Saturday, November 15, 2008

Panahan Rasa

Harapan Mahathir, Najib Hapus Rasuah Tidak Mungkin Tercapai!

WALAUPUN sudah lagi tidak menjadi ahli Umno namun Mahathir Mohamad terus bercakap, berusaha dan membentangkan formula bagaimana untuk menyelamatkan keadaan parti Melayu itu yang sedang menuju kehancuran kini. Mungkin juga tindakan Mahathir keluar Umno itu sebagai sebahagian usaha dan formula untuk memperkuatkan Umno?

Terbaru Mahathir membayangkan kebimbangan beliau kepada Umno ekoran berleluasanya gejala rasuah dalam parti berkenaan. Beliau menasihati Mohd Najib Razak yang bakal menerajui Umno Mac depan agar berusaha untuk menghapuskan rasuah.

Menurut bekas PM itu kalau Najib gagal hapuskan rasuah ia menyebabkan Umno akan kalah dalam pilihan raya umum akan datang. Mahathir masih percaya rasuah boleh dihapuskan dengan syarat Najib dan pasukannya berusaha. Mereka yang tidak rasuah perlu ditonjol dan diberikan peranan penting dalam parti tersebut, barang kali termasuklah anaknya, Mukhriz Mahathir.

Apakah Mahathir bermimpi atau baru tersedar dari tidur dan masih belum berkumur! Ataupun beliau telah 'mumai' mengenai Umno. Siapa lagi dalam Umno hari ini yang tidak rasuah, mengamal dan menerima rasuah? Masih adakan orang-orang yang baik dalam Umno yang tidak terlibat dengan rasuah? Kalau mereka yang mengaji di Mesir atau Arab, bergelar ustaz atau lepasan Universiti Islam Antarabangsa (dalam Umno) pun terlibat dengan rasuah apa lagi diharap kepada mereka yang skolar?

Hari ini semua orang memperkatakan mengenai rasuah dalam Umno. Ahli Umno sendiri temasuk pemimpin dari peringkat cawangan, bahagian sehingga ke Majlis Tertinggi (MT) bercakap dan merintih fasal rasuah. Malah bekas Presidennya juga berbicara mengenai rasuah.

Itu semua menunjukkan dan menjadi tanda-tanda jelas bahawa Umno sudah larut dalam rasuah. Rasuah sudah sebati dengan Umno. Dan gejala dan jenayah rasuah bukan perkara menjijikkan lagi dalam Umno tetapi sesuatu yang membanggakan dan kesuburannya disenangi.

Tahukah Mahathir bahawa ahli Umno, baik yang memberi dan menerima rasuah mereka senang dengan rasuah. Mereka bercakap di mana-mana sahaja. Mereka bangga menceritakan berapa yang mereka terima dan berapa yang mereka habis sewaktu pemilihan dulu.

Dalam keadaan sudah melarut dan sebati begitu Umno sudah tidak akan pulih lagi dari rasuah. Rasuah akan dikaitkan selamnya dengan Umno bahkan keduanya sudah senonim, bila sebut Umno ingat rasuah, sebut rasuah ingatlah Umno.

Mohd Najib atau sesiapa sahaja yang menerajui Umno hatta jika Mahathir sendiri diberi peluang memimpin Umno semula beliau tidak dapat membawa Umno keluar dari pelukan rasuah. Rasuah begitu intim dan kental membelit Umno. Rasuah dalam Umno sepertilah penyakit darah tinggi dan kencing manis yang tidak ada penawar untuk menghapusnya cuma kalaupun mampu membatasinya sekadar memperlahankan momentumnya saja.

Sekiranya Umno besih dari rasuah saya yakin ahli-ahli Umno yang ada kini semuanya akan meninggalkan Umno dan mereka akan mencari parti yang mengamalkan rasuah. Sebab mereka tegak dan berdiri dalam Umno kerana rasuah. Rasuahlah yang menahankan mereka dalam Umno dan rasuahlah yang mengeraskan semangat mereka mendokong parti berusia 62 tahun itu.

Sudah ada persepsi di dalam minda ahli Umno mereka tidak akan hidup mewah kalau tidak bersedia melakukan rasuah. Rasuah seolah-olah satu mekanisme halal bagi mereka untuk menambah pendapatan. Dan rasuah satu budaya yang dianggap sama dengan amalan yang dikelaskan sebagai satu pemberian ikhlas berupa sedekah ataupun untuk membantu ahli.
Apa membimbangkan rasuah yang berlaku sekarang ini bukan saja dalam konteks untuk memenangi jawatan dalam parti itu di semua peringkat, tetapi terheret ke dalam sistem pemerintah (kerajaan) yang diterajui Umno.

Dalam apa juga agensi, jabatan, syarikat dan sebagainya milik atau ada kaitan dengan kerajaan semuanya turut terlibat dan terpalit dengan rasuah. Seolah kalau tidak berlaku rasuah ia bukan lagi menjadi badan atau entiti ada kaitan dengan kerajaan. Budaya rasuah dalam kerajaan adalah diinjek oleh Umno.
Bukti paling jelas menunjukkan rasuah sudah bermaharajalela apabila diwujudkan Institiut Integriti yang khusus untuk menangani perbuatan dan salahlaku rasuah. Secara mudah kalau rasuah tidak kronik institusi itu tidak perlu wujud dan perlu diwujudkan. Adanya pagar bukan kerana bimbang pencuri akan menceroboh tetapi sudah ada pencuri!

Lihat juga kepada laporan dan kes-kes membabitkan rasuah di mahkamah. Daripada sekecil penerima; polis trafik sebanyak RM10 hinggalah kepada pegawai kerajan dan ahli politik menerima atau melakukan rasuah bernilai ratusan juta ringgit. Apa yang dilaporkan itu hanya kes-kes yang diketahui manakala masih banyak lagi kes yang terlepas dari pandangan umum.

Berbalik kepada impian dan kebimbangan Mahathir tadi, saya tidak yakin kalau Najib Razak akan dapat menghapuskan rasuah dalam Umno dan juga dalam kerajaan kalau pun beliau tertakdir menjadi PM. Kes membabitkan komisyen pembelian kapal selam dan kapal perang melibatkan lebih RM500 juta ringgit walaupun dinafikan oleh Ketua Setiasuaha Kementerian Petahanan namun pesepsi orang kepada bakal PM itu semakin menebal.
Demikian juga dengan sikap dan perangai isterinya, Rosmah Mansor yang sukar bebelanja besar dan orang yang mengelilingi Najib yang hidup mewah melebihi daripada pendapatan sebenar ia turut memberi tanggapan bahawa ada usur-unsur rasuah wujud di hadapan dan di belakang bakal Perdana Menteri ke- 6 itu.
Apakah Najib bersedia untuk melarikan diri daripada orang-orang ini sedang mereka inilah menjaga dan memastikan pengaruh Najib melebas dalam Umno? Tidak mungkin!

Justeru harapan dan kebimbangan Mahathir itu saya rasakan ia tidak lebih selain daripada luahan perasaan beliau untuk menghalau kepuasan saja di kala beliau bersendiri! Kerana untuk berbuat dengan menghisap rokok, beliau bukan seorang perokok! [wm.kl. 1:15 pm 15/11/08]

5 comments:

ababina328 said...

Apa yang disuarakan oleh saudara Sayuti, memang tepat 100%,memang tiada ubat lagi untuk penyakit umno ini .

Cuma yang saya risaukan ialah, andaikata umno tewas nanti, perasuah-perasuah dan penerima-penerima ini akan bertebaran ke parti lain dan merebakkan pula kuman-kuman nya keparti-parti lain.

sangFaqir said...

Assalamu 'alaikum,

Penyelesaiannya mungkin seperti dalam buku yg saya baca: Ilal-Islam min Jadid (terj. Melayu: Kembali Kepada Islam Yang Sebenar), hasil tulisan dan analisis Mufakkiril-Ummah Hadrat Syaikh Al-'Allamah Dr. Sayyid Abul-Hasan Ali Al-Nadwi rah.a.

Saya sangat mengesyorkan sdr semua membaca buku ini.

Sekian, terima kasih.

Wassalam.

sangfaqir@gmail.com

Mankanan said...

Buruknya UMNO sekarang ni berpunca daripada Mahathir!!! Sejak dari zaman Mahathirlah politik wang bermula sehingga sekarang, ia terlalu sukar untuk dipulihkan...Sekarang ni Mahathir nak cakap banyak pulak...

suka_aman said...

mahathir tidak pernah walau sekalipun mengkritik diri dia sendiri ataupun mengakui kelemahan sewaktu dia jadi PM.jangan lah nak kata masa dia jadi PM semunya "suci murni bersih".mesti ada "kesan kotoran" kat mana-mana.

Mahathir hanya nampak kesalahan orang lain sedangkan kesalahan tersebut sudah wujudpun ketika dia menjadi PM sebelum ini.

sekarang ini semuanya serba tidak kena pada Mahathir.atau dia nak tunggu mana-mana pemimpin atau PM yang boleh ikut cakap dia baru dia boleh tutup mulut?

bau busuk yang jauh dapat dihidu tapi tahi berdekatan tak nampak pula.

Fadzli Kadir said...

Umno akan hadapi zaman sukar jika Najib/Muhyiddin mememimpin negara ini sebab majoriti rakyat Malaysia yang celik politik tahu keburukan Mahathirisme.

Tanpa Abdullah Badawi sekalipun, belum tentu Umno akan beroleh keputusan memberangsangkan dalam Pilihanraya Umum akan datang.

Mahathir = Dinasour politik Malaysia.