Thursday, October 11, 2018

Pirake Port Dickson: Gembria dalam kebimbangan

TINJAU PIRAKE 

Anwar mengayakan sebagai seorang pesilat selepas
dipakaikan selemping pahlawan.
SEMALAM saya mencemar duli turun ke Port Dickson yang terkenal dengan keindahan pantainya dan sesuai dijadikan medan perehatan hujung minggu. PD waktu ini menjadi tumpuan bukan keistimewaan itu tetapi kerana saat ini sedang berlangsung Pirake. Sudah semestinya bagi peminat dan pemerhati politik tidak akan melepas peluang untuk turun ke PD.

Apa lagi pilihan raya PD kali ini agak istimewa berbanding dengan tiga Pirake di Selangor sebelum ini. PD juga Pirake melibatkan kawasan parlimen yang pertama selepas Piraum ke 13.

Bukan itu sahaja, Pirake ini juga istimewa, kerana ia melibatkan Anwar Ibrahim orang yang ingin dinobatkan sebagai PM. Anwar sendiri mengidam dan diharapkan rakyat agar beliau memegang  jawatan itu sejak 20 tahun lepas. Sesiapa yang waras politik mahukan Anwar menjadi PM selepas Dr Mahathir, berihat kali kedua? Siapa lagi selepas Dr Mahathir kalau bukan Bapak Reformasi itu?

Kerana penyertaannya itu menjadikan Pirake PD menarik dan menjadi tumpuan. Inilah kehebatan dan kegahan Anwar bin Ibrahim. Sudah tentu yang berpusu-pusu ke sana ialah mereka yang mahu melihat Anwar menang dan seterusnya menaiki tahta menjadi PM ke 8. Menjadi PM itu lebih penting daripada kerusi PD itu sendiri bagi Anwar.

Pelawanan di antara Merah - Hijau.
Apabila Anwar atau para pencatur politiknya memilih P 132 Port Dickson tentulah ada maslahat tersendiri. Faktor boleh menang besar adalah asas utama yang dipertimbangkan. Taburan pengundi 42.42% Melayu, 33.8% Cina dan 21.41% India (berdasarkan statistik Piraum 14) di kawasan itu dijadikan asas dan kayu pengukur utama.

Ada orang mempersoal kenapa Anwar tidak memilih kawasan Melayu yang peratus pengundinya  tinggi, matemetik politik kita sendiri pun dapat menjawabnya. Anwar mewakili parti berbilang kaum bukannya parti berasaskan sukuan kaum ataun pun berakidahkan agama.

Sudah pasti Anwar mahu dan perlu menang besar dalam Pirake berkenaan. Justeru penyertaan itu perlu disusun serapi mungkin termasuk mengenali pasti kawasan paling selamat. Kemenangan besar sesuai dengan kedudukannya yang dinobatkan sebagai seorang bakal menjadi PM. Perkiraan itu telah diambil kira kenapa PD menjadi pilihan walaupun ada beberapa MP lain yang menawarkan kerusi kepadanya?

Dan kenapa beliau tidak memilih ke kawasan lubuknya di Permatang Pauh, yang mana jika beliau kembali ke lubuknya sekali lagi sudah tentu beliau gampang akan menang besar. Namun kerana kita semua tahu sebabnya, kita tahu licit hipokrasi politik, sebab di situ sudah bersemayam puterinya, Nurul Izzah. Jawatan dalam politik walaupun ia dinamakan wadah perjuangan tetapi ia juga sumber rezeki untuk hidup. Bagi orang politik kerusi baik state, parlimen atau senator adalah kenderaan dan haiwan tunggangan mereka.

Menjadi tumpuan.

Mengenai Pirake PD ini yang membuka peluang untuk Anwar mengambil alih kerusi PM daripada Dr Mahathir bukan sahaja orang-orang setia dan rapat dengannya tertumpu ke situ, tetapi orang lain juga. Selain daripada para peminat, penyokong, simpatis Anwar, para oportunis juga tidak melepaskan peluang.

