Sunday, August 30, 2009

Naluri Kemerdekaan

Merdeka dan Realiti Politik Malaysia

TEPAT jam 00:00 (12:00) tengah malam ini usia kemerdekaan negara akan genap 52 tahun. Setiap kali menjelma detik keramat ini kita menghitung dan mencari makna kemerdekaan. Kita berpolemik mengenai erti kemerdekaan. Macam-macam pandangan dan pengertian mengenai apa itu kemerdekaan yang diluahkan.

Marilah kita menerima pendapat atau pandangan itu semuanya betul. Semuanya ada nilai tersendiri. Kita merdeka dengan baik! Melahirkan pendapat mengenai kemerdekaan itu juga sebahagian daripada kebebasan atau kemerdekaan peribadi. Semua orang ingin bercakap mengikut lidah dan rasanya.

Dalam posting ini saya tidak ingin memperpanjangkan dan mencari erti terpat mengenai kemederkaan. Apa yang hendak ditimbulkan di sini ialah mengenai realiti politik negara kita pada masa ini dan di masa mendatang. Apakah kenyatan yang hendak kita hadapi hari ini sebenarnya? Ada semacam kontra di antara apa yang termaktub dalam jiwa kita dengan apa yang kita praktikkan. Paling ketaranya perbezaan jelas antara aspirasi dan pendekatan ahli politik dengan azam dan apa yang rakyat (Islam) inginkan.

Ada kalanya kita lantang menyuarakan kebebasan dan kemerdekaan, ada kalanya kita menjadi begitu pesimis mengenai kemerdekaan dan kebebasan peribadi. Sehingga kita tidak ingin membuka ruang untuk orang lain merealisasikan nikmat kemerdekaan dari versi mereka. Kita hanya ingin merdeka, bebas dan mendapat semua hak kita tanpa mempedulikan orang lain.

Dalam satu segi kita bersetuju dengan laungan kemerdekaan sejagat itu tetapi dalam segi lain kita menghalang hak orang lain. Di sini ada pertentangan di antara pengertian rakyat (Melayu) dengan matlamat orang politik dalam hal ini. Orang politik mahukan kebebasan, sama rata dan adil demi meraih undi. Manakala rakyat pula perlu dibataskan kerana ia dikira menceroboh hak-hak dan kepentingan mereka, Melayu. Dalam keadaan ini mana satu yang betul?

Baik UBN atau Pakatan Rakyat (PR) menganjurkan politik bekerjasama dalam semua peringkat. Poltii tidak ada sempadanan. Dua parti dominan Melayu Umno dan Pas memerlukan sokongan bukan Melayu untuk mendapatkan undi. Kerana itu kedua-duanya berbaik dan menerima persepakatan hidup di negara ini. Ekonomi peluang pendidikan, berbudaya dan sebagainya diberikan sama banyak mengikut kouta malah kadang-kadang soal kouta ini dirasakan tidak dipedulikan untuk melahirkan keadilan!

Begitu juga dengan pengembangan agama dalam semangat poltik tidak ada sekatan. Orang politik membebaskan semahu-mahunya asalkan tidak menganggu undi bagi mereka. Undi lebih dipentingkan dari kepentingan agama! Tidak ada halangan secara fizikal. Sokongan diberikan termasuk bantuan untuk membina institusi keagamaan.

Orang Melayu termasuk ustaz dan ulama kini sudah pun tegal hadir dalam upcara perasmian tokong Budha atau pun menggunakan kuil Hindu sebagai tempat bermesyuarat dan berceramah politik. Pemimpin Melayu juga sudah memberanikan diri datang ke majlis-majlis keagamaan berteduh di bawah bayangan patong dewa Hindu dan sebagainya. Bahkan sudah ada yang turut memasang lilin bagi menghormati kematian penganut agama lain.

Para ulama politik pula galak membuat tafsir dan mencari kitab-kitab menghalalkan segala tindakan itu. Semuanya atas maslahat undi dan kuasa!

Orang politik menerimanya sebagai satu persepakatan baru dalam politik dan agama. Inilah yang dikatakan semangat se Malaysia ataupun bentuk Malaysia Baru yang dicanang kini.

Namun berbeza pula dari kalangan rakyat bawahan. Anjuran itu ditentang dan tidak dapat diterima sepenuhnya. Anjuran itu tidak dihayati sewajarnya. Apa yang berlaku di Seksyen 23 Shah Alam perisitwa membawa kepala lembu sebagai protes pembinaan kuil Hindu di kawasan mereka menyerlahkan penentangan itu. Sikap rakyat ini jelas berbeza dengan semangat atau anjuran pemimpin politik.

Tindakan di Shah Alam itu menunjukkan masih ada rakyat enggan menerima anjuran politik itu. Bagi mereka kuil adalah tetap kotor dan menganggu keharmonian agama dan sosial mereka. Antara sikap orang politik dan rakyat bawahan ini masih berbezaan dan mana satu yang benar?

Jika mengikut kehendak orang politik masalah pembinaan kuil di tengah-tengah perkampungan Melayu di Shah Alam itu tidak ada masalah. Itu gambaran politik plural negara ini. Makanya ianya bukan satu cabaran dan pencemaran agama malahan realiti yang harus diterima.

Dalam melihat perkara ini bagi saya orang Melayu dan Islam mudah mengalah dan tidak bijaksana. Membina dan mempertahankan agama dalam realiti politik negara ini bukan lagi dengan fizikal. Bukan lagi dengan mempersendakan agam lain yang boleh membawa bahaya perbalahan ethnik. Tetapi dengan kekuatan azam, semangat dan keimanan yang tinggi.

Malaysia tidak dapat lari daripada kenyataan yang aspirasikan oleh orang politik. Orang Melayu Islam kena bersedia menerima pencampuran hidup berbudaya dan beragama. Ini termasuklah pembinaan kuil berdekatan masjid, pembinaan gereja bersebelahan masjid dan sebagainya tidak dapat dielakkan lagi.

Saya mengira tidak sampai 50 tahun lagi dengan rupa politik yang dianjurkan kini akan berlaku hal ini. Dalam tempoh kemerdeakaan satu abad apa yang dilihat di Indonesia, gereja bersebelah masjid akan dapat disaksikan di negara ini. Ia tidak menghairankan kerana inilah kemajuan yang ditafsirkan oleh para ahli politik Melayu sendiri.

Tidak ada pilihan lain untuk menghadapi ini umat Islam kena bersedia menguatkan akidah dan keimanan mereka. Kena penuhkan dada dengan iman yang tebal, bukannya dengan mengumpul kepala lembu ataupun menaggalkan salik-salik didinding gereja. Realiti politik yang dianjurkan pemimpin kita hari ini sedang mengorak ke arah itu.

Kerana itulah apa yang berlaku di Shah Alam itu pemimpin politik baik UBN dan PR bercakap dengan nada yang begitu hati-hati sekali untuk tidak kehilangan pengundi penganut agama Hindu. Orang politik sangat diplomasi bukan menjaga agama tetapi demi menjaga politik yang mungkar.

Kesimpulannya kalau umat Islam negara ini tidak mahu melihat senerio yang mulai dibayangkan kini janganlah memberi kepercayaan kepada orang politik lagi sebab mereka bukan pembela agama sebenarnya! [wm.kl 1:30 pm 30/08/09]

5 comments:

Unknown said...

tertarik dengan frasa terakhir...
'janganlah memberi kepercayaan kepada orang politik lagi sebab mereka bukan pembela agama sebenarnya!'

sebenarnya di Malaysia telah ada masjid bersebelahan gereja...moh bertandang ke Masjid Daerah Teluk Intan,di sebelahnya tersergam sebuah gereja.

Dalam isu pembinaan kuil di Shah Alam pula,banyak perkara yang perlu diambil kira dengan teliti,daripada pendapat penduduk sendiri dan kesesuaian lokasinya.Bak kata pepatah,tarik rambut dalam tepung,rambut ak putus,tepung tak berselerak.

firdaus said...

mungkin jangan diberikan lagi kepercayaan kepada orang politik untuk membela agama bangsa dan negara

tetapi akhirnya langkah politik jugalah terpaksa diambil bagi menangani sesuatu perkara

Malaysia yang majmuk ini memerlukan pemimpin yang begitu faham dan mengerti mengapa dia dilahirkan sebagai seorang rakyat Malaysia

Malaysia memerlukan pemimpin yang mempunyai impian seperti impian Sultan Salahuddin Al-Ayubi yang ingin menjadikan kota Jerusalem@Baitulmaqdis sebagai kota kepada tiga agama samawi dengan aman dan damai, menjadi kingdom of heaven...

bukankah tujuan Allah menjadikan manusia berbagai-bagai kaum untuk kenal-mengenal antara satu sama lain ?

begitulah halnya takdir Allah menjadikan Malaysia negara majmuk, sama-samalah kita diberikan hidayah dan petunjuk...

SELAMAT MERDEKA KE-52

Aku said...

salam ,

saya amat bersetuju dengan artikel tuan ini. semakin hari semakin agama Islam dijual demi kuasa dan undi. semakin perpaduan melayu islam tidak dihiraukan.tak cukup dengan itu, perpaduan atas nama MELAYU DILEKEHKAN.Namun lupakah kita perjuangan ulama dahulu kala sentiasa menekankan perpaduan kaum melayu.tidak pernah mereka mengeji kaum melayu kerana mereka tahu bahawa dengan tertegaknya perpaduan kaum melayu maka islam juga dapat ditegakkan berikutan telah termaktub dengan jelas di dalam perlembagaan kita bahawa salah satu definisi melayu itu ialah ISLAM.teringat kata2 sheikh abdullah fahim ulama sejati yg ikhlas menegakkan agama Allah dalam mengekalkan perpaduan umat melayu islam di sini.Beliau juga adalah ulama yang bertanggungjawab memilih tarikh 31 ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan negara kita dengan ilmu falaknya tetapi amat malang bagi orang2 islam yg cuba memperkotak katikkan tarikh ini sebagai satu pembohongan dan sandiwara!

""Sekarang sudah ada timbul di Malaya mazhab Khawarij yakni mazhab yang keluar dari mazhab 4 mazhab Ahlis Sunnah wal Jama`ah. Maksud mereka itu hendak mengelirukan faham awam yang sebati dan hendak merobohkan pakatan bangsa Melayu yang jati. Dan menyalahkan kebanyakan bangsa Melayu.""

""Tuan - tuan bangsa Melayu jangan tertipu daya hasutan mereka itu dikeluar hukum - hukum yang tiada terpakai dalam Mazhab Syafie, dan fatwa mereka itu akan masalah yang buruk - buruk, sudah terdengar kepada awam, harapan bangsa Melayu jangan berpecah belah sesama bangsa sendiri.""

-SHEIKH ABDULLAH FAHIM


kata katanya di atas membuatkan saya berasa sedih sekali kerana umat melayu kini kian berpecah dan kian bercakaran antara satu sama lain tak lain tak bukan kerana UNDI demokrasi ala yahudi..adakah kata2 ulama di atas juga akan dituduh bersikap nasionalisme hanya kerana beliau menkenakan perpaduan bangsa melayu?

walaupun sheikh abdullah fahim memilih untuk berada di dalam UMNO dan bukan PAS tetapi beliau tetap 'maintain' dengan perjuangan Islamnya dan tidak menjual fahaman agamanya semata2 untuk meraih sokongan undi bukan Islam apabila tetap dengan pandangan agamanya bahawa orang Islam tidak boleh undi orang kafir walaupun merupakan ahli UMNO pertama dari Pulau Pinang!

Sungguhpun sheikh Abdullah Fahim bukan pemimpin utama UMNO, tetapi buah fikiran beliau sebagai orang tua dan ulama yang dihormati amat diperlukan dalam menangani sesuatu isu besar yang dihadapi oleh rakyat dan negara. Sebagai ulama, segala kata-kata dan buah fikirannya diyakini bebas daripada sebarang kepentingan diri serta mendapat petunjuk dari Allah.

saya rindu untuk melihat ulama seperti beliau di zaman ini.namun semua ini hanya mimpi yg mungkin tidak akan menjadi kenyataan kerana islam di bumi malaysia semakin hari semakin menuju kepada kehancuran jika bangsa melayu masih lalai dan alpa bercakaran antara satu sama lain..

zeme said...

Salam Tuan Hj. MSO,

Tika Merdeka meletuskan inspirasi,
Memupuk lapisan jalingan serasi,
Rakyat patriotik bersatu deklarasi,
Malaysia harta sepanjang generasi,

Salam kemerdekaan ke-52.

Wasalam

Rosle Azmi said...

Saudara MSO ! saya bersetuju dengan pendapat saudara iaitu pemimpin Melayu kebanyakannya mementingkan “UNDI” bukan Melayu dapat dikekalkan demi untuk survival politik masing-masing.
Maka itu tidak hairan demi survival politik mereka maka itu ada yang sanggup untuk membakar lilin menghadiri majlis keagamaan kaum lain di kuil Budha atau Hindu. Dan lebih malang lagi, mereka yang hadir ke majlis-majlis ini ada yang bertaraf ulama.
Dalam memperkata isu yang menyentuh soal kuil Hindu, Agama Islam, Bangsa Melayu dan Raja-raja Melayu tidak bolehkah pemimpin-pemimpin Melayu sama ada dari UMNO, PAS, atau pemimpin Melayu dalam PKR dan DAP bersatu?
Bermuhasabahlah kita di bulan Ramadhan yang mulia ini, renung-renunglah apa yang telah dilakukan oleh kaum lain terhadap kaum Melayu. Sudah terlalu banyak perasaan orang Melayu disentuh tanpa pembelaan yang memuaskan dari pemimpin-pemimpin Melayu kerana hendak menjaga “UNDI” dari kaum bukan Melayu.
Dalam isu kuil Hindu ini, pada pandangan saya jumlah pembinaan kuil-kuil ini sudah peringkat melampau kalau diambil kira dari jumlah kaumnya di Negara ini Cuma 7 peratus sahaja dari jumlah penduduk seramai 26 juta.
Masyarakat india cuma kumpulan mainoriti sahaja jika disbanding dengan kaum cina iaitu sebanyak 21 peratus dan tokong china tidaklah sebanyak sepertimana kuil Hindu.