DI ZAMAN Raja Sakti membawa ke zaman Cik Siti Wan Kembang negeri ku dikenali dengan berbagai nama. Antaranya Medang Kemulaan. Medang adalah sejenis pokok yang boleh dibuat perkakas rumah. Dalam sejarah Cina Kelantan dikenali dengan nama Ho-lo-tan atau pun K’ou-lo-tan. Manakala dalam riwayat tradisi Kelantan dikenali dengan nama Tanah Kala.
Kelantan juga menurut para sejarahwan berasal dari pokok Gelam Hitam yang tumbuh banyak dipersisir pantai Kelantan.
Selain itu Kelantan juga dijoloki dengan nama Tanah Serendah Sekebun Bunga. Nama ini diambil sempena taman yang dibina raja Kelantan terkenal seorang perempuan bernama Cik Siti Wan Kembang. Kisah separuh dongeng dan real ini katanya masih dapat dilihat sampai ke hari ini. Masih ada artifek yang boleh dilihat dan dikaji.
Pemerintah Cik Siti Wan Kembang aman makmur. Baginda memilik anak angkat bernama Puteri Saadong. Kecantikan puteri Saadong tidak ada tolak bandingnya sehingga ia digilai oleh raja Siam.
Puteri Saadong yang sudah berkahwin dengan Raja Abdullah terus cuba dipancing oleh Raja Siam namun tidak berhasil. Akhirnya Raja Siam membuat helah dan menculik Puteri Saadong. Kehilangan Puteri Saadong menimbulkan rasa cemburu suaminya Raja Abdullah. Raja Abdullah tidak percaya kepada cinta setia Puteri Saadong ini menyebabkan timbul kemarahan Puteri Saadong.
Akhirnya kerana cemburu yang buta tuli berlaku angkara di mana Puteri Saadong telah menikam Raja Abdullah dengan penyucuk sanggulnya. Selepas kejadian itu Puteri Saadong yang berkerajaan di Bukit Marak telah menghilangkan diri dan dari situlah kerajaanya berakhir.
Itulah sejarah Kelantan lama yang tidak dicatat secara pasti oleh buku sejarah dan hanya dituturkan secara lisan oleh tukang-tukang bari. Bermula dari sejarah itu negeri ku mempunyai berbagai sejarah baru zaman berzaman. Sejarah itu juga dianggap unik dan istimewa ini termasuklah apabila Kelantan diperintah oleh seorang perempuan.
Selepas itu berbagai keunikan lagi berlaku dan wujud di Kelantan. Semua ianya menunjukkan akan keistimewaan Kelantan dan menjadi kebanggaan anak negeri. Begitu juga kemunculan seorang pahlawan bernama Tok Janggut dan seorang ulama terkenal bernama Tok Kenali juga dikategorikan sebagai keistimewaan Kelantan memilik putra bangsanya.
Bawa kemari ke dunia politik moden, Kelantan terus memiliki keunikan dan keistimewaan sendiri. Masyarakatnya dianggap sebagai mempunyai semangat provincial – kedaerahan dan assobiyah yang tinggi. Satu masyarakat yang kuat berpakat dan mudah membentuk komuniti. Di mana saja mereka berada mereka akan membentuk Kelantan Town yang akan menjadi centre society mereka.
Dalam dunia siasah moden, - peralihan kerajaan daripada Perikatan (Umno, MCA dan MIC) kepada Pas, kemudian kepada BN kemudian kepada Pas semula juga dianggap sebagai unik. Peralihan itu disifatkan kebijaksanaan dan keberanian serta sikap liberal rakyat Kelantan yang bukan mudah terikut oleh rakyat negeri lain.
Pola politik Kelantan tidak terlawan oleh negeri lain. Masyarakat Kelantan juga tidak rigid berpegangan kepada satu ideologi sahaja. Di samping mereka melihat kepada dasar dan ideologi parti mereka juga melihat kepada syaksiah dan moral ahli pendokong parti. Kalau mereka sudah menolak satu-satu puak mereka akan menolak kesemuanya. Tawaran dan umpan lazat yang dihulurkan tidak akan dijamah sehinggalah kemarahan mereka mengendur.
Rakyat negeriku mempunyai akal yang sihat!
Dalam banyak-banyak peristiwa dan kejadian ganjil itu aku ingin catatkan beberapa keunikan yang menjadi sebutan di Kelantan sebagai penutup tahun Masihi 2009 ini. Semoga generasi baru yang baru mengenali sejarah dan politik akan sentiasa ingat dan memelihara keistimewaan yang Tuhan berikan kepada masyarakat dan negeri mereka. Hendaknya jangan mudah tukar identiti dan rupa diri kita anak Kelantan.
Dalam politik baru abad ke 21, sudah berlaku macam-macam peristiwa dan tragedi politik. Tahun 1978 rakyat bangkit menentang Pas kerana tidak senang dengan beberapa individu pemimpin dalam Pas tika itu yang bergaduh sesama sendiri. Demonstrasi yang dirancang berlaku di mana-mana. Akhirnya kerajaan Pas berusia 18 tahun tumbang dan jatuh. Pas merana selama kira-kira 12 tahun sebelum bangkit pada tahun 1990.
Tahun 1990 giliran UBN pula tersembam makan debu. Pas berkuasa kembali dengan penyatuan dan kerjasama dengan serpihan Umno, Parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah. Kebangkitan Pas kali ini bersama seorang yang bergelar ustaz yang kemudian dinaikkan taraf menjadi Tuan Guru. Tuan Guru ini juga dianggap unik dan istimewa.
Penerimaan kepadanya sehingga ada yang taksub gila kepadanya. Walaupun berbagai pandangan dan ‘fatwa’ baru yang dihemburkan mengelirukan amalan syariah biasa namun ia ditelan bulat-bulat oleh sebahagian rakyat Kelantan.
MB ini juga dianggap tegas dan berani. Dia sedia berdepan dengan sesiapa saja demi menegak kebenaran. Beliau pernah berhadapan dengan pegawai kerajaan yang cuba mensabotaj pemerintahannya. Lebih berani dari itu beliau juga pernah menyifatkan Sultan sebagai bukan manusia kerana enggan menerima teguran!
Satu masa krisis MB dengan Istana ini sungguh genting dan meletakkan kerajaan Pas dalam keadaan bahaya. Sultan pernah enggan menerima huluran salamnya. Namun berkat doa, kekuatan dan keyakinannya, perbalahan dengan istana akhirnya pulih. Hubungan kerajaan – istana bersambung semula menyebabkan urusan kerajaan selepas itu berjalan lancar dan memungkinkan Tuan Guru ini memerintah sampai ke hari ini, sudah 20 tahun.
Hilang kisah kehebatan dan keberanian ulama ini, timbul kisah lain yang boleh mencelarukan Kelantan dan sekali gus menjadi bahan sejarah kepada kerajaan Kelantan. Sekaligus menjadikan keunikan dan kepelikan Kelantan tidak pernah berkurangan dan sentiasa wujud dengan keunikan-keunikan baru.
Di celah-celah itu tumbuh berbagai peristiwa lagi di Kelantan yang boleh ditafsirkan sebagai keunikan. Semua peristiwa ini mengejutkan dan menyebabkan orang luar tertanya-tanya dan merasa anih. Dalam tahun ini saja ada dua peristiwa yang melibatkan rumah tangga orang ternama di Kelantan yang menjadi perhatian umum. Satu melibatkan putera di raja Kelantan dan satu lagi – paling baru melibatkan bekas pemimpin pemuda Pas Kelantan.
Anak raja Kelantan ditohmah telah melarikan gadis dari Indonesia. Kisah ini menjadi riuh rendah dan nyaris-nyaris berlaku ketegangan. Ia tidak pernah berlaku sebelum ini apa lagi sesudah zaman Puteri Saadong. Tetapi kejadian itu berulang seolah mahu memastikan Kelantan penuh dengan kisah-kisah anih.
Kisah putera raja melarikan gadis Indonesia ini sudah berakhir dengan mahkamah memutuskan pihak putera raja yang menang. Gadis Indonesia yang dikatakan mempunyai perancangan bersama ibunya untuk membolot harta putera raja berkenaan diperintah oleh mahkamah agar membayar sejumlah ganti rugi kepada putera raja berkenaan.
Belum habis sunggutan orang cerita anak raja Kelantan melarikan orang Indonesia, hari ini kecur pula cerita rakyat biasa seorang bekas pemimpin Pemuda Pas yang pernah berkhidmat dengan Exco Kelantan melarikan isterinya. Mahkamah telah memutuskan perkahwinan tidak sah dan mereka diperintah mufarakah. Namun arahan mahkamah itu enggan dipatuhi menyebabkan timbul rasa kurang senang oleh bapa si perempuan.
Bapa si perempuan setelah mengetahui anaknya masih ‘bersekedudukan’ dengan suaminya itu telah bertindak mengepung rumah di mana anaknya duduk. Gegak gempita Kota Bharu dengan perisitwa ini. Lagaknya macam orang kepung musang masuk reban ayam saja, katanya.
Dalam dunia berkecamuk dengan kejadian-kejadian itu timbul pula cerita Sultan Kelantan telah berkahwin seorang lagi. Berita ini terdedah di saat baginda kini sedang gering di Singapura.
Apakah ini juga satu antara seribu kejadian anih di Kelantan? Mungkin ada orang merasa ganjil tetapi takdir yang menimpa ke atas Sultan Kelantan berkahwin satu lagi itu adalah haknya dan tidak menyalahi hukum agama.
