Wednesday, June 24, 2009
Releks Malam
ANGAN-ANGAN untuk melihat berlakunya kerjasama antara Umno dengan Pas telah terburai. Pas terpaksa akur kepada tentangan DAP dan PKR dari melakukan ‘mahasabah’ bersama Umno. Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang serta beberapa pemimpin yang mempunyai pandang tembus dalam Pas sendiri berjaya memujuk Abdul Hadi Awang supaya tidak meneruskan agenda kerajaan perpaduan.
Jadi kini, idea mengenai kerajaan perpaduan sudah pun khlas, sudah tamat!
Hari ini Pas kembali menjadi Pas yang asalnya yang bergabung dengan PKR dan DAP. Semangat reformasi yang dicetuskan tahun 1998 masih kekal dan semangat inilah yang akan diheret sehingga pilihan raya umum ke-13 nanti.
Manakala Umno pula kembali menjadi dagang dan yatim sendiri. Umno tidak ada jalan lain melainkan kena mengukuhkan parti itu serta institusi Barisan Nasional. Umno dan Najib tidak boleh berharap kepada Pas lagi untuk menyelamat nyawanya. Najib tidak berjaya untuk mengambil kesempatan atas kesediaan Umno berunding dengannya.
Hormatilah apa yang berlaku. Jangan cuba mempersalahkan sesiapa. Najib jangan salahkan Hadi, dan Hadi jangan salah Anwar, Lim Kita atau Umno. Jangan mencari alasan dangkal dan diketawakan budak untuk menghalalkan tindakan masing-masing.
Tanpa kerjasama Pas – Umno pun politik kita boleh tenang dengan syarat kita bermain dengan penuh kejantanan dan berakhlak. Dr Mahathir juga telah meminta ahli politik berakhlak. Akhlak di sini bermakna kita hormat pihak lain dan jangan cuba bermain jahat.
Dalam keadaan rakyat sudah celik dan terbuka - kejahatan, tindakan samseng seperti itu tidak laku lagi. Sesiapa bertindak secara purbakala ia akan dikecam dan akan dijauhi rakyat. Sekarang ini zaman orang bertindak dan berkerja secara profesional.
Misalnya kalau UBN menghormati tatacara demokrasi, tidak melakukan penyelewengan, perogolkan ke atas undnag-undang, rakyat tidak akan memberontak, rakyat akan hormat. Tetapi kalau itu digunakan rakyat akan bertindak menentangnya.
Kemenangan dalam politik bukan dengan jaminan kejahatan dan kesadisan. Kemenangan yang cemerlang ialah dicapai dengan kerja-kerja penuh keikhlasan, bertanggungjawab dan mengikut etika.
Justeru janganlah marah kepada Pas. Abdul Hadi cuba hendak membawa pendekatan siasah mengikut acuan pemikirannya. Apabila ia tidak dapat diterima kerana sebab-sebab tertentu apa boleh hendak dilakukan.
Politik Pakatan Rakyat mungkin akan merasa lega dan lebih tenang dengan selesainya is ini. Cuma apa yang mungkin menimbulkan kekalutan semula jika tertakdirnya berlaku sesuatu ke atas Anwar Ibrahim selepas ini misalnya beliau dipenjara atau ditahan. Maka Pakatan sekali algi akan mengalami ujian dan cabaran besar. Cabaran itulah yang ditunggu kerana ia merupakan cabaran terakhir sebelum berjaya membentuk kerajaan Persekutuan. [wm.kl. 9:15 pm 23/06/09]
Tuesday, June 23, 2009
Silau Ke Dalam
SEBENARNYA saya malas untuk menulis fasal ini, nanti timbul prangsaka lain pula. Tetapi apabila lebih daripada tiga orang mengadu atau tepatnya lagi memperkatakan menyebabkan saya ingin menyinggungnya di sini dengan harapan ada yang memperbetulkan jika maklumat ini silap.
“Enta cubalah timbulkan sikit hal ini dalam blog enta, bukan apa untuk kebaikan bersama,” begitulah kata salah seorang YDP Kawasan di Kelantan beberapa hari lalu.
Ekoran itu saya bertanya kepada salah seorang ahli jawatankuasa sebuah kawasan mengenai isu ini apabila kebetulan terserampak di Kuala Lumpur kelmarin. Katanya, “elok kalau enta tulislah sikit, biar semua sedar dan kalau ia nampak nak ada penyelewengan akan diperbetulkan bila didedahkan,” begitulah katanya bila ditanya hal ini kepadanya.
Isunya ialah mengenai peruntukan sejumlah wang yang disalurkan oleh Pas Kelantan kepada Jabatan Pilihanraya Negeri (JPN). Tujuan peruntukan ini ialah untuk digunakan bagi apa-apa perbelanjaan kegiatan berhubung dengan hal ehwal pilihan raya, memperkuat jentera pilihan raya, mesyuarat pilihan raya dan sebagainya.
Wang ini dibawah tanggungjawab JPN seratus peratus. JPNlah juga dikatakan akan mengagihkan wang ini kepada jentera peringkat kawasan dan juga menampung perbelanjaan apa-apa kegiatan berhubung dengan pilihan raya misalnya bagi kursus pilihan raya, pemantapan pilihan raya, pemantau dan sebagainya.
Begitu juga sekiranya ada berlaku pilihan raya kecil di mana-mana saja, wang yang disalurkan oleh JPN untuk tujuan perbelanjaan dan menampung tabung pilihan raya yang diusahakan oleh Pas kawasan. Dan wang inilah juga dibelanjakan untuk menghantar pegawainya ke luar negara bagi meninjau proses pilihan raya di sesebuah negara.
