Friday, December 25, 2009

Kadasan Akal

Pas Kelantan Jangan Berfikir Ke Belakang


PILIHAN RAYA umum ke-13 masih jauh lagi. Paling cepat pun ia mungkin akan diadakan 2011 dan paling lambat 2012. Kalau Najib Razak merasakan projek 1 Malaysia berjaya dan mendapat sambutan mungkin ia boleh dipertimbangkan untuk diadakan pertengahan tahun ini. Tapi saya tidak kira dalam keadaan UBN penuh bermasalah, bernafas semput kini Najib berani mengambil risiko.

Makanya, tempoh agak sesuai ialah pada tahun 2011. Waktu itu pun kalau benih projek 1 Malasyia yang ditabur kini sudah mula cambah. Dan kalau keadaan ekonomi yang kini sedang dipupuk menjadi, maka kemungkinan pilihan raya pada 2011.

Ertinya masih ada dua tahun lagi. Masih ada ruang dan kesempatan kesemua parti memperbaiki diri dan memperkukuhkan keadaan serta mengatur strategi ampuh.

Tetapi Pas Kelantan sudah berfikir jauh mengenai hal ini bila mana sudah ada cakap-cakap mengenai pilihan raya akan datang. Pas Kelantan sudah mula membayangkan sama calon luar akan dicalonkan semula atau tidak di Kelantan pada pilihan raya akan datang.

Walaupun hal ini ditimbulkan oleh bekas Ketua Dewan Ulama Pas, Mohamad Daud Iraqi di mana wibawa politiknya boleh dipertikaikan tetapi kerana Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri ikut turut sama memberi komen maka ia dilihat sesuatu yang penting. Apa lagi dalam komen itu Nik Aziz menyebut Pas akan memberi keutamaan kepada anak tempatan untuk menjadi calon.

Saya tidak faham kenapa tiba-tiba Pas Kelantan bercakap mengenai calon walaupun pilihan raya masih jauh. Rasanya tidak wajar ditimbulkan soal itu apa lagi Pas kini berdepan dengan berbagai masalah dalaman dan luaran yang harus diselesaikan segera.

Pada saya Pas tidak perlu persoalkan sama ada hendak kekal calon luar atau utamakan anak tempat. Tetapi apa yang penting menyelesaikan kemelut yang dihadapi Pas kini. Apakah Pas Kelantan khsusnya Nik Aziz sendiri tidak merasai bahawa mereka penuh bermasalah kini? Janganlah disebabkan kita dipuji siang dan malam menyebakan kita alpa kepada permasalahan yang melambak di depan kita yang akhirnya boleh memusanahkan diri dan parti.

Dalam hubungan ini pada saya, semua pihak adalah lebih baik memikirkan mengenai kedudukan Nik Aziz. Fikir dan putuskan dulu siapa yang akan mengambil alih kepimpinan Pas Kelantan. Itu lebih awla dan afdal daripada memikirkan sama ada hendak orang luar atau orang dalam bertanding di Kelantan. Kedudukan Nik Aziz dan masa depan lebih penting dari menentukan apakah import atau exsport orang luar.

Kalau pun Mat Iraq gatal mulut hendak bercakap soal tidak mahukan orang luar, tetapi tidak seharusnya Nik Aziz turut ‘gelenyer’ untuk mengulas. Kerana setiap apa yang diulas dan diucapkan Nik Aziz nanti ia akan menjadi isu kerana kata-katanya sangat berbiasa. Dalam hal ini lebih baik Nik Aziz memikirkan soal diri sendirinya dan tidak usahlah bercakap soal yang dibangkitkan Mat Iraq itu atau soal-soal diluar dirinya.

Yang perlu dipertimbangkan Nik Aziz kini ialah samada ada Husam Musa, Ahmad Yaacob atau pun Mohd Amar Abdullah menjadi MB. Beliau kena selesaikan ini dahulu sebelum cuba menimbangkan mengenai terima atau tolak calon luar. Kalaupun orang luar tidak bertanding di Kelantan dan isu siapa MB ini tidak selesai, ia dikira akan mendatangkan masalah kepada Kelantan. Makanya berikan keutamaan kepada masalah yang utama dulu.

