Showing posts with label Ulasan penjenguk. Show all posts
Showing posts with label Ulasan penjenguk. Show all posts

Saturday, March 13, 2010

Balasan Mesra Penjenguk

Terima Kasih Kepada Semua

Assamualaikum,

SELEPAS saya publishkan komentar sdr Zahari1950 banyak komentar susulan yang masuk, pro dan kontra. Ada yang menyokong dan ada juga yang terus mengkritik saya. Untuk berlaku adil saya telah publishkan sebahagian daripada yang masuk yang saya kira masih boleh diterima pakai kerana bahasa tidak kejam sangat. Maaf yang terlebih emosi baik kepada saya atau kepada Zahari1950 saya terpaksa kiv dan simpan.

Di sini kita tidak mahu sesiapa menegakkan benang basah. Cuma kita bercakap berdasarkan fakta yang ada, yang kita dengar sendiri dan kita rumus sendiri. Saya mungkin terhad untuk mendapat maklumat tambahan berhubung dakwaan si pembacuh kopi terhadap Anwar maupun dari pihak Anwar sendiri.

Tetapi saya sudah katakan kalau saya ada maklumat yang relevan dan memuaskan saya akan ulas dan kaji kemudian catat untuk tatapan umum sebagai pembandingan. Saya rasa saya bukan penimbang yang batunya sudah pecah!

Tidak timbul sama sekali saya adalah pendokong kuat Anwar. Sikap saya kepada Anwar istiqamah sejak dulu. Malahan kalau hendak ikutkan sejarah sayalah yang pertama muncul secara fizikal, berdokumen mengkritik dan menentang Anwar, tahun 1990 lagi menerusi sebuah buku yang menjadi sejarah. Ketika itu tidak sesiapa yang berani menentang dan mengkritiknya malahan semua obes beliau akan jadi PM. Jadi tidak timbul kalau saya penyokongnya secara bertaklid buta.

Saya senantiasa melihat kepada realiti dan hubungan saya dengan beliau dan sesiapa saja atas dua prinsip; kemanusiaan dan perjuangan yang menurut apa yang saya rasakan betul. Sebab itu kalau perjuangan termasuk kaedah yang diambil bertentangan dengan naluri dan kepercayaan saya, saya akan tolak dan kritik. Tetapi atas dasar kemanusiaan (insani) saya akan bersimpati dan sedia membela sesiapa saja.

Sebab itu bila cara pendedahan kemungkaran Anwar oleh Dr Mahathir 1998 melampau dan melebihi hak maka sayalah orang pertama yang bangun membela Anwar menentang penganiayaan yang saya anggap cukup tidak berperikamanusiaan oleh Mahathir Mohamad. Namun saya tidak menafikan berdasarkan prinsip 4C apa yang Mahathir lakukan itu halal dan begitu juga serangan balas Anwar juga halal. Sokongan saya kepada Anwar itu bukan konsisten atas dasar perjuangannya. Bila Anwar membawa semangat Malaysia Baru yang membimbangkan saya, saya ada menegurnya. Mereka yang mempunyai mata hati dan pengamatan siasah yang tajam akan menemui teguran tersirat saya.

Kali ini bila Anwar didakwa saya menumpahkan lagi rasa simpati itu. Terus terang saya jelaskan saya tidak mahu menafikan atau mengiyakan apa yang berlaku di sebaliknya. Kita hanya boleh membuat rumusan dengan fakta dan bukti yang didedahkan. Tetapi sebagai orang politik kita kena jauh membaca dan mencari makrifat di sebaliknya. Dan inilah yang saya lakukan.

Sehubungan itu bersama ini saya postkan komen balasan sdr Zahari1950 terhadap komen-komen dan ulasan berhubung catatan beliau sebelum ini. Dengan ini saya rasa kita tutuplah polemik ini. Jangan ada sengketa antara kita. Saya tetap yakin siapa pun kita, di garis mana kita berdiri, di bawah lambang apa kita berteduh dan bersorak tindakan kita adalah untuk kebaikan.

