Monday, June 5, 2017

Mencari makna tulisan Tuan Ibrahim

ULASAN 

Tulisan Tuan Ibrahim Tuan Man (foto) yang diberi tajuk; Rakyat perlu pemandu baru", - Malaysiakini, adalah tulisan pertama kali saya kira setelah beliau memikul tugas sebagai pemangku Presiden Pas. Ini dilihat kepada tarikh artikel itu dikeluarkan bertarikh 4 Jun. Waktu ini presiden Pas, Abdul Hadi Awang masih belum pulih molek lagi dari sakit jantung, dan kini sedang berihat sambil bermahasabah diri di IJN Kuala Lumpur.

Dalam satu catatan Abdul Hadi dibuat dari jendela IJN, beliau menceritakan kerinduannya kepada para sahabat dan juga program kuliyahnya di Masjid Rusila. Secara tidak langsung beliau juga menceritakan kualiti rawatan di IJN baik, sehinggakan beliau menolak cadangan untuk mengadakan rawatan di luar negara?


Pilihan itu menggambarkan presiden Pas seorang yang patriotik, tidak menggunakan kemudahan dan kekayaan untuk mendapat rawatan di luar negara seperti pemimpin-pemimpin lain. Satu segi Abdul Hadi mengambil sikap sama dengan bekas PM, Dr Mahathir Mohamad yang menerima rawatan jantung di Pusat Rawatan Jantung Negara, apabila beliau menghadapi masalah jantung ketika itu masih menjadi PM.

Dalam tulisan terbaharu Tuan Ibrahim itu, (ketika dia menjadi pemangku presiden dan menjalankan tugas-tugasnya), beliau menegaskan yang Pas adalah gerakan dakwah dan bukan parti politik semata-mata. Sebagai sebuah gerakan dakwah, kekalahan (dalam pilihan raya) bagi Pas bukan berakhir segala-galanya. Gerakan dakwah mempunyai skop perjuangan lebih luas daripada parti politik lain.

Apa yang disebut Tuan Ibrahim itu rasanya orang ramai sudah mengetahuinya. Kekukuhan Pas selama ini (sebelum Tuan Ibrahim menerjunkan diri secara aktif dalam Pas), itulah juga kefahaman dan tahkid yang menjadi semangat dan azimat kepada Pas. Sebab itulah walaupun tidak pernah menang tetapi Pas tidak hilang semangat juang.

Sebagai gerakan dakwah, hurainya perjuangan Pas mengajak ummah mentahuid Allah dan meninggalkan perbuatan syirik. Perjuangan Pas juga bukan gilakan pangkat dan kedudukan. Perjuangan Pas menentang kemungkaran dan sesekali tidak akan bersubahat dengannya.

Walaupun itu hakikatnya, namun menimbulkn musykil Pas tetap menyertai pilihan raya. Pas tidak pernah berhenti menyertai pilihan raya pertama sejak tahun 1955 hingga ke hari ini. Ertinya sudah 13 kali Pas ikut sama menyertai pilihan raya dan melalui pasang surut dan kalah menang. Melihat kepada kesungguhan itu bukankah penyertaan pilihan raya itu ia bermaksud mahukan kepada kuasa?

Terbaharu Pas telah meletakkan sasaran untuk bertanding di 100 kerusi parlimen dalam pilihan raya akan datang. Satu sasaran yang terbesar berbanding sebelum ini. Sasaran 100 kerusi itu juga menunjukkan Pas berminat (ada hati dan nafsu) untuk mendapat kuasa dan menjadi pemerintah. Dari satu segi sasaran itu bertentangan dengan kenyataan yang dipertegaskan Tuan Ibrahim itu, yang menggambarkan pilihan raya bukan matlamat utama Pas.

Bangaimana pun pemerhati dan mereka bijak politik dapat memahami apabila Tuan Ibrahim beriya-iya menegas dan menggambarkan Pas adalah dua dalam satu gerakan dakwah dan politik. Ertinya kemenangan bukan keutamaan Pas dan kekalahan bukan menghilangkan segalanya. Tampak begitu suci dan murni sekali perjuangan Pas. Semacam Pas kini sedang membilas sucikan perjuangannya.