70% yang mengerumuni Anwar bukan orang PD.
Mereka yang mahu memulihkan kehidupan atau menambahkan pendapatan, mencari peluang dengan mendekati Anwar di PD. Inilah masanya. Mereka harus hadir menunjukkan muka dan baik dengan Anwar sebagai bakal PM. Bersua foto dan menghulurkan bantuan dan segala termampu, yang penting jasa dan budi harus ditanam sebelum tiba musim menuai sesudah Anwar menjadi PM kelak.

Mereka yang sebelum ini menjarakkan diri dengan Anwar kerana tidak “ambuh” tempias bau busuk fitnah yang dilempar kepada bakal PM itu, atau merasakan kehidupannya bahaya, pintu rezeki ditutup jika bersama Anwar dulu, kini mula menjinak dirikan hadir ke PD.

Terkayan-kayan jadi seperti orang hidung tidak mancung pipi tersorong-sorong untuk mendekati dan memesrai semula Anwar. Mereka pula berlebih-lebih menguasai keadaan, mengawal dan mengiringi Anwar menyebabkan sang setia, setiap minggu bersolat hajat dan munajat di Segambut sudah terpinggir ke tepi.

Mereka yang kaya, ada kemudahan kereta mewah dan jet sudah menguasai Anwar. Individu yang berdarah dan berpeluh kerana menggerakkan reformasi demi Anwar tidak kelihatan. Mana Badrul Hisham Shahrin yang kepalanya pernah luka dan berdarah dihempuk aparat semasa mempertahan dan memperjuangkan Anwar dahulu? Mana Jamil Kucing yang tidak pernah absen bersolat hajat dan bermunjak di Bukit Segambut dahulu? Mana Nora Reformasi dan lain-lain. Inilah hidup dan kehidupan dalam dunia politik.

Berhadapan dengan tiga suasana.

Di PD seperti kita tahu, Anwar berhadapan dengan tujuh calon. Bagaimana pun dua calon sahaja yang memberi tentangan atau pun perlu dilayan oleh Anwar serta disoroti oleh kita. Calon Pas, Nazari Mokhtar dan calon bebas, Mohd Isa Samad. Manakala empat calon bebas lain hanya menghabiskan "boreh" sahaja. Kemunculan mereka untuk mendapat perhatian atau kerana ingin merayakan suasana pilihan raya, tidak lebih dari itu.

Apa yang berlaku di PD sejak hari penamaan calon dan proses kempen yang berjalan sudah lebih seminggu, (12 hari) kita dapat melihatnya menerusi media massa akan suasana dan wapnya. Setiap malam acara kempen khasnya dari parti kerajaan muncul di media sosial dan media arus perdana. Tetapi menjadi budaya dan stail saya, sesuatu itu tidak memuaskan hati tanpa menjejak sendiri ke lamannya. Saya tidak mudah percaya kepada cerita dan laporan dari jauh.

Dalam catatan sebelum ini saya menjelaskan, saya tidak turun di hari penamaan calon. Saya hanya melihat dari jauh dan membuat kesimpulan perarakan mengiringi Anwar ke pusat penamaan calon dengan renungan dan imiginasi. Pemandangan di hari penamaan calon itu telah memberi gambaran beliau bahawa beliau disokongi ramai. Berpandukan kepada itu saya yakin Anwar akan menang besar.

Namun kerana ingin melihat dengan mata kepala sendiri saya turun juga ke PD bertemankan isteri, semalam sambil mahu ambil angin pantai sesudah agak lama tidak ke PD. Terakhir ke PD ialah semasa pilihan raya kecil Bagan Pinang.

Kawasan PD mencakupi lima kerusi Dewan Undangan Negeri; N 29 Chuah, N 30 Lukut, N 31 Bagan Pinang, N 32 Linggi dan N 33 Sri Tanjung. Luas. Menurut data SPR terdapat 71,000 pengundi dikala ini.