Nik Aziz sendiri tidak payah berdolak dalih dan sayangkan kerusi lagi untuk melepaskan jawatan atau melakukan peralihan kausa dengan baik demi masa depan Pas. Masa tidak menanti terlalu lama untuk Nik Aziz berbuat demikian.

Alasan bimbang Pas akan berpecah kalau beliau serahkan jawatan kepada orang lain tidak timbul. Sesiapa juga yang diberikan kepercayaan oleh Nik Aziz orang itu akan dihormati dan diterima sebagai ketua. Selagi mereka jujur, ikhlas dan menunjukkan perhatian tinggi kepada perjuangan orang itu akan diterima sebagai khalifah di Kelantan.

Misalnya spekulasi Pas Kelantan akan berpecah dan hancur kalau diberikan kepada Husam ia bukan mutlak. Ini hanya persepsi saja dan permainan pihak musuh. Saya percaya kalau Husam diberikan kuasa dan dilantik menjadi MB tidak ada siapa yang tergamak mencabarnya. Sebab perlantikan itu sebagai amanah. Orang yang mencabar atau sengaja menimbulkan masalah kepada pemimpin adalah mereka yang tidak amanah.

Orang Pas tidak tahu menderhaka kepada pemimpin. Mereka akan menyokong dan berkorban hatta siapa saja yang dipilih secara sah menjadi pemimpin. Hakikat ini seharusnya disedari Nik Aziz dan dijadikan senjata untuk beliau menolak pelbagai teori dan fatwa karut yang disampaikan kepadanya.

Demikian juga kalau diserahkan kepada Ahmad Yaaob, Mohd Amar atau sesiapa saja. Ahli Pas sedia mendokongnya. Cuma jangan saja diserahkan kepada mereka yang jelas tidak berkupayaan dan tidak mempunyai track record dalam kepimpinan, seperti Abdul Fatah Haron, Ustaz Abdul Halim (To Uban) dan lain-lainnya. Melampaulah bagi orang Pas kalau bersedia untuk menyokong pak pandir atau pak dogol sebagai pemimpin!

Apa yang hendak ditegaskan di sini kebimbangan yang mungkin bersarang di dada Nik Aziz itu, kononnya orang tidak akan sokong calon pilihannya dan menyebabkan Pas akan berpecah, hanya ilusi beliau saja. Atau ianya satu momokkan untuk melihat Pas kekal seperti hari ini di mana ia memudahkan musuh menganyang Pas. Selagi Nik Aziz beristiqamah dengan ilusi itu maka gembiralan musuh.

Perkara inilah yang seharusnya dilihat dan diusahakan oleh Mat Daud Iraq, menyakinkan Tok Guru untuk berundur dan bukannya membawa isu relevan atau tidak orang luar bertanding di Kelantan. Masa dan waktu Mat Iraq menimbulkan isu tidak kena. Ia seumpama orang tolol tidak tahu membaca waktu. Cara Mat Iraq itu samalah dengan sikap orang yang berbicara soal babi, tetapi Mat Daud berbicara soal badak; orang rebus ubi Mat Daud tak dak (ubi).

Hari ini terdapat empat wakil rakyat Kelantan - semuanya ahli parlimen dari luar. Mereka ialah Nasarudin Mat Isa (Bachok) Dr Mohd Hatta Ramli (Kuala Krai), Sallahuddin Ayub (Kubang Kerian) dan Saifuddin Nasution Ismail (Machang). Kecuali Saifuddin tiga mereka itu mewakili Pas dan merupakan pemimpin tertinggi.


