Wednesday, October 10, 2018

Kebimbangan dibayangkan Rafidah ada kebenarannya

SUSUPAN PAGI

Rafidah Aziz.
TERTARIK dengan pandangan Rafidah Aziz yang berpendapat kerajaan Harapan akan hilang kuasa kerana tidak dapat melaksanakan beberapa perkara penting kerana terlalu terikat dengan larangan atau bertentangan dengan semangat manifesto.

Apa dikatakan Rafidah itu benar kerana ada aspek-aspek tertentu kerajaan Harapan kelihatan terkial-kial dalam melakukan sesuatu atau untuk bertindak kerana terhalang oleh manifesto.

Gara-gara itu menyebabkan jentera kerajaan tidak dapat berjalan seperti mana diharapkan dan ia menimbulkan keresahan di kalangan rakyat, khasnya di kalangan penyokong kerajaan Harapan.


Ambil contoh mengenai pelantikan orang-orang politik untuk mengisi jawatan-jawatan yang boleh dilantik di kalangan mereka. Kerana manifesto Harapan menggariskan mereka tidak mahu mengulangi amalan atau sikap kerajaan dahulu, menyebabkan yang pengisian jawatan berkenaan dengan orang politik tidak dapat dibuat.

Lantaran kerana semata-mata untuk memenuhi hasrat manifesto beberapa agensi kerajaan kini telah dipenuhi oleh orang bukan politik, seperti Mara, Tabung Haji, Felda dan sebagainya. Ternyata walaupun pengisian itu memenuhi hasrat manifesto tetapi ia sudah dikritik oleh para politis. Bukan itu sahaja disebabkan berlaku pertikaikan menjadikan ada agensi-agensi penting dalam kerajaan masih tidak diisi sampai kini. Banyak agensi di bawah kementerian masih belum terisi disebabkan wujud pertikaikan itu.

Tidak perlu disebutkan satu persatu nama dan agensi berkenaan kerana ia sudah menjadi pengetahuan umum. Yang perlu difikirkan kerana kelewatan ini ia memberi kesan negatif kepada kerajaan.

Kesan kepada keakuran itu juga menimbulkan masalah lain dimana agensi kerajaan yang dipegang oleh orang bukan politik, profesional, bergerak bebas mengikut profesionalisme yang mereka miliki tanpa memberi benefit politik kepada parti memerintah. Implikasi lain daripada sikap itu menyebabkan orang politik marah dan merasakan mereka tidak dihargai. Mereka yang bertungkus lumus mencapai kemenangan dan menukar kerajaan tetapi bila sampai masa mengisi jawatan mereka dibiarkan. Keadaan ini sesuatu yang tidak begitu baik.

Apakah keuntungan dan kebaikan kepada parti PH dengan tindakan ini? Sehingga kini tidak ada data menunjukkan sejauh mana kesan ini bakal melemahkan kerajaan. Bagaimana pun elok kalau ada semakan terhadap perkara ini.

Semakan itu penting bagi mengelakkan apa yang dibayangkan bekas anggota kabinet di era awal Dr Mahathir itu daripada berlaku. Molek kalau kerajaan Harapan atau parti gabungan PH menilai kembali sejauh mana baik dan praktisnya manifesto mereka dalam pilihan raya lalu dipatuhi sepenuhnya. Dr Mahathir Mohamad juga pernah membayangkan manifesto bukan Quran yang tidak dapat boleh diubahkan.

Mungkin majlis presiden yang mengadakan pertemuan sekali sebulan boleh membincangkan perkara ini dan tidak perlu ia dibiarkan berterusan dalam polemik.

Namaun bayangan Dr Mahathir itu tidak diendahkan, nampaknya orang politik (PH) seakan takut dengan golongan di luar politik yang berfikir secara idealis dan mahu menjadikan kerajaan Harapan sebuah kerajaan yang idealis dan perfectis.

Lebih baik bagi kerajaan Harapan dan PH, mengambil sikap berani untuk mengelakkan kecelakaan yang berlaku gara-gara kesukaran mereka melakukan sesuatu disebabkan batas manifesto itu yang bukan mutlak itu. Apakah PH hendak mempertahankan manifesto yang boleh menghanyut kuasa seperti dibayangkan Rafidah itu, atau pun melanggarnya -- memperbaiki, demi kuasa dapat dikekalkan? [wm.kl.8:57am 10/10/18]
Post a Comment