Saturday, October 20, 2018

Beza kleptokrasi Najib, Zahid dengan reformasi Anwar

ULASAN SORE

Zahid cuba menenangkan jiwanya di mahkamah dengan
melambai tangan dan menyengeh-nyengeh.
BERSABIT pendakwaan ke atas bekas presiden Umno dan bekas perdana menteri Najib Razak dan presiden Umno yang juga bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi, ada setengah orang menjangka akan berlaku ledakan reformasi, (menentang kerajaan jalanan) yang kedua selepas meletusnya reformasi pada tahun 1998 sewaktu bekas TPM Anwar Ibrahim ditangkap kemudian didakwa di mahkamah.

Para pendukung dan pendolor punggung Najib dan Zahid berharap rakyat akan bangkit menentang tindakan mengheret kedua pemimpin Umno itu ke mahkamah. Kebangkitan itu akan menjadi pencetus kepada kebangkitan rakyat untuk menyerang kerajaan PH sehingga kerajaan PH gugur seperti mana berlaku terhadap mendiang kerajaan UBN. 

Beberapa orang aktivis politik membela Najib dan Zahid turun padang sambil membawa loud speaker dan mengangkat play card mengajak orang ramai melepas geram dan menunjuk rasa. hasilnya ada juga yang tergila-gila memekik memaki hamun Dr Mahathir Mohamad. 

Tengok muka Najib sedikit pun tidak tercalar.
Mereka melempar tohaman dan provokasi kononnya tindakan ke atas kedua mereka itu satu penganiayaan. Tindakan itu juga diterjemahkan sebagai tindakan untuk memalukan Umno. Kononnya pendakwaan itu sebagai motif untuk menghapuskan Umno, apabila Zahid dikatakan enggan turut dan akur dengan kehendak Dr Mahathir. 

Anwar dibawa ke mahkamah untuk didakwa dengan
mata kiri lebam.
Direkayasa kononnya Zahid diperlakukan begitu setelah beliau enggan untuk berkolaborasi dengan Dr Mahathir bagi memastikan kekuasaan perdana menteri itu?

Benarkah? Dakwaan ini gampang disanggah oleh mereka yang berfikir logik dalam politik. Dalam keadaan dia menyadari kesalahannya selepas kerajaan UBN gugur, Zahid sebenarnya pantang diajak. Dia memerlukan kuasa pelindung untuk menyelamatkan dirinya bukan Dr Mahathir. Apa yang berlaku bukan beliau diminta berjumpa dengan Dr Mahathir, tetapi beliau yang terhegeh-hegeh menagih simpati. Semua orang tahu dan kenal siapa Dr Mahathir, tidak akan berkompromi dengan penjenayah. 

Pendakwaan itu juga disifatkan sebagai satu tindakan menganiaya dan untuk menzalimi, Zahid dan Najib.

Saya tidak nampak apa yang kebenaran provokasi dan ulasan itu. Dari juring manakah kerajaan telah melakukan kezaliman kepada Najib dan Zahid? Apakah beliau naik turun ke pejabat SPRM dan juga pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) sebagai zalim? Suatu penyiksaan. Bukankah mereka dipanggil sebagai menenuhi Sop SPRM dan juga polis. Bukan sahaja kepada mereka, sesiapa sahaja yang ada dilaporkan melakukan rasuah dan jenayah akan disiasat.

Mereka yang disiasat tidak boleh dengan mudah dianggap satu penganiayaan terhadapnya. Sekiranya tidak ada laporan jelas mereka tidak akan disiasat kemudian diheret ke mahkamah. Bukan semua orang dipanggil untuk melalui siasatan diheret ke mahkamah. Setelah ada kes baharu mereka dituduh dan dibicara. Di mahkamah nanti mereka berpeluang untuk menjawab segala tuduhan dan mengemukakan bukti bahawa mereka tidak bersalah. Ini proses dan amalan biasa. 

Sebelum orang ramai bersimpati dengan Zahid dan Najib dan terperangkap dalam laungan untuk membela dan bersimpati dengan dengan Zahid dan Najib ini elok diselidiki apakah perbezaan kes atau senario di antara mereka.

Apakah kelainan di antara kasus dialami Najib dan Zahid dengan apa dihadapi oleh Anwar dahulu? Pertamanya Anwar tidak terlibat dalam kes rasuah dan penyelewengan membabitkan wang ratusan juta. Anwar dituduh atas kes peribadi, liwat dan menyalahgunakan kuasa untuk melindungi dirinya. Kesalahan yang dicampakkan ke atas Anwar tidak melibatkan wang rakyat walau pun satu sen. Tidak ada rampasan wang tunai dan barang kemas di rumah Anwar. Tuduhan ke atas Anwar bermotifkan politik. Ia satu konspirasi. 

Sebab itu ketika dalam tahanan lagi Anwar diperlakukan bagaikan haiwan. Beliau diteranjang dan ditumbuk hingga lebam biji mata kanan. Ketika beliau hendak ditangkap, rumahnya diserbu dan pintu ditendang dan pecah. Apakah hal itu berlaku kepada Najib dan Zahid. Tidak. Najib dan Zahid dengan senyuman dan lambaian tangan naik turun ke pejabat SPRM dan polis. Bulu roma mereka tidak seurat pun gugur semasa dalam tahanan atau ketika disoal siasat. 

Lantara itu kemalangan berlaku kepada Anwar Ibrahim menyebabkan saya sendiri secara peribadi bangkit membela Anwar. Tidak ada siapa mengajak dan mengundang saya. Saya menulis sebuah buku berjudul: Sumpah dan Airmata, Reformis Bangsa. Buku itu seratus peratus membela Anwar. 

Kenapa saya bertindak demikian, walhal saya bukan penyokong Anwar dari awal, ialah kerana kezaliman yang berlaku ke atas Anwar. Saya bukan membelanya kerana dia dituduh liwat, atau menyalahgunakan kuasa, tetapi keaiban yang dilakukan ke atas Anwar melampau. Pendedahan menerusi afidavit menyebut dan mendedahkan berbagai jenayah dan perbuatan rendah moral oleh Anwar adalah punca utama saya bersimpati dan membela Anwar.  Pendedahan (afidavit) memalu dan menjijikkan. 

Kesimpulannya persoalan dihadapi Anwar berkisar soal peribadi dan politik dan ia tidak membabitkan negara, seperti berlaku atau dilakukan oleh Najib dan Zahid yang melibatkan wang ratusan juta ringgit. Apa dilakukan mereka kedua menjijikkan sekali sebab mereka melakukan itu menggunakan kedudukan dan kuasa sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Zahid menghadapi 45 pertuduhan pecah amanah, menerima rasuah dan melakukan pengubahan wang haram yang membabit RM114 juta. Manakala Najib pula dituduhan dengan 25 pertuduhan melakukan pengubahan wang haram yang membabitkan RM2.3 billion. 

Justeru hari ini aya tidak terpanggil untuk bangkit membela Najib dan Zahid. Hati saya tidak ada belas kasihan atas apa yang menimpa mereka. Skandal 1MDB yang sudah lama diperkatakan, menjadikan hati saya tepu untuk menerima Najib sebagai pemimpin yang wajib dibela. Dan persubahatan Zahid dengan kesalahan Najib dalam kes 1MDB menyebabkan dengan dia sendiri saya hilang belas kasihan terhadapnya. 

Berbalik kepada rakyat yang kini cuba dipengaruhi agar bersimpati dengan mereka berdua, saya berharap jangan mudah terbawa dengan emosi untuk membela mereka berdua yang kini cuba digerakkan oleh pendekar "Labu Kundur". Rakyat yang kasih negara tidak perlu untuk bersimpati kepadanya. Bersimpati bermakna bersubahat menghalalkan perbuatan durjana mereka.

Rakyat perlu menyerahkan segala risiko yang bakal dihadapinya kepada diri mereka. Berani buat berani tanggung, bab kata pepatah tangan mencincang bahu memikul. Tumpahan simpati kepada mereka boleh dianggap anti kebenaran dan keadilan. 

Kita rakyat tidak perlu membeli tugasan orang atau saja-saja memenatkan diri untuk membantunya. Kalau kita adalah kawan Zahid atau Najib cukup dengan hanya menzahirkan simpati kepadanya tanpa menyalahkan seratus peratus kepada kerajaan hari ini yang bertindak ke atas mereka jauh sekali bersetuju dengan tohmohan kerajaan berlaku zalim kepada mereka.

Kerana perbezaan dan kelainan senario musibah di hadapi Zahid dan Najib berbanding Anwar saya mempunyai firasat gerakan membangkitkan rakyat atas nama reformasi untuk membela Zahid dan Najib tidak akan mendapat sambutan. 

Pekikan dan laungan membela Zahid dan Najib itu akan berlaku begitu saja. Ia tidak akan meninggalkan apa-apa kesan mendalam kepada rakyat. Biarlah mereka -- para penyokong Najib dan Zahid serta pendekar Labu Kundurnya melakukan apa-apa terbaik untuk membela dua bakal banduan itu. Dan kerajaan juga tidak perlu melayan karenah mereka. Aksi-aksi untuk mendapat perhatian dialpakan sahaja kerana tugas masa dan tenaga pihak kerajaan lebih penting untuk membersihkan daki dan dosa yang ditinggalkan oleh kleptokrat itu.  [wm.kl.2:27 pm 19/10/18
Post a Comment