AGAK terkilan dan malang sedikit kerana saya tidak dapat menyaksikan konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam semalam. Tarikh untuk cuti dan berihat telah dibuat awal sebelum itu. Konvensyen itu bolehlah dianggap peristiwa penting dan bersejarah bagi Pakatan Rakyat dalam merintis dan membina lebuhraya mega maufakat antara tiga parti; PKR, DAP dan Pas.
Sebelum ini saya ada mencatatkan harapan kepada konvensyen berkenaan di akhbar Siasah. Apa yang diharapkan konvenysen itu akan menatijahkan sesuatu yang lebih bererti dan bukan sekadarnya satu gimik bagi menenggelamkan isu-isu lain yang menghambat Pakatan Rakyat!
Dan dari pembacaan dan laporan mengenai konvensyen berkenaan (serta gambar-gambar sisa disekitar acara berkenaan yang dikirimkan oleh Zamzarina) ia menggambarkan satu lagi kejayaan sosial dan politik untuk Pakatan Rakyat. Konvensyen itu telah memberi satu suntikan semangat kepada Pakatan Rakyat untuk lebih kuat, jitu dan bersemangat dalam menempah kejayaan bersama.
Konvensyen itu telah menjadi satu wahana paling berguna kepada Pakatan Rakyat dan satu forum rasmi seumpamanya sejak ianya terwujud lebih lima atau lapan tahun lalu.
Apabila konvensyen itu ‘ditejel’ oleh pihak UBN (menerusi media masa) sebagai sandiwara atau retorik pembangkang maka ia secara automatik menjelaskan konvensyen itu berjaya. Kejayaan itu tentulah digeruni oleh UBN kerana ia boleh menjejaskan kerajaan pada pilihan raya akan datang. Paling bererti lagi apabila UBN kini sedang menghadapi krisis ketanggunjawaban di kalangan ahli Parlimen mereka.
Kalau konvensyen itu 'biasa-biasa' saja ia tentu tidak akan menjadi perhatian media massa kroni dan cakap-cakap merendahkan usaha Pakatan Rakyat itu. Tetapi kerana ia memberi impak besar maka hendak tidak hendak dakyah untuk meremehkannya mesti dilakukan.
Empat dasar yang akan menjadi landasan kepada kerajaan Pakatan Rakyat telah dibincang dan dicapai pada konvensyen berkenaan. Dasar inilah juga merupakan tawaran untuk direnung, difikir dan dikajikan oleh rakyat negara ini. Menerusi dasar-dasar ini rakyat akan membuat perbadingan antara pembaharuan dan perubahan yang akan dilakukan oleh Pakatan Rakyat.
Empat dasar itu ialah;
1. Demokrasi telus dan tulen.
2. Memacu ekonomi berprestasi tinggi mampan dan adil.
3. Keadilan sosial dan pembangunan insan, dan
4. Hubungan persekutuan dan dasar luar negara.
Kehadiran kesemua pemimpin-pemimpin tertinggi parti berkenaan, menunjukkan kekompatan mereka. Ini ditambah lagi dengan kehadiran para peserta seramai 1,500 yang tentunya terhad itu. Ada beberapa foto kandit yang menyeronok untuk dilihat apabila pemimpin yang berlaga angin sebelum ini dapat duduk semeja, berbincang dan gelak bersama seperti pengerusi DAP, Karpal Singh dengan Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Walaupun foto-foto kandit pada konvensyen itu diterjemahkan oleh pihak UBN sebagai sebuah sandiwara Pakatan Rakyat, namun itu adalah hakikat yang terjolor di depan mata. Mungkin banyak orang di luar sana mengharapkan peristiwa yang bermula dengan sandiwara dan retorik itu akan berakhir dengan kejayaan Pakatan Rakyat mengejutkan umum.
Apakah konvensyen semalam akan memulakan persepakatan lebih erat dan bererti lagi membawa kepada Pakatan Rakyat akan bertanding atas satu lambang pada pilihan raya umum akan datang? Itulah tampaknya yang sangat diharapkan dan masih belum ada kata putus. Mungkin juga kata putus ini belum ada kerana kedudukan Pakatan Rakyat didaftarkan sebagai parti masih belum mendapat kelulusan?
Hendaknya rakyat meletakkan kepercayaan atas persepakatan yang telah termeterai semalam. Selepas ini barang kali perlu diadakan satu lagi konvenyen yang akan merancang dan membincangkan secara konprehensif dan mendalam lagi agar ia tidak menjadi masalah selepas kemenangan diraih kelak. Satu perkara perlu diingat hakikat meraih kemenangan itu lebih mudah daripada mempertahankannya. Dan perkara paling pokok apa juga persefahaman, persepakatan dan konsensus biarlah diputuskan oleh rakyat (ahli) dan bukan dari kalangan pemimpin saja. [wm.kl. 11:25 am 20/12/09]
No comments:
Post a Comment