Cerita Dari Seorang Penumpang
Kerajaan Pakatan Lebih Baik
PENUMPANAG yang tidak ego dan mesra selalunya akan menyapa dan bertanya penumpang lain yang duduk di sebelah, atau depan atau belakangnya. Kalau pun tidak untuk berbual panjang bagi menghilangkan rasa boring dalam penerbangan, tetapi sapaan atau senyuman itu cukup untuk menyatakan kita seorang yang baik – seorang warganegara timur.
Tidak semua penumpang, (biasanya kapal terbang) baik dan murah untuk melontarkan senyuman atau membantu penumpang lain memasukkan barang ke kabin? Biarlah betapa susahnya penumpang itu terkinja-kinja mengangkat barangnya, namun jarang ada yang mahukan pahala dengan menyentuhnya. Semuanya mengharapkan ianya dibantu oleh paramugari.
Selalunya penumpang kapal terbang masing-masing mahu menang sendiri dan mahu dilihat sebagai manusia ada kelas. Kononnya kalau naik kapal terbang itu harus kena ego dan agah barulah ada standard. Apa lagi kalau duduk di tepi tingkat lagilah hebat sebab dapat tengok ke luar.
Sebab itu atas kapal terbang semua orang speaking…. Walaupun tidak berapa fasih Inggeris dan orang yang dilawannya adalah orang kampungnya sendiri, tapi harus berbahasa Inggeris kerana kapal terbang dicipta oleh orang Inggeris? Mungkin begitulah sebabnya.
Dan malu untuk berbahasa Melayu walaupun sesama Melayu. Baca surat khabr pun tidak lagi surat khabar Melayu tetapi surat khabar Inggeris. Walhal kalau masa di bawah, surat khabar Melayulah yang ditatap dan dipegangnya, tetapi bila naik kapal, surat khabar sudah bertukar bahasa. Itulah perangai dan sifat orang Melayu.
Sifat dan perangai ini bukan baru, tetapi dah lama sejak dulu lagi. Mungkin semasa penggunaan kapal laut sebagai pengangkutan utama untuk ke luar negara sifat dan perangai oportunis dan munafik ini sudah ada pada diri orang Melayu.
Tetapi apa yang nak saya kisahkan di sini bukan mengenai penumpang yang sombong dan merasa hero, tetapi seorang penumpang yang ramah dan mudah diajak bercakap. Dan percakapannya pula menempati topik yang menjadi pemikiran saya sehari-harian, iaitu politik.
“Dari mana?” Tanya saya kepada penumpang ini. Seorang Cina usia lingkungan 40-an. Nampak kepada gayanya dia seorang ahli perniagaan ataupun kalau 'komang' pun pegawai kerajaan. Dia bersendirian saja kerana mungkin kawannya lain sudah ada teman dan tempat duduknya sudah diisi. Jadi dia tidak ada regu melainkan dengan saya.
Dia dalam rombongan bersama lima hingga tujuh orang untuk bercuti ke destinasi sama dengan saya.
“Dari Ipoh,?” balasnya sambil mengulurkan tangan untuk bersalam. Inilah saya katakan, penumpang ini tahu adat dan tahu bahasa. Jarang orang Cina nak bersalam dengan orang Melayu!
“Cuti ke…?” usul saya lagi mahu memanjangkan perbualan.
“Iya… cuti sambil pergi ke pesta kahwin, ….. jadi ambil kesempatan bercuti sekali,” balasnya ramah tanpa bertanya dipihak saya lebih lanjut. Mereka ini ada realtif di negara yang ditujuinya itu dan pemergian mereka ialah untuk mengunjungi saudara mara di sana.
“Pagi tadi terus dari Ipoh atau tidur di Kuala Lumpur…?” tanya saya mahu kepastian apakah dia bermalam di KL untuk ke airport.
“Tidak… terus dari Ipoh…?” Balasnya. Saya mengangguk dan melepaskan senyuman kepadanya.
“Nanti kalau khidmat keretapi laju sudah bermula, Ipoh – KL dekatlah, dua jam sahaja,” saya berbasa basi dengan mengenai topik yang saya kira dia sudah maklum.
“Iya…!” angguknya. Kemudian terus menambah… “itu projek sepatut siap 11 tahun lalu. Tetapi sekarang baru siap…,” dia sudah membuka cerita baik untuk saya.
“Iya ke?” saya buat-buat tak tahu dan mengharap dia akan bercerita lebih mendalam lagi. Saya mahu tahu bagaimana persepsi dia terhadap projek berkenaan. Setidak-tidaknya sebagai seorang pengguna.
“Iya. Itu projek zaman Mahathir lagi. Tapi baru sekarang siap. Banyak rugilah. Saya tahu sebab seorang kawan saya terlibat dalam pembinaan landasannya,” katanya tanpa perlu saya memintanya.
“Rugi macam mana…?” aju saya sengaja mempamerkan muka tidak percaya.
"Walaupun projek itu tidak jalan tetapi maintenancenya tetap kena bayar. Sebulan saya dapat tahu sebanyak RM40,000 untuk selanggarakan sebuah setesen. Cubalah kira ada berapa banyak buah setesen dari Ipoh ke Seremban?" katanya membuatkan saya mengangkat kening. Ini sudah cerita bagus kata hati saya.
Tetapi kenapa cerita ini tidak didedahkan. Sebelum ini tidak mana-mana pihak mendedahkan mengenai tanggungan yang harus dipikul oleh Keretapi Tanah Melayu (KTM)(?) ini. Elok juga kalau ada mana-mana pihak yang tahu sedikit sebanyak mengenai projek berkenaan, mendedahkan jumlah kos tanggungan itu.
“Macam mana dengan Perak sekarang ni, maksudnya politik Perak.... ?” saya terus membuka cerita lebih dalam lagi setelah menyedari ‘kawan’ ini berminat kepada politik dan tidak kekok untuk diajak berbual. Saya ingin mengetahui dari penduduk yang bebas dan tidak bercakap berlapikkan lambang parti ini.
“Sungguh kelam kabut sekarang ni,” katanya.
“Maksudnya?" soal saya.
"Sejak BN ambil alih kerajaan, Perak sudah jadi macam dulu?" katanya. Saya tidak dapat tangkap apakah yang dimaksudkan seperti dulu itu.
"Dulu macam mana?" tanya saya bodoh.
"Dulu masa BN Bandaraya Ipoh kotor, sampah tidak diangkat. Tetapi masa Pakatan menjadi kerajaan Ipoh selama sembilan bulan, bersih. Sampah diangkat hari-hari ..," jelasnya sambil menambah; "hari ini kalau you pegi Ipoh you boleh tengok sampah ada di mana-aman saja. Ipoh sudah kotor semula!"
"Jadi you rasa kerajaan Pakatan lebih baik dari BN?" tanya saya.
"Iya lah Pakatan lebih baik," balasnya. Saya nampak dia ikhlas dalam memberi jawaban itu. Dari air mukanya saya nampak dia bukan aktvis atau penganut mana-mana parti Pakatan Rakyat yang fanatik menyebabkan dia perlu memuji apa juga tindakan kerajaan Pakatan Rakyat sebagai baik dalam keadaan apa pun.
Saya tidak mahu mencungkil lebih banyak. Dari percakapan dengan kawan sepenerbangan ini saya merasakan bahawa kedudukan Pakatan di Perak masih kuat sementara kerajaan Umno yang diambil secara rampasan kuasa itu terus tidak disenangi khasnya oleh orang Cina di Perak. [wm.kl. 10:00 am 21/12/09]
No comments:
Post a Comment