Bagaimana pun pengagihan wang ini dikatakan kurang adil dan kurang saksama. Jentera pilihan raya Pas kawasan yang sepatut menerima agihan ini dikatakan tidak mendapat habuah seperti yang sepatutnya. Inilah yang menjadi isu dan menimbulkan rungutan sekurang-kurang dua YDP Kawasan dan dua orang ahli jawatankuasa kawasan dari kawasan berlainan kepada saya.
JPN Pas ini wujud di setiap negeri. Tetapi mungkin JPN di negeri lain tidak mempunyai peruntukan besar memandangkan mereka tidak memegang kerajaan negeri atau baru memegangnya menyebabkan sumber kewangannya terhad. Kelantan yang telah menguasi negeri selama hampir 20 tahun dikatakan mempunyai peruntukan yang banyak.
Apa yang difahamkan Badan Perhubungan Pas Kelantan baru-baru ini telah meluluskan peruntukan untuk JPN bernilai mencecah jutaan ringgit. Jumlah itu bukan sedikit. Persoalanya kemanakah wang ini diagih dan bagaimana ianya disalurkan. Sehingga kini difahamkan pengagihan kepada jentera pilihan raya kawasan tidak sekata.
Ada kawasan yang memperolehi banyak dan ada yang sedikit. Bukan itu saja cara wang itu dibelanjakan juga menimbulkan keraguan. Sehubungan itu ada pihak yang meminta agar wang ini diodit ataupun dipantau. Ia tidak boleh diserahkan bulat-bulat ke dalam akaun JPN dan terserah kepada mereka untuk membelanjakan wang berkenaan.
Adalah elok kalau Pesuruhjaya Pas Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta odit membuat pengoditan ke atas penggunaan wang berkenaan. Ataupun meminta supaya penyata kewangan dibentangkan dalam perhubungan untuk maklumat ahli perhubungan.
Mungkin kalau ada penyata kewangan atau butiran mengenai perbelanjaannya ia tidak akan menimbulan pertikaian yang mungkin boleh membawa persepsi yang lebih buruk lagi. Sebelum hal ini terdedah secara meluas elok kalau JPN Kelantan mengambil inisiatif memperbetul dan menjelaskan hal ini. [wm.kl. 10:30 pm 23/06/09]
Monday, June 22, 2009
Analisa Isu
ALHAMDULILAH, hari ini cuaca benar-benar cerah. Hendaknya kecerahan hari ini akan berkekalan sehinggalah menjelang pilihan raya umum ke-13. Kecerahan ini juga akan membawa berkat dan kemenangan besar kepada Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil Manik Urai kelak.
Segala-galanya tamat dan selesai hari ini. Isu unity government yang menjadi ibu segala masalah dikira berkubur hari ini. Semuanya sepakat telah mengapan dan mentalkinkan idea berkenaan!
Dalam penyelesaian dicapai hari ini tidak ada siapa yang menang dan tidak ada siapa yang kalah. Kalau ada air mata yang menitis ialah air mata kegembiraan. Natijah hari ini adalah hasil daripada doa dan harapan seluruh penyokong Pakatan Rakyat yang mengharap dan menantikan perubahan.Nampaknya pemimpin Pakatan Rakyat, baik dalam Pas, PKR dan DAP sepakat dalam membaca kehendak para penyokong bawahan dan rakyat jelata. Mereka tidak berego dan berkeras dengan pandangan peribadi namun tetap mengambil kira pandangan dan arus dari bawah.
Di bangunan parlimen kira-kira jam 2:20 petang, satu kenyataan bersama dikeluarkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat yang menolak cadangan unity government. Satu kenyataan yang ditandatangani oleh tiga pemimpin tertinggi Pakatan dikeluarkan, Anwar Ibrahim, Abdul Hadi dan Limt Kit Siang. Dengan terzahirnya kenyataan demikian dengan ini, isu unity government yang menghantui umum sehari dua ini khlas!
Kenyataan yang mengandungi tiga perenggan itu berbunyi;
1. Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitment untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang akan datang.
2. Majlis pimpinan Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno atau Barisan Nasional yang merupakan satu fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak untuk mengugat kekuatan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat dokongan rakyat.
3. Pada masa yang sama Pakatan Rakyat mengambil sikap terbuka dan bersedia untuk bertemu dengan pimpinan BN bagi membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat seperti usaha pemulihan ekonomi, meningkatkan kualiti pendidikan, mengembalikan intergriti institusi kehakiman, memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri, skandal RM12.5 billioh projek PKFZ, salah gunakuasa kepimpinan polis sementara kes jenayah semakin meningkat, membanteras rasuah dan menjana urustadbir yang baik, menjalankan pilihan raya bebas dan adil, membubarkan DUN Perak serta menjalankan pilihan raya dengan segera bagi menyelesaikan krisis rampasan kuasa negeri Perak.
Kenyataan itu dibuat dengan kesemua pemimpin tertinggi Pakatan hadir. Dari PKR yang turut hadir ialah Presiden, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden, Syed Husin Ali, Naib Presiden Mohd Azmin Ali, Pengarah Strategi PKR, Saifuddin Nasution Ismail, daripada Pas pula, dua Naib Presiden, Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar, Setiausaha Agung, Musatafa Ali serta bekas MB Perak Mohamad Nizar Jamaluddin turut sama hadir.
Manakala dari DAP, Setiausaha Agung Lim Guan Eng, Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Sementara itu kira-kira jam 6:00 petang pula Pas telah menyelesaikan kemelut di dalam partinya mengenai salah faham mengenai unity government khususnya antara Mursyidul Am Pas, Tok Guru Nik Abdul Aziz dengan Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa.
Satu kenyataan dikeluarkan oleh Nik Aziz yang menjelaskan bahawa isu unity government telah tidak berbangkit lagi. Isu berkenaan dikira tutup buku. Sehubungan itu beliau juga telah menarik balik bidasan pedih yang dilemparkan kepada Timbalan Presiden Pas, Nasharudin sebelum ini. Penarikan balik itu menunjukkan Tok Guru itu bersedia mengaku salah atas apa-apa tindakan beliau yang dianggap kurang manis dan terlajak sebelum ini.
