Sunday, December 27, 2009

Catatan Ahad

Antara Kesilapan Dan Takdir

JODOH pertemuan, ajal dan maut semuanya tergenggam dalam tangan Tuhan. Ia merupakan takdir Allah s.w.t. Ia telah ditetapkan demikian. Tidak boleh dipercepatkan atau ditangguhkan walaupun sesaat. Itulah kehebatan Allah.

Kita sebagai hamba-Nya harus menerima dengan penuh redha atas apa yang berlaku. Anggap dan terimalah sesuatu yang ditakdir itu penuh dengan hikmah yang tersirat yang bukan mudah untuk kita selongkari.

Begitulah juga dengan tragedi malang, kemalangan mengeritkan yang berlaku ke atas bas Sani ekspress dua tingkat di lebuh raya Utara – Selatan pagi semalam. Kejadian itu ia sudah ditetapkan berlaku demikian. Adapun punca kejadian itu kerana pemandu terlelap adalah isbatnya sahaja.

Walaupun kita tidak berpuas hati dan kesal kerana isbat manusia itu, namun itulah ketentuan dari Maha Pencipata dan Penguasa.

Kesemua mereka yang maut dalam kemalangan itu sudah ditetapkan sejak diazali lagi. Bahawa mereka akan kembali menemui penciptaan-Nya dalam keadaan seperti itu pada tempat, masa dan hari berkenaan.

Kepada keluarga mangsa harusnya menerima dengan penuh tabah dan keredhaan. Tiada ucapan seaman itu untuk mereka. Kata orang berat mata menadang berat lagi bahu memikul. Tahziah.

Bagaimana pun demikian ketetapan Allah kita tidak boleh menerima begitu saja tanpa memikirkan kesan, akibat serta mencari punca-punca kelemahan manusia bagi mengatasinya. Setiap kejadian harus diambil iktibar agar ia tidak mudah berulang. Kalau sesuatu kejadian itu tidak dijadikan iktibar nescaya ia akan berulang dan berulang.

Yang pastinya kejadian itu kerana kelemahan dan kelalaian manusia. Selalunya kesilapan akan berlaku kerana kelemahan manusia. Jika manusia berhati-hati dan waspada kesilapan boleh dikurangkan kalaupun tidak boleh dielakkan langsung kerana sudah tertakdir begitu.

Kelemahan ini boleh diatasi. Kerana itu kita disarankan agar berdoa, berikhtiar bagi mendapat sesuatu dan meloloskan diri kita dari apa jua kecelakaan. Apakah kalau kita berdoa apa yang ditetapkan itu akan tertangguh? Bukankah sesuatu kejadian itu telah ditetap sejak azali lagi?

Soal tertangguh atau tidak itu kerja Allah s.w.t. Kita makhluk yang kena jadi diminta berbuat demikian. Kita tertakluk dalam kehendaknya. Dia suruh kita berusaha, meminta dan berikhitar tentulah ada muslihat baginya. Sama ada ianya mendatangkan hasil atau tidak, itu soal lain. Sebab itu setelah berdoa, berikhtiar kita diminta pula berserah (tawakal) kepadanya.

Mengenai kemalangan ngeri di kilometer 272.8 lebuh raya Utara – Selatan itu ia boleh dielakkan kalau pemandu itu tidak terlelap. Dia tidak letih dan tidak mengatuk. Di sini kesihatan, kewarasan dan kebijaksanaan pemandu mengawal diri adalah penting dalam berjihad dan berkebajikan membawa bas.

Begitu juga dengan ciri-ciri keselamatan lain. Kalau kita berakal, bijak berikhitar dan berusaha mengelak kemalangan mungkin ia boleh diatasi. Takdir Allah tidak sesiapa yang tahu. Tetapi akal kita boleh menjangkau apa yang harus kita lakukan menerusi pengalaman, sejarah dan kejadian-kejadian lampau.