Sallahuddin ialah naib presiden Pas, Dr Hatta, bendahari manakala Nasaurddin, timbalan presiden Pas. Sementara Saifuddin pula pengarah pilihan raya dan strategi Keadilan. Apabila hanya mereka yang merupakan calon dari luar maka tentulah sasaran dalam isu itu kepada mereka.


Apakah hambatan bagi Mat Daud dan Nik Aziz berhubung calon luar ini? Perbicaraan mengenainya rasa tidak sesuai. Dalam konteks Pas kini menjadi parti nasional dan global, dan baru selesai melangsungkan konvensyen Pakatan Rakyat, seharusnya Mat Iraq dan Nik Aziz sendiri tidak terkapit dengan sikap kedaerahan. Apa bezanya orang luar dengan anak tempatan. Anihnya dalam sesuatu hal Nik Aziz jauh ke angkasa tetapi dalam soal calon ini beliau kembali bertapa di lubang tempayang politiknya.


Yang perlu ditinjau di sini ialah pencapaian dan peranan mereka sebagai anggota Parlimen. Jangan beza dan pisahkan sempadan pensyariatan mereka. Perhatikan apakah yang mereka lakukan di Parlimen. Sehingga ini pada saya kehadalan mereka berempat di Parlimen tidak terkalah. Mereka malahan lebih aktif dan responsif mengenai isu-isu yang timbul berbanding dengan ahli Parlimen lokal sendiri.

Cubalah tengok handsard Parlimen siapa yang banyak bercakap, membawa suara rakyat, mencambahkan idea dan isu dalam membangkitkan kepentingan rakyat di Parlimen, isu ketidakadilan, royalti petroleum dan sebagainya. Apakah Wan Rahim Abdullah (Kota Bharu), Abdul Halim Abdul Rahman (Pengkalan Chpa), Muhammad Hussin (Pasir Putih), Abdul Aziz Kader (Ketereh), Zailah Mohd Yusuf (Rantau Panjang) ataupun Sallahuddin Ayub (Kubang Kerian), Hatta Ramli (Kuala Krai) Nasarudin Mat Isa (Bachok) atau Saifuddin Nasution (Machang).

Kita kena ukur dengan akal bukannya ukur dengan sentimen dan semangat kedaerahan yang bolos kerana ia tidak akan membawa kita ke mana.

Kalaupun wakil rakyat itu anak tempatan tetapi tidak menunjukkan prestasi dan pencapaian KPI yang baik ia tidak memberi apa-apa kebaikan dan keuntungan kepada Pas dan rakyat. Bahkan mereka ini perlu ditukar dengan orang luar yang berketrampilan.

Mungkin kalau menuntut anak tempatan untuk kerusi DUN ada benarnya. Sebabnya kemenangan DUN panting untuk membolehkan Pas menguasai negeri. Lagipun menurut perlembagaan tubuh Kerajaan Kelantan hanya anak Kelantan saja boleh menjadi MB.

Adalah diharap isu-isu soal calon luar dan calon tempatan ini tidak ditimbulkan lagi apa lagi dalaam saat Pas sedang menuju era perubahan ke arah memerintah Malaysia. Sesiapa pun boleh menjadi pemimpin di mana saja selagi dia layak dan beriman dan bertakwa. Kalau dilihat kepada sejarah Islam, penguasaan empayar Islam di seluruh dunia leih 1500 tahun dulu bukannya dicapai oleh anak tempatan tetapi oleh pemimpin luar yang beriman dan bertakwa. [wm.kl 1:05 pm 25/12/09]

7 comments:

Abu Faruq Al-Iskandari said...

ana sangat setuju dengan kenyataan tuam MSO di atas.
Lihatlah, Nabi MUhammad pun orang kelahiran Makkah, dan diangkat menjadi pemimpin di Madinah. Adakah PAS ingin melawan sunnah kenabian jika menghalang orang luar utk menjadi pemimpin?

NH Shah Alam said...