Dalam kenyataan empat perenggan yang dibacanya sendiri berbunyi;
"Setelah berbincang dari awal hingga akhir dalam perjumpaan khas yang diadakan di pejabat agung (PAS) dalam semangat kekeluargaan bagi menangani permasalahan dalam beberapa isu politik semasa, yang dibesar-besarkan oleh media perdana, kami akhirnya bersetuju sebulat suara melupakan perihal salah tanggapan antara pimpinan atasan parti akibat daripada permainan politik parti Umno.
"Kami bersama-sama dalam satu saf yang padu, untuk terus bersama-sama memperjuangkan keazaman PAS bagi mendaulat Islam di persada tanahair.
"Kami juga bersetuju sebulat suara bahawa kerajaan perpaduan diberhentikan serta merta seperti yang telah diputuskan oleh Presiden PAS bersama Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan bersama di bangunan Parlimen jam 2.30 tadi yang menolak sepenuhnya idea kerajaan perpaduan.
"Oleh yang demikian, selaras dengan itu, saya selaku Mursyidul Am PAS menarik balik segala kenyataan saya terhadap YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS dan dengan itu, ianya tidak berbangkit lagi."
Apa yang manis dan membanggakan di sini ialah apabila beliau bersedia meralat semula kenyataan beliau berhubung dengan Nasharudin. Sudah pasti kenyataan dan keesediaan Tok Guru menarik balik kenyataannya itu dialu-alukan oleh semua orang. Sikap terbuka dan gentlemen Tok Guru itu menambahkan lagi intergriti beliau sebagai Mursyidul Am Pas dan selaku penasihat kepada jemaah Islam. Di sinilah ketinggi moral Tok Guru Nik Aziz yang jarang dapat dilakukan pemimpin lain.
Dalam pada itu Nik Aziz juga telah memperbetulkan semula satu lagi kesilapan yang dianggap melampau oleh golongan tertentu di Kelantan yang melarang mana-mana pemimpin Pas yang menyokong idea unity government daripada menghadiri diri pada pilihan raya kecil Manik Urai.Permintaan Nik Aziz supaya semua pemimpin Pas ramai-ramai ke Manik Urai itu menjelaskan larangan yang dikenakan ke atas pemimpin tertentu itu tidak sah dan ianya dibuat tanpa pengetahuan Nik Aziz selaku Pesuruhjaya dan ianya pandai-pandai pemimpin tertentu saja. Mereka yang bertanggungjawab membuat 'arahan' itu seharus memohon maaf kepada Tok Guru dan juga pemimpin yang dimaksudkan agar tidak hadir di Manik Urai.
Mudah-mudahan dengan dua peristiwa hari ini ia mengembalikan semula kekuatan dan keyakinan rakyat kepada Pakatan Rakyat. Selepas ini hendaknya semua pemimpin tidak lagi bercakap mengenainya dan tidak lagi akan melayan mana-mana pihak yang cuba membangkitkannya walau dalam keadaan apa sekalipun. [wm.kl. 11:00 pm 22/06/09]
Padamkan Mata

Siapakah yang bersalah dalam hal ini? Apakah bila mereka melakukan 'ko-korikulum' dalam berkeadaan berpakaian seragam sekolah maka pihak sekolah perlu dipersalahkan?
Yang pastinya kegiatan pelajar seperti ini tidak boleh dibiarkan. Ia akan memporak peranda negara di masa depan. Mereka adalah generasi penerus.
Sunday, June 21, 2009
Isu Unity Government
Semoga Sinar Cerah Esok Kekal Keakhirnya
ESOK akan berlaku dua mesyuarat penting. Keduanya akan memberi tumpuan kepada isu yang berjaya diombakkan oleh UBN, iaitu idea unity gorvenment. Pada sebelah siang akan berlangsung mesyuarat pimpinan tertinggi parti-parti gabungan Pakatan Rakyat.
Sudah pasti mesyuarat ini akan membincangkan isu berkenaan. Abdul Hadi Awang yang ditunding sebagai bersalah dan pembawa masalah dalam Pakatan kini bersama Nasharudin Mat Isa akan menjelaskan mengenai isu berkenaan. DAP nampaknya beriya-iya untuk mengetahui apakah bendanya idea unity government itu.
Walaupun kita percaya DAP sudah mengetahui mengenai maksud idea berkenaan tetapi parti itu seakan enggan menerima dan seolah-olah buta daripada mengetahuinya kerana ianya tidak diberi tahu secara rasmi. Lim Guan Eng mendakwa Pas tidak pernah memaklumkan kepadanya, walaupun Lit Kit Siang memberi gambaran dia sudah faham maksud idea berkenaan.
Hendaknya Abdul Hadi akan menjelaskan secara berterus terang dan konprehensif atas semangat Pakatan Rakyat. Penyokong dan ahli dibawah ingin mengetahui sejujurnya. Abdul Hadi juga perlu tegas mengenai idea ini kerana itu adalah haknya. Sesiapa pun boleh melontarkan idea untuk dibincangkan sebagai strategi parti, tidak menjadi masalah.
Sebaliknya dalam konteks hari ini setelah isu itu menjadi kontroversi apakah ianya relevan diteruskan atau pun sebaliknya? Penjelasan yang tuntutan mengenai hal ini diperlukan agar ianya tidak ditafsirkan dengan berbagai maksud dan pengertian negatif apa lagi dicuri kesempatan oleh pihak lawan Pas dan Pakatan Rakyat.
