Monday, April 13, 2015

Urus pertelingkahan dengan kompromi dan syura'

JENGUK PAS                                                                                     

Kebijaksanaan Abdul Hadi diperlukan.
Menurut presiden Pas, Abdul Hadi Awang pertelingkahan dalam parti itu adalah terlalu kecil dan tidak membimbangkan. Pertelingkahan dalam Pas katanya pernah berlaku pada tahun 50-an dan 60-an, ternyata ia tidak melemahkan parti itu malahan terus maju dan kuat.

Dari sudut politik kenyataan itu menggambarkan Abdul Hadi mengakui wujud pertelingkahan atau perbalahan dalam Pas pada masa ini, manakala pengungkitan sejarah sukaduka Pas itu menyakini Pas tetap akan utuh. Dalam erti kata lain ahli Pas atau pemerhati bebas usah risau dengan Pas.

Saya bersetuju dengan kenyataan itu. Kandati pun Pas menghadapi pelbagai kerenah dalam perjuangannya, dilambung ombak dan dibedal taufan, tetapi ia tidak sampai mematikan parti itu. Barang kali disini kehebatan Pas sebagai sebuah parti yang berideologikan agama.


Pertelingkahan dalam parti agama seperti Pas bukan satu masalah besar sekiranya pertelingkahan itu dijadikan sebahagian daripada makenisme untuk menguatkan parti yang sudah berusia 63 tahun itu. Pertelingkahan atau perbezaan pendapat adalah untuk mencari kekuatan dan menetaskan idea-idea menyumbangkan kekuatan kepada parti. Tetapi apakah anggota Pas bawahan dapat menerima hikmah dalam pertelingahan ini dan tidak mudah terheret dengan sentimen dan rasa sakit hati?

Hendaknya anggota Pas dan penyokongnya mengetahui hikmah di sebalikan berlaku pertelingkahan dan percanggahan pendapat ini. Jangan hendaknya ia akan diheret keluar daripada rumah Pas sehinggakan ada mendendami dan bercerai berai antara satu sama lain. Kalau itu berlaku ia suatu kerugian besar kepada perjuangan Pas kerana keutuhan sesebuah organisasi apa lagi Pas ialah perpaduan sesama sendiri. Dalam soal ini pengertian dan pengorbanan juga sangat dibutuhkan.

Semua pihak juga harus sedar dan insaf Pas adalah sebuah jemaah yang memperjuangkan Islam. Apakah kita sanggup menguburkan sebuah jemaah Islam? Dan apabila kita mengakui ia sebuah jemaah memperjuangan agama, maka kepentingan-kepentingan duniawi yang lain hanya sampingan sahaja. Untuk menetapkan pegangan inilah bagi saya satu ujian besar yang memerlukan peperangan melawan nafsu (mujahadah nafsu) paling besar untuk memenanginya.

Apabila Abdul Hadi menjelaskan demikian, mungkin apa yang menjadi asas beliau membuat kenyataan itu melihat kepada senario dalam Pas kini. Hari ini wujud dua dimensi pandangan atau pemikiran kurang selari dalam Pas, yang menjadikan Pas mempunyai dua kumpulan atau mazhab. Saya tidak suka untuk memisah dan membentukan Pas kepada dua kelompok laksana Muslim dan Majusi kerana mereka masih berpegang kepada idealogi sama.

Cuma apa yang membezakan mereka, dua kelompok ini sehingga membentuk dua mazhab, ialah pendekatan, uslub atau teknik-teknik untuk mengapai perjuangan. Perbezaan itu "dikarutkan" dengan sikap melebelkan kumpulan itu atau orang-orang tertentu dengan berbagai-bagai nama. Misalnya dinamakan golongan konsevertif, primitif, modenis atau pun profesional. Walhal mereka adalah dari akar dan umbi yang sama. Ibarat pokok mereka bercabang dari batang sama ertinya memiliki DNA yang serupa.

Apakah pemisahan ini sengaja dilakukan oleh pihak musuh Pas untuk melihat Pas berpecah dan tidak padu? Perkara ini yang jelasnya dimomokkan oleh media massa. Kalau begitu pihak musuh berjaya memberi persepsi demikian kepada Pas dan malang lagi disenangi pula oleh sesetengah pihak dalam Pas sendiri. Ada pihak yang ingin memonopoli Pas dengan bentuk pemikiran mereka tanpa mahu berkongsi dengan yang lain. Jika kita semua tahu akan senario ini jadi untuk apa mudah gelabah dan mempercayai kepada pemisahan itu?

