Friday, November 14, 2008

Sebelum Jumaat

Teruja Dengan Kehebatan Fong Po Kuan

KEBERANIAN, kreativiti dan bijak mengambil kesempatan, itulah ciri-ciri ataupun asas penting untuk seseorang ahli Parlimen muncul sebagai anggota dewan yang popular dan menjadi perhatian umum. Jika dilihat kepada nama-nama ahli Parlimen yang sedang dicatat atau sudah dirakam sejarah mengapa nama mereka meniti dari bibir ke bibir ialah kerana mereka memiliki ciri-ciri berkenaan.

Sudah pasti ahli Parlimen yang kurang atau tandus dengan ciri-ciri berkenaan tidak akan memberi faedah kepada rakyat yang diwakilinya dan kehadirannya ke Parlimen hanya sebagai pemungut elaun bulan saja. Ahli Parlimen begitu juga boleh dianggap sebagai tunggul dan mengsia-siakan pilihan rakyat ke atas mereka.

Perhatikan kepada kebolehan Lim Kit Siang, Karpal Singh, Mohamad Azmi Ali atau Ibrahim Ali atau bekas-bekas wakil rakyat seperti Prof Zulkifli Muhammad, Abdul Samad Gol Ahmad Mianji, Mohd Asri, Husam Musa dan lain-lain, nama-nama ini menjadi sebutan dan kemunculan mereka dinanti-nantikan pada setiap sidang dewan. Orang mahu tenguk apakah idea ataupun isu yang bakal dibangkitkan.

Kadang-kadang disebabkan kerana kerajinan dan kesungguhan mereka sampai mereka dibenci dan dicemburui apabila penampilan mereka terlalu kerap sehingga tidak membuka ruang kepada ahli lain.

Dalam memerhati dan menilai wakil rakyat (anggota Parlimen) baru ini saya tertarik dengan semangat dan kesungguhan yang ditunjuk oleh ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan daripada DAP.

Memang ahli Parlimen bertubuh kecil dan cute ini tidak asing lagi. Beliau telah berjaya meletakkan dirinya sebagai ahli Parlimen yang popular, serius dan komited dengan tugas dan tanggungjawabnya.

Kehadiran Po Kuan benar-benar dirasai dan kerana itu apabila beliau merajuk untuk tidak bertanding dalam pilihan raya lalu ramai yang memujuk dan menasihatinya agar menarik balik rajukan politik itu. Jarang berlaku apabila seorang ahli politik wanita muda merajuk ada orang membujuknya.

Po Kuan sering kali bangkit menimbulkan atau bertanya apa-apa saja yang difikirannya wajar dan memenuhi tuntutan perjuangan partinya. Beliau tidak menghadiri dewan sekadar untuk menanda buku kedatangan bagi mendapat elaun mesyuarat kemudian bersembang di cafeteria.

Wakil rakyat ini juga mempunyai iltizam yang tinggi kepada perjuanganya partinya, namun beliau tidak mengkesampingkan isu-isu sosial yang melibatkan kepentingan semua kaum.

Khamis lepas Parlimen menjadi pasar ikan gara-gara Po Kuan bangkit dan menjerit mempertikaikan tindakan Kementerian Pengajian Tinggi yang menghentikan kontrak Rafiah Salim sebagai Naib Censelor Universiti Malaya. Po Kuan menyifatkan tindakan itu sebagai mendiskriminasi kaum wanita.

Po Kuan berhujah dan melahirkan rasa tidak puas hati dengan Kementerian itu kerana membelakangkan kaum wanita. Menurutnya tidak sepatutnya kontrak Rafidah ditamatkan dan ia sepatut diteruskan sebagai menghormat dan mengenang wanita.

Menurut Po Kuan kini hanya tinggal seorang saja wanita menjawat jawatan itu iaini Naib Censelor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) manakala 17 universiti lagi dikuasi oleh kaum lelaki.

Kelam kabut juga timbalan menteri berkenaan untuk melayan dan menepis hujah yang dibangkitkan oleh Po Kuan.

Saya jadi sedikit tergugah dan teruja dengan sikap dan komitmen Po Kuan dalam mempertahankan kepentingan kaum sejenisnya itu. Walaupun Rafiah itu bukan kaum Cina, tetapi Po Kuan mempertahankan dan membelanya atas semangat kewanitaan. Tidak ramai ahli Parlimen yang menyertai Po Kuan mempertikaikan tindakan itu, kecualinya rakannya, Chong Eng, ahli Parlimen Bukit Mertajam juga dari DAP.

Jika dikira dari segi ras dan kepentingan sepatutnya nasib malang yang diterima Rafiah itu dibela oleh ahli Parlimen Melayu. Tetapi nampaknya seorang pun ahli Parlimen Melayu tidak bangkit membelanya. Bukan saja dari BN/Umno tetapi daripada Pas juga.

Dua orang ahli Parlimen Pas yang bertaraf menteri, (bercita-cita untuk jadi menteri), Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali (Titiwangsa) dan Dr Mariah Mahmod (Kota Raja), tidak memberi apa-apa reaksi. Sepatutnya merekalah yang awal bangun mempertikiakan penamatan kontrak Rafiah itu.

Apakah kedua ahli Parlimen Pas itu kurang semangat feminis? Atau mereka bersikap tawar hati hendak mempertahankan Rafiah kerana Rafiah tidak pakai tudung, Islamik! Apakah dalam garis lintang perjuangan muslimah Pas, mereka hanya akan membela wanita yang bertudung saja dan akan membiarkan wanita tidak bertudung terus hanyut?

Saya sangat berharap semoga kedua ahli Parlimen Pas itu yang juga ahli Jawatankuasa Agung Pas menjelaskan kenapa mereka bersikap dingin dalam hal-hal feminis di Parlimen ataupun sememangnya saya kurang memerhati bahawa mereka telah banyak memperjuangkan hak-hak dan kepentingan wanita Islam sebenarnya? Pohon penjelasan! [wm.kl 10:30 am 14/11/08]

2 comments:

ainon mohd said...

Tuan MSO,

Saya (dalam blog saya) pun diam sahaja, tidak membuat sebarang komen tentang perlantikan mahupun tentang penamatan kontrak NC-NC perempuan.

Syarat perlantikan bagi mana-mana jawatan adalah berdasarkan kelayakan dan kepakaran, sekali-kali bukan kerana faktor gender.

Apabila sesuatu tugas itu tidak diserahkan kepada yang pakar, tunggulah kebinasaan, begitulah kata Rasulullah.

Jadi saya setuju YB Dr. Lo'Lo' dan YB Dr. Mariah diam sahaja.

Siti Aisyah Abdul Rahman said...

Saya pun setuju dengan pandangan ainon Mohd. Perlantikan NC sepatutnya bukan berdasarkan gender tetapi berdasarkan kelayakan demi menggemilangkan instiyusi pengajian tinggi di Malaysia. Cumanya yang sedih di Malaysia, perlantikan NC terlalu dipengaruhi oleh faktor politik sehingga institusi tersebut dimandulkan dari segi kreativitinya...kalau di universiti luar negara kebiasaannya perlantikan NC berdasakan mutu kerja dan kepakaran sesorang dan tidak dipengaruhi oleh orang politik untuk membuat pemilihan. Malah pemilihan adalah berdasarkan penapisan tahap professional dan kecekapa. Begitu juga dengan perlantikan dekan-dekan..semuanya melalui inteview yang ketat untuk memastikan mutu kerjanya. Malangnya di Malaysia masih lagi kelas ke-3 tahap pemikirannya dalam kes ini..so macam mana nak berdaya saing?