Saturday, February 23, 2013

PAS Yang Bernasib Lebai Malang

RENCANA SUMBANGAN                                                                                           

Saya menerima satu artikel yang agak menarik juga yang mengupas mengenai senario didalam PAS dan menegur serta memberi cadangan terhadap apa yang berlaku ke belakangan ini mengenai tindak tanduk golongan agama atau ulamak di dalam PAS. Penulis berkenaan menamakan dirinya CUCU NUJUM PAK BELALANG Bandar Baru Bangi. 

Saya yakin artikel ini terhasil ekoran meletusnya isu berhubung desakan Majlis Syura Ulamak (MSU) yang tidak mahu menerima Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

Saya mengambil tanggungjawab menyiarkan rencana sebagai sumber dan bahan renungan kita semua. Saya tidak melakukan apa-apa pengeditan kecuali membetulkan beberapa kesalahan ejaan menurut kaedah kewartawanan. Terima kasih kepada pengirim. Salam Mso.

Salam tuan.

Sedikit pandangan atas kelakuan PAS hari ini. Semua persoalan ini mudah dirungkaikan dengan melihat sejarah lampau PAS. PAS terbentuk hasil gabungan Persatuan Ulamak dan Biro Agama UMNO ketika menghadapi pilihan raya 1959.


Aktiviti berpolitik diambil alih oleh bekas ahli UMNO atas keupayaan mereka memasuki gelanggang politik tanah air. Ulamak pula mengambil tempat dalam Majlis Syura atas dasar golongan ini ‘bersih’ untuk bergelumang dengan politik yang ‘kotor’.

Dua darjat itu berjalan seiringan dan memainkan peranan tersendiri terutama pada saat-saat genting. Mereka ini selalu bertelagah atas kefahaman dan prinsip kumpulan masing-masing.

Sejarah membuktikan terpisahnya dua golongan ini dalam era Dr. Burhanuddin Helmi sebagai Yang Dipertua dan Ustaz Zulkifli Muhammad sebagai Timbalan. Jurang ini sangat ketara. Di Kelantan sebagai kubu kuat PAS, Amaluddin Darus tidak sependapat dengan kumpulan Dato’ Asri.

Dr. Burhanuddin berjaya menguatkan aliran politik massa yang secara automatik mengecilkan peranan ulamak. Dato’  Asri menyambung pemikiran tersebut dan menguasai kepimpinan PAS  sehingga membawa PAS ke dalam Barisan Nasional.

Setelah PAS keluar BN, ramai ulamak kontemporari terutama dari ABIM mengambil alih daripada golongan Nasionalis Islam dan membentuk kepimpinan ulamak. Sejak itu PAS dilihat lebih banyak membawa fikrah politik ala Ikhwanul Muslimin yang diterapkan dalam iklim politik Malaysia.

Seperti yang dinyatakan, golongan ulamak menganggap mereka bersih dan hanya tahu bercakap dari atas. Mereka ini sebenarnya hanya tahu ‘berkhutbah’ tanpa wawasan yang jitu dalam lingkungan jumud.
Golongan Nasionalis Islam pula sanggup turun padang, melakukan yang sepatutnya untuk menghadapi musuh, iaitu UMNO. Bila kemenangan dicapai, golongan ulamak menyatakan syukur sambil mengusap janggut. Bila berlakunya tragedi, golongan ulamak menyalahkan kumpulan Nasionalis Islam tanpa mahu terpalit sama.

Buktinya, kesan krisis di Kelantan pada tahun 1978, kumpulan Dato’ Asri dimaki hamun, kena sumpah seranah kononnya silap membawa PAS masuk BN. Padahal keputusan dibuat dalam muktamar khas yang mendapat sokongan majoriti. Inilah perangai ulamak yang berselindung di sebalik serban, jubah, dan janggut.

