SEHARI dua ini surat khabar kroni (Utusan) kalut menghebohkan cerita fasal Raja Blog, Raja Petra Kamarudin. Penghebohan itu menyebabkan orang jadi teringat semula kepada Raja Petra. Tiba-tiba saja Raja Petra hidup dalam setiap hati pelayar internet dan pembaca akhbar berkenaan.
Raja Petra sudah lama sunyi dari pengetahuan umum sejak beliau kabur dari negara ini kerana tidak berani berdepan dengan pengadilan di mahkamah. Beliau menghadapi berbagai tuduhan dan perbicaraan di mahkamah. Kekaburan beliau itu kerana beliau tidak mahu 'bersusahpayah' di mahkamah.
Raja Petra bukan saja berani tetapi dia juga licik dan bijak menggunakan ruang dan masa untuk meledak sesuatu isu. Tembakan dari penanya menyebabkan si sasarannya tidak senang tidur dan jadi malu sendiri. Selain itu beliau juga mempunyai informar dan konteks yang handal termasuk dari dalam kerajaan sendiri.
Jika beliau tidak mempunyai kelebihan itu, bagaimana beliau mendapat maklumat yang berbentuk rahsia yang diselkan di bawah bahan kawalan OSA untuk disiarkan dalam blog dan portalnya. Secara sedar atau tidak Raja Petra sudah menjadi wadah bagi pihak yang tidak berpuas hati menyalurkan rasa hati mereka dan mendedahkan karung-karung rahsia.
Berbalik kepada usaha akhbar berkenaan, melihat caranya ia semacam berdendam dengan Raja Petra. Yang beriya agar Raja Petra digiring pulang ialah akhbar itu dan bukannya pihak berkuasa. Apakah usaha itu kerana akhbar itu melihat Raja Petra menjadi ancaman kepada keselamatan negara. Kalau beliau jadi ancaman kepada keselamatan negara kenapa pihak polis seakan mendiamkan diri?
Atau akhbar itu beriya kerana hendak menjaga kepentingan orang yang menjadi sasaran muntahan tinta Raja Petra selama ini, Rosmah Mansor dan Najib Razak? Antara keselamatan negara dengan kepentingan individu dua perkara yang berbeza.
Semalam akhbar berkenaan ‘mengarah’ polis mohon ekstradisi untuk membawa pulang Raja Petra yang kini bersembunyi di London. Hari ini polis memberi reaksi akan berbuat demikian. Menurut Ketua Polis Negera, Musa Hassan ekstradisi itu akan dibuat menerusi Peguam Negara seberapa segera.
Anih juga sikap polis bercakap selepas didesak. Kalau Raja Petra merbahaya kepada negara kenapa menunggu arahaan daripada akhbar berkenaan untuk bertindak. Apakah akhbar berkenaan menjadi agen perisik kepada polis? Dan apakah kalau Utusan tidak membuat desakan maka kes Raja Petra dibiarkan lara begitu saja?
Atau polis tidak tahu buat kerja dan mengesan di mana Raja Petra berada? Atau apa...?
Saya rasa tidak begitu. Polis tahu segala-galanya dan di mana Raja Petra berlindung. Mata polis sangat luas dan cerah dalam hal ini. Tetapi kenapa polis tidak menangkap kerana bagi polis kes Raja Petra bukan mengenai keselamatan dan jenayah kepada negara yang menjadi tanggungjawabnya sebaliknya menjadi masalah kepada individu lain. Bukankah kerja polis untuk menjaga batang diri mana-mana individu daripada dikritik. Selagi ia tidak melibatkan unsur jenayah polis tidak akan bertindak mengawal seseorang itu.
Makanya walaupun mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Raja Petra kerana kegagalan hadir di mahkamah polis seakan buat acuh tidak acuh saja. Seakan tidak ada usaha lanjutan secara efektif dari pihaknya. Atau mungkin juga polis dapat membaca sejauh manakah Raja Petra boleh menganggu negara. Lagi pun pihak polis bukan tidak reti dengan sikap dan perangai Raja Petra.
Bagi saya kalau pun Raja Petra diekstradisi dibawa balik ia tidak membawa apa-apa kesan.
Jika niat Utusan berbuat begitu kerana ingin memadamkam isu-isu yang didedahkan Raja Petra selama ini yang telah menimbulkan pelbagai persepsi kepada orang tertentu ia tidak akan berhasil.
Niat itu sia-sia sahaja. Kalaupun Raja Petra dibawa balik dan dikurung dalam penjara ia tidak boleh merombak persepsi yang telah dihemburkan Raja Petra.
Imej Rosmah dan Najib yang dilibatkan dengan pembunuhan kejam terhadap Altantuya tidak juga terhapus. Bahkan penangkapan dan pengurungan Raja Petra menjadikan orang berandaian apa yang Raja Petra tulis itu benar. Penahanan Raja Petra akan dilihat sebagai keabsahan apa yang didedahkannya sebelum ini.
Jadi kerja memburu Raja Petra pada saya membuang masa dan wang kerajaan saja. Eloklah soal Raja Petra jangan disebut dan jangan dikenang lagi. Cukup, dan sampai masa akan kembalilah dia ke negara ini dan ketika itulah kalau kerajaan rasa perlu menangkap, tangkaplah dia. [wm.kl. 10:10 am 22/12/09]
4 comments:
Raja Petra Kamaruddin telah membuktikan bahawa diri beliau sanggup dipenjara
maknanya kalau beliau ditakdirkan ke tali gantung, dia reda dan pasti akan menerimanya
sudah hidup kena bercakap benar.....
Saya respect Raja Petra kerana bagi saya beliau seorang yang prihatin. Teguran saya berhubung tulisan beliau pada awal kemunculan blog Malaysia Today diambil tindakan dengan cepat. Selain itu, segala pertanya dan maklum balas dilayan dengan penuh ramah.
Sokong pendapat tuan. Yang perlu diburu ialah pencuri enjin jet pesawat ATM!. Susah sangat ke? Kenapa kes sebegitu besar hanya buat 'internal inquiry' sahaja? Kenapa tak buat court martial?
Saudara firdaus,
jikalau RPK seorang yang berani, sudah tentu dia sudah menyerah diri untuk dibicarakan. malangnya ada sehingga kini dia masih bersembunyi dari berdepan dengan akibat dari tulisannya.
lebih baik jika beliau menyerah diri sahaja. itu baru namanya berani kerana benar.
Post a Comment