ULASAN
Pening memikir politik yang tidak ada integriti. |
"SUMPAH DAN JANJI ORANG POLITIK BUKAN UNTUK DISETIAI TETAPI UNTUK DIMUNGKIRI,” tampaknya jadi kenyataan dan terus relevan.
Madah atau kata-kata hikmah saya ini terbukti dengan apa yang berlaku dan menimpa negara kita hari ini.
Politik negara hari ini "berkucah", hilang kestabilan, rakyat dipalu kecamuk dan gila kerana “terealisasi” seperti apa dinyatakan dalam kata-kata hikmah itu. Apa yang berlaku kini disebabkan tidak setia kepada janji sebaliknya sedia melakukan pengkhianatan yang tidak terfikir akal. Kombinasi dua sifat itu menyebabkan politik hilang kewarasan.
Saya yakini kata-kata hikmah ini menjadi pegangan dan amalan orang politik sebab itulah saya tidak percaya kepada orang politik, baik ianya dari rahim apa sekali pun waima dari rahim agama atau sekularisme.
Rentetan atau kronologi yang beralunan dalam kancah politik dan kepimpinan negara kita kebelakangan ini membuktikan apa yang menjadi pegangan dan keyakinan saya itu benar. Saya akan bentang semula permulaan kemelut politik dan kepimpinan negara yang membawa bahana sampai ke saat ini dan tidak diketahui bila tamatnya.
Pemula pergolakan.
Pergolakan dan ketidakstabilan politik negara bermula dengan kejatuhan kerajaan UBN dalam Piraum ke-14. Kekalahan itu sangat mengecewakan Umno sebagai tulang belakang dan sebuah parti yang mengira ia tidak akan runtuh buat selama-lamanya. Kekalahan pertama kali sejak berkuasa 61 tahun sungguh mencabar dan memalukan.
Dengan kekalahan itu menyebabkan Umno menyimpan dendam yang senantiasa membara kepada pihak yang menyebabkan kejatuhannya, yakni Pakatan Harapan (PH), pembangkang.
Sumpah awal.
Seawal penubuhan PH lagi pemimpin Umno sudah bersumpah akan mengambil alih semula kerajaan mereka. Umno memberi isyarat kerajaan PH tidak akan sampai enam bulan. Maka gerakan untuk mengkhianati dan menjatuhkan kerajaan PH bermula tanpa berhenti, dengan menyuntik jarum untuk memecah belahkan kerajaan PH yang dibawah pimpinan bekas presiden Umno Dr Mahathir Mohamad.
Umno menggunakan strategi psywar, dakyah menimbulkan rasa tidak senang rakyat kepada kerajaan PH. Menjaja kononnya kerajaan PH bukan kerajaan bernuansa Melayu dan Islam, kerajaan yang dikuasai oleh bukan Islam. Kononnya banyak kepentingan Melayu dan Islam diabaikan dan tergadai. Nasib bangsa Melayu dan agama Islam ditomahkan tidak akan terbela. Keberadaan DAP dalam kerajaan PH dan beberapa ahli Parlimen bukan Melayu dalam kabinet dijadikan alasan menunjukkan bahawa kerajaan PH tidak berjiwa Melayu.
Fitnah ditebarkan
seluas-luasnya seperti penjualan aset Tabung Haji, memberi kebebasan kepada bukan
Melayu mengurus negara dan sebagainya. Slogan Rahmatan li alamin ditukar menjadi Rahmatan li kafirin. Dahsyat.
Umno menggunakan apa sahaja mekanisme untuk mencapai hasratnya itu termasuk Pas yang sangat naif dalam strategi siasahnya dan diserang sejak berabad. Tanpa disedari Pas telah menjadi alat dan senjata ampuh untuk mencapai malamatnya. Pas bergerak aktif sebagai propagandis Umno dalam mempengaruhi orang Melayu dengan memainkan sentimen agama.
Umno bijak mengambil kesempatan atas kekecewaan Pas dan geram mereka apabila rakan mereka (Amanah) jadi kerajaan untuk dijadikan alat. Untuk itu Umno berlutut kepada Pas membentuk Muafakat Nasional. Berjanji untuk laksanakan Hudud dan merealisasikan apa-apa yang diimpikan Pas selama ini. Taktik itu berhasil.