Memahami maksud penegasan Tuan Ibrahim terhadap apa yang sudah diketahui itu, apakah ia dibuat kerana beliau sudah dapat berasakan Pas akan kalah dalam pilihan raya akan datang? Bahawa pendekatan baharu Pas menggunakan slogan 'Budaya Politik Matang dan Sejahtera" (BPMS) akan memberi naas kepada parti agama itu. Justeru beliau membuat pernyataan itu sebagai persediaan awal, untuk mendodoi hati ahli dan penyokong supaya tidak kecewa dan sayu bila dibahan musibah terjerlus ke lubang besar kelak.

Dapat merasai kemelut.

Kemelut dan perubahan sikap Pas kini barang kali Tuan Ibrahim dapat merasai akan bala bakal diterima Pas kali ini sekiranya pendekatan baharu parti itu diteruskan, di mana Pas akan bertanding secara bersendirian dan meng"asimilasi"kan diri dengan oposisi. Kelabaan dan kecemerlangan dicapai Pas sebelum ini mungkin akan hilang dari Pas. Kedudukan istimewa Pas di Selangor, Terengganu, Kelantan dan juga Kedah akan hanyut kalau Pas terus bersendirian tanpa berkolaborasi dengan oposisi lain. Apa lagi kalau Pas seperti mana yang diharapkan oleh individu atau kumpulan  yang menjadi penasihat presiden yang kini berlunak dengan Umno.

Kenapa timbalan presiden Pas itu memberi gambaran awal dengan penekanan kepada perjuangan Pas yang kononnya berbeza dengan parti lain itu. Beliau juga mungkin tidak yakin budaya berkenaan (BPMS) akan dapat mewujudkan kerajaan teknokrat yang diimpikan. Kalau Pas menyokong UBN, dan akan menang, sukar untuk melihat kerajaan teknokrat seperti digarapkan itu akan dilaksanakan.

Umno sudah pasti akan melantik di kalangan politician -- pemimpin partinya dan mengabaikan golongan profesional seperti mana diangan-impikan Pas menerusi cita-cita untuk membentuk kerajaan teknokrat. Kalau pun ada tidak sampai lima peratus. Apakah menerusi gagasan ini Pas menanti kalau pun mereka tidak menang, tetap akan dilantik sebagai pemimpin teknokrat oleh Umno termasuk memegang jawatan dalam kabinet?

Kebimbangan Pas tidak akan menang ini tampaknya, semacam disedari Pas dengan semakin hampirnya Piraum. Perkara ini boleh ditenguk apa yang berlaku di Kelantan. Nada berani, yakin dan sombong Pas Kelantan sebelum ini, kini sudah mula mengendur. Pas tidak lagi mendabik dada menyatakan kesediaan mereka untuk bertandingan bersendirian.

Tindakan PKR memutuskan hubungan dengan Pas, memberi kesan besar kepada Pas di Kelantan. Pas mulai menggeletar dengan keputusan atau arahan PKR agar semua penjawat jawatan politik dari kalangan PKR meletakkan jawatan. Khabarnya, ada pujukan kepada PKR supaya tidak meninggalkan Pas. Pengumuman dibuat oleh Pas Kelantan yang kedudukan penjawat politik dari PKR dalam kerajaan Kelantan masih kekal walaupun hubungan "doplomatik politik" ia dengan PKR putus, menjelaskan bahawa Pas berlunak dengan PKR. Ini memberi petunjuk Pas takut bersendirian tanpa ada dokongan PKR.

Kalau ikut konvensyen politik, buat apa Pas berlunak dengan PKR lagi. Mereka perlu memecat kesemua penjawat politiknya bukan menunggu surat peletakan jawatan daripada ahli PKR apabila hubungan politik mereka sudah khalaf. Toleransi Pas ini menunjukkan Pas Kelantan sudah gerun dan mulai tahu mengukur tinggi rendah langit dengan sebaiknya.

Khabarnya Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Che Abdullah Nawi menemui Pengerusi PKR Kelantan Abd Aziz Kadir secara lisan di sebuah kedai kopi(?) meminta agar ahli-ahli PKR yang dilantik tidak meletak jawatan. Che Abdullah juga mmeberi jaminan mereka akan dikekalkan dengan jawatan masing-masing. Lebih memalukan lagi, Setiausaha Badan Perhubung Pas itu khabarnya meminta kepada Pengerusi PKR itu supaya mengarahkan ahli PKR yang dilantik hadir untuk mengangkat sumpah memegang jawatan dan yang masih memegang jawatan tidak melepaskannya.
Sikap diambil Che Abdullah itu sesuatu yang baik sebenarnya. Itulah budaya politik matang dan sejahtera. Pun begitu ia bertentangan dengan sikap ditunjukkan Pas selama ini yang seolah-olah optimis mereka mampu mempertahankan kekuasaan dengan bersendirian. Apabila berlaku apa yang berlaku itu ia memberi petanda bahawa Pas Kelantan sedang mulai gelabah dan sudah mulai sedari penyakit yang sedang dialaminya kini.

Berbalik kepada tulisan Tuan Ibrahim tadi, beliau turut menghuraikan politik matang yang menjadi trade mark presiden Pas kini. Katanya, politik matang adalah satu uslub politik baharu. Tetapi apakah politik baharu itu sampai kemungkaran yang dilakukan Najib dan UBN tidak ditentang. Begitukah?

Kita bersetuju persepsi dan pendekatan politik harus berubah, dan perlu menuju kematangan. Politik bergaduh dan bergasak sehingga kepentingan utama rugi adalah tidak baik. Tetapi yang ahli dan pendokong parti itu tidak faham, apakah menerusi politik matang itu maka kemungkaran dilakukan kerajaan amnya dan Najib khususnya boleh dimaafi? Bukankah itu muanfik dan bercanggah dengan tuntutan agama sebenar.

Tuan Ibrahim mengakui Pas menentang BN. Kemungkaran sama sekali tidak akan disubahati. Tetapi apa yang jelasnya, Pas tidak menentang kemungkaran "bertungging" dalam kerajaan. Seperti skandal 1MDB, yang menjadi heboh seluruh dunia dan telah memburukkan moral Najib dan negara juga Pas masih membisu seribu bahasanya. Kematangan politik Pas mendiam diri mengenai skandal ini tidak dapat diterima oleh ahli dan ia bercanggah dengan aspirasi Pas sebagai gerakan dakwah itu seperti mana ditegaskan Tuan Ibrahim -- menentang kemungkaran.

Apakah skandal itu bukan sesuatu yang "syirik" yang perlu ditentang? Atau pun Tuan Ibrahim secara bersunyi-sunyi menentang tetapi tidak "bergeger" kerana takut kepada presiden dan tidak mahu menganggu musim berbulan madu Hadi dengan Najib?

Bila diamati secara halus Tuan Ibrahim semacam tidak berkenaan dengan sikap diambil Pas. Katanya, serangan secara peribadi bukan caranya. Apakah kerana presiden tidak menunjukan ia menentang Najib makin beliau perlu berhati-hati untuk tidak mahu dilihat bertentangan dan tidak senada dengan presiden walhal situasi itu sudah dibaca umum kerana ingin mententeramkan keadaan? Kalau itulah cara Tuan Ibrahim beliau seolah pengidap kanser yang tidak mahu mengkhabarkan penyakit itu kepada umum yang akhirnya akan melarat dan memeranakan diri.

Secara bak menarik rambut dalam tepong, ada suara protes kecil Tuan Ibrahim kepada presidennya, apabila beliau bertegas, kemungkaran perlu ditentang tanpa mengira siapa melakukannya. Kalau dirujuk kepda skandal 1MDB dan kedudukan Najib, ia menjelaskan yang pemanngku presiden itu memesan kepada presiden dan mengingatkan ahlinya menentang kemungkaran itu tanpa melihat siapa melakukannya. Frasa ini seakan Tuan Ibrahim menghantar mesej kepada presiden supaya tidak mendiamkan diri dari mengkritik skandal 1MDB.

Lewat artikel itu juga beliau menyentuh mengenai kebebasan media sosial yang berpotensi menjadi wadah fitnah baharu. Beliau menasihat agar ia berhati-hati. Dipercayai beliau merujuk kepda tindakan sesetengah ahli Pas yang memaki hamun lawan dengan bahasa yang kesat dan jijik di mana tindakan itu kontradik dengan sifat dan amalan sepatut dipraktikan Pas.