Misalnya, kalau pagar jalan itu dibina tinggi atau pun diganti dengan tembok, mungkin keadaan yang menimpa bas itu tidak akan berlaku sekejam itu. Besi penghadang jalan itu tidak akan merodok ke dalam perut bas yang boleh memenggalkan kepala dan memburaikan isi perut penumpang.

Besi penghalang yang ada di lebuh raya kini umpama peluru atau anak panah yang siap menanti untuk menikam pemandu lalai dan leka. Ia akan memancung kepala sesiapa saja. Adalah adil kalau ia memancung kepala pemandu yang liar, tidak mematuhi isyarat lalu lintas, tetapi malangnya ia kadang-kadang mengorbankan penumpang yang tidak berdosa yang sedang lena tidur.

Begitu juga harus difikir penggunaan bas dua tingkat. Mungkin ianya tidak stabil dan sesuai dengan keadaan lebuh raya kita yang berbinggul-binggul dan tidak sekata. Mungkin Jabatan Pengkutan Jalan (JPJ) dan pihak berwajib lain boleh membuat kajian mengenai tahap keselamatan bas berkenaan. Kita tidak seharusnya bermegah dengan kehebatan rupa bentuk bas tetapi yang lebih penting ialah keselamatannya. Penumpang menggunakan perkhidmatan bukan untuk bersantai tetapi untuk tiba ke destinasinya.

Aspek-aspek lain ialah mengenai penguatkuasaan daripada pihak polis dan juga jabatan pengakutan jalan raya. Penguatkuasaan hendaklah berterusan dan bukan bermusim pada musim perayaan sahaja. Polis trafik seharusnya bukan kerja memerangkap untuk menyaman tetapi bertindak sebagai penegur, tampil secara fizkial dijalan raya dan nasihat terus pemandu yang liar.

Begitu juga dengan warga pemandu bas dan pengguna jalan raya seluruhnya. Mereka harus memandu atau mengguna jalan raya umpama mereka sedang meniti satu titian halus yang panjang. Anggaplah memandu sebagai satu cabaran besar yang meletakkan nyawa sebagai sandaran.

InsyaAllah kalau kita berusaha keras, berikhtiar menjaga keselamatan, kematian yang begitu rapuh seperti berlaku ke ata penumpang bas Sani ekspress itu dapat dielakkan.
Akhirnya sekali lagi TAKZIAH kepada seluruh keluarga penumpang yang maut. Marilah kita berdoa semoga kejadian itu tidak akan berulang dan ia merupakan penamat dan penutup kepada tahun 2009, dan kejadian ngeri begitu tidak lagi berlaku selamanya. Kita wajib berdoa! [wm.kl 9:55 am 27/12/09]

3 comments:

YANG GAMBI said...

Salam, kawan setuju sangat dengan pendapat tuan.... tapi mengapa masih ada manusia yang tidak dapat menerima hakikat ini...

anafakir said...

Al-Fatihah buat semua mangsa dan yang terkorban dalam nahas jalanraya kelmarin.Setiap kali berlaku nahas maut, maka akan muncul pelbagai andaian dan tudung menuding antara satu sama lain.Penguatkuasaan lemah, pemandu lalai, syarikat bas tidak teliti memilih pemandu, lesen digantung untuk tempoh tertentu dan bermacam lagi.Keluarga yang kehilangan ahlinya meratap dan menangis.Ada anak tinggal sebatang kara, ada tunang bertunang dengan airmata, ada bapa hilang anak namun hanya mereka yang tahu kesedihan yang menimpa.Maka datang segala janji, pelbagai imbuhan dan ganti rugi diluahkan untuk menyedapkan telinga..apakah tertunai segala janji itu, hanya pihak yang terlibat lebih tahu.

