongan terbuka kepada Khalid. Kunjungan Abdul Hadi Awang bersama Mustafa Ali ke rumah Khalid perlu dilihat kunjungan luar biasa, kunjungan tetamu mencari makan dan ia merupakan signal kepada ahli Pas Selangor.

Sehubungan itu, sukar untuk diramalkan mengenai masa depan kerajaan Pakatan di Selangor dan nasib PKR itu sendiri. Hanya apa yang dapat dibayangkan PKR dan kerajaan Pakatan akan ditimpa krisis ekoran gara-gara Khalid ini. Dan krisis ini menyebabkan kerajaan Pakatan Selangor akan menerima nasib sama dengan negeri-negeri lain yang mengalami krisis hampir sama sebelum ini seperti Kedah Darul Aman.

Mengenang apa yang berlaku di Selangor ini, saya hanya boleh mengucap cicak sambil berkata, sekali lagi Anwar Ibrahim membuat kesilapan besar dalam sejarah politiknya apabila memilih kawan untuk menjadi MB Selangor kemudian kawannya memakan dirinya balik. Krisis di Selangor juga akan mengemaskan kunci pintu kota Putrajaya daripada dirobosi oleh Anwar dan Pakatan Rakyat.

Bolehkah dikatakan Khalid Ibrahim menjadi penyelamat kepada BN? Masing-masing ada jawaban dalam poket baju sebelah kiri. Rabalah...[wm.kl.8:36 pm 16/07/14]

2 comments:

mosabit said...

kesimpulannya...harta dan kuasa adalah segala-galanya...darah umno tetap mengalir pada dirinya...

akulah69 said...

TS Khalid memimpin sngor hingga tamat penggal...jika beliau cemerlang, at the end, beliau bakal jua menjadi mb utk bn selepas pru14. Ada kemungkinan begitu?