Kalau Abdul Hadi tegas mahu meneruskan seperti mana yang dikatakan, - untuk mengadakan rundingan politik dengan sesiapa saja demi negara bangsa itu adalah haknya. Sebagai presiden, Abdul Hadi tidak perlu tunduk kepada sesiapa. Itu adalah bidang kuasanya yang mutlak. Kalau Anwar Ibahim boleh membawa idea 16 September sebelum ini kenapa tidak dengan beliau mengemukakan apa-apa gagasan alternatif dari umbi pemikirannya? Apakah standard Abdul Hadi dengan Anwar sebagai Penasihat PKR berbeza?
Pemain politik baru kena baca sejarah dan ingat DAP juga pernah membuat tindakan politik meninggalkan Pas pada satu masa dulu apabila parti itu menghitung Pas tidak memberi kebaikan kepadanya. Tindakan itu tidak berdosa kerana dalam mencari kemenangan politik, bukan kemenangan mencapai keredhaan Alllah parti politik boleh lakukan apa saja menuruti lunas-lunas demokrsi sekular.
Jadi hak Abdul Hadi sebagai presiden yang halal, mempunyai kuasa sama banyak dengan kuasa yang ada kepada Anwar atau Lim Kit Siang untuk berbuat demikian. Soal idea Abdul Hadi itu ditentang oleh orang lain itu tidak berbangkit. Abdul Hadi kena selesaikan dulu masalah itu dalam partinya sebelum melaksanakanya. Kalau partinya majoriti tidak menyokong beliau boleh memansuhkan idea berkenaan. Idea berkenaan tidak boleh ditolak oleh kuasa individu, begitu juga tidak boleh dilaksanakan dengan kuasa individu melainkan mendapat kesepakatan dalam muktamar.
Sekiranya Abdul Hadi dan Pakatan Rakyat sekata untuk membuat penyelesaian, ia hendaklah dibuat secara bersama dan biarlah kali ini konkrit. Di akhir mesyuarat itu nanti boleh buat kenyataan bersama yang tegas mengenai sikap dan pendirian Pakatan Rakyat mengenai idea berkenaan. Jangan buat kenyataan berpisah-pisah.
Selepas itu jangan ada lagi ulasan mengenainya. Jangan disebut-sebut lagi. Kalaupun UBN hendaka bercakap nak puji atau keji, jangan layan. Sudah pasti dalam hal ini UBN akan cuba menimbulkan kekeruhan sesama Pakatan. Dengan cara begitu saja isu unity goverment ini dapat diselesaikan. Tetapi kalau masing-masing asyik bercakap dan mengatakan antara satu sama lain tidak mustahil isu berkenaan akan membawa masalah besar kepada Pakatan Rakyat.
Di sebelah malamnya pula akan berlangsung mesyuarat jawatankuasa kerja Pas Pusat. Mesyuarat ini juga penting dan ditunggu-tunggu ramai. Isunya juga mengenai unity government. Yang pasti apa menjadi fokus ialah tentang kenyataan dan aksi Mussyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat di Kota Bharu beberapa hari lalu yang mahukan Nasharudin Mat Isa meletakakan jawatan timbalan presiden, letak jawatan ahli parlimen Bachok dan keluar dari Pas sekiranya ingin meneruskan hasrat unity government. Kenyataan itu dilihat keras dan menambahkan lagi kekusutan dalam Pas.
Syarat dan kata-kata Nik Aziz itu dilihat melampau dan tidak diplomasi yang tidak sepatutnya diucapkan oleh lidah seorang Mursyidul Am. Mesyuarat akan mendapat pejelasan daripada kedua pihak Nik Aziz dan Nasharudin kenapa insiden yang memalu dan menyesalkan itu boleh berlaku.
Apa yang diharapkan penjelasan mengenai isu akan dapat diselesai dengan baik secara Islam dan anak beranak. Kedua pihak diharap dapat meralatkan kesalahan masing-masing dan tidak berkeras atas ego dan kuasa yang ada. Kita percaya ianya dapat diselesaikan kerana keduanya sudah mukayyi!
Seperti mana juga mengenai isu unity goverment tadi jangan pula selepas perkara itu diselesaikan pada mesyuarat itu, ada pula kenyataan dan soksek dibelakang. Mereka yang cuba menangguk di air keruh dengan isu ini juga perlulah sedar tindakan mereka haram dan tidak menguntngkan sesiapa juga. Nik Aziz diharapnya konsensus yang dibuat dalam mesyuarat itu nanti jangan pula berubah bila sampai di Kota Darulnaiam!
Sama seperti natijah diambil selepas mesyuarat Pakatan tadi satu kenyataan bersama melibatkan Mursyidul Am, Timbalan Mursyidul Am, Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung bersama Naib-Naib Presiden hendaklah dibuat. Biarlah kenyataan itu bersifat bai’ah (mubahalah) di mana sesiapa yang melanggarnya nanti akan menerima musibah seperti dipanah petir sekitar konsensus yang diambil itu dimungkiri. [d’ kota kl 6:00 pm 21/06/09]
Saturday, June 20, 2009
Gembira Pagi
ALHAMDULILAH ... setitik cahaya kini sudah mula tersembur di hujung terowong bagi menyelesaikan insiden yang berlaku di Kota Bharu sehari dua lalu. Semalam katanya Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Mat telah berjumpa dengan timbalanya Datuk Dr Haron Din di Kuala Lumpur.
Pertemuan itu berlangsung di rumah Kelanan. Dalam pertemuan atas permintaan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat itu katanya berlangsung dalam suasana mahabbah di antara keduanya. Pertemuan itu tidak disertai oleh sesiapa melainkan mereka berdua sahaja.
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menjelaskan apa yang berlaku di Kota Bharu beberapa hari lalu yang telah memimbulkan kekalutan politik dan kekeliruan di kalangan ahli dan pen yokong Pas bersabit kenyataan kerasnya terhadap Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa.
Kejadian itu mengejutkan banyak pihak dan ianya tidak wajar berlaku apa lagi membabitkan dua pemimpin Pas seorang bertaraf mursyidul dan seorang lagi timbalan presiden.
Difahamkan dalam pertemuan itu, Tuan Haji Nik Abdul Aziz menjelaskan apa yang berlaku sebenarnya dalam konotasi yang sepatutnya difahami oleh ahli dan penyokong Pas. Beliau juga mengakui kenyataan kepada media itu dilakukan dalam keadaan tidak dapat dikawal dan berbaur sedikit rasa marah.
Sementara itu sehari sebelum ini Mursyidul Am Pas itu juga turut sama dikunjungi oleh Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta ahli jawatankuasa Dewan Ulama, Nik Zawawi Salleh di kediamannya di Pualau Melaka.
Dalam kunjungan atas kapasiti kedua mereka sebagai anggota keluarga itu, Tuan Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat turut menjelaskan apa yang berlaku. Khabarnya Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz memberi jaminan apa yang berlaku itu akan dapat diselesai dengan baik.
Pernyataan yang sama juga katanya dituturkan kepada Datuk Dr Haron Din.
Mudah-mudahan sahaja apa yang berlaku di Kota Bharu itu boleh diatasi dan keadaan akan kembali tenang semula. Adalah diharap apabila berlaku pertemuan ukhwah antara Mursyidul Am itu dengan beberapa pemimpin tertinggi dipilihnya akan menamatkan polemik mengenai indisden berkenaan. [wm.kl. 11:00 am 20/06/09]
Friday, June 19, 2009
Susupan Petang
SAYA tercari-cari apakah keperluannya dan tujuan 10 orang ahli parlimen Pas membuat kenyataan bersama menyatakan pendirian mereka menolak idea kerajaan perpaduan di parlimen semalam. Apakah tujuannya?
Bicara Jumaat
Tutup Pintu Kepada Pemimpin Luar Tidak Bijaksana
PERTIKAIAN yang tidak ada kesudahan mengenai idea unity government tampaknya turut terheret sama ke dalam pilihan raya kecil Manik Urai. Keadaan ini menunjukkan perkara itu tidak dikecualikan menjadi isu pada pilihan raya berkenaan. Isu ini bukan dibawa oleh UBN tetapi Pas sendiri telah awal-awal lagi menariknya masuk ke Manik Urai. Pas seperti telah memberi modal kering tidak berbanyak kepada UBN dalam hal ini.
Apabila Timbalan Pengarah Pilihan raya Pas Kelantan, Nasir Daud, menjelaskan poster Pas pada pilihan raya itu tanpa gambar Abdul Hadi menggambarkan bahawa Pas Kelantan telah mengheret isu kerajaan perpaduan ke dalam pilihan raya itu.
Alasan yang diberikan Nasir, kenapa gambar Abdul Hadi tidak diperlukan kerana ianya strategi parti yang bertujuan mahu ‘melokalisasi’kan pilihan raya berkenaan. Maknanya Pas tidak mahu pilihan raya itu dilihat sebagai pilihan raya nasional yang mana tidak perlu membabitkan pemimpin di luar Kelantan. Iya hendak dikerjakan secara anak beranak di Kelantan saja.
Apa yang dapat difahamkan dengan tindakan itu ialah untuk tidak memberi ruang kepada Umno menimbulkan isu nasional dalam pilihan raya berkenaan. Kalau isu nasional ditimbulkan ia akan memerangkap Pas dalam isu yang berkecamukkan sekarang ini itu sehingga menyebabkan sesetengah pemimpin Pas kemabukan gadong.
Bagaimana pun bagi saya tindakan Nasir Daud yang saya percaya atas persetujuan beberapa orang Pas Kelantan itu kurang bijak dan wajar difikirkan sama ada beliau terus memegang jawatan itu ataupun tidak. Apa yang dinamakan strategi itu kurang tepat dan bakal memberi modal kepada pihak lawan. Yang jelasnya tindakan itu akan ditafsirkan oleh orang luar sebagai Kelantan mempunyai sentimen kenegerian (assobiyah) yang tinggi. Ini tidak sepatutnya berlaku dalam era sekarang ini dan bertentangan dengan semangat Pas diperingkat nasional yang sudah sedia menerima semua etnik tanpa mengira agama dalam parti itu. Bahkan apa yang dipraktikan Nasir itu sebagai kontras dengan naluri dan nafsu Pas masa kini.
Sudah pasti tanpa gambar Abdul Hadi itu ia memberi isu percuma kepada UBN. UBN akan mengeksplotasikan nanti sebagai Pas benar-benar bergomol sesama sendiri. Bahawa Nik Aziz dengan Abdul Hadi sudah tidak ngam sampai gambar pun tidak boleh duduk sekali. Gambaran ini satu keadaan yang cukup memilukan.
Mungkin bagi Abdul Hadi tidak mengapa kalau gambarnya tidak dicetak pada poster pilihan raya berkenaan. Baginya yang penting natijah kepada keputusan pilihan raya itu berpihak kepada Pas. Saya yakin Abdul Hadi tidak akan menangis kalau gambarnya tidak ada. Dan beliau rela merendah diri demi Pas. Malahan kalau beliau tidak merasakan perlu datang juga menyenangkanya kerana beliau tidak payah bertungkus lumus pada pilihan raya itu.
Tetapi apakah Pas Kelantan melupai bahawa beliau adalah presiden Pas yang perlu bertanggungjawab kepada partinya. Tidak sewajarnya dalam hal ini Pas Kelantan mengadakan keputusan, atau pun mengatur strategi terpisah dengan Pas pusat apa lagi melibatkan presiden parti. Selain daripada itu sejauh manakah pengundi di Manik Urai akan turut terhidar dengan isu di luar lokalitinya?
Selain gambar Abdul Hadi tidak akan dicetak dalam poster Pas, terdengar juga cakap-cakap beberapa pemimpin tertentu tidak dibenarkan berkempen pada pilhan raya berkenaan. Larangan ini dikhususkan bukan kepada pemimpin bukan beragama Islam, tetapi terhadap pemimpin yang menerima idea kerajaan perpaduan ummah! Sekali lagi saya merasakan arahan ini kurang bijak dan anih dan Pas telah memberi modal kering tanpa berbayar kepada UBN.
Sudah pasti tanpa kehadiran sebahagian pemimpin itu nanti ianya akan dieksploitasikan oleh UBN bagi mengesahkan Pas sudah berpecah dua. Isu ini mungkin dapat difahami oleh para fanatik Pas di Manik Urai dan mereka tidak kisah dengan hal itu. Tetapi bagaimana dengan pengundi atas pagar dan mereka yang dapat menilai keadaan semasa dan membaca kilau dalam kilat yang menyambar Pas kini?
Ini cukup bahaya dan memberi kesan tidak baik. Pengundi yang tahu berfikir dan menilai tidak akan bersedia memberi undi kepada parti yang bermasalah kerana akhirnya merugikan mereka sendiri.
Sekali lagi bagi saya tindakan dan strategi ini kurang bijak dan mundur ke belakang. Walaupun Pas Kelantan boleh menghadapi sendiri pilihan raya itu dengan kemampuan dari segi memiliki penceramah hebat, tukang kempen dan duit yang banyak, tetapi dari segi semangat dan kerjasama (ukhwah) ia tidak menampakkan Pas dalam keadaan seutuhnya.
Cara dan tindakan itu lebih mempamirkan Pas sebagai berpecah. Apakah tektik dan ilham untuk berbuat demikian kerana ada pihak tertentu dalam Pas mahu Pas kalah dalam pilhan raya itu sebagai satu mesej dan ingin mengajar pihak tertentu?
Harus diingat mereka yang dilarang berkempen atau memasuki ke kawasan itu akan berkecil hati dan merasakan mereka tidak diperlukan. Pas Kelantan atau orang tertentu kena ingat mereka juga ada mempunyai kekuatan dan pengaruh tersendiri. Kalau pun tidak banyak, namun seorang dua mereka tetap ada penyokong peribadi yang mengikut katanya.
Dalam pilihan raya semua pihak diperlukan, baik yang buta, tepak, tuli atau bisu. Tidak kira siapa yang ingin memberi sumbangan dialu-alukan. Dalam konteks ini Pas Kelantan jangan merasa begitu ego dan angkuh dengan apa yang ada. Mereka juga kena ingat, mungkin orang-orang tertentu tidak diperlukan pada masa ini, tetapi masa depan mungkin tenaga mereka diperlukan. Ingatlah perjalanan politik dan perjuangan ini masih jauh dan menghadapi seribu kemungkinan yang sukar ditebak.
Sebaik-baiknya kalau Pas tidak sukakan kepada Abdul Hadi atau sesiapa saja pemimpin dari negeri lain daripada mendatangi Manik Urai, jangan disebut-sebutkan perkara itu. Simpan dalam hati dan mintalah atau buatlah larangan itu secara senyap dan bukannya secara terbuka yang boleh menyebabkan mereka terkilan dan berasa hati.
Saya sangat berharap soal larangan dan poster ini diselesaikan dengan baik dan ia bukan keputusan Pas Kelantan secara mutlak melainkan pandangan peribadi Timbalan Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan yang dibuat atas perasaan dan tujuan tertentu di mana hanya dia saja yang tahu. [wm.kl 9:50 am 19/06/09]
Thursday, June 18, 2009
El Nino di Kelantan
FENOMENA el nino benar-benar sudah melanda Kelantan kini. Bermula semalam suhu Kelantan melebihi 100 darjah celcius menyebabkan semua orang hampir-hampir pengsan. Rumput dan rami kering sudah terbakar! Mereka yang tidak tahan cuaca panas melampau menyebabkan mudah ditimpa penyakit sakit kepala dan sakit jantung.Hingga ke saat ini ada yang kepalanya berdenyut-denyut memikirkan hawa politik anih Kelantan.
Orang tidak percaya negeri yang disanjungi dengan Serambi Makkah negeri Tadahan Wahyu dipimpin oleh orang bertaraf ulama boleh jadi sepanas itu. Orang juga tidak percaya kerajaan yang menggunakan slogan Membangun Bersama Islam politiknya boleh jadi kacau macam negeri-negeri Yahudi dan Israel. Tetapi itulah yang berlaku. Dan apa yang berlaku menyebabkan orang konfius dengan Kelantan pada masa ini.
Apakah doa-doa mujarab dan mustajab Tok Guru itu sudah tidak bisa menyamankan bumi Kelantan lagi?
Macam-macam yang berlaku di Kelantan kini yang tidak terfikir sebelum ini. Keadaan Kelantan yang dikatakan aman makmur selama kira-kira 19 tahun lalu kini sudah berombak dan berkucar lana, berselerakan. Apakah Kelantan kini dalam proses gelombang politik untuk menyalin pemerintahan daripada Pas kepada UBN semula? Bahawa kerajaan Kelantan sedang membuang tabiat untuk berakhir?
Banyak kerenah dan juga tingkah laku Nik Aziz yang bersalahan dengan adat dan bertentangan dengan keperibadian sebagai ulama terjadi. Nik Aziz dilihat seperti sudah menghadapi satu sindrom ataupun rasukan kuasa ghaib! Jika beliau tidak dirasuk dan masih waras seperti dulu mungkin kata-kata kesat memalukan tidak dihemburkan kepada timbalan presiden Pas, Nasharudin Mat Isa kelamrin.
Mungkin juga beliau tidak sedar ketika mengeluarkan kata-kata itu, atau pun hanya membaca skrip yang ditulis dan disediakan oleh pihak-pihak tertentu sejak pada waktu malamnya lagi? Jika diukur kepada keperibadian dan keluhuran sifatnya seperti dikenali selama ini, beliau tidak akan tegal mengeluarkan kata-kata begitu. Nik Aziz seorang berhemah, berlemah lembut dan senang untuk diajak bicara di mana-mana saja. Dia juga seorang pendengar dan penanya yang baik. Dia juga seorang yang selalunya bertindak dengan penuh keadilan dan kebenaran. Itu Nik Aziz yang dikenali dulu.
Tetapi bila beliau bersikap begitu kelmarin ia benar-benar menghairankan. Pasti ada sesuatu yang tidak kena sudah berlaku dan dilakukan ke atasnya. Mungkin beliau sudah terminum racun atau pun tersalah memakan ubat.
Sikapnya ketara berubah sejak akhir-akhir ini. Paling ketara ia jadi tidak ‘normal’ setelah selesai muktamar Pas ke 55 baru-baru ini. Apakah ini ada kena mengena dengan kekalahan calon pilihannya dari Kelantan. Masakan beliau jadi begitu emosi sekali kalaupun calon beliau kalah. Adat perlawanan begitulah ada kalah dan menang.
Apa yang orang tidak faham, kalaulah beliau begitu percaya dan syok dengan calon dan dikatakan sebagai bakal penggantinya itu kenapa beliau tidak serahkan jawatan Menteri Besar dan Pesuruhjaya Pas kepada orang itu. Bukankah orang itu selama ini sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan jawatan itu? Kenapa harus ditunggu lagi. Nik Aziz sepautnya menyerahkan jawatan itu ketika ini dan bukannya menanti disaat-saat akhir.
Sementara beliau masih dihormati dan diberi kepercayaan inilah kalau beliau hendak serahkan jawatan itu. Tidak ada sesiapa akan membantahya kalau beliau menyerahkan kerusi itu. Walaupun orang itu tidak disokong, namun kalau beliau sudah menyerahkan ‘jabil’ kepada orang itu, orang lain akan ikut. Serahkan..lah. .. apa nak tunggu lagi.
Perkembangan terbaru di Kelantan sudah sampai ke peringkat kronik. Secara sedar sudah ada dua kumpulan Pas di Kelantan. Satu yang menyokong orang yang memperalatkan tok guru itu untuk kepentingannya dan satu lagi yang menentang orang berkenaan. Nik Aziz sepatutnya menyedari hakikat ini dan beliau tidak sepatutnya membiarkan keadaan ini berterusan. Ia sangat bahaya kepada Pas.
Nampaknya kumpulan yang memperalatkan Nik Aziz sudah mencapai beberapa hajat mereka. Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan yang dipegang Takiyuddin Hassan kini katanya sudah bertukar tangan kepada orang lain yang menyokong puak yang memperalatkan Nik Aziz hari ini.
Katanya kedudukan dua orang timbalah pesuruhjaya juga, Mohd Amar Abdullah dan Ahmad Yaacob hendak disingkir dan digantikan dengan kumpulan yang menyokong orang yang peralatkan Nik Aziz itu. Usaha sedang dijalankan. Elok juga kalau Ahmad Yaacob dan Mohd Amar melepaskan secara sukarela jawatan itu dan serahkan kepada kumpulan berkenaan. Tidak ada gunanya mereka berada di situ kalau kedudukan mereka dipertikaikan. Kita percaya Mohd Amar dan Ahmad Yaacob tidak pelahap jawatan itu.
Moleknya sejajar dengan terbentuknya susunan baru badan perhubungan Pas Kelantan Nik Aziz juga melepaskan jawatan MB dan Pesuruhjaya Pas Kelantan. Nik Aziz tidak payah nanti ada signal baru perlu meninggalkan jawatan itu. Beliau harus markrifat dengan suasana politik ini dan bertindaklah sebelum beliau juga suatu hari nanti akan dihalau seperti mana berlaku ke atas Nasharudin Mat Isa itu. [wm.kl. 6:55 pm 18/06/09]Wednesday, June 17, 2009
Panas Pedih Pas
SAYA rasa bukan saja saya, orang lain juga terkejut dan 'terkanyak' dengan apa yang berlaku di Kota Bharu Kelantan pagi ini mengenai kenyataan atau luahan perasaan berapi Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa.
Saya berharap media massa salah lapor mengenai maksud dan kata-kata sebenar Tok Guruku Nik Aziz itu. Menurut laporan portal berita, beliau berkata sebagai Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa perlu letak jawatan sebagai timbalan presiden Pas dan ahli parlimen Bachok sekiranya Nasharudin masih berhasrat meneruskan rundingan dengan Umno."Kalau benar Nasharuddin nak setuju (dengan kerajaan perpaduan) lebih baik dia masuk Umno, letak jawatan timbalan (presiden PAS) dan di Bachok. Apa buat sampah, menyusahkan," begitulah kata-kata Nik Aziz dipetik.
Saya harap ia salah lapor, iya... saya harap sangat-sangat ianya salah lapor dan satu provokasi saja.
Kalaulah benar begitu maksud Nik Aziz, saya kira ia satu kenyataan yang kurang manis dan sungguh malang sekali yang tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang tua bertaraf separuh wali berjawatan Mursyidul Am Pas. Kenyataan begitu sangat beremosi. Cara itu ialah tidak bijaksana dan berhemah sama sekali dan 'berkadas' dengan usianya.
Mengenang aksi Tok Guruku itu lakunya tidak ubah seperti tindakan seorang bapak menghalau anaknya keluar rumah kerana anaknya dikatakan nak bernikah dengan gadis yang tidak disukainya. Tindakan itu selalunya dilakukan oleh orang-orang zaman dulu yang kurang ilmu diplomasi dan rendah pula ilmu siasahnya.
