Semalam telah berlangsung penerangan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II (pindaan 2015) bertempat di Pusat Terbiah Islam Kelantan (Putik) Pengkalan Chepa. Penerangan itu dihadiri beberapa pemimpin tertinggi Pas Kelantan, yang diketuai sendiri oleh MB Ahmad Yaakub.
Ahmad Yaakub: Apa yang penting kita yakin kepada Allah. |
Kehadiran dimaklumkan memuaskan. Khabarnya kehadiran malam tadi adalah terbesar setakat ini. Sebelum ini beberapa program dilaksanakan termasuk di Putik ke belakangan ini kurang mendapat sambutan. Namun kehadiran ramai malam tadi khasnya dari kalangan ahli dan penyokong Pas, ia menunjukkan ahli Pas menerima baik Hudud.
Majlis penerangan malam tadi juga sebagai pembukaan kepada majlis penerangan pelaksanaan Hudud yang akan diadakan di seluruh kawasan Pas di Kelantan.
Memandangkan majlis malam tadi mantap dan berkualiti adalah wajar kalau ia juga diperpanjangkan ke luar Kelantan bagi memberi kefahaman mendalam kepada umah Islam dan juga bukan Islam mengenai kewajiban melaksanakan Hudud.
Mungkin bagi menjayakan Hudud ini kerajaan Kelantan boleh bekerjasama dengan agensi kerjaan Pusat seperti Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Yayasan Dakwah Islam (Yadim) serta gerakan-gerakan Islam lain. Juga mungkin pihak kerajaan boleh mendapat khidmat daripada media massa eletronik bagi meluaskan peneyabaran memberi faham, kerana matlamat dan tanggungjawab Hudud adalah hak bersama dan bukan milik bersendirian Pas.
Saya berpeluang mendengar rakaman penuh majlis berkenaan menerusi you-tube yang disajikan menerusi media baru. Penjelasan disegi konsep Hudud dan disegi perspektif perlembagaan diberikan oleh Taiyuddin Hassan. Penerangan Takiyuddin jelas dan menarik ia mengembalikan nostalgia kepada awal mula cadangan atau pun hasrat untuk melaksanakan hukum Hudud di Kelantan.
Menurut Takiyuddin, Hudud adalah agenda utama kerajaan pimpinan Almarhum, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengambil pendekatan "Membangun Bersama Islam". Katanya, sebaik Pas Kelantan diberi mandat untuk membentuk kerajaan pada pilihan raya 1990, Almarhum terus menggerakkan usaha untuk mengkanunkan undang-undang syariah (Hudud) di Kelantan. Katanya Hudud adalah keutamaan kerajaan Pas Kelantan.
Membuka kronologi itu Takiyuddin menceritakan KJSK II yang bakal dilaksanakan itu, bermula dengan pembentukan jawatankuasa mengkaji kemudian menderafkan hukum Hudud.
Jawatankuasa itu diketuai oleh Prof Ahmad Ibrahim dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), manakala ahli lain, Prof Mohamad Saidun, Abdul Hadi Awang (ketika itu timbalan Presiden Pas). Ustaz Haron Taib (Ketua Dewan Ulama), Wan Mutalib Embong, seorang peguam, Mohamad Daud, Kadi Besar Kelantan, Mohamad Daud Iraqi, Exco Agama dan Idris Othman penasihat undang-undang Kelantan.
Katanya KJSK II (1993) mula dibentangkan di DUN Kelantan pada 22 November 1993 oleh Tokguru Nik Abdul Aziz sebagai MB kemudian ia dibahaskan. Kanun itu diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri dengan kesemua ahli Dewan daripada PAS dan Semangat 46 seramai 34 menyokong. Bagaimana pun semasa pengundian untuk meluluskan kanun berkenaan dua orang wakil Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Zakaria Ismail (Adun Meranti) tidak hadir kerana keuzuran. Ini menyebabkan pengundian itu menjadi 34/34.
Walaupun kanun berkenaan telah diluluskan oleh DUN Kelantan tetapi pelaksanaanya terhalang. Ada beberapa faktor yang menghalang Hudud dilaksanakan antara ialah kerana larangan keras daripada Dr Mahathir Mohamad yang menjadi PM ketika itu.
Halangan-halangan lain berupa teknikal berhubung dengan akta tertentu dan juga perlembagaan negara. Perkara paling besar kata Takiyuddin ialah mengenai Perkara 72 dalam Perlembagaan negara merupakan perkara pokok yang menjadi penghalang kepada pelaksanaan Hudud. Kanun Hudud Kelantan terbatal selagi Perkara 72 itu tidak memberi laluan.
Tambahnya, dengan perkembangan terbaru mengeni Hudud kini yang mula menampakkan sinar ke arah melaksanakannya. Walaupun kini ia masih lagi "lekat", tetapi usaha dilakukan secara bersungguh. Satu RUU persendirian akan dibawa oleh Ahli Parlimen Marang Abdul Hadi Awang yang juga presiden Pas pada akhir sidang parlimen yang sedang berjalan kini sebagai usaha menjayakan Hudud.
Dr Mohd Fadzli, Hudud adalah perkara qat'i'. |
Mengenai hudud ini tidak ada sebab untuk mana-mana orang Islam menolaknya kerana hudud adalah satu kewajiban yang jelas dituntut oleh Islam. Katanya sebelum ini kerajaan bersabar dan memberi peluang agar orang benar-benar memahami Hudud sebelum ianya dilaksanakan.
"Mulanya kita tunggu rakyat senang, ekonomi negara baik bagi melaksanakan hudud. Tetapi selama ditunggu itu ternyata keadaan rakyat masih seperti dulu, ekonomi negara bukan semakin baik bahkan merudum, dengan terlaksananya GST ini keadaan ekonomi rakyat makin teruk. Jadi keputusan diambil untuk meneruskan pelaksanaan Hudud selepas menunggu 20 tahun," begitulah kira-kira beliau berhujah memberi alasan kenapa Hudud dilaksanakan kini.
Beliau menolak tuduhan sesetengah pihak mengatakan pelaksanaan Hudud itu dibuat secara tergesa-gesa dan tanpa perancangan rapi.
Menurut Dr Fadzli seperti mana dijelaskan oleh Ahmad Ibrahim bagi melaksanakan Hudud di negara ini ia bukan sesuatu yang sukar sekiranya semua pihak bersatu dan benar-benar mahu melihat hukum Allah tertegak. Mengenai hal ini kata Ahmad, ada tiga perkara yang boleh dilakukan bagi Hudud dapat dilaksanakan.
Pertama, tumbangkan kerajaan yang ada kini. Kedua, pinda perlembagaan, dan ketiga letakkan Quran dan Hadith menjadi asas perlembagaan negara.
Cara pertama itu kata Fazli tidak mudah berlaku kerana ia sudah terbukti beberapa kali Pas melalui pilihan raya tidak pernah menang dan menguasai parlimen. Jadi Pas kini mengambil kaedah atau cara kedua, dengan mencari celah dan ruang dalam perlembagaan.
Peluang dan cara yang membolehkan Hudud dilaksanakan ialah dengan meminda Akta 335 yang bakal memberi ruang dan kuasa lebih kepada Mahkamah Syariah yang kini kuasanya sangat terhad dan jauh dari menempati hukum mengikut Hudud. Cara yang dibuat kini tidak memerlukan kepada perubahan kerajaan dan ia lebih kepada tektikal dan kebijaksana melakukannya.
Dalam pada itu Fadzli melahirkan rasa kesal kepada sesetengah orang yang menuduh kerajaan Kelantan suka kepada undang-undang ekstrem dan fundamental. "Tanggapan ini membahayakan sekali," katanya. Soalnya Hudud adalah sesuatu yang wajib dimana statusnya sama dengan sembahyang, puasa dan rukun-rukun wajib yang lain.
"Apabila kita kata Hudud ekstrem dan fundamental, ertinya apakah sembahyang dan puasa itu juga ekstrem?" Tanya beliau dengan nada kecewa.
Hudud menurutnya adalah sesuatu yang qat'i yang dengan jelas disebut dalam al Quran dimana keabsahannnya tidak boleh diragui.
Mengenai ada tuduhan mengatakan Pas terjerat oleh Umno berhubung Hudud, Fadzli menjelaskan tuduhan itu tidak dapat dipastikan. Apa yang penting katanya Umno sudah berjanji untuk menyokong Hudud dan parti itu telah berjanji dengan Polis, AG, Kadi, Mufti dan sebagainya. "Kalau Umno memungkiri apa yang dijanjikan itu parti itu akan berhadapan dengan rakyat," tegasnya.
Mohd Amar yang ikut sama memberi penerangan juga menjelaskan rakyat tidak perlu bimbang dengan tanggapan Pas termasuk dalam jerat Umno. Kata Mohd Amar Pas tidak bodoh untuk menyerahkan dengan senang lehernya kepada Umno. "Kita tahu apa yang kita buat," jelasnya.
Mohd Amar juga membayangkan usaha untuk melaksanakan Hudud bersama Umno itu mendapat restui Almarhum Nik Aziz. Katanya sebelum bekas MB itu meninggalkan, Allahyarham ada memberi tahu Mohd Amar agar jangan berbalah dengan Umno.
"Sehari dua ini kurangkan sedikit menghentam Umno," begitulah kata Almarhum menurut Mohd Amar.
TMB Kelantan itu juga kesal dan hairan kenapa untuk melaksanakan Hudud jadi "isu besar" dan tuduh ada kerjasama sulit dengan Umno, tetapi kenapa diam bila ada kerjasama atau hubungan sulit lain dengan Umno. Beliau memberi contoh ada orang yang berbaik dengan Tengku Razaleigh untuk mendapatkan royalti minyak, tetapi tidak geger.
Menteri Besar, Ahmad Yaakob yang terakhir berucap meminta rakyat Kelantan yakin dengan Hudud sebab ia adalah hukum Allah. "Kita tidak perlu banyak soal, kerja kita ialah yakin dengan apa yang Allah tetapkan," tegasnya. [wm.kl.8:47 am 03/04/15]
No comments:
Post a Comment