Saya tidak percaya orang yang menerobos blog saya ini berniat jahat sebaliknya mereka juga punya iltizam dan azam seperti saya untuk mensejahterakan Malaysia, Melayu dan Islam. Kepada semua penjenguk yang mengambil bahagian baik komennya dipublishkan atau tidak saya berbangga dan mengucapkan terima kasih. Wassalam.

MSO, Kuala Lumpur. [d'kota kl 9:00 am 13/03/10]


Bacalah balasan Sdr Zahari1950:

Ya saya akui umur saya 60 tahun. Tapi saya bukan beku. Juga saya bukan jenis pak turut membabibuta. Saya bukan hanya membaca utusan malah Harakah, Strait Times, The Star dan juga blok pembangkang. Malah saya juga suka membaca artikel-artikal ulasan politik dari tokoh-tokoh akademik, tokoh-tokon NGO dan tokoh-tokoh agama seperti Harun Din, Hassan DIN dan lain-lain.

Dan kerana itulah saya membuat keputusan bahawa saya patut menyokong UMNO.

Sokongan saya kepada UMNO tidak secara membuta tuli. Senarai saya bagi orang paling tak layak jadi Perdana Menteri Malaysia dari dulu lagi adalah:- A B, Anwar Ibrahim (semasa dalam kerajaan BN) dan yang terbaru KJ. Adakah mereka ini orang PKR atau PAS atau DAP?.

Dan oleh kerana sesuatu yang tidak dapat di elakkan, saya tidak dapat mendedahkan banyak lagi kenyataan benar yang berlaku didepan mata saya. Buat masa ini saya mengambil keputusan meletakkan diri saya sama seperti rakyat Malaysia yang lain. Iaitu mengulas berpandukan dengan perkembangan semasa. Namun saya memang telah buat keputusan bahawa saya tidak dapat meletakkan Anwar Ibrahim sebagai calon atau bakal pemimpin bagi sebuah negara seperti Malaysia ini. Atau sekurang-kurangnya pemimpin yang mendapat sokongan saya.

Kiranya pendapat 3 orang doktor telah mengesahkan bahawa Saiful tidak di liwat, tolong bagi penjelasan, mengapa doktor dan pakar forensik yang lain pula mendapati ada air mani Anwar dalam dubur Saiful. Adakah 3 "doktor Anwar" itu sahaja yang berkelayakan doktor?.

Adakah kalau keputusan doktor lain yang tidak menyebelahi atau menyokong Anwar maka kelayakan doktor tersebut patut di tarik balik?.Saya bersyukur kepada Allah kerana saya masih waras walaupun umur saya 60 tahun. Tetapi adakah yang empunya diri yang mungkin bawah 40 tahun layak menghukum insan lain tidak menggunakan akal sedangkan akal itu di anugerahkan untuk berfikir dan membuat keputusan kepada semua umat manusia malah kepada spesis binantang juga.

Banyaknya kelemahan, kekilafan, laporan individu, penglibatan, tuturkata, gambar, lakunan dan bermacam-macam lagi yang menjurus kepada bukti bahawa ada sesuatu tak kena dengan Awnar Ibrahim. Adakah saya tidak berhak langsung membuat keputusan sendiri.

Adakah saya tidak berhak mendapat satu keputusan tertentu melalui sesi perbicaraan di mahkamah bagi menentukan samada Anwar bersalah atau tidak. Dengan itu dapatlah saya bersihkan fikiran saya yang penuh prajudis dan kotor terhadap Anwar.

Cuma satu perkara saya nak maklumkan kepada yang meletakkan saya hampir kepada tak siuman, akal pendek dan lain-lain bahawa saya amat kenal Anwar Ibrahim semasa dia masih menuntut di UM lagi. Pada masa itu ramai yang menulis mengkritik saya masih belum lahir malah ada ibubapanya belum berkahwin pun.

Masih mengiang-ngiang di telinga saya ucapan Anwar Ibrahim yang berapi-api. Saya tahu siapa Anwar Ibrahim yang sebenarnya maka itu lakunan dan perang saraf Anwar tidak akan dapat mempengaruhi saya. Saudara berhak mengkritik saya dan begitu jugalah disebaliknya. Kalau kita menembak meriam ke arah gunung, hendak tak hendak gemanya akan melantun balik kepada kita.

-ZAHARI1950