Kerana naif mengenali siapa itu Umno dan melupai peringatan Tokguru Nik Aziz "jangan percaya kepada Umno," menyebabkan Pas melihat Umno lebih putih daripada rakan mereka daripada Amanah. Pas nampak yang menggapai tangan di laman syurga Umno bukannya Amanah.
Strategi Umno menghebohkan kerajaan PH anti Melayu berjaya. Ia bukan mengganggu minda rakyat marhaen tetapi minda sesetengah pemimpin dalam kerajaan PH sendiri yang pemikirannya dikira lebih tinggi daripada rakyat, khususnya Mahiaddin Md Yassin.
Sudah diketahui bahawa Mahiaddin ini seorang berjiwa Melayu nombor satu, Malay first. Bakteria itu dicucuk ke dalam diri Mahiddin menyebabkan Mahiaddin tidak selesa berada dalam kerajaan PH dan sanggup melakukan kudeta.
Manakala peranan Pas sebagai propagandis Umno terus mengganggu minda rakyat dari aspek agama juga memberi kesan baik. Kombinasi dua elemen itu menjadikan orang Melayu "ketubaan", prejudis, marah kepada kerajaan PH.
Tidak cukup dengan melancarkan serangan minda (psywar) semata-mata, Umno mula mengatur rancangan secara fizikal dengan menghantar sekumpulan orang Umno untuk menyelinap masuk ke dalam kerajaan PH melalui parti PPBM atau Bersatu. Umno menghantar seramai 13 orang ahli parlimennya. Kemasukan 13 orang ahli parlimen ini boleh disifatkan sebagai skuad dirty dozen, suatu penyamaran untuk berkolaborasi memusnah kerajaan PH.
Perkara ini tidak disedari, ia adalah taktik dan helah licit Umno. 13 orang ahli Parlimen yang jadi alat ini menanggung beban apabila dianggap sebagai mengkhianati Umno, tidak setia kepada parti. Mereka terpaksa menanggung rasa aib dan penghinaan oleh orang bawahan Umno yang tumpul strategi politik. Individu atau ahli parlimen yang jadi penggerak strategi ini ialah ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein.
Kemasukan 13 orang ahli parlimen Umno itu memberi kekuatan kepada PBBM daripada mempunyai 13 ahli parlimen kepada 26. Pihak PBBM khasnya Mahiaddin tidak bersangka buruk dengan kemasukan mereka ini. Sebaliknya penambahan jumlah itu menjadikan PBBM, khasnya Mahiaddin gembira kerana kekuatan PBBM dalam PH sudah bertambah. Tanpa disedari penambahan itu mendorong Mahiaddin untuk menggunanya sebagai energi tambahan bagi menguasai kerajaan PH.
Manakala sebahagian ahli parlimen Umno lain yang berada diluar terus mengadakan hubungan diplomasi dan mencari ruang untuk terus memecah kekompatan PH. Ruang yang dimasuki ialah kedalam Keadilan. Pertelingkahan dalam Keadilan diambil kesempatan. Orang yang menjadi tumpuan ialah Timbalan Presiden Keadilan Mohamed Azmin Ali. Azmin yang ditanam dengan harapan tinggi dan nafsu untuk jadi PM terikut akhirnya.
Usaha ini berjaya apabila Azmin sanggup mengkhianati Keadilan, keluar sambil membawa 10 orang ahli Parlimen yang setia dengannya. Tindakan Azmin itu telah memberi gambaran buruk apa yang berlaku kemudiannya.
Kesanggupan Azmin dan kejayaan Umno atas usaha Hishammuddin itulah membawa kejayaan besar dan ranapnya impian rakyat untuk melihat kerajaan PH "mengobek" Malaysia baru. Dari tindakan dan usaha mereka berdua inilah bermula gerakan untuk menumbangkan kerajaan PH secara fizikal dan lebih agresif lagi.
Detik-detik awal tumbangnya kerajaan PH apabila Mahiaddin membuat tekanan kepada Dr Mahathir. Beliau yang terpengaruh dengan suntikan bakteria Melayu, bakteria anti Islam, mahu Mahathir berbuat sesuatu, memecat anggota kabinet daripada DAP. Keengganan Mahathir menuruti kehendaknya, ia berakhir dengan tindakan drastik dan sangat tidak bermoral, memecat perdana menteri ke-7 sebagai penasihat PBBM.
