Thursday, August 5, 2021

Selama mana Mahiaddin mampu mengenggam bara?

SESUDAH SUBUH

Keberanian luar biasa Mahiaddin.
SELAMA mana Mahiaddin Md Yassin mampu menggenggam bara. Sekuat mana tangannya dapat
menahan hawa panas? Apakah beliau ada kuasa magik yang membolehkannya ampuh dengan keadaanya kini? Dengan mempercayai tidak ada siapa yang keramat atau mempunyai kuasa sakti, Mahiaddin akan gugur juga akhirnya nanti. 

Apa lagi setiap mula itu ada akhirnya, setiap yang hidup itu pasti akan mati. Mahiaddin dan jawatan perdana menteri adalah sesuatu yang baru, yang tidak qadim... pasti akan hancur. 

Kalau diibaratkan Mahiaddin seorang pelari marathon akhirnya beliau akan sampai juga ke garis penamat. Garisan finish adalah pengakhirannya. Ada dua natijah bagi seseorang pelari apabila mereka sampai ke garis penamat; berjaya atau gagal. Dapat pujian atau makian.

Ingat, seorang atlet yang bermaruah dan penuh bersemangat dia akan berlari menempuh segala halangan dan harus sampai ke garis penamat sama ada dalam keadaan menang atau pun tewas. Yang penting sampai dan tidak akan berhenti disekarat jalan. Itu pelari profesional. 

Nah, seperti itulah Mahiaddin hari ini. Beliau seorang pelari marathon yang pasti akan berakhir juga pada masanya. Sama ada dihalang atau tidak, beliau pasti akan sampai ke garis penamat. Jadi usah peduli dan bimbangkan sangat kepadanya.

Apabila Umno telah mengumumkan menarik sokongan kepada kerajaan PN, semua orang mengira hayatnya sebagai perdana menteri sudah berakhir. Kerajaannya juga sudah runtuh. Tetapi apa terjadi sebaliknya, Mahiaddin tidak mudah menyerah dan terus berusaha untuk kekal. Beliau bagaikan sang marathon terus berlari untuk menuju ke garis penamat tanpa mempedulikan apa yang berlaku.  

Dipercayai, ia berlaku atas nasihat orang-orang di sekelilingnya yang menjadi parasit untuk terus berkuasa dengan menjadi lintah politik. Dia meneruskan pelariannya atas sokongan dan jaminan orang-orang disekelilingnya itu kandati pun dia sudah khilaf di awal-awal lagi. Jika mengikut prinsip dan rukun-rukun pertandingan Mahiaddin telah melakukan kesalahan pada awal-awal lagi, sudah batal.

Pengumuman dinamakan perutusan dibuatnya tengah hari semalam, mengejutkan dan dikira satu keberanian luar biasa. Beliau bergagah dengan mendakwa masih mendapat sokongan. Penarikan sokongan sekurang-kurang lapan (8) ahli Parlimen Umno tidak menjejaskan kedudukannya. Penarikan itu tidak memberi apa-apa signifikan.  

Justeru beliau berhak untuk kekal sebagai perdana menteri sekiranya beliau benar-benar mendapat sokongan. Yang menimbulkan persoalan, apakah beliau berpegang kepada kebenaran atau khayalan atau sebuah penipuan nyata? 

Beliau mendakwa cukup majoriti untuk terus berkuasa. Dan dakwaan itu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertuan Agong dengan berpandukan kepada Perlembagaan di bawah Perkara 43 (2A) dan Perkara 43 (4) memberi perkenan agar beliau terus menjadi perdana menteri. Itu dikira satu keberanian yang maha tinggi yang juga risiko buah Mahiaddin. 