Dengan hanya ada kurang 48 jam untuk melangkah ke tahun baru diharap tidak ada lagi kejadian dan peristiwa unik di Kelantan. Marilah kita tutup segala kisah-kisah itu dengan sumpah seranah Tuan Guru MB Kelantan terhadap blog yang membuat fitnah yang dihembur semalam, celaka, celaka, blog celaka! Janganlah lagi ada orang dicelakannya selepas ini.[wm.kl.12:20 t/hari 30/12/09]
4 comments:
Kelantan diserang dari pelbagai penjuru kerana musuh ingin menjatuhkan Kelantan.Semua tahu, Kelantan bakal menjadi negeri terkaya di Malaysia sedikit masa lagi.Dan sebelum Kelantan menjadi 'Brunei Malaysia', perlu dipastikan dahulu Kelantan diperintah oleh UBN dan sekutunya.
Maka untuk memenuhi hasrat yang berkobar-kobar itu, segala alat persenjataan perlu dihalakan kepada semua pemimpin PAS di Kelantan.Mengajak rakyat supaya membenci kerajaan yang ada.Natijahnya, rakyat akan memberi undi kepada UBN dalam PRU akan datang.
Negeri yang diperintah UBN berlambak dengan pelbagai kerenah dan perilaku pemimpinnya namun ditutp serapat yang boleh.Cuba bayangkan jika Bung Mokhtar Radin itu pemimpin PAs, kecuh, huru hara satu Malaysia, dilanyak cukup-cukup untuk menampakkan betapa jahatnya Bung mokhtar Radin itu.Isteri pertamanya akan dijadikan peluru untuk memburuk-burukkan suaminya.Yang tiada, diada-adakan.Segalanya boleh tetapi kerana Bung itu pemimpin UMNO, maka sekejap sahaja isu itu disenyapkan...begitulah mainan politik UBN.
Bila Kelantan, yang kecil dibesarkan.Yang besar lagi dibesar-besarkan.Untuk menampakkan betapa buruknya pemimpin PAS dan mereka yang menduduki kuasa pemerintahan negeri.
Apapun, rakyat semakin sedar putar belit UBN ini.Rakyat sudah semakin arif.Rakyat berdiam diri menunggu PRU baru.Ketika itu, kita tengoklah...siapa pandir dan siapa yang bakal dipandirkan.Hanya yang pandir sahaja yang sanggup memandirkan para pandir yang memang tidak sedar diri mereka berjaya dipandirkan oleh mereka yang memang pandir; dulu, kini dan selamanya.
Telunjuk lurus kelingking berkait.
Mohon mencadangkan.
Assalamu alaikum. Tuan, Kenapa kisah ni tuan tutup dengan sumpah seranah Tok Guru. Saya pun tak sangka Tok Guru boleh buat macam tu. Bila dengar keadaan tu saya jadi tersenyum kerana tak sangka Tok Guruku boleh berkata begitu.Agaknya inilah keunikan terakhir tahun 2009 di Kelantan dan dia akan jadi noktah cerita dalam kenangan 2009 yang tak akan kita jumpa lagi.
Semoga Tahun baru 1431 Hijriyah dan 2010 Mishi ini akan redalah ribut yang melanda Kelantan sejak akhir-akhir ini.
Kisah negeri Kelantan ini agak menarik kerana di zaman silam ia dikatakan diperintah oleh wanita. Budaya ini sebenarnya berterusan hingga kini di mana bidang ekonomi iaitu perniagaan dimonopoli oleh kaum wanita. Kita lihat wanita dari Kelantan biar di mana jua mereka berada, sekalipun ada pekerjaan tetap, mereka akan jadikan bidang perniagaan sebagai aktiviti sampingan dan ada di antaranya menceburi aktiviti jualan langsung berbagai peringkat atau dikenali sebagai Multi Level Marketing (MLM). Jika diteliti, kegiatan yang sama juga menjadi budaya wanita di selatan Thailand iaitu Haadnyai dan Patani. Saya berasal dari sebuah daerah di Baling yang majoriti penduduknya berasal dari Patani. Almarhum datuk sama ada dari jalur ibu atau bapa yang meneroka penempatan di situ berasal dari sana. Allahyarhamah ibu saya juga seperti wanita di Kelantan atau selatan Thai; gemar menceburi bidang ekonomi. Saya masih ingat iaitu ketika di zaman kanak-kanak pada penghujung tahun-tahun 1950-an sehinggalah saya telah bersekolah, sering saya mengekori ibu ke pekan sehari yang kami kenali sebagai Pekan Ahad. Ibu beserta beberapa orang rakannya; kebanyakan wanita menjunjung bakul buluh berisi bahan-bahan jualan seperti pisang, cili dan ulam-ulaman untuk dijaja di Pekan Ahad. Barang-barang jualan tidak ditimbang tetapi dibungkus dengan daun keladi, manakala pisang dijual dengan anggaran harga bagi sesikat. Hasil jualan itu ibu boleh juga kumpul untuk membeli sedikit barang-barang kemas yang kemudiannya dijual sebagai perbelanjaan untuk menguruskan jenazah kakak saya yang kedua yang meninggal dunia selepas bersalin dalam tahun 1967.
Post a Comment