Kenyataan itu tentulah melukai hati dan mengaibkan Nasharudin Mat Isa. Kenapa sampai ke begitu sekali Nik Aziz melepaskan kata-katanya? Besar mana kesalahan Nasharudin dan sebesar mana kuasa Nasharudin sebagai timbalan presiden Pas berbanding dengan kuasa dia sebagai Mursyidul Am? Nik Aziz nampak langsung tidak menghormati kepada perwakilan Pas yang memberi mandat kepada Nasharudin dalam muktamar lalu.
Media juga melaporkan Tok Guruku itu sebagai berkata, Pas Kelantan kesal kerana beri peluang kepada Nasharudin bertanding di Bachok dan menganggap Nasharudin sebagai sampah yang menyusahkan. Kenapa begitu sekali? Apakah tidak ada tindakan lain yang lebih lunak yang boleh dilakukan Nik Aziz selain meluahkan kata-kata itu?
Sekali lagi cara Nik Aziz itu tidak ubah seperti sikap seorang ayah yang terlalu marah kepada si anak sehingga mengungkit-ungkitkan sesuatu yang diberikan kepada anaknya. Apakah sikap begitu betul dan bijaksana dilakukan oleh seorang ayah? Di manakah kecerdikan dan pengalaman seorang bapa kalau menghembuskan kemarahan di tempat terbuka begitu?
Saya yakin sekiranya Tok Guruku memanggil Nasharudin dan bercerita secara baik meminta dia kosongkan kerusi Bachok, Nasharudin akan lakukan tanpa bersyarat. Demi penghormatannya kepada Mursyidul Am Pas dia akan berhenti. Tetapi apakah begitu caranya. Kenapa bila Ibrahim Ali 'poting' punggung Nik Aziz tidak sepatah haram pun mengecam Ibrahim Ali? Aneh!
Begitu juga kalau Nik Aziz panggil Nasharudin dan minta supaya dia serahkan jawatan timbalan presiden Pas kepada orang baju petak-petak merah, Nasharudin akan akur. Siapalah Nasharudin hendak menderhaka kepada Tok Guru. Tetapi kenapa Nik Aziz tidak berbuat begitu? Kenapa menyimpan marah dalam sekam? Walaupun beliau mengatakan kemarahan itu tidak ada kena mengena dengan kekalahan anak ayam didiknya itu, tetapi seluruh orang tahu. Itik ayam pun tahu apa yang berlaku.
Mungkin ada sebahagian orang di Kota Bharu suka dan gembira dengan hemburan guruh Nik Aziz itu. Mungkin ada yang memuji, "bagus Tok Guru..." atau berkata, "jangan main dengan tok guru kawe, dia tidak kira sapa, bila dia marah, bukit gunung pun dia akan sepak". Nasihat dan pujian itu rasanya tidak betul. Tok Guru perlu disejukkan bukan ditambah hangatkan dengan kata-kata berunsur hasutan begitu.
Saya malas ulas panjang dan mahu melihat perkembangan seterusnya apa yang berlaku. Saya juga malas nak kemukakan apa-apa penawar di sini. Biarlah semua orang mabuk gadong, kerana ada orang nak menonton bagaimana kalau orang-orang Pas mabuk gadong, jalannya terhunyung-hayang dan langkahnya akan 'peka'.
Yang jelasnya Umno bertepuk tangan melihat situasi dalam Pas kini. Umno tidak payah kerja keras lagi, musuh sudah berlaga sama sendiri. Api sudah makin marak, kibas saja. Mungkin kali ini rezeki Umno pula untuk menyapu Kelantan pada pilihan raya umum ke 13!
Dalam posting sebelum ini saya sudah berikan ingatan, jangan sampai Pas ada dua mazhab- "Mahzab Haji Hadi" dan "Mazhab Nik Aziz". Nampaknya apa yang saya bimbangkan itu sudah nak menjadi. Benih sudah mulai nak tumbuh.
Duhai ahli dan penyokong Pas, ramai-ramailah solat hajat minta selamatkan Pas. Berdoa dan bermunajatlah. Sebab kalau tidak kena gaya Pas mungkin akan berpecah dua. Mungkin satu lagi parti baru serpihan dari Pas akan wujud!
Iya.. saya sudah membayangi ini sejak beberapa bulan lalu. Berdoalah selagi masih ada waktu. Kita diminta berdoa.
Kepada Nasharudin Mat Isa banyak-banyaklah bersabar dan berdoa. Jangan terasa hati dengan apa yang Tok Guru kata. Anggaplah ianya nasihat berguna. Jangan sesekali melawan. Betapa kalau Nasharudin betul pun dan cuba jelaslah namun ia tidak akan dilihat baik lagi. Semua kebaikan dan kebagusan kepada Mursyidul Am sahaja.
Dan sekiranya difikirkan perlu, boleh dipertimbangkan permintaan Mursyidul Am Pas itu. Iya kalau orang sudah tidak sukakan kita, tunggu apa lagi. Sekiranya saya jadi Nasharudin saya akan serahkan surat mengosongkan kerusi parlimen Bachok kepada Nik Aziz. Sedarlah diri kita hanya menumpang belas kasihan di bumi orang. Nasharudin hanya dagang Pak Malau! Bila orang benci maka kita kena tahu bila masa kita perlu keluar dari rumah itu... semua orang memukul dan mengodam kita.
Kerusi timbalan presiden mungkin tidak perlu dikosongkan kerana kerusi itu ditentukan oleh ahli Pas. Apa yang perlu diingat kuasa memilih dalam parti antara ahli biasa di cawangan Kampung Tok Naga, Kuala Terengganu sama saja dengan undi seorang Mursyidul Am Pas. [jln pahang 3:00 pm 17/06/09]