Cuma kalau berbalik kepada takdir dan ketentuan Tuhan, setiap yang berlaku tiada siapa yang dapat menekanya.Asalkan segala aspek yang sepatutnya sudah diselia dengan baik, maka pasrahlah kepada Tuhan.Apa daya kita.Jangan salah menyalahkan pihak lain.Pemandu yang terlibat pun mahukah dia untuk merelakan kejadian itu berlaku dengan sengaja?Pasti tidak.Bas juga dikhabarkan dalam keadaan baik, baru berusia 3 tahun operasinya, masih tip-top.Penguatkuasaan lemah bukan puncanya.Berjuta kenderaan sehari bergerak di jalanraya dan lebuhraya. Kemalangan berlaku di mana-mana.Tidur pun boleh mati, tengah solat pun boleh mati...nah di mana lagi yang boleh mengelakkan mati..mati datang tepat pada waktunya, tidak lewat atau terawal walaupun sesaat seperti ulasan tuan MSO.Itu jelas dalam al-Quran.

Marilah kita menginsafi bahawa walaupun sebaik mana kita berusaha, berikhtiar, merancang dan bertindak, sampai masa dan waktunya, janji Tuhan akan tiba jua.Setiap tahun kematian berlaku dalam kemalangan.Cumanya jika memang jelas berlaku kemalangan itu akibat kelalaian dari segi aspek teknikal yang boleh diatasi oleh manusia..mungkin itu kita boleh perdebatkan.Namun kalau kita menilai jauh ke dalam [ hakikatnya ] manusia akan tetap terlupa, alpa, dan terlepas pandang bila ketentuan Tuhan [ maut ] bakal menjelma.

"Kita merancang, Allah juga merancang,dan percayalah Allah adalah sebaik-baik Perancang"...

Redha dan berlapang dada itu meningkatkan makam kita di sisiNya.Usahlah kita menyalahkan sesiapa.Serah sahaja kepada takdirnya Tuhan setelah segala ikhtiar telah kita lakukan..

Takziah buat semua mangsa terlibat.Ingatlah..buat yang pergi itu, Allah lebih menyayangi mereka.Mereka adalah hak Tuhan yang dipinjamkan sementara untuk kita semua.

Muara said...

Saya antara insan yang kerap menggunakan perkhidmatan bas ekspres. Boleh dikatakan tiap-tiap bulan saya berulang-alik KB-S.Alam. Tragedi yang berlaku itu walaupun menegakkan bulu roma, tapi saya tiada pilihan lain.

Berbagai cadangan dikemukakan demi memastikan keselamatan terjamin. Namun, sedarkah orang-orang di luar sana bahawa para penumpang bas ekspres sebenarnya bertawakkal penuh ketika dalam perjalanan? Para penumpang ini seperti menyerahkan nyawa mereka ke tangan pemandu bas berkenaan.

Pernah juga saya berdepan dengan situasi pemandu yang memandu dalam keadaan agak mencemaskan. Terdetik di hati untuk MENEGUR pemandu berkenaan. Tapi niat itu terpaksa dilupakan kerana SEBAHAGIAN BESAR PEMANDU-PEMANDU BAS ESKPRES INI AMAT SOMBONG DAN "MULUT BERUS".

Lagipun, jika penumpang menegur sikap pemandu dalam perjalanan ia akan mengundang KECELARUAN EMOSI PEMANDU dan KONFLIK ANTARA PEMANDU DENGAN PENUMPANG.

Jadi, bagaimanakah harus dilakukan jika penumpang mendapati pemandu memandu dalam keadaan yang membahayakan seperti melebihi had laju (walaupun dikunci kelajuan pada 90 km/j, tapi takkan di selekoh bahaya atau menuruni cerunpun nak pandu 90 km/j jugak?), memandu dalam keadaan mengantuk dan sebagainya? Sudah tentu penumpang tidak berani menegur pemandu berdasarkan apa yang saya sebutkan di atas.

Jadi, kepada mereka yang berkuasa...sila berikan cadangan yang agak rasional demi keselamatan kami. Atau, para pegawai kerajaan ni kena wajibkan mereka naik bas ekspres dua tingkaat ketika membuat perjalanan kerja di luar pejabat. Jangan bagi naik kapal terbang. Baru mereka tahu betapa bernilainya nyawa seorang insan.