Apa yang
diharapkan daripada tindakan itu hasil dorongan adu domba Umno berhasil. Akhirnya kerana
berpegang kepada prinsip demokrasi, Dr Mahathir meletakan jawatan apabila
kerajaan PH sudah tidak ada majoriti. Peletakan jawatan itulah membawa musibah
besar, menjadi ibu segala permulaan yang menjadi momentum kepada keruntuhan
kerajaan PH dan bermula kemelut politik negara hingga ke saat ini.
Kerajaan PN.
Dengan bantuan Umno dari luar dan dalam, penyertaan 13 orang ahli parlimen penyamaran, dan bantuan luar daripada kira-kira 15 ahli parlimen lagi, Mahiaddin berjaya menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti tipis 115. Penubuhan itu berjaya dilakukan apabila Pas yang awal-awal lagi terkena sihir dengan air mata Umno telah terpukau ikut sertai sama.
Kejatuhan kerajaan PH itu hakikatnya kemenangan kepada Umno. Umno sudah membuat analisa dan perkiraan awal penubuhan kerajaan baru pimpinan Mahiaddin bakal memberi kesempatan baik untuknya mencapai cita-citanya kembali untuk menguasai kerajaan. Sebab itu Umno membantu meruntuhkan kerajaan PH. Walaupun Umno sudah berjaya menumbangkan musuh utamanya PH, tetapi sebagai parti pernah berkuasa dan jadi raja tidak akan berpuas hati dan berhenti di situ sahaja selagi kerajaan tidak dapat diambil.
Lantas gerakan terus dilakukan untuk mendapat kejayaan lebih besar lagi. Dengan menggunakan kedudukan ahli parlimennya dalam kerajaan, baik yang dihantar sewaktu kerajaan PH bersama PBBM, maupun semasa bersama kerajaan PN, ia memberi aset besar kepadanya. Kesempatan itu diguna dan diolahkan sebaik mungkin oleh Umno.
Menggertak.
Umno mulakan kerja dengan menggertak Mahiaddin yang membentuk kerajaan dengan majoriti tipis. Situasi itu diambil kesempatan sebaik-baiknya. Gertakan pertama masih secara diplomasi lagi, konon Umno akan menyokong kerajaan PN sehingga habis penggal parlimen ke-14. Janji itu umpan lunak semata-mata bukan dari jiwa ketulusan.
Ternyata ia sampai kemuncak apabila mendesak Mahiaddin meletak jawatan. Alasan digunakan Umno untuk menghalakan tindakannya kerana Mahiaddin gagal mentadbir dengan mengemukakan tujuh alasan sengaja direkayasa.
Gertakan menarik sokongan itu akhirnya membawa hasil kepada Umno, apabila Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai timbalan perdana menteri. Sebelum ini Mahiaddin mengosongkan jawatan itu (TPM) tidak memberi kepada mana-mana sahabatnya baik daripada Pas dan Umno, tetapi akhirnya tewas juga terpaksa diberikan kepada Ismail.
Dengan kedudukan Islam di bawah dagu Mahiaddin itu ia membuka peluang terbesar kepada Umno untuk melaksanakan apa dicita-citakan. Sebenarnya kesediaan Ismail Sabri yang jauh dari layak untuk memegang jawatan TPM itu sudah dicaturkan Umno.
Mahiaddin mengira dengan melantik Ismail Sabri sebagai timbalannya ia boleh mengendurkan kemarahan Umno kepadanya. Tetapi apa yang diharapkan tidak menjadi. Dengan tindakan bersepadu Umno dari dalam dan luar, akhirnya Mahiaddin terpaksa berundur. Pengunduran Mahiaddin adalah hukum karma atas perbuatannya 18 bulan lepas.
Esok hampir pasti Ismail Sabri Yaakob akan diberikan watikah untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-9?
Biarpun kerajaan bakal dibentuk nanti kerajaan bersama tetapi dengan Ismail Sabri sebagai Naib Presiden Umno ia adalah kerajaan Umno. Hebat Umno dapat menebus kekecewaan dan kekalahannya dalam masa 40 bulan. Politik khianat tidak ada kejujuran menjayakan Umno dan mengesahkan apa yang dilafazkan arwah Tokguruku Nik Aziz, Umno jahat. Mereka mempercayai orang Umno akan kecewa. [wm.kl.9:21 am 19/09/21]
No comments:
Post a Comment