Wednesday, February 27, 2013

Pengganti Saifuddin di Machang Sudah Ada?

SEBELUM LELAP                                                                                                            

Teka-teka mengenai kedudukan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail sudah terjawab malam tadi apabila Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim mengumumkan ahli parlimen Machang itu akan bertanding di kerusi  Kulim - Bandar Baru di Kedah dalam pilihan raya umum akan datang.

Ini bermakna Saifuddin sah meninggalkan Kelantan dan akan berpindah kerusi ke negeri asalnya Kedah.

Menjelaskan perpindahan itu di Machang malam tadi Anwar mengatakan ia atas permintaan rakyat bukannya kerana apa-apa masalah di sebaliknya. Pemilihan Saifuddin bertanding di Kulim - Baru Baru juga sebagai mengembalikan keyakinan rakyat kepada PKR. Saifuddiin adalah antara empat orang bukan anak Kelantan yang bertanding di Kelantan dalam pilihan raya umum lalu.

Tiga dari mereka ialah bekas timbalan presiden PAS alias "orang itu" di Bachok, Dr Mohad Hatta Ramli di Kuala Krai dan Salahudin Ayub di Kubang Kerian.

Pengumuman mengenai kedudukan Saifuddin itu juga menjawab siapakah yang bakal bertanding di kerusi parlimen Machang. Sebelum ini terdengar desas desus mengatakan kerusi Machang yang diperuntukan kepada PKR akan ditukar dengan kerusi Bachok yang diberikan kepada PAS. Alasan pertukaran ialah kerana PKR tidak ada calon berwibawa di Machang manakala PAS pula bermasalah untuk mencari calon yang boleh berdepan dengan Awang Adek Hussein, seorang timbalan menteri.

Bekas ketua pemuda Umno Kelantan, Zaiyadi Awang Noh disebut-sebut sebagai orang yang layak untuk berhadapan dengan Awang Adek memandangkan dia mempunyai keluarga besar. Bagaimana pun Zaiyadi dilihat masih sayangkan Umno untuk menyertai mana-mana parti Pakatan Rakyat dan dia juga tidak terdesak untuk menjadi calon.

Kalau Machang diserahkan kepada PAS, Adun Pulai Chondong Zulkefli Mamat dikatakan akan menerusi tugas dan tanggungjawab Saifuddin bagi mempertahankan kerusi Machang. Zulkefli disebut-sebut akan meninggalkan kerusi Pulai Chondong yang sudah dipegang selama dua penggal setengah.

Tampaknya 'projek pertukaran' itu tidak menjadi kenyataan. Walaupun Anwar tidak mengumumkan calon sesuai untuk diletak di Machang, tetapi saya difahamkan sudah ada seorang tokoh pendidik asal anak Labok Machang dikatakan sudah dikenal pasti akan diletak bertanding di situ menggantikan Saifuddin. Kerusi Bachok pula diserahkan kepada PAS bagi menentukan calon untuk mengganti "orang itu" yang sudah dijelaskan Mursyidul Am Pas sudah tidak ada dalam senarai calon PAS.

Kemungkinan ini bakal menjadi kenyataan apabila malam tadi Zaiyadi Awang Noh yang disebut-sebut akan mengumumkan diri keluar Umno semasa ceramah Anwar Ibrahim di Ketereh tidak menjadi kenyataan. Dalam perkembangan lain Zaiyadi dikatakan sudah mengisi borang keahlian PKR tetapi sengaja tidak diumumkan?

Calon yang akan diletakkan di Machang khabarnya sudah mendapat restu Anwar Ibrahim. Calon berkenaan juga mendapat 'lambaian' dan sokongan padu dari PAS Machang. Manakala calon PAS di Bachok pula nama Ariffin Mahmod terus disebut-sebut bagi berhadapan dengan Awang Adek Hussein. Nama Ariffin lebih popular dari nama Zaiyadi Awang Noh.

Nama Ariffin disebut bersama dua nama lain, bekas MP Bachok Wan Nik Wan Yusuf dan Adun Tawang Hasan Mahmod. Omar Mohamad walaupun dikatakan juga layak tetapi beliau tidak akan dicalonkan lagi kerana sudah terlalu usang.  [wm.kl.11:35 pm 27/02/13]\
Post a Comment