Sunday, October 14, 2018

Peringatan buat Anwar, lengkapkan tesis sejarahnya

SESUDAH SUBUH

Kegembiraan mereka berdua dikongsi seluruh rakyat.
TIDAK perlu untuk saya mengulas panjang lebar mengenai kemenangan besar Anwar Ibrahim dalam Pirake Port Dickson yang berakhir semalam dan dimuktamadkan pada jam 9:30 malam tadi.

Sudah puluhan dan ratusan orang memberi ulasan mengenai pilihan raya itu dan kemenangan bergaya Anwar, semua mengakui akan kemenangan besar Anwar itu.

Cuma apa yang hendak saya sebut di sini, satu perkara yang tidak disenangi oleh golongan taksub, Anwar perlulah menggunakan kemenangan dan peluang itu sebaik mungkin.


Beliau jangan mudah terpedaya dengan bisikan dan gesaan para penyokongnya. Beliau harus menerima kemenangan itu kemenangan rakyat yang mahu melihat kerajaan Pakatan Harapan selamat dan sejahtera.

Saya bimbang takut beliau mabuk dengan kemenangan besar itu, menjadi besar diri dan terus mendongak ke langit tanpa merenung ke bumi. Manusia selalu berpinar mata bila berada dalam simbahan neon bergemerlapan. Beliau jangan lupa bahawa kemenangan itu bukan mutlak kemenangan diri, tetapi ia juga adalah kemenangan Dr Mahathir Mohamad, kemenangan Guan Eng, kemenangan Mohamad Sabu dan kemenangan semua.

Saya menumpahkan rasa hati ini kerana dapat menduga ada pihak yang sudah meletakkan dan  mendabik kemenangan itu atas kapasiti Anwar secara personal. Iya, benar tetapi ia adalah kombinasi, itu realiti yang tidak boleh ditolak dan perlu diinsafi selamanya. Jangan sombong dengan kemenangan.

Anwar harus menggunakan peluang kemenangan itu sebaik mungkin penuh insaf dan fatanah. Cermatlah mengatur langkah untuk ke Putrajaya. Biarlah ia berlaku menerusi proses yang telah ditetapkan. Saya sering mengatakan dan memesan kepadanya dari jauh, tidak akan lari gunung dikejar, hilang kabus nampaklah ia. Kabus yang menutup gunung kian menipis dan sedang berarak lalu.

Anwar jatuh, rebah dan terhumban ke dalam penjara dahulu sebahagian besarnya angkara orang di keliling kelalangnya. Orang yang tidak sabar mahu melihat Anwar jadi perdana menteri. Orang yang mahu menggunakan Anwar untuk kepuasan dirinya, baik ahli politik dan juga ahli perniagaan. Anwar perlu sedar bahawa orang-orang ini, kebanyakannya rakan karibnya semua adalah oportunis yang mahu mengambil kesempatan atas kedudukannya sebagai pembesar.

Orang-orang ini tidak pernah serit dan mereka mencari untung dan mahu mendapat laba dalam keadaan apa jua. Semasa Anwar berkuasa mereka kaya, semasa Anwar menderita mereka terus boleh survival dengan berkawan dengan para lawan dan musuh Anwar. Sewaktu rumah Anwar terbakar mereka tidak bersama "Bomba" tetapi mereka melompat ke atas kapal lain.

Orang-orang ini yang datang waktu Anwar senang (bebas) dan melarikan diri waktu susah (penjara). Tidak mustahil orang-orang inilah juga nanti akan menghasut dan mendesak agar Anwar segera jadi PM dengan pelbagai teori dikemukakan termasuk menghasut kononnya Dr Mahathir akan curang, yang boleh menyebabkan Anwar boleh jatuh dan tersembam lagi sekali.

Anwar kena ingat kepada tribulasi perjuangannya. Beliau perlu ingat perjalanan untuk membina negara ini masih dipenuhi onak dan duri. Ranjau penghalangnya masih berselerakan. Piraum ke 14 bukan pilihan raya terakhir untuk Malaysia.

Justeru jika silap atau cepat mengatur langkah ia boleh tersandung dan jatuh sekali lagi. Jatuh kali ketiga adalah jatuh buat penghabisan.

Orang selalu memberi ingatan agar jangan pisang berbuah dua kali, tetapi orang terlupa resam dunia menunjukkan ada pisang berbuah sampai dua tiga empat kali.

Bagi saya, sambil menanti detik ditunggu itu menjadi PM, elok kalau Anwar melengkapi sejarah hidupnya. Siapkan tesis sejarahnya. Anwar difitnah dengan liwat dua kali. Beliau dipenjara dua kali. Beliau masuk bertanding Pirake juga dua kali, maka apa salah kalau beliau menyempurnakan “kedua kalinya” itu dengan menjadi TPM dua kali.

Paling pantas, Januari tahun hadapan semepena dengan ada rombakan kabinet oleh Dr Mahathir elok beliau masuk ke dalam kabinet mengambil alih kerusi TPM daripada isterinya. Perubahan itu nanti akan mengembalikan nostalgia lampau, ketika beliau berganding dengan Dr Mahathir sebagai PM manakala beliau sebagai TPM.

Pengandingan kedua itulah baharu mengesahkan wujudnya Malaysia baharu. Sesudah itu Dr Mahathir akan melepaskan jawatan PM kepada Anwar sesempurna seperti mana beliau melepaskan jawatan itu kepada Abdulah Ahmad Badawi dahulu. Malaysia baharu insyaAllah akan dipimpin oleh lelaki berjari gemuk. [wm.kl.8:31 14/10/18]

9 comments:

Lan Jeniang said...

Maaf tuan. Hebatnya Anwar bila beliau tidak menganggu kabinet Tun Mahathir. Hebatnya Anwar apabila beliau membantu Mahathir melalui parlimen. Hebatnya Anwar apabila beliau membina sendiri kabinetnya selepas mengambil alih kuasa secara terhormat. Tidak perlu beliau menjadi TPM dan merombak rakan kabinetnya pula sewaktu menjadi PM. Anwar harus fokus memertabatkan kualiti parlimen sebagai tunjang demokrasi negara bukan rubber stamp penguasa sahaja.

Sabtu Awab said...

Ada dalam parti sendiri munkin sudah mula mendebik dada. Ingat kemengan ini adalah kemengan rakyat bersama Tun M. Bukan kemengan individu dalam PKR.

awekaste said...

Secara minima nya saya kurang setuju dgn tuan MSO. Tapi kita doakan yg terbaik buat DSAI dalam meniti kuasa pentadbiran negara sebagai PM ke 8 yg sinonimnya angka bertuah tersebut bagi kaum cina.

I said...

Salam Tuan Tanah..saya tumpang mencelah. Saya sangat betsetuju dengan pensapat tuan. Kadangkala sokongan orang sekeliling jerapkali menjadi sokong yg membawa rebah. Buat masa in... dsai kena muhasabah diri dan melihat kepada sejarahnya yang terdahulu. Mungkin juga cacing2 kerawit yang dulunya sudah lari kembali cuba masuk ke jasad dsai untik merasuk dari dalam. Sesudah berada dalam kedudukan yang kuat mereka akan kembali untuk menumpang kesenangan dsai. Juga untuk lebih merosak dari membaiki. Dsai telah menderita sejak 1998 dan kini berada selangkah dari di puncak . Tak kan lari gunung dikejar. Janji dan ikrar sudah pun dimeterai. Tak ada sesiapa yng mampu merungkai dan mengubahnya. Semoga gandingan dsai dan Tdm akan menyelasarkan semula roda perjalanan yang pincang....

I said...

Salam Tuan Tanah..saya tumpang mencelah. Saya sangat betsetuju dengan pensapat tuan. Kadangkala sokongan orang sekeliling jerapkali menjadi sokong yg membawa rebah. Buat masa in... dsai kena muhasabah diri dan melihat kepada sejarahnya yang terdahulu. Mungkin juga cacing2 kerawit yang dulunya sudah lari kembali cuba masuk ke jasad dsai untik merasuk dari dalam. Sesudah berada dalam kedudukan yang kuat mereka akan kembali untuk menumpang kesenangan dsai. Juga untuk lebih merosak dari membaiki. Dsai telah menderita sejak 1998 dan kini berada selangkah dari di puncak . Tak kan lari gunung dikejar. Janji dan ikrar sudah pun dimeterai. Tak ada sesiapa yng mampu merungkai dan mengubahnya. Semoga gandingan dsai dan Tdm akan menyelasarkan semula roda perjalanan yang pincang....

Shafiek Abdat said...

Tahniah kepada DS Anwar Ibrahim di atas kejayaan beliau,,namun langkah selanjutnya DSAI tidak boleh mengikut hasutan oleh sesiapa sahaja yang rapat dengan beliau. Setiap keputusan dan rancangan untuk Negara dan bangsa haruslah di lakukan secara konsenses,,hanya seorang yang paling dikuartiri dari banyak-banyak orang ialah Rafizi Ramli yang secara terang-terangan memusuhi Tun Mahathir. Justru itu DSAI harus 300% berhati-hati agar kali ini beliau benar-benar ditabal sebagai PM-8..
insyaallah

Unknown said...

Setuju sangat2 dgn tulisan mso. Anwar jatuh disebabkan org kepercayaannya. Siapa saiful, pembantu terdekat anwar. Kali ini perlu berhati hati dgn Rafizi, takut sokong membawa rebah. Andainya Azmin kalah kpd Rafizi, berkemungkinan Azmin Dan simpatisannya meninggalkan PKR dan PH adalah sangat besar. Apabila kekurangan majoriti bolehkah PH mengekalkan kuasa utk membolehkan Anwar menjadi pm?

Fikri Awang said...

Setelah jadi Ahli Parlimen saya mengharapkan Anwar suatu masa jadi PM. Semasa berkuasa jadi PM, ketika itulah Anwar sebenar sebagai seorang Muslim yang benar2 menguntungkan ISLAM atau menguntungkan non muslim dan DAP sejak sekian lama. Rakyat menunggu dengan penuh HARAPAN !!!

Fikri Awang said...

Setelah jadi Ahli Parlimen saya mengharapkan Anwar suatu masa jadi PM. Semasa berkuasa jadi PM, ketika itulah Anwar sebenar sebagai seorang Muslim yang benar2 menguntungkan ISLAM atau menguntungkan non muslim dan DAP sejak sekian lama. Rakyat menunggu dengan penuh HARAPAN !!!