Rencana Tuan Ibrahim itu menyerlahkan idealismenya sebagai pemimpin. Dan itulah yang akan diangkat menjadi agenda perjuangannya kalau beliau ditakdir memimpin Pas suatu hari nanti. Tegasnya sudah pasti pendekatan, atau cara politik matang yang dihayati Pas kini memerlukan pembaikaian agar Pas tidak tertinggal dan tenggelam dalam arus perjuangannya. Itulah sir daripada tulisan Tuan Ibrahim itu.[wm.kl.9:07 pm 05/06/17]

3 comments:

Dino Moreo said...

Dah jadi mcm sesat dah parti ni
Pemimpin makin sehari ke sehari makin teruk mcm tuang presideng jugak

yengge said...

Apakah peranan yang telah dimainkan secara effektif oleh PAS sejak penubuhannya? Dari pengamatan saya sebagai orang awam, PAS hanya bertumpu kepada beberapa perkara sahaja iaitu 1. pelaksanaan hukum hudud, 2. perniagaan sekolah-sekolah pendidikan Islam kanak-kanak, dan 3. protes apabila adanya rancangan untuk mengadakan konsert-konsert artis barat (anihnya tidak ada protes berkaitan konsert-konsert dalam negara dan juga dari artis-artis KPOP yang lebih berbaur lucah. Itu sahaja yang saya nampak.

Yang amat nyata, sering kali diwar-warkan oleh pemimpin-pemimpin PAS ialah sekiranya hudud dilaksanakan, segala masalah negara akan selesai. Seolah-oleh undang-undang hudud adalah merupakan pil ajaib, sedangkan hudud hanya merupakan sebahagian kecil dari keseluruhan sistem Islam.

Tiada kedengaran keinginan PAS untuk melaksanakan perkara-perkara lain seperti perlaksanaan fardhu kifayah dalam ekonomi (ada tak agak-agaknya umat Islam memiliki kilang membuat pensil ni Malaysia ni?), kempen menentang rasuah dan pecah amanah, reformasi budaya seperti menggalakkan umat Islam berusaha secara bersungguh-sungguh untuk mempertingkatan produktiviti kerja, sentiasa mengamalkan akhlak sebagaimana yang dipamirkan oleh Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat, bersopan santun dalam berhubung sesama manusia, dan lain-lain lagi. Tidak lagi ada usaha-usaha untuk mendekatkan mereka yang bukan Islam kepada Islam menerusi contoh tauladan.

Pernahkan pemimpin-pemimpin PAS terfikir bagaimana sifat suka mencuri hampir pupus di negara kafir seperti Jepun walaupun tidak ada sistem hudud disana?

Tidakkan pemimpin-pemimpin PAS terfikir bagaimana ingin negara-negara kafir seperti Sweden, Singapura, switzerland hampir berjaya menghapusakan rasuah walaupun tiada hukum hudud? Bagaimana mereka mengajar anak-anak mereka untuk menjauhi rasuah?

Saya tidak mengatakan bahawa hudud itu tidak wajib, tapi saya berasa anih apabila pemimpin-pemimpin PAS kelihatan seolah-olah tidak mempunyai game plan lain selain dari perlaksanaan hukum untuk menjadikan negara kita menjadi lebih Islamik bukan hanya dari segi perlaksanaan hukum hudud sahaja, tetapi juga dengan cara memperbaiki cara, disiplin dan semangat Islam yang sebenar.

Saya tidak nampak PAS mempunyai blueprint untuk membawa Malaysia kearah negara Islam yang sebenar. Yang nampak nyata dari segi tindak tanduk sebahagian pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong PAS, negara Islam yang diwar-warkan itu hanya mirip kepada corak pemerintahan Taliban dan ISIS.

Wallahu a’lam


pak maun said...

Pas guna hudud utk political mileage dia je. Bukan nak laksanakan pun. Itu je yang dia reti. Bersyarah, berceramah je. Nak nunjuk ke diri tu alim konon. Kalau buat hudud, x de dah isu nak dibangkitkan. Nak ceramah bab ekonomi, mane ke retinya masing2 tu. Sebab tu bila bentang belanjawan, diorang berkecuali je. X payah bercakap, x payah nak susah2 berhujah. Makan gaji buta lg senang