Sudah tentulah dalam kunjungan separuh hari tidak dapat untuk pusing ke seluruh kawasan. Berlegar di Dun Lukut dan Bangan Pinang sudah mencukupi bagi saya untuk membuat penilaian, bagi menggambarkan suasana di kawasan-kawasan lain. Mungkin pemerhatian ini kurang tepat kerana tidak menyeluruh, namun setidak-tidaknya saya juga turun ke PD menyaksikan sendiri beberapa majlis serta melihat occasion suasana pilihan raya di PD.

Kawasan menjadi tumpuan ialah PD yang terletak dalam Dun, Lukut dan Chuah. Bandar PD adalah menjadi pusat kepada segala gerakan Pirake ini. Di sinilah PH membangunkan Bilik Gerakan Umum (BGU)nya. Ia terletak berhampiran dengan water front. Tempatnya strategi. Saya sempat melalui dan berputar di kawasan ini dan juga memerhati lagak para petugas PH yang berkubu di situ. Tidak diketahui pula di mana markaz atau bilik Gerakan Pas.

Selalunya bila saya meninjau ke kawasan pilihan raya, melihat kepada gambaran zahir dan berbicara (intraksi) dengan penduduk setempat, pengundi serta para petugas kempen. Dapatan atau pemandangan ini bagi saya lebih tepat daripada menerima maklumat daripada pihak-pihak parti atau mereka bertanding. Maklumat daripada bilik gerakan selalunya kurang tepat dan menyimpang kerana ia bersifat subjektif. Kita orang luar akan diberi tahu maklumat yang tidak betul kerana ia terikat dengan strategi dan taktik.

Pemerhatian saya berdasarkan pengalaman dan juga sejarah lampau. Mungkin cara ini sudah tidak tepat dan relevan di era ini kerana kewujudan berbagai badan atau firma kajian menjadi pilihan atau sumber baharu. Tetapi anehnya ada juga kajian daripada badan-badan yang diikhtiraf yang dibantu dengan jumlah dana yang besar pun meleset jauh. Dan kali ini saya tidak terbaca pula unjuran dibuat oleh IDE mengenai peratus keluar mengundi di PD dan berapa majoriti bakal diraih Anwar?

Pirake dingin.

Keseluruhan pengamatan saya Pirake PD biasa sahaja. Pirake itu tidak hangat dan dingin. Suasana perang tidak menampakkan ketengangan. Keadaan ditambahi dengan cuaca yang sejuk dan kada kala diberitakan hujan dari senja hingga ke malam. Jika dibanding dengan Pirake Permatang Pauh membabitkan Anwar tahun 2004, jauh, tidak terbanding. Kemeriah dan kegembiraan di Permatang Pauh dahulu sangat jelas sekali.

Dari dapatan dan pengamatan saya kenapa Pirake itu tidak hangat dan meriah seperti diharapkan, ialah kerana beberapa faktor. Antaranya tentulah faktor alam, suasana hujan. Faktor cuaca menjadikan orang malas untuk menyertai sebarang aktiviti kempen. Mood orang ramai kepada Pirake ini juga tawar dan hambar.

Tanpa penyertaan seteru PH, UBN juga menjadikan Pirake itu tidak bersemangat. Walaupun ada parti lain dan lima calon Bebas ia bukan pesaing sebenar bagi Anwar. Orang menunggu untuk melihat sejauh mana Umno boleh bangkit setelah tersembam dalam Piraum dahulu di PD. Namun ia tidak berlaku menyebabkan pilihan raya itu jadilah seperti gajah berlaga dengan kambing sahaja.

Hambatan lain kerana orang baharu lepas untuk menghadapi Piraum ke-14. Kepenatan dan keletihan atau rasa kecewa dan hampa belum hilang lagi. Kehadiran Anwar dalam citra tersendiri juga tidak disambut ghairah oleh penduduk tempat. Yang ramai ke PD ialah orang luar para pendokong dan peminat Anwar dan mereka yang mahu menjalini hubungan diplomatik baharu dengan Anwar.

Orang tempatan terutamanya orang Melayu ternyata kurang menyerlah. Dalam satu upacara dihadiri Anwar berhampiran pantai, ternyata wajah Melayu kurang sekali walhal majlis itu untuk anak-anak muda. Di majlis itu masyarakat India lebih ramai daripada Melayu, sementara orang Cina hampir tidak kelihatan. Dan sebahagian wajah-wajah yang hadir dimajlis itu saya pernah berjumpa mereka semasa di program politik di Kuala Lumpur.

Walaupun tidak nampak wajah Cina, namun saya percaya mereka ada cara tersendiri. Saya diberi tahu dari sumber dalaman PH, DAP menggerakan kempen tersendiri dikalangan Cina untuk Anwar dan tidak bersama jentera PH. Saya menjangkakan peratus keluar mengundi masyarakat Cina lebih tinggi daripada Melayu. Begitu juga peratus sokongan kepada Anwar, Cina akan mencatat peratus tertinggi.

Sejarah kawasan parlimen Port Dickson.

Kawasan ini dahulunya dinamakan parlimen Teluk Kemang kemudian bertukar nama PD. Kawasan ini bolehlah dikira kedudukan setara di antara parti PH (Kerajaan)  kini dengan BN (Kerajaan) dahulu. Sebelum Piraum tahun 2008 kawasan ini dikuasai oleh BN. PH atau PKR baharu menguasai kerusi ini sejak Piraum tahun 2008 dan mengekalkan kerusi ini pada Piraum 2013 dan terbaharu lalu dengan majoriti 17,000.

Bercakap mengenai Pirake ini walaupun calon parti kerjaan, Anwar berada dalam keadaan selesa, tetapi ada beberapa perkara yang bagi saya tidak sepatutnya berlaku. Walaupun ini tidak menjejaskan peluang Anwar untuk menang besar, tetapi ia menggambarkan suasana politik dalam PH khasnya PKR itu sendiri. Apa yang berbunyi ini akan menyebabkan orang ramai yang mahu melihat kerajaan baharu ini berjalan lancar akan kesal.

Jentera pilihan Pirake di PD ini ia seakan tidak digerakkan secara bersama oleh semua entiti yang berkumpul ke sana. Ada ketidak-fahaman berlaku dikatakan berlaku. Carta organisasi jentera pilihan raya belum pernah saya lihat ia selengkap apa yang berlaku dalam Pirake ini. Jika melihat kepada carta itu, sebarang masalah titik bengik tidak akan berlaku lagi. Tetapi apabila ada yang bernada sumbang ia menyesalkan.

Begitu juga gelora pemilihan dalam PKR turut sama memberi kesan mendinginkan Pirake ini. Pertembungan di antara puak Azmin Ali dengan Rafizi Ramli menjadikan gerakan kempen PH dari PKR berpecah. Belum pernah saya ternampak Azmin dan Rafizi berada sepentas sama-sama berkempen untuk memenangkan Anwar?

Kerana kelemahan dan kecacatan ini ia menyebabkan boleh berlaku sesuatu kejutan. Semisalnya peratus keluar mengundi akan merudum yang boleh mengagalkan target. Saya mengagak antara target terbesar dalam Pirake ini ialah majoriti besar. Dengan majoriti besar Anwar boleh bergaya dan menyatakan beliau berhak untuk jadi PM segera berpandukan kepada sokongan rakyat.

Sudah pasti Anwar mahu jadikan sokongan itu sebagai modal untuk beliau menduduki segera kerusi PM. Majoriti besar kepada Anwar juga memberi isyarat kepada Dr Mahathir bahawa rakyat sudah meminta-minta dan mahukan Anwar diberi peluang untuk memimpin negara ini pula.

Kenapa tiba-tiba Dr Mahathir turun ke PD untuk membantu kempen. Mulanya beliau memaklumkan tidak akan turun kerana amalan sebelum ini, PM tidak akan turun berkempen di mana-mana pilihan raya kecil. Alih-alih beliau turun.

