Tuesday, April 6, 2010

Hulu Selangor 2

UBN Sudah Ada Calon Tapi Bukan Palanivel!

[kemaskini] MASIH ada 12 hari lagi untuk umum mengetahui siapakah yang akan diletakkan UBN untuk merampas kerusi Hulu Selangor. UBN akan mengumumkan calonnya 15 April. Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman. Ini bermakna selama lebih seminggu kita akan berteka teki siapakah gerangan calonnya.

Kalau sebelum ini umum bertanya sesama sendiri apakah BN akan meletakkan calon dari Umno atau mengekalkan status quonya kepada MIC? Ini timbul kerana ada desakan lantang dari Umno yang mahukan kerusi berkenaan. Orang disebut-sebut yang akan diperjudikan ialah bekas MB Selangor, Muhammad Mohd Taib.

Kempen untuk Mat Taib khabarnya sudah berjalan.

Bagaimana pun perkembangan terkini agak sukar untuk Umno mendapat semula kouta bagi kerusi berkenaan. Apa lagi menerusi Mat Taib. Muhyiddin awal-awal memberi signal tidak mahukan bekas MB Selangor itu.

BN dikatakan tetap akan mengekalkan kerusi itu kepada MIC. Slogan 1 Malaysia yang dicanangkan oleh Najib katanya telah memakan diri menyebabkan Umno tidak dapat berbuat apa-apa lagi.

Desakan Umno mahukan kerusi berkenaan ditempelak sebagai cuba mengkhianati semangat 1 Malaysia oleh masyarakat India. Walaupun alasan Umno kerusi berkenaan pernah bergilir dan Umno memenanginya tahun 1955 menerusi pilihan raya tempatan, tetapi hujah itu tidak memberi bekas. Najib dikatakan tidak akan cuba membiarkan 1 Malaysia yang dipeloporinya diperolok-olokkan.

Dari MIC pula orang lama, G Palanevil mungkin tidak akan dicalonkan. Seorang pemimpin kanan UBN peringkat negeri ketika dihubungi semalam berkata, BN akan memberi laluan kepada MIC tetapi calonnya bukan Palanevil. "Calon dari MIC tetapi bukan Palanivel," katanya. Kalau bukan Timbalan Presiden MIC itu, siapa?

Seorang kawan yang berkhidmat di sebuah portal berita pula bersetuju dengan pandangan pemimpin UBN itu, BN tidak meletakkan Palanivel kali ini. Sebalik katanya dua muka baru dari MIC akan dipertimbangkan. Mereka ialah Timbalan Ketua Pemuda MIC, V Mugilan dan Ketua Penerangan MIC sekarang ini, P Kamalanathan.

Inilah dua nama yang sudah dihantar kepada perdana menteri dan sedang dipertimbangkan. Sementara itu menurut wartawan berkenaan Ketua Penerangan dikatakan lebih berpeluang mendangkan sudah ada sikap yang kurang selesa kalangan PKR kalau ketua penerangan itu diturunkan. Katanya kalau ketua penerangan menjadi calon ia merisaukan PKR.

Berdasarkan perkembangan itu menunjukkan UBN akan memberi kerusi itu kepada MIC dan besar kemungkinan calonnya Ketua Penerangannya. [wm.kl. 12:00 t/hari 06/04/10]

Monday, April 5, 2010

Berita Lewat

Nik Aziz Mengerjakan Umrah

TOK GURU Nik Abdul Aziz Nik Mat berangkat ke Makkah hari ini untuk menuaikan umrah. Menurut anaknya, Nik Abduh, Nik Aziz berlepas jam 9:00 pagi tadi dari lapangan terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa dan dijangka berlepas ke Makkah petang ini.

Turut sama bersama Tok Guru ialah isterinya, Tuan Sabariah Ishak serta dua orang pegawainya.

Nik Aziz akan berada di sana selama dua minggu dan dijangka kembali pada 21 April. Beliau tidak hadir pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Hulu Selangor pada 17 April nanti. Bagaimana pun dipercaya Menteri Besar Kelantan itu akan turun sehari atau dua hari menjelang hari mengundi.