Pokok pangkalnya percangahan ini juga kerana perbezaan konsep dan pegangan yang lahir kerana perbezaan latar belakang pendidikan dan terminologi dimiliki dan yang diguna pakai masing-masing. Pengaruh luaran sangat besar ke atas pembentukan pemikiran kedua golongan ini sehingga tidak ada persamaan. Kenapa?

Satu golongan mahukan Pas kekal menjadi parti yang memperjuangkan nilai-nilai Islam dengan cara lama, berpolitik secara tradisional. Kononnya menolak matlamat menghalalkan cara dan memastikan perjuangan Pas dengan cara dibenarkan Allah menerusi amalan dan pentafsiran mereka terhadap sunnah-sunnah Rasulullah. Bagi golongan ini apa yang penting dalam Pas ialah kaedah itu dibenarkan Allah bukan kemenangan mendapatkan kuasa.

Manakala golongan kedua yang berfikir secara moden dan praktis, dan bersifat politik realis. Mereka juga mahukan kepada Islam, tetapi menerusi pendekatan penuh taktikal yang terkeluar dari bingkai konversional corak pemikiran pertama tadi. Merka dilihat lebih waras dan profesional sesuai dengan kedudukan Pas sebagai sebuah gerakan sosial, parti politik yang harusi mengiringi masa, progresif.

Saya tidak perlu persoalkan apakah keduanya jujur mempertahankan prinsip masing-masing atau sebenarnya kedua-dua puak itu mahu mengambil peluang daripada kemenangan Pas? Soal kejujuran kita pulangkan kepada hati mereka, tetapi kita dapat menilai di sebalik tindakannya sahaja. Kalau mereka ikhlas berbuat begitu,  atas keikhlasan, sebenarnya perbezaan itu tidak membimbangkan kerana ia membawa natijah baik tadi, untuk mengukuhkan Pas.

Ertinya kenyataan Abdul Hadi tadi tidak perlu digusari sangat.

Namun kebimbangan tetap ada dengan berpandukan kepada sejarah pertelingkahan sebelum ini, di mana ada akhirnya membawa kepada perbalahan besar, sehinggakan keluar meninggalkan parti dan menubuh parti baru. Bukankah kalau sampai berlaku ke tahap itu ia akan merugikan parti? Alasan Pas pernah bertelingkah dan tidak "memborak" seperti kata Abdul Hadi itu bukan alasan yang konkrit.

Berbalik kepada perbezaan uslub dan kepercayaan kedua pihak tadi, pegangan kedua-dua pihak itu betul dan terbukti kejayaanya. Golongan pertama mendabik dada kelestarian Pas ialah kerana mereka yang betah mempertahankan keaslian Pas. Pas bertahan menjadi parti istimewa kerana pengukuhan daya agama itu. Manakala golongan kedua pula mendabik dada kemajuan dan penerimaan Pas oleh semua orang sehingga mendapat kemenangan besar ialah disebabkan praktis politik kontemporari diambilnya.

Satu contoh bagi menjelaskan keadaan ini, kesungguhan golongan satu lagi untuk melaksanakan hukum Hudud menjadikan Pas dilihat sebuah parti agama yang tegar. Sudah tentu cita-cita itu disukai oleh setiap mereka yang beriman dan mahu bertakwa kepada Allah. Manakala dipihak satu lagi, kejayaan besar Pas berkerjasama dengan parti lain sehingga dapat mencambahkan Pas di seluruh negara membuktikan praktisnya pegangan mereka.

Sebenrnya kedua itu sama-sama berjaya.

Tanpa apolegetik saya sedikit bimbang melihat suasana dalam Pas kini. Pertembungan kedua puak yang seakan tidak dapat saling menerima antara satu lain boleh membuka bekah yang luas. Hakikat ini dapat disuluh dalam proses pencalonan bagi merebut jawatan tertinggi Pas yang akan berlangsung Jun nanti. Hari ini pencalonan merebut jawatan presiden bukan lagi diserahkan kepada Abdul Hadi secara tunggal. Penamaan Husam Musa dan Ahmad Awang maupun Tuan Ibrahim Tuan Man memberi gambaran ia kalut.

Demikian juga untuk jawatan timbalan presiden dan jawatan-jawatan lain. Kekalahan beberapa Yang di Pertua Kawasan Pas dalam mesyuarat peringkat kawasan memberi gambar kekalutan itu bermula di peringkat bawahan lagi. Semacam ada gerakan untuk merubah Pas.

Walaupun Pas "inmune" (kalih) dengan pertelingkahan tetapi ia bukan boleh dijadikan alasan untuk tidak bimbang dan cuak dengan masa depan Pas. