Tuesday, August 17, 2021

Laksanakan politik baru, jangan ulang perangai lama

ULASAN

DALAM tempoh sebelum tahun ketiga sepenggal parlimen ke-14 negara kita telah bertukar kerajaan dua kali. Seolah-olah kejatuhan kerajaan (UBN) berusia 61 tahun membuka lembaran baharu politik negara ini. Kita sudah mula menerima penyakit politik tidak stabil di beberapa buah negara ketiga lain. 

Fenomena yang kita bimbang itu sudah berjangkit ke sini.

Selepas tumbangnya kerajaan UBN pada 2018, tertubuhnya kerajaan PN. Kerajaan persekutuan pertama dibentuk oleh parti pembangkang yang bergabung dalam PH, Keadilan, DAP dan Amanah yang disokong oleh parti serpihan daripada Umno, Bersatu.

Kerajaan itu bertahan hanya 22 bulan ia jatuh kerana ditumbangkan oleh parti-parti yang bergabung dalam PN. Usia kerajaan PN ini lebih pendek daripada kerajaan PH, hanya 18 bulan sahaja.

Kejatuhan PH disebabkan adanya komplot yang jahat dari kalangan kuncu-kuncu dalam komponen PH sendiri, yang disokong sepenuhnya secara taktikal oleh Umno dan Pas. Demikianlah senario malang buat negara kita. 

Kejatuhan kerajaan PN bukan sesuatu yang perlu disambut dengan festa, tetapi sambutlah dengan keinsafan dan ambillah iktibar daripadanya. Ucaplah innalillah dan takziah kepada Mahiaddin dan kerajaan PN sambil berdoa akan terbangun kerajaan baru yang lebih baik dan berwibawa daripadanya dan kerajaan PH terdahulu.  

Kejadian semalam, 16 Ogos 2021, boleh diambil iktibar oleh banyak pihak, khasnya parti-parti politik yang pernah menjadi kerajaan. Sesungguhnya kita tidak mahu kejadian seumpama itu berulang lagi dimasa-masa akan datang. 

Sehubungan itu kerajaan baru perlu dibina dengan penuh tawakuf dan penuh tanggungjawab. Tanggungjawab besar ialah kepada pihak yang berusaha menjatuhkannya. Menjadi tanggungjawab wajib kepada berusaha menjatuhkan kerajaan untuk membina kerajaan baru sebagai ganti. Jika tidak mereka gagal berbuat demikian apa lagi melahirkan kerajaan lebih buruk mereka berdosa sepanjang zaman.

Kalau semasa kejatuhan kerajaan PH dahulu, parti yang bergabung dalam MN dan PN kena mengambil tanggungjawab. Penubuhan kerajaan PN adalah tanggungjawab mereka. Soal kerajaan lebih baik berbanding kerajaan PH ia subjektif atas penerimaan masing-masing. Kejatuhan kerajaan PN semalam yang perlu bertanggungjawab ialah pembangkang. Pembangkang itu bukan bermakna PH semata-mata tetapi ia  adalah Umno juga yang bermuka dua, sebahagian jadi kerajaan sebahagian pembangkang.

Justeru Mahiaddin tidak boleh meletakkan kesalahan kejatuhan kerajaan PN itu kepada pembangkang PH secara mutlak. Tanpa kolaborasi Umno yang menarik sokongan, beliau tidak akan jatuh dan kerajaan tidak tumbang. Jika ada dendam, kepada Umnolah bukannya kepada PH khasnya Anwar Ibrahim.  

Kerajaan yang baru yang akan dibentuk sehari dua lagi tentulah lebih bewibawa, tidak akan mengulangi apa dilakukan kerajaan-kerajaan dahulu. Perbaiki apa yang tidak disukai oleh rakyat sehingga kerajaan jatuh. Perlu juga disedari kejatuhan sesebuah kerajaan itu hakikatnya ia ditolak oleh rakyat. Rakyat hanya alat yang digerakkan oleh parti politik. Cuba kalau rakyat sepadu menyokong kerajaan PN tidak semudah itu kerajaan dibentuk secara no halal itu jatuh. 

Rakyat mengharap kerajaan baru nanti usahkan mengulang kesilapan kerajaan lampau. Kerajaan baru ini biarlah benar-benar berjiwa rakyat dan memenuhi aspirasi rakyat terutamanya memulihkan ekonomi negara dan mencegah pandemik. Jangan kerajaan itu dibentuk dengan tujuan untuk menguat kelompok parti tertentu. Dalam masa negara diancam pandemik dan kegeruduman ekonomi, ketepikan kepentingan peribadi. 

Satu elemen dilakukan kerajaan-kerajaan dahulu ialah membalas dendam. Misalnya apabila kerajaan PH naik, berlaku tindakan membalas dendam dengan mendakwa individu tertentu yang menjadi penguasa dalam kerajaan sebelum ini. Pendakwaan terpilih, kesalahan yang sengaja diada-adakan kerana nafsu dan dendam bukan berasaskan integriti dan prinsip perlembagaan sejati. Manakala pesalah terdahulu dibebas dan dilepaskan dengan proses dan taktikal perundingan.

Situasi sama berlaku kepada kerajaan PN apabila ia naik ia mengulangi, semua kes yang sebelum ini dibekukan oleh kerajaan dahulu dibuka semula. Tersangka diheret ke mahkamah. Ada kes-kes yang sudah ditutup dibuka semula. 

Sekiranya perkara itu berulang, bermakna tidak ada pembaharuan dalam kerajaan itu. Ia mengulangi perkara sama dan pertukaran kerajaan tidak membawa apa-apa signifikan. Hal sedemikinan tentu memboringkan rakyat menghuduhkan wajah negara di mata dunia. Kesannya rakyat tidak akan percaya kepada sistem politik demokrasi lagi.

Terbaik dalam kerajaan baru nanti, biarlah ia membawa dimensi baru. Apa yang disarankan Anwar Ibrahim dan disambut oleh Zahid Hamidi untuk membuka babak politik baru, kerajaan yang berprinsip, berpelembagaan tanpa berdendam perlu dijadikan asas dalam pembentukan kerajaan baru. Asas itu hendaklah dijadikan roh kerajaan baru tanpa mengira siapa menjadi perdana menteri.  

Untuk tujuan ini semua parti hendaklah berkolaborasi sama. Apa lagi pada saat negara sakit dan terancam ini. Semua parti hendaklah menjadi tonggak dan tulang belakang, berganding bahu membentuk kerajaan. Penjawat mungkin boleh dibuat berasaskan jumlah kerusi dan pengaruh kapasiti parti. Semua parti harus dilibatkan tanpa dikecualikan. 

Dua perkara yang hendak disebutkan di sini kerajaan baru selain daripada berasas kepada prinsip tadi perlu juga membuang politik rasis, perkauman dan memperalatkan agama untuk kepentingan politik. Elemen dan anasir-anasir inilah yang memecah belah rakyat selama ini. 

Sudah sampai masanya generasi kita perlu diperkenalkan dengan acuan politik baru berjuang melepasi kepentingan bangsa dan tanpa menggadaikan pegangan agama masing-masing mengikut peruntukan Perlembagaan. Dan generasi baru harus menyambutnya kerana mereka adalah penerus membela negara di masa depan. [wm.kl.7:58 pm 16/08/2021]

No comments: