Hadi: Ideanya tidak relevan? |
Presiden Pas, Abdul Hadi Awang telah menulis dalam ruangan Catatan Minda dalam medsosnya, mengajak tiga buah buah parti; Pas, Umno dan PBBM menjadi pelopor perubahan ke atas negara ini.
Alasan beliau kenapa menamakan hanya tiga buah parti itu sahaja, kerana parti itu merupakan parti Melayu-Islam dan Bumiputera.
Seperti sering saya ungkapkan, gerakan ke arah penyatuan demi menguatkan bangsa dan mendaulatkan agama sangat dialu-alukan. Ia menjadi cita-cita bersama sejak lama dulu lagi. Tidak ada mana-mana warga yang cintakan perdamaian, menolak gagasan itu. Sebab itulah saya sangat teruja dan kagum dengan cara Allahyarham Mohd Asri Muda bersiasah. Asri tidak taksub, tidak kolot dan senantiasa insaf dengan keadaan semasa. Politiknya sungguh dinamik dan realis.
Tetapi apa yang membuatkan saya sedikit merasakan pelawaan dan hasrat Abdul Hadi itu sedikit cacat apabila beliau hanya menyebut tiga buah parti itu sahaja tanpa menyebut dan mengambil kira sama parti-parti lain. Malahan parti lain dipersepsikan sebagai tidak yakin dengan Islam dan dipandang dengan penuh pesimis. Dianggap parti yang negatif dengan idealimse Islam dan bangsa. Tanggapan ini bagi saya sesuatu yang tidak baik dalam negara majmuk bersistem demokrasi seperti Malaysia.
Pendirian seperti ini tidak akan mencapai hasrat perpaduan dan keharmonian penuh seperti yang kita harapkan. Dan sikap dan pengabaian itu juga seolah-olah Abdul Hadi tidak iktiraf kewujudan parti-parti lain yang juga berjuang ke arah itu dengan mekanismenya tersendiri. Beliau seolah-olah jahil dengan matlamat penubuhan parti-parti itu dan angkuh dengan parti sendiri. Seolah-olah tidak hafal membaca perlembagaan negara dan memahaminya.
Apakah parti lain tidak berjiwa Melayu dan Islam? Parti Keadilan, Parti Amanah Negara (Amanah), Warisan, mereka terlalu sangat jauh dengan Islam dan daripada menjaga dan bertanggungjawab ke atas kepentingan Melayu?
Apakah mereka jahil mengenai tanggungjawab mereka kepada masa depan negara dan kepentingan agama. Apakah agama yang mereka amalkan batal? Seperti itulah agaknya yang ada dalam mata dan tersandar di minda Abdul Hadi.
Bahkan kalau diikutkan kepada semangat kenegaraan, DAP juga perlu diajak sama demi perpaduan. DAP juga ada tanggungjawab dan peranan untuk mengharmonikan dan membangun negara dengan semangatnya. Jika idealisme sosialis DAP ada yang bercanggah dengan semangat syumul Islam, ia boleh ditegur dan diperelokan dengan penuh hikmah sesuai Pas sebagai parti dakwah. Arwah Nik Abdul Aziz pernah menjelaskan kenapa Pas perlu berkawan dengan Cina kerana ingin memberi kefahaman Islam kepada mereka.
Pencetus idea.
Seharus apa yang perlu dilakukan Pas dalam suasana negara hari ini, yang diancam pandemik, berdepan dengan masalah ekonomi yang sukar diramal, ketidak stabilan politik, mengajak semua parti bersatu fikiran. Pas sebagai parti berdasarkan agama seharusnya mengambil inisiatif bagi menyatukan pemikiran semua parti politik demi negara. Pas patut jadi parti pencetus idea penyatuan keseluruhan. Parti mana lagi diharap memainkan peranan itu kalau bukan Pas?
Kenapa Abdul Hadi tidak mengambil kesempatan ini untuk mengatur dan membentang satu naratif politik baru Malaysia menuruti neraca fikir Pas yang berprinsipkan Islam. Dengan menghadkan cadangan kepada tiga buah parti sahaja untuk menjadi pelopor perubahan, jelas pemikiran beliau masih berada dalam kotak lama yang dibelenggu oleh tempurung bulu kebencian menebal yang tidak membawa banyak faedah.
Sikap dan cara berfikir demikian sudah tidak relevan lagi pada masa ini.
Ramai yang menunggu peranan Pas ini. Parti itu membentangkan satu formula atau petua bagaimana untuk parti-parti politik duduk semeja bagi menghadapi masalah negara. Pas seharusnya muncul sebagai parti penyelamat keadaan bukannya terus membelahkan suasana dengan menyuburkan isu perkauman dan kebencian serta memperalatkan agama sedemikian rupa. Pas kena menjadi Pas pemanggil ke arah kebaikan bukan pembelah kepuakan. Pas sewajarnya menggunakan agama untuk kepentingan universal bukan kepentingan peribadi yang sedikit.
Sayanglah, kalau Pas tidak nampak keperluan dan kepentingannya dengan keadaan yang ada hari ini. Masa masih ada untuk Pas memperbetulkan langkah yang sumbang dan songsang yang dilontarkan Abdul Hadi itu. Pemimpin lain dalam Pas (yang saya kira menyedari hal ini) boleh melakukan sesuatu. Pas perlu memperbetulkan cara berenang presiden mereka yang cacat itu. Perlu ada pemimpin yang berani dalam Pas untuk meralat perkara ini. Menegur bukan bermakna menentang tetapi membawa hikmah sayang.
Untuk mencapai itu buangkan rasa hormat melulu dan "malu alah" tidak bertempat anda kepada presiden kerana jelas dan nyata setengah tindakan, idea dan pemikirannya tidak lagi melambangkan pemikiran daripada sebuah gerakan sosial politik Islam seperti Pas. Cara berenangnya salah dan lapok.
Dan percayalah kalau tidak ada yang berani menyanggah dan melintangnya, selama itulah presiden itu merasakan beliaulah sahaja yang betul. Tidak sedemikian bukan memberi kebaikan kepadanya, bahkan terus menjadikan beliau sangat Joker ditertawakan dunia. Elakkan presiden Pas terus digelak oleh dunia dan membiarkan dia dalam zone syok dan hebat sendiri apa lagi saat beliau kini sudah berada di penghujung. [wm.kl. 11:34 am 11/08/2021].
No comments:
Post a Comment