Pimpinan tertinggi PAS ni tak serik-serik dengan mainan Media. Yang dok pegi layan wartawan tu apasal? Hari ni dalam Utusan Daud menafikan beliau membuat kenyataan seumpama ini. Beliau tidak tahu TGNA ambil ulasan ni kat mana?

Ini semua mainan MEDIA. Lepas tu sibuk nak boikot Media Kerajaan.

Tak faham lah dengan sikap pimpinan PAS ni... Nak kata tak cerdik, semuanya hebat-hebat belaka. Belajar sampai ke hujung dunia. Tapi tindakan semuanya hampehhhhh.


*NH Shah Alam*

Cili Padi said...

Salam MSO,

Saya setuju dengan Tuan,bukan masanya PAS Kelantan bicara soal calon.Ini bukan masa berkempen, PRU13 nun jauh diluar jangkaan.
Ada baiknya PAS Kelantan selesai masalah rakyat yg berlambak.Dah macam bom jangka,Tunggu masa nak meletup.
Kempen memang mudah guna modal air liur,janji,janji,jani.Bab nak tunai segala janji ni cukup payah.
Kalau tengok manifesto PAS Kelantan PRU12 tak sampai 50% dah buat."Dateline" dah nak habis tapi entah kemana...
Sempurnakan janji PRU12 baru enak nak buat janji baru untuk PRU13.Jangan asyik janji benda 2 yg sama jah,rakyat dah cukup meluat.Macam projek RMK,tak selesai bawa ke RMK seterusnya.
Cukup2 lah bincang soal calon dan kerusi.Sesekali nilai KPI MB dan Exco,tengok banyak dah berubah.Jangan asyik lepas pandang sokmo.
Tiba masanya rakyat Kelantan menggantikan MB,hak lama bagi rehatlah.Ambil masa untuk anak menantu,cukuplah selama ini berkorban nak jaga rakyat.Kalau terus pun tak lepas dari agenda 'anak menantu' jugak.
Fikir-fikir la wahai pemimpin

Sekian.cilipadi007.blogspot.com

pria malaya said...

setuju dgn tulisan MSO diatas...
satu kupasan yg agak menarik...

harap ada kalangan pimpinan atasan membacanya, seterusnya menyampaikan kepada pihak2 yg terbabit...bermusyawarah dan bermuzakaran selalu bersama2 teman kepimpinan....insyallah, disana ada hikmahnya..

Syeikh YB said...

NH Shah Alam : ko jg marah sangat.ko bukan taktau PAS sedang belajar pegang mic. dulu mana ada sangat wartawan nak serbu.bila sekali sekala pegang mic mula la bercakap tak ketahuan mana hilir mana hulu. kasihan. aku tumpang malu tapi nak wat camana..terima aja laa...hahaha

miesuid said...

Alah biasa la tuan mso,pemimpin pas kelantan saja la macam tu bila wat ketanyataan sering cetuskan kontervesi,bukan pe bila ada kotervesi diri menjadi glamour dan popular nama sering disebut dibibit bibit mulut rakyat,soal betul salah tak penting bila ada orang komen,hentam tk perlu bela diri pemimpin pas lainya pasti bela dan pertahankanya bukan pe nak jaga emej parti

Kijang Gemilang said...

Pada hemat saya, pimpinan PAS Kelantan kena lebih terbuka dan bersedia menerima orang luar sebagai pemimpin mereka. Betul kata Zikr, orang Yathib pun dapat menerima malah mengangkat Nabi Muhammad (orang Makkah) sebagai ketua mereka.
Namun apa yang lebih penting ialah perkukuhkan jentera parti di pelbagai peringkat, buang sifat PHD, dan bersatu hati dan tenaga dalam menghadapi PRU 13.
UBN mahu menumbangkan PAS di Kelantan dengan melancarkan serangan terhadap TGNA. Ingat! Itulah kebijaksanaan UBN dan kekusutan fikiran dan emosi sebahagian daripada mereka di Kelantan.

Bandar Tasik Kesuma, Selangor.