Dalam hal ini Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dipersalahkan. Baginda telah bertindak mengikut dan menjalankan tanggungjawab mengikut bidang kuasa dan budi bicaranya. Perkenan itu berasaskan kepada angka dan pengakuan yang diberikan oleh Mahiaddin. Apakah Yang di-Pertuan Agong melihat satu persatu angka-angka itu, atau diberikan dalam bungkusan kuning, wallahu'alam. Kalau Yang di-Pertuan Agong dipermainkan dalam hal ini sesuatu yang malang dan amat mendukacitakan. 

Hal ini menjadi persoalan yang tidak mudah terjawab dan terungkai. Ia menganggu minda apabila pembangkang membuat kenyataan serentak menafikan yang Mahiaddin mempunyai angka yang cukup. Dengan mengambil kira jumlah dimiliki pembangkang kini 116 berbanding angka berpihak kepada Mahiaddin 104. 

Mengikut ilmu hisab biasa, 116 lebih besar atau tinggi nilainya berbanding 104

Dalam soal ini siapa berbohong dan memanipulasi angka dan terpedaya? Dari segi Perlembagaan keabsahan Mahiaddin itu tidak boleh berlaku di luar parlimen. Ia perlu dibuat dalam parlimen sebab parlimen memiliki kuasa memukatamdkan secara perlembagaan. 

Mahiaddin mengatakan dengan yakin sedia membawa undi percaya terhadapnya pada sidang parlimen September hadapan. Keberanian dan kesediaan Mahiaddin itu boleh dipertikaikan, kenapa baru hari ini baru beliau sedia untuk membawa undi percaya kepadanya ke parlimen? Kenapa tidak waktu sidang khas baru-baru ini? Apakah waktu itu beliau masih belum cukup nombor?

Atau pun keberanian itu adalah taktik untuk berliau mendapat masa bagi mencari helah menyelamatkan dirinya yang benar-benar desperate. Kalau berdasarkan kepada angka tadi, beliau telah wajar  dinasihatkan meletak jawatan semalam. Apakah berlaku satu kekhilafan atau kesengajaan?

Berbalik kepada soal bilangan tadi, tidak siapa dapat mengesahkan kerana ia tidak disebut dengan terang dan jelas di kedua-dua pihak. Selagi ia tidak dibawa ke parlimen, berlangsung undi terbuka, maka ia menjadi teka teki. Kecuali didedahkan dengan penuh tanggungjawab. Untuk berbuat demikian ada dua pihak sahaja boleh mengesahkan. 

Pertama, Yang di-Pertuan Agong sendiri dengan mendedahkan satu persatu nama-nama ahli Parlimen yang menyokong Mahiaddin yang dipersembahkan kepadanya. Pejabat Istana Negara boleh mengeluarkan senarai nama itu. 

Kedua semua ahli parlimen yang tidak menyokong Mahiaddin membuat pengakuan dan kenyataan terbuka seperti mana dilakukan oleh ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik.

Sekiranya semua ali parlimen berbuat demikian ia akan menjadi bukti kukuh kepada rakyat untuk melihat apakah Mahiaddin masih ada majoriti atau sudah hilang. Rakyat akan melihat mana-mana ahli Parlimen yang menyokong dan tidak. Rakyat akan jadi saksi. 

Pengakuan atau kenyataan yang dibuat oleh pembangknng seperti dilakukan itu tidak dapat dibuktikan dan diperakui dengan sah, kerana mungkin ada di antara mereka secara diam-diam telah menyokong Mahiaddin.

Apabila pendedahan seorang demi seorang dilakukan, dunia akan menyaksikan dimanakah "mipat" atau kesilapan dan kekeliruan berlaku. 

Apapun keadaan Mahiaddin hari ini seperti pesakit Covid-19 yang sedang ditidurkan berhadapan dengan dua kemungkinan dapat diselamatkan atau pun akan ghuyub. Melainkan Mahiaddin akan cabut parlimen sehingga tamat penggal parlimen ke-14 ini. Tidak mustahil. [wm.kl.8:00 am 05/08/2021].

No comments: