Saturday, August 14, 2021

"Saya kesian dan tumpang malu apa menimpa Tan Sri".

SURAT TERBUKA III

3: 35 pagi.

YAB Tan Sri Mahiaddin Md Yassin,
di kediaman,
Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

 ٱلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ ٱللَّٰهِ وَبَرَكَاتُهُ

Kekalahan sudah terbayang.
SELAMAT tengah malam Tan Sri, didoakan semoga Tan Sri sekeluarga dapat tidur lena sepanjang malam ini dan akan bangkit seperti biasa menjelang 3/4 malam untuk mendirikan solat rutin Tahajud, Istikharah dan berdoa bermunajat dalam-dalam kepada Allah. Baguslah, kita bertaaruh dengan Allah SWT apa lagi saat kita dirundung masalah. Lahaula-walaauata-ilabilah.   

Untuk dini ini sebaik-baik Tan Sri perbanyakan mendirikan solat Istikharah, meminta kepada Tuhan diberikan petunjuk apakah yang patut Tan Sri lakukan hari esok dan seterusnya. Insya-Allah sebagai seorang beriman kepada Rabull Jalil akan mendapat taufik dan hidayah daripada-Nya. Kalau bukan kepada Allah kita mohon petunjuk, kepada siapa lagi? 

Tan Sri, sebenarnya saya tidak berhajat lagi untuk menulis kepada Tan Sri untuk memberi apa-apa pandangan atau teguran setelah saya telah berbuat demikian beberapa kali sebelum ini baik menerusi surat dan juga coretan dalam media-sosial, (Facebook, twitter dan blog), apabila segala teguran dan pandangan saya semacam diketepikan begitu sahaja. 

Dalam dua pucuk surat terbuka saya sebelum ini saya sudah menyampaikan apa yang hendak saya sampai dengan tulus ikhlas, kasih dan sayang yang datang dari dhamir nan suci, tetapi dukacita nampaknya ia tidak diberi perhatian oleh Tan Sri. Surat dan lambaran saya tidak berbekas pun.

Menjadi lumrah kepada seorang dilimpah kuasa sulit untuk menerima pandangan. Macam sang Gajahlah ia sesekali tidak akan peka dan peduli dengar teguran si Nyamuk.  

Bagaimana pun atas tanggungjawab sosial saya, dan rasa empati tinggi kepada Tan Sri sebagai pemimpin yang pernah saya kagumi, saya kikiskan perasaan terkilan atas pengabaian Tan Sri dengan surat-surat saya itu untuk tidak menulis, namun malam ini sekali lagi mengambil usaha mencoret warkah ini. Mudah-mudahan ada kebaikannya.   

Sejujurnya, kenapa saya rajin menulis kepada Tan Sri kerana mengenangkan perkembangan politik dan negara semakin gundah dan serabut, dimana semua itu menjadi tanggung jawab dan beban kepada Tan Sri sebagai perdana menteri. Saya amat memahami bebanan yang terpikul dipundak kudrat Tan Sri sangat-sangat berat. Apa dihadapi Tan Sri suatu takdir yang ditempah.

Ikhlas, saya nyatakan saya bersimpati dengan Tan Sri apabila Tan Sri diserang dan dicemuh umum setiap hari. Ruang bebas medsos menjadi medium mencaci dan menyumpah Tan Sri. Apa juga Tan Sri lakukan dikritik dan tidak mudah untuk diterima, seolah-olah tidak ada sejuring kebaikan pun. 

Melihat itu saya berasa bersalah kalau tidak menyedarkan Tan Sri agar respon kepada segala itu. Justeru dengan menulis surat ini terfikir manalah tahu kalau-kalau surat saya ini terbaca oleh Tan Sri atau dibaca oleh orang lain kemudian memberi tahu Tan Sri, nasihat dan pandangan kerdil ini membantu Tan Sri.

Keserabutan dan kesibukan Tan Sri ternampak jelas kepada saya apabila Tan Sri seperti tidak sempat menguruskan diri. Saya terselami apabila sewaktu Tan Sri terbang ke Kuala Terengganu dari Johor Bharu untuk meninjau pusat vaksinasi di sana kemudian bertemu dengan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Tan Sri masih memakai baju (batik berwarna merah ikan) sama sewaktu menghadap Sultan Johor. Saya tidak fikir di atas pesawat eksklusif yang membawa Tan Sri tidak ada bilik persalinan? 

Tetapi kerana mungkin sibuk dan kepala buntu dengan masalah yang mengejar diri menyebabkan Tan Sri terlupa atau merasakan tidak perlu menukar baju. Faham lah kita, apabila seseorang sampai tidak sempat untuk menukar pakaian, mengurus diri, bahawa dia sedang bergelumang dengan masalah, apa lagi kalau berlaku kepada pemimpin. Biasanya pemimpin akan tampil dengan pakaian berbeza disetiap majlis dihadirinya. Seorang pemimpin seperti perdana menteri cukup menjaga protokol dan penampilannya.

Tan Sri yang dikasihi. 

Pagi ini ainun saya berat untuk lelap. Fikiran seakan terganggu dengan apa yang berlaku siang tadi. Saya benar-benar simpati dengan apa yang terjadi. Lantas saya cuba menenangkan perasaan dengan menulis warkah ini. Ia lebih kepada saya untuk mengnyahkan kelodak dalam kepala ini daripada mengharap ditatap oleh Tan Sri. Terfikir juga untuk apa yang berbuat begini, menjadi penasihat tidak diundang, sedangkan Tan Sri baru melantik seorang penasihat bijak bistari.

Apa yang berlaku petang tadi sungguh meresah dan menggelisahkan. Perutusan khas Tan Sri cukup mengesankan perasaan saya. Ia sesuatu bukan sahaja mengejutkan, tetapi memalukan. Saya tumpang malu dengan apa yang berlaku. Tanpa Tan Sri sedar bahawa perutusan itu satu pengakuan ikhlas daripada Tan Sri sudah pun hilang segala-galanya; hilang maruah, hilang rasa malu, hilang penghormatan dan hilang sokongan. 

Hakikat itu diakui sendiri oleh Tan Sri, apabila Tan Sri telah menelanjangkan diri Tan Sri yang sudah tidak ada sokongan sedangkan ia tidak perlu dan boleh dielakkan. Siapakah yang menasihati Tan Sri membuat perutusan sedemikian? Siapakah tuan penasihat bijak bistari itu?

Saya tidak tahu kalau Tan Sri tidak terdampak dan malu dengan apa yang berlaku. Dalam perutusan itu Tan Sri mengemukakan satu pelan kononnya untuk menyelamat negara yang kini terbeban dengan pandemik dan cuba membawa negara keluar daripada kemelut maha gila itu. Nawaitu itu suci, dan bangus. Tetapi mungkin tanpa Tan Sri sedari pada masa sama Tan Sri memperakui bahawa Tan Sri sudah hilang sokongan dan berdukacita dengan apa yang berlaku. 

Kalau selama ini Tan Sri bersikeras mempertahankan diri, masih ada sokongan, masih ada majoriti, masih mendabik dada untuk diadukan di parlimen, tetapi semua usaha itu berakhir petang tadi. Perkara yang disembunyi rapi sebelum ini terdedah dengan sendirinya. 

Para juak, pendekar, panglima, parasit yang selama ini berusaha keras mempertahankan Tan Sri demi kedudukan dan kuasa mereka, juga saya kira tidak terkata apa dengan apa yang berlaku selepas itu. Kekecewaan, kesedihan dan keluyaian mereka nampak jelas saat Tan Sri membaca perutusan tadi, mereka berdiri layu longlai tak bermaya penuh pengharapan. Tanpa kehadiran Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob d ipentas sudah memberi petanda buruk. 

Tujuh perkara yang Tan Sri bentangkan sebagai pelan untuk menyelamatkan negara. Umumnya ia menampakkan keikhlasan Tan Sri untuk menyelamatkan negara dan menunjukkan iltizam Tan Sri sebagai seorang perdana menteri. Malang risiko dan natijah pelan itu memakan diri Tan Sri. Tetapi kenapa Tan Sri bentangkan juga untuk membuktikan keikhlasan Tan Sri?

Secara peribadi sebagai rakyat marhaen yang mengimpikan kemakmuran negara, saya bersetuju nawaitu Tan Sri mengambil tanggungjawab menyelamatkan negara. Tetapi apabila sewaktu membentangkan pelan itu ada beberapa perkara dijelaskan dan beberapa daripada pelan itu menunjukkan ia sesuatu yang tidak munasabah, ia menunjukkan kelemahan (keterdesakaan) Tan Sri menyebabkan pelan itu dipersoalkan. 

Apa paling terkesima orang ramai apabila pelan tawaran untuk kerjasama melewati fahaman politik. Ia merupakan satu keberanian Tan Sri terhadapnya, tetapi setelah difahami motifnya maka orang mentertawakan Tan Sri. Tan Sri bertindak seperti orang baru hilang kewarasan. Chip memori Tan Sri corrupt dengan tiba-tiba.

Apa yang menyebabkan orang gelak dan menempelak pelan Tan Sri itu apabila Tan Sri menawarkan kerjasama dengan semua parti-partri pembangkang yang selama ini Tan Sri membencinya. Bukankah alasan Tan Sri mengkhianati kerajaan PH dahulu kerana bencikan DAP dan Anwar Ibrahim? Jadi apabila Tan Sri bersedia untuk bekerjasama dengan mereka demi mempertahankan kedudukan, orang tentu gelak. Itu sebagai menjilat kahak yang jatuh atas tahi lembu.

Perkara ini jelas apabila Tan Sri mengakui kerjasama itu diatur untuk membolehkan usul percaya kepada Tan Sri dicapai di parlimen. Ini suatu keberanian luar biasa Tan Sri yang bagi saya tolol.

Bukan itu sahaja, sebagai imbuhan kalau Tan Sri perolehi kejayaan itu ditawarkan parti-parti pembangkang kedudukan dan perolehan peruntukan tahunan sama dengan wakil rakyat lain. Dan paling melucukan lagi apabila Tan Sri berikrar akan meletakkan Ketua Pembangkang setaraf dengan menteri kanan yang mendapat pelbagai kemudahan.  Secara tidak langsung Tan Sri memperbudak-budakkan pembangkang dan melakukan merasuah terbuka. Kenapa "serewel" (lemah) itu pemikiran Tan Sri. 

Siapakah yang memberi ilham dan idea merangka pelan berkenaan. Ia bukan saja melucukan sebaliknya telah mencemarkan maruah dan prinsip Tan Sri yang sebelum ini sangat dikagumi kerana mementingkan bangsa, Melayu First, Islam wahid. Apakah dengan pelan itu Tan Sri telah meleburkan prinsip Tan Sri. Apabila pelan itu diguna pakai, maka wakil rakyat bukan Melayu yang dibenci selama ini akan terangkul sama? Islam yang hendak didaulatkan juga musnah.

Pelan itu juga melanggar sumpah Abdul Hadi dan Pas yang tidak mahu Anwar dan DAP. Checkmate kepada beberapa wakil rakyat Umno angkat slogan No DAP, No Anwar. Atau pun Abdul Hadi telah memberi dalil baru kepada Tan Sri berhubung hal itu semasa Tan Sri berkunjung dan berbincang dengannya di Rusila kelmarin? 

Pelan atau tawaran kerjasama itu menyebabkan orang tidak simpati bahkan marah dengan Tan Sri. Ia membongkarkan motif disebalik pelan itu bukan untuk menyelamatkan negara seperti mana disebut tetapi lebih untuk menyelamatkan kedudukan Tan Sri dan kerajaan PN yang ditubuh hasil pencurian bijak. Pelan itu dikemukakan oleh seorang yang terdesak dan kelemasan yang bahananya lebih teruk mangsa Cpvid-19. 

Sebenarnya sebelum Tan Sri membentangkan tujuh pelan itu, awal-awal lagi Tan Sri sudah melakukan kesilapan yang mendedahkan kenaifan Tan Sri apabila mengakui bahawa Tan Sri sudah hilang sokongan dengan penarikan oleh 15 orang wakil rakyat Umno. Namun realiti itu masih belum tidak mahu diakui apabila Tan Sri enggan meletak jawatan. Alasan keengganan Tan Sri untuk tidak meletakkan jawatan sekali lagi menimbul persoalan dan dilihat sebagai melanggar perlembagaan. Ini menambahkan rasa jengkel dan "celaka cis" kepada Tan Sri.  

Dalam lemah dan lunyai, nafas di hujung kerongkong begitu Tan Sri masih bersikeras, apabila mengatakan kalau letak jawatan pun tidak ada siapa yang boleh dilantik sebagai perdana menteri kerana tiada mana-mana wakil rakyat yang mempunyai jumlah angka mencukupi. Kenyataan Tan Sri ini angkuh dan sombong dan dilihat cuba menagmbil kuasa Yang di-Pertuan Agong. Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan negara dengan jelas menunjukkan hak dan kuasa Yang di-Pertuan Agong. Tan Sri mendapat nasihat yang khilaf daripada individu berkepentingan.  

Maaf Tan Sri kalau ketika ini Tan Sri sedang menghadap Tuhan. 

Mungkin Tan Sri sudah maklum tidak sampai enam jam selepas pelan perdamaian untuk menyelamatkan kuasa dan kerajaan Tan Sri dikemukakan, ia sudah mendapat feedback daripada semua parti-parti pembangkang yang menolak pelan perdamaian berkenaan. Seorang demi seorang wakil rakyat, membuat tweet di media sosial mengatakan tidak bersetuju bahkan mempersendakan pelan berkenaan. Tan Sri sudah dijadikan badut serkas. 

Tidak tergamak untuk saya kemukakan segala bantahan, cemuhan dan persendaan itu. Tetapi yang jelasnya ia cukup memalukan dan menghina. Muka atau laman media sosial bervariasi dengan ocehan,  kritikan dan persendaan terhadap Tan Sri berkaitan pelan berkenaan.

Penolakan pelan rangka persefahaman rentas parti itu kemudian menjadi rasmi apabila satu demi satu parti-parti pembangkang mengeluarkan kenyataan bertulis menolak pelan berkenaan. Ia bermula daripada parti-parti pembangkang di Sabah, Parti Warisan Sabah, Parti Sarawak Bersatu (UPKO), Parti Ikatan Demokratik (Muda), kemudian diikuti oleh PH - Keadilan, DAP dan Amanah. Parti Pejuang yang sebelum ini diduga akan mengambil sikap berkecuali juga membuat kenyataan menolak pelan berkenaan itu.

Penolakan itu menunjukkan sekali lagi usaha Tan Sri untuk menyelamatkan diri dengan berselindung atas nama negara GAGAL. Saya sudah tidak ingat kegagalan ini sudah yang keberapa? Seolah-olah keberadaan Tan Sri di kerusi PM bukan untuk menyenaraikan kejayaan tetapi kegagalan demi kegagalan demi kegagalan demi kegagalan demi kegagalan.....  

Tan Sri, saya tidak dapat mefirasat apakah tindakan dan pelan (strategi) baru yang akan Tan Sri lakukan selepas ini? Adalah dangkal kalau Tan Sri tidak berfikir (contingency plan) dengan penolakan pelan kerjasama itu. Sebagai seorang ahli politik yang bijak membaca kilau dalam kilat, tahu melakukan gerakan kudeta, pasti ia sudah ada dalam kepala Tan Sri. 

Bagaimana pun Tan Sri disini suka saya memetik satu para dalam surat saya sebelum ini berbunyi: "Sekali lagi saya dengan ikhlas memohon Tan Sri ambillah langkah berani dan bijak dalam situasi hari ini, dengan MELETAK JAWATAN. Usah berdegil atau terus mahu menegakkan benang yang sudah kebasahan, kerana ia meletihkan dan natijah memburukkan diri dan imej Tan Sri sahaja. Benang basah sukar ditegangkan semula apabila dalam hujan. Ambil contoh dan iktibar daripada kejadian dan tindakan bekas-bekas PM sebelum ini."

Berundurlah Tan Sri, berundurlah itulah sebaik-baik tindakan dan solusi. Saya tahu jawatan sesuatu yang cukup disayangi dan permainan (game) yang dikejar oleh semua orang. Tetapi kalau ia sudah tidak sesuai dan tertanggung oleh kita baiklah lepaskan. Tan Sri jangan menyeksa tubuh badan, menyeksa bahu kerana memikul beban yang berat, itu satu kezaliman Tan Sri. Jangan pelihara beruk yang tidak tahu panjat nyiur menghabiskan beras saja disamping menzaliminya. 

Saya percaya kalau Tan Sri berundur masih ada sisa-sisa penghormatan kepada Tan Sri. Orang faham dunia politik, adalah dunia peperangan minda, dan persepsi merupakan satu senjata (risiko) yang payah untuk diatasi. Tan Sri sudah pun menang dan berjaya kerana sudah bergelar perdana menteri. 

Dengan apa yang berlaku, berbagai persepsi buruk telah tertuju kepada batang tubuh Tan Sri. Bukan itu sahaja fitnah juga melingkari diri Tan Sri, keluarga dan kerajaan PN jua. Dan saya hendak ingatkan sekali lagi, kalau Tan Sri masih BERDEGIL untuk membawa usul undi percaya di parlimen, Tan Sri akan jatuh dan tumbang nanti. Tumbang dan jatuh di parlimen adalah sesuatu yang mengaibkan. 

Saya hanya bisa mengatakan itu, apapun terpulang kepada Tan Sri. Mungkin Tan Sri mahu mencitpa satu sejarah lagi, jatuh di Parlimen.

Akhirnya saya pohon ampun dan maaf kepada Tan Sri dengan kehadiran surat saya ini, mungkin ia tidak menyenangkan. Tanpa diminta dan diharap saya tetap berdoa semoga Tan Sri diberikan kesihatan, ketenangan disepanjang masa sekiranya selepas ini Tan Sri tidak lagi bergelar YAB. Wassalam.

Salam hormat,

MOHD SAYUTI OMAR

Penulis Kerdil di pinggir Kota,
Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.


No comments: