Showing posts with label Kemalangan - takdir. Show all posts
Showing posts with label Kemalangan - takdir. Show all posts

Sunday, December 27, 2009

Catatan Ahad

Antara Kesilapan Dan Takdir

JODOH pertemuan, ajal dan maut semuanya tergenggam dalam tangan Tuhan. Ia merupakan takdir Allah s.w.t. Ia telah ditetapkan demikian. Tidak boleh dipercepatkan atau ditangguhkan walaupun sesaat. Itulah kehebatan Allah.

Kita sebagai hamba-Nya harus menerima dengan penuh redha atas apa yang berlaku. Anggap dan terimalah sesuatu yang ditakdir itu penuh dengan hikmah yang tersirat yang bukan mudah untuk kita selongkari.

Begitulah juga dengan tragedi malang, kemalangan mengeritkan yang berlaku ke atas bas Sani ekspress dua tingkat di lebuh raya Utara – Selatan pagi semalam. Kejadian itu ia sudah ditetapkan berlaku demikian. Adapun punca kejadian itu kerana pemandu terlelap adalah isbatnya sahaja.

Walaupun kita tidak berpuas hati dan kesal kerana isbat manusia itu, namun itulah ketentuan dari Maha Pencipata dan Penguasa.

Kesemua mereka yang maut dalam kemalangan itu sudah ditetapkan sejak diazali lagi. Bahawa mereka akan kembali menemui penciptaan-Nya dalam keadaan seperti itu pada tempat, masa dan hari berkenaan.

Kepada keluarga mangsa harusnya menerima dengan penuh tabah dan keredhaan. Tiada ucapan seaman itu untuk mereka. Kata orang berat mata menadang berat lagi bahu memikul. Tahziah.

Bagaimana pun demikian ketetapan Allah kita tidak boleh menerima begitu saja tanpa memikirkan kesan, akibat serta mencari punca-punca kelemahan manusia bagi mengatasinya. Setiap kejadian harus diambil iktibar agar ia tidak mudah berulang. Kalau sesuatu kejadian itu tidak dijadikan iktibar nescaya ia akan berulang dan berulang.

Yang pastinya kejadian itu kerana kelemahan dan kelalaian manusia. Selalunya kesilapan akan berlaku kerana kelemahan manusia. Jika manusia berhati-hati dan waspada kesilapan boleh dikurangkan kalaupun tidak boleh dielakkan langsung kerana sudah tertakdir begitu.

Kelemahan ini boleh diatasi. Kerana itu kita disarankan agar berdoa, berikhtiar bagi mendapat sesuatu dan meloloskan diri kita dari apa jua kecelakaan. Apakah kalau kita berdoa apa yang ditetapkan itu akan tertangguh? Bukankah sesuatu kejadian itu telah ditetap sejak azali lagi?

Soal tertangguh atau tidak itu kerja Allah s.w.t. Kita makhluk yang kena jadi diminta berbuat demikian. Kita tertakluk dalam kehendaknya. Dia suruh kita berusaha, meminta dan berikhitar tentulah ada muslihat baginya. Sama ada ianya mendatangkan hasil atau tidak, itu soal lain. Sebab itu setelah berdoa, berikhtiar kita diminta pula berserah (tawakal) kepadanya.

Mengenai kemalangan ngeri di kilometer 272.8 lebuh raya Utara – Selatan itu ia boleh dielakkan kalau pemandu itu tidak terlelap. Dia tidak letih dan tidak mengatuk. Di sini kesihatan, kewarasan dan kebijaksanaan pemandu mengawal diri adalah penting dalam berjihad dan berkebajikan membawa bas.

Begitu juga dengan ciri-ciri keselamatan lain. Kalau kita berakal, bijak berikhitar dan berusaha mengelak kemalangan mungkin ia boleh diatasi. Takdir Allah tidak sesiapa yang tahu. Tetapi akal kita boleh menjangkau apa yang harus kita lakukan menerusi pengalaman, sejarah dan kejadian-kejadian lampau.

Misalnya, kalau pagar jalan itu dibina tinggi atau pun diganti dengan tembok, mungkin keadaan yang menimpa bas itu tidak akan berlaku sekejam itu. Besi penghadang jalan itu tidak akan merodok ke dalam perut bas yang boleh memenggalkan kepala dan memburaikan isi perut penumpang.

Besi penghalang yang ada di lebuh raya kini umpama peluru atau anak panah yang siap menanti untuk menikam pemandu lalai dan leka. Ia akan memancung kepala sesiapa saja. Adalah adil kalau ia memancung kepala pemandu yang liar, tidak mematuhi isyarat lalu lintas, tetapi malangnya ia kadang-kadang mengorbankan penumpang yang tidak berdosa yang sedang lena tidur.

Begitu juga harus difikir penggunaan bas dua tingkat. Mungkin ianya tidak stabil dan sesuai dengan keadaan lebuh raya kita yang berbinggul-binggul dan tidak sekata. Mungkin Jabatan Pengkutan Jalan (JPJ) dan pihak berwajib lain boleh membuat kajian mengenai tahap keselamatan bas berkenaan. Kita tidak seharusnya bermegah dengan kehebatan rupa bentuk bas tetapi yang lebih penting ialah keselamatannya. Penumpang menggunakan perkhidmatan bukan untuk bersantai tetapi untuk tiba ke destinasinya.

Aspek-aspek lain ialah mengenai penguatkuasaan daripada pihak polis dan juga jabatan pengakutan jalan raya. Penguatkuasaan hendaklah berterusan dan bukan bermusim pada musim perayaan sahaja. Polis trafik seharusnya bukan kerja memerangkap untuk menyaman tetapi bertindak sebagai penegur, tampil secara fizkial dijalan raya dan nasihat terus pemandu yang liar.

Begitu juga dengan warga pemandu bas dan pengguna jalan raya seluruhnya. Mereka harus memandu atau mengguna jalan raya umpama mereka sedang meniti satu titian halus yang panjang. Anggaplah memandu sebagai satu cabaran besar yang meletakkan nyawa sebagai sandaran.

InsyaAllah kalau kita berusaha keras, berikhtiar menjaga keselamatan, kematian yang begitu rapuh seperti berlaku ke ata penumpang bas Sani ekspress itu dapat dielakkan.
Akhirnya sekali lagi TAKZIAH kepada seluruh keluarga penumpang yang maut. Marilah kita berdoa semoga kejadian itu tidak akan berulang dan ia merupakan penamat dan penutup kepada tahun 2009, dan kejadian ngeri begitu tidak lagi berlaku selamanya. Kita wajib berdoa! [wm.kl 9:55 am 27/12/09]