Kepada Tok Guru diucapkan selamat mengerjakan umrah semoga diberikan Allah kesihatan dan kesenangan sepanjang berada di Tanah Haram. Salam.
[wm.kl. 1:020 pm 05/04/10]

Eksklusif Tengahari

Zaid Calon PKR Hulu Selangor

[kemaskini] BEKAS Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim, 59 yang disebut-sebut akan diturunkan PKR untuk mempertahankan kerusi P94 Hulu Selangor sudah hampir pasti akan dicalonkan PKR.

Zaid (foto), yang dipecat dari Umno kerana tidak bersetuju dengan beberapa pendekatan Umno yang tidak berubah dari paradigma konservetifnya dipilih berdasarkan populariti beliau sebagai salah seorang pemimpin PKR di peringkat nasional.

Beliau adalah antara lima calon yang disenarai pendek PKR sebelum ini.

Zaid adalah pemimpin PKR yang juga menjadi penyelaras parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Zaid lahir di kampung Chat, Bachok Bachok, Kelantan. Menyertai Umno sejak belasan tahun dan aktif dalam parti itu 1986 ketika berusia 40 tahun. Berkelulusan dalam bidang undang-undang dan menubuhkan firma guaman terkenal Zaid & Co.

Jawatan tertinggi beliau dalam Umno ialah selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan. Pernah menjadi Ketua Umno Bahagian Kota Bharu.

Jawatan tertinggi yang pernah dipegang dalam kerajaan, selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri semasa Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri. Zaid mengambil keputusan melepaskan jawatan dan tidak terus berada dalam kabinet Najib apabila perubahan yang hendak dilakukan terutamanya dalam sistem kehakiman ditentang rakan dalam UBN.

Seorang yang berprinsip dan tidak tunduk kepada tekanan daripada terus memperjuangkan nasib rakyat bawahan. Beliau mempunyai seorang isteri, Suliana dan tiga anak, Karzan, Ezra dan Alysha.

Pemilihan Zaid sebagai calon PKR diyakini akan memberi tentangan sengit kepada UBN sama ada parti itu meletakkan wakil MIC atau Umno dalam pilihan raya 25 April nanti.

Semalam PKR telah mengadakan mesyuarat biro politik dan dipercayai telah memutuskan Zaid Ibrahim sebagai calon. Pengumuman Zaid sebagai calon akan dilakukan Penasihat PKR, Anwar Ibrahim Khamis atau Jumaat ini. Manakala laporan terbaru menyebut pengumuman calon PKR akan dibuat dua hari lebih awal dari UBN iaitu pada 13 April manakala UBN pada 15 April. [wm.kl. 1:10 pm 05/04/10]

Embun Subuh

Tujuh Perkara Tanda-Tanda Takut Kepada Allah

MENURUT Abul-Laits tanda-tanda takut kepada Allah dapat dilihat dalam tujuh perkara;

Pertama, pada lisannya. Seseseorang itu yang menghindarkan daripada dusta, ghaibah, menyibar fitnah, berbual-bual kosong dan banyak bercakap. Malah menyibukkan diri dengan zikir, membaca al Quran dan muzakarah ilmu. Dalam hal ini tentulah berzikir dengan nawaitu tidak betul, misalnya hendak menunjuk-nunjuk kealiman dan untuk dilihat sebagai orang yang senantiasa mengingati Allah.

Membaca al-Quran pula bukan untuk menghayati hukum-hukum dan perintah Allah tetapi untuk menunjuk kelunakan suara dan kebolehan melagukan ayat-ayat Quran dengan berbagai lagu dan irama. Manakala bermuzakarah tentang ilmu bukan mencari penyelesaian kepada sesuatu permasalahan yang timbul tetapi menegakkan hujah dan ego masing-masing.

Kedua, pada hatinya. Seseorang itu membuang masa permusuhan, kebodohan dan kedengkian terhadap sahabatnya. Perlunya membuang kedengkian kerana dapat menghapuskan kebaikan. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda; "Hasad dapat memakan kebaikan sebagaimana api yang membakar kayu." Penyakit hasad adalah amat merbahaya. Tidak ada ubat untuk mengatasi penyakit ini selain ilmu dan amal.

Ketiga, pada pandangan. Seseorang yang tidak suka memandang pada makanan, minuman, pakaian dan hal-hal lain yang haram. Tidak pula terpesona dengan dunia. Sebaliknya dia memanang dengan mengambil iktibar. Rasulullah s.a.w. telah bersabda; "Barang siapa memenuhi matanya dengan benda haram, maka Allah akan memenuhinya dengan api pada hari Kiamat."