Ternyata krisis 1978 itu adalah perangkap politik UMNO semata-mata. Jangan lupa watak Dr. Haron Din dan Tok Guru Nik Aziz di kala krisis itu berlaku. Siapa yang menyelami pahit getir dan siapa yang bidan terjun.  

Golongan ulamak jumud dalam PAS diwakili oleh ahli Majlis Syura. Antaranya ialah Dr. Haron Din, dan sekelompok pemimpin PAS Terengganu. Golongan ini sangat faham tentang hukum hakam tetapi tidak pandai mengimplemenkan dalam arus politik Melayu. Mudah menjatuhkan hukum dalam ruang pemikiran sangat sempit.

Orang Kelantan mengandaikan mereka sebagai ‘angin tohor’. Tidak ada kemesraan dan aura bila berbicara dengan mereka. Lagak, gaya, dan pertuturan menjadi kegerunan orang ramai. Hanya tahu menyatakan hukum dan berselindung di sebalik dosa dan pahala serta syurga dan neraka. Angkuhnya mereka seolah-olah malaikat, hakikatnya mereka ini dibuai oleh jeneral-jeneral syaitan.  Apakah syaitan tidak tembus dalam hati mereka ini? 

Sekarang timbul pula krisis dalam Pakatan Rakyat berkenaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Sewaktu mula berjuang, semua bergantung kepada kekuatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Bila kemenangan sudah hampir (padahal belum pasti), golongan ulamak secara tiba-tiba menolak Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Inilah perangai golongan ulamak sejak dulu lagi, menangguk di air keruh atas penat lelah orang lain. 

Isunya ialah  kalimah Allah yang menjadi ‘kamikaze’ UMNO, inipun termakan oleh golongan ulamak. Kebodohan mereka nampak ketara, walaupun berupaya menghafal Quran. Pemikiran golongan ulamak Melayu hanya setaraf Lebai Malang, yang popular dalam cerita rakyat.

Jelas lagi kebodohan mereka apabila bersetuju dengan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Perdana Menteri. Kalau Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘buaya’ apakah Ku Li itu bukan ‘harimau’? Aduh.. kenapalah bodoh sangat? Ingat.. Ku Li itu umpama kucing yang menanti peluang menjerat mangsa. Visinya tetap ada. Sudah lupakah tentang perjuangan kumpulan yang mahu menghidupkan semula UMNO 46?

Nampaknya PAS ingin memberi nyawa kepada musuh.Kenapalah tidak difikirkan, bagaimana hendak menguasai DAP terutama Karpal Singh apabila berkongsi kuasa nanti. Islam sudah mengatasi segala-galanya tetapi lemahnya berfikir golongan ulamak yang tidak nampak sepak terajang politik. Tidak tahukah golongan ulamak yang Dato’ Seri Anwar Ibrahim hanyalah loncatan dalam konsep Tahaluf Siyasi.

Kalau mahir dengan bahasa Quran dan Hadis sekalipun, jangan pula lupa pepatah Melayu “orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa”. DAP pun bukan suka sangat dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim tetapi tidaklah sampai kencing kawan. 

Tidak terfikirkah kenapa Tuan Guru Nik Aziz pergi mencari kedamaian di tanah suci. Mengharapkan sinar untuk rakyat dan negara dengan bertafakur di lembayung Kaabah. Memohon restu atas perjuangan menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan.  

Mencari ilham menyatukan puak-puak bertelagah dalam PAS agar satu hati menentang kemungkaran UMNO. Mendoakan kemenangan Pakatan Rakyat untuk negara dan rakyat memasuki masa depan yang lebih yakin. Menginginkan lahirnya ulamak berfikiran seperti beliau  dalam PAS agar semua yang keruh menjadi jernih.

Andainya polemik ini berlarutan dalam PAS, lebih baik PAS berpecah sebagaimana lahirnya parti Berjasa dan Hamim. Sekurang-kurangnya untuk sementara waktu bagi menindas kejumudan golongan yang mengaku ulamak.[wm.kl.8:41 pm 22/02/13]

Post a Comment