Saya melihat ada dua sifir dan sihir politik di sini. Mungkin Dr Mahathir mendapat maklumat Pirake itu kurang sambutan, orang tempat dimana keadaan itu membimbangkannya. Ini ditambah ada desas desus mengatakan Anwar tidak mendapat sokongan padu. Penyertaan Mohd Isa menimbulkan berbagai spekulasi termasuk ia ditanggapi sebagai sabotaj Anwar? Bunyi-bunyian itu menyebabkan Dr Mahathir terpaksa melupai kepenatan untuk turun ke PD.

Ternyatalah majlis dihadiri Dr Mahathir meriah dan mendapat sambutan hangat. Katanya hadirin paling ramai ialah pada majlis tersebut. Ia juga dicanangkan sebagai kedatangan PM itu memberi lonjakan kepada kempen untuk Anwar. Apabila ada lonjakan bermakna sebelum ini kempen dan sambutan dingin?

Atau pun Dr Mahathir turun untuk mengelakkan beliau menerima kesan daripada pilihan raya itu. Katakan Pirake itu Anwar menang dengan majoriti besar, ia akan dijadikan alasan, tengok tanpa Dr Mahathir turun pun Anwar mendapat majoriti besar. Makanya untuk mengelakkan itu Dr Mahathir perlu turun walaupun seketika sebagai menanam saham. Seorang ahli YB PKR bersetuju dengan argumentasi saya ini.

Sekarang masa sudah semput, tidak sampai 73 jam lagi, pengundian akan berlaku. Apa-apa jua kecacatan yang boleh menjejaskan Anwar menang besar apa lagi tidak memalukan kerajaan PH perlu dilakukan segera. 48 jam terakhir adalah penting. Anwar sendiri menekan agar 14,700 pengundi yang berada diluar agar dikerah pulang untuk mengundi. Jumlah peratus pengundi tinggi akan memberi kelebihan kepada Anwar.

Apa yang diperkatakan dan menjadi kebimbangan Pirake ini ialah sikap pengundi setempat dan juga jumlah peratus keluar mengundi. Apa yang berlaku di Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong menghantui para penganalisa di PD. Ramai menjangkakan peratus pengundi akan mengikut apa berlaku di Selangor. Peratus rendah memalukan Anwar kemudian akan dieksploitasikan ia menunjukkan kerajaan Harapan kian dipertikaikan.

Ramai menjangkakan peratus keluar mengundi dibawah 50%. Setelah membuat pemerhatian dan sedikit penyelidikan, saya kurang bersetuju dengan jangkaan itu. Sebaliknya saya menjangka kalau peratus tidak sampai 70% tetapi ia tidak akan serendah dicatat di tiga Pirake lalu bawah 50%. Saya menjangka peratus di Pirake PD sekitar 60% hingga 65%. Ini sudah memandai dan kalau lebih ia adalah keromah Anwar.

Anwar menang besar. 

Dengan menjangkakan 65% yang keluar mengundi, dari tilikan saya berdasarkan sumber dan perkembangan semasa, pengundi Melayu akan keluar sekitar 60% sahaja, manakala Cina sekitar 80% dan India akan menjadi pengundi tertinggi keluar sehingga sampai 90%.   

Kenapa saya meletakkan andaian peratus keluar mengundi Melayu rendah, kerana orang Melayu, tidak menganggap Pirake itu penting atau sesuatu yang membosankan mereka. Bagi orang Melayu dalam konteks Port Dickson, yakni Pas, Anwar dan Mohd Isa menyusahkan mereka untuk membuat pilihan.

Dari anggaran itu pula, dianggarkan 40% undi Melayu akan mengalir kepada Anwar, manakala selebihnya (60%) kepada Pas dan Mohd Isa Samad. Dijangka Pas akan mendapat peratus undi lebih tinggi daripada Mohd Isa. Bagaimana pun undi Cina akan mengalir kepada Anwar sekitar 80% dan undi

Berdasarkan unjuran ini saya menjangka Anwar akan menang dengan majoriti sekitar 15,000 hingga 20,000 undi. Sebaliknya kalau majoriti itu tidak cecah 10,000 ia sesuatu yang menyedihkan. Dan undi Cina dan India lah yang memberi kemenangan kepada Anwar. [wm.kl.2:27 pm 11/10/18]
Post a Comment