Keempat, pada perutnya. Perut seseorang itu tidak diisi dengan barang dan wang haram, hasil curi, rompak, rasuah dan sebagainya. Sabda Rasulullah s.a.w. "Sesuap makanan haram masuk ke perut, seluruh Malaikat di langit dan di bumi akan melaknati selama barangan itu berada di dalam perutnya. Jika mati di dalam keadaan demikian maka dia akan di tempatkan ke Neraka."

Kelima, pada kedua tangannya. Seseorang yang tidak menggunakan kedua tangannya untuk melakukan sesuatu yang haram melainkan untuk taat kepada Allah. Dirawikan daripada Ka'ab Akhbar dia berkata; "Sesungguhnya Allah telah membina bangunan dari zamrud hijau. Di dalam terdapat tujuh puluh ribu aula. Setiap aula terdapat tujuh puluh ribu pondok. Tidak dapat masuk ke kawasan itu selain orang ditawarkan barang haram, namun dia menolak kerana takut kepada Allah."

Keenam, pada langkah kakinya. Seseorang itu tidak menggunakan kakinya untuk melangkah ke tempat maksiat. Tetapi melangkah hanya untuk taat kepada Allah, mencari keredhaan-Nya serta untuk bergaul dengan para ulama dan orang-orang soleh.

Ketujuh, terlihat kepada ketaatannya. Seseorang itu menjadikan ketaatannya semata-mata mencari keredhaan Allah. Takut kepada riak dan munafik.

Sesiapa yang melakukan tujuh perkara itu dia termasuk dalam kategori orang-orang yang dikatakan Allah; "Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa dalam kebun-kebun dan mata air (Syurga)." - Al Hijr: 45. Wassalam. [wm.kl 6:40 am 05/04/10]

Sunday, April 4, 2010

Berita Kereta Misteri

Kereta Siapa: Sudah Seminggu Tersadai!



KERETA jenis Wira plat nombor WLC 1544 ini sudah seminggu tersadai di pinggir jalan Wangsa Maju, berhampiran simpang Seksyen 4 /Wangsa Murni, Wangsa Melawati, Setapak.

Menghairankan, kenapa ia ditinggal begitu saja? Kewujudan kereta ini misteri. Ia menganggu lalu lintas terutamanya waktu puncak di kala murid mahu ke sekolah dan pulang. Jam 11:03 minit pagi tadi kereta itu masih di situ dengan tenangnya.

Menghairankan juga kenapa empunya membiar begitu saja tanpa bimbang ianya diapa-apakan. Apakah kereta ini kereta curi yang ditinggalkan kerana kehabisan minyak? Mustahil kalau ia 'bertuan' tuannya sanggup membiarkan begitu lama tanpa berusaha memulih atau mengalihkannya ke bengkel.

Juga menghairankan apakah tugas polis trafik dan juga pihak DBKL? Apakah mereka tidak terliur untuk mengatasi masalah kereta ini misalnya mencari pemiliknya. Jarak balai polis terdekat dengan kedudukan kereta itu tidak sampai 2 km. Misalnya polis boleh mengambil inisiatif untuk menyiasatnya dan jika ianya tidak bertuan boleh ditunda dengan kerjasama JPJ atau DBKL ke tempat lebih selamat kerana ia boleh menganggu pengguna jalan raya.

Apakah nanti ada laporan baru hendak bertindak. Kenapa kita semua sulit dan liat untuk melakukan sesutau demi kebaikan bersama?

Dan saya memulakan dengan memasukkan kereta misteri ini ke dalam blog. Keputusan ini diambil selepas seminggu ianya terbiar. Kepada penjenguk blog ini yang mengetahui asal usul dan pemilik kenderaan ini hendaklah bertindak memberi tahu tuan punya atau apa-apa tindakan wajar kerana kewujudannya di situ boleh menganggu lalu lintas.

Ia juga turut menghilang kemurnian taman Wangsa Murni yang terletak di sebelahnya. [wm.kl. 11:40 am 04/04/10]

Ke Hulu Selangor

Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor
Bomoh Belum Tentukan Parti Mana Wakilkan UBN

SAAT PKR sudah hampir memutuskan siapakah calon mereka untuk pilihan raya kecil P94 Hulu Selangor 25 April ini, UBN masih lagi menemui berbagai bomoh untuk menentukan siapakah kalangan mereka paling layak. PKR yang bersidang hari ini katanya sudah pun memutuskan calon mereka. Tilikan utama UBN ialah bagi menentukan parti manakah bakal mewakili mereka. Apakah MIC ataupun Umno?

Berbagai bomoh, Siam, Jawa, Banjar dan Minang sudah didatangi oleh wakil-wakil UBN. Nampaknya sukar juga bomoh untuk menentukan parti manakah paling layak. Ada bomoh mengatakan kalau bukan calon dari MIC, bukan senang untuk UBN menang. Boleh jadi 19 peratus pengundi India sebahagian besarnya akan memulau pilihan raya berkenaan kalau pun tidak akan memberi undi kepada PKR. Tindakan sebegitu oleh pengundi India akan memarahkan keadaan UBN.

Manakala bomoh lain pula menilik kalau diberikan kepada MIC, apa lagi kepada G Palanivel seperti mana dicadangkan Samy Vellu, kemungkinan pula orang Melayu akan memboikot calon UBN itu. Kekalahan UBN menerusi Palanevil dalam pilihan raya umum lalu kerana kemungkinan ianya diboikot oleh orang-orang Melayu dijadikan iktibar.

Fakta ini jelas sekali apabila dicampur undi yang diperolehi ketiga calon UBN di kerusi DUN di kawasan Parlimen itu pada pilihan raya lalu ternyata ia melebihi undi yang diperolehi G Palanivel. Kerana kekurangan itulah menyebabkan calon PKR, Allahyarham Dr Zainal Abidin Ahmad menang dengan majoriti 198. Perbezaan undi UBN untuk parlimen dengan kerusi Dun ialah sebanyak 3,087 undi. Palanevil mendapat, 22,979 manakala tiga calon UBN di ketiga kerusi mendapat, 26,264. Sementara undi yang diraih Dr Zainal ialah 23,177.

Berdasarkan kepada kenyataan itu menyebabkan UBN takut untuk mencalonkan semula Palanevil. Walaupun pilihan raya kecil berbeza suansana dan moodnya dan UBN mempunyai banyak advantage namun UBN tidak mempercayai suasana itu akan mudah berpihak kepada mereka. Dalam keadaan UBN ingin memenang kerusi berkenaan sebagai hadiah genap setahun Najib Razak menjadi PM, mereka memerlukan perhitungan yang teliti dan kemas.

Justeru, para bomoh tidak dapat membuat kesimpulan berhubung parti manakah paling layak untuk diberikan peluang pada 25 April nanti. Sementara di bawah pula sudah berlaku kempen mengempen untuk menaikkan calon masing-masing. MIC sudah menggerakan kempennya untuk mendapatkan kerusi berkenaan. Sikap Samy Vellu yang awal-awal lagi menyerahkan nama calonnya adalah sebagai perasmian kempen oleh masyarakat India (MIC). Begitu juga dengan Umno.

Sepanduk dan kain rentang yang dipasang di beberapa tempat di Hulu Selangor memberi mesej yang mereka mahukan kepada bekas MB, Muhammad Mohd Taib itu. Penobatan kepada Muhammad taib itu memberi gambaran Umno mahukan kerusi berkenaan. Salah seorang bekas pemimpin Umno bahagian itu juga secara lantang menyatakan kerusi berkenaan sepatutnya diberikan kepada Umno kerana parti itu sudah 'kehilangan' kerusi berkenaan selama 53 tahun.

Yang lain pula dengan nada sedikit lunak mahukan kerusi berkenaan digilir-gilirkan. Namun natijah kepada pandangan dan cadangan itu semua ialah Umno mengidamkan kerusi berkenaan.

Muhyiddin Mohd Yassin yang diberi tugas memikul jentera UBN dalam pilihan raya itu menyebut kemungkinan besar calonnya dari MIC. Kenyataan itu agak berbeza dengan suara akar umbi Umno dan ia semacam menyanggah arus. Namun MIC tidak boleh berharap sangat kepada kenyataan Muhyiddin itu. Mungkin strategi Muhyiddin untuk mengusik sentimen orang Melayu di Hulu Selangor. Mahu uji sejauh mana mereka mahukan kepada kerusi berkenaan. Atau juga mungkin Muhyiddin ingin memberi signal kepada Muhammad Taib, bahawa Muhyiddin tidak berapa gemar kalau Muhammad Taib kembali ke dalam gelanggang.

Muhyiddin dan Muhammad Taib ada sejarah tersendiri dalam Umno. Ingat, Muhammad adalah calon tunggal yang menentang Muhyiddin untuk jawatan Timbalan Presiden dalam Umno. Bagi Muhyiddin beliau harus menjaga kelestarian politiknya lebih dahulu daripada menjaga keletarian politik Umno. Muhyiddin tahu kalau Muhammad Taib kembali ke dalam Parlimen menyebabkan beliau akan tercabar untuk tiga atau empat tahun akan datang. Ini dihitung secermat mungkin oleh TPM dan menteri pelajaran itu.

Bagi Muhyiddin pilihan raya kecil Hulu Selangor memberi peluang kepadanya membunuh kerjaya Muhammad Taib yang tersisa itu. Muhyiddin sanggup mematahkan harapan Melayu Hulu Selangor demi menjaga survia politiknya. Muhyiddin tidak perlu pedulikan Melayu Hulu Selangor kerana beliau perlu menjaga kelangusangan dan ketenangan musim politiknya.

Melihat ini saya merasakan tidak mudah untuk Umno mengembalikan semula Muhammad Taib ke dalam gelanggang walaupun peluang UBN untuk menangi pilihan raya itu lebih besar kalau diletakkan bekas MB Selangor itu. Kedudukan Muhammad Taib hari ini samalah dengan kedudukan Mohd Isa Samad di kerusi Bagan Pinang, Negeri Sembilan. Walaupun Mohd Isa sudah disalut lemak dan sudah kemandulan politik namun kerana peluang cerah UBN dengan meletakkan Mohd Isa, UBN tidak kira sama ada Mohd Isa mandul atau monopouse tetapi Isa diletakkan juga sebagai calon. Ternyata strategi itu tidak sia-sia.

Apakah UBN akan melakukan hal yang sama?

Di kalangan Umno setakat ini tidak ada nama lain yang diketengahkan, kecuali Muhammad Taib. Ini menunjukkan kalau UBN bersedia mengkhianati hati MIC, Muhammad Taib adalah pilihan tepat. Dari konteks UBN, mereka harus mengenepikan dahulu agenda politik Muhyiddin kerana kemenangan yang utama. Dalam hal ini Najib akan membuat keputusan dan Muhyiddin akan mengumumkannya.
Apa yang berlaku di Bagan Pinang akan berlaku di Hulu Selangor. Muhyiddin yang menunjukkan sikap kurang menyokong Mohd Isa, akhirnya dipaksa untuk mengumumkan Muhammad Taib?

Saya tidak mahu mengulas sejauh mana kedudukan pengundi India di Hulu Selangor nanti kalau UBN mencalonkan Muhammad Taib. Ada bomoh mengira akan berlaku pemboikotan besar-besaran kalau Umno tidak diberi peluang dan begitu juga kalau MIC dinafikan hak. Namun saya tidak fikir begitu. Kuasa politik, projek di dalam piliahan raya kecil sangat besar. Pengundi akan berubah tekad dan itqan apabila disogokkan semua itu. Feonomen ini menunjukkan bahawa pemimpin yang di pilih menerusi undi itu bukan yang sejati melainkan pemimpin palsu yang naik kerana wang dan kebendaan.

Buat sementara saya yakin UBN akan mencalonkan tokoh dari Umno tetapi belum pastikan apakah orang itu Muhammad Taib? Alasannya lain kenapa UBN akan memberi kepada Umno kerana kemampuan MIC untuk mengawal anggotanya, dan juga bimbang kepada sikap pengundi Melayu yang sudah dicerminkan dalam pilihan raya umum lalu yang tidak memberi undi kepada Palanevil. Bersambung dengan ulasan peluang PKR. [wm.kl.10:15 am 04/04/10]

Saturday, April 3, 2010

Susupan Petang

Bila Muhyiddin Ulangi Hubungannya Dengan Najib

SUDAH lebih dari dua kali Muhyiddin Mohd Yassin menafiknya dakwaan yang beliau tidak sehaluan dengan Perdana Menteri, Najib Razak. Katanya, dakwaan itu adalah tektik pembangkang hendak merosakan hubungan beliau dengan Najib.

Kali pertama beliau mengulas desas desus itu apabila Lim Kit Siang mempersoalkan Muhyiddin tidak menyokong slogan 1 Malaysia ciptaan Najib.

Muhyiddin terus menjawab dengan mengatakan pembangkang kehabisan modal. Dua tiga hari lalu, Muhyiddin menasihati Lim Kita Siang supaya tidak cuba melaga-lagakan beliau dengan Najib. Katanya; "tak payah lagakan saya, saya tak termakan pun." Begitulah sinis Muhyiddin.

Hari ini semasa berucap di hadapan kira-kira 5,000 orang semasa melancar program Juara Rakyat di Machang, Muhyiddin sekali lagi mengulanginya. Dakwanya desas desus dia tidak sehaluan dengan Najib dicipta pembangkang. Kalai ini beliau menggunakan istilah pembangkang cuba nak pecahkan hubungam beliau dengan Najib.

Bila Muhyiddin sekali lagi mengungkitkan perkara itu menyebabkan ia menjadi tanda tanya. Untuk apa diungkitkan di Machang. Saya tidak fikir orang Machang sudah mengetahui akan perkara itu dan termakan dengan dakwaan Lim Kit Sinag.

Baik orang tidak menyedari kini orang akan mempersoalkan bila dia menyebut perkara itu di depan umum. Kenapa Muhyiddin membangkitkan kalau ianya tidak benar dan hanya dakwaan pembangkang?

Beliau sendiri mengatakan tidak termakan dengan usikan Lim Kit Siang itu. Tetapi bila hari ini dia terus membangkitkan semacam dakwaan itu benar pula. Seolah-olah dia sudah termakan dengan dakwaan berkenaan? Mungkin di kalangan Umno sendiri juga sudah mula memperkatakan keretakan hubungan beliau dengan Najib itu menyebabkan beliau terpaksa menjawabnya di depan khalayak.

Bukan saja Muhyiddin risau dengan dakwaan Lim Kit Siang atau pembangkang itu, Najib juga nampak seperti tidak begitu selesa dengan desas desus itu. Hari ini Najib telah memaklumkan kepada satu perjumpaan di Hulu Selangor yang calon UBN untuk pilihan raya kecil Hulu Selangor 25 April nanti akan diumumkan Muhyiddin. Kenapa?

Biasanya perdana menteri yang mengumumkan nama calon. Apakah tindakan itu untuk menunjukkan bahawa Najib mempunyai tahap kepercayaan baik dengan Muhyiddin. Kalau pun Najib kebetulan akan ke luar negara, tetapi Najib boleh mengumumkan lebih awal. Atau beliau boleh membuat pengumuman itu menerusi sidang video semasa di luar negara kelak.

Tetapi Najib nampak beriya mahu melepaskannya kepada timbalannya. Ini menyebabkan kita nampak tindakan kita itu disengajakan bagi menunjukkan mereka berdua dalam keadaan baik-baik saja.

Bagi pemerhati politik desas desus Muhyiddin tidak sehaluan dengan Najib sudah lama kedengarannya. Muhyiddin dikatakan tidak begitu menyenangkan beberapa pendekatan dan dasar negara diperkenalkan Muhyiddin. Antara yang tidak disenangi Muhyiddin ialah mengenai slogan 1 Malaysia. Prostes secara senyap katanya telah berlaku.

Sebab itu menurut sesetengah pemerhati Muhyiddin tidak menggunakan logo 1 Malaysia dalam blognya dan menggunakan tagline berlainan, My Malaysia. Kalau sekali tenguk perbezaan itu tidak memberi apa-apa perbezaan besar tetapi jika dihayati ia jelas sebagai satu protes kepada 1 Malayisa.

Terbaru kenyataan Muhyiddin bahawa dia akan mengutamakan Melayu dulu baru Malaysia menjelaskan akan ketidakselarian itu. Walaupun ia cuba dilindungi Najib dengan menjelaskan tidak ada masalah dengan kenyataan Muhyiddin itu namun umum sudah dapat menyelaminya memang ada masalah antara kedua mereka ini.

Walaupun keduanya cuba menyembunyikannya namun keretakan hubungan itu akan diterdedah juga, akhirnya. Ini jelas kalau berdasarkan kepada kebiasaan yang berlaku dalam politik, di mana menafikan itu menunjukkan ia benar berlaku. Dan diam itu juga bermakna ia memang terjadi! [wm.kl. 8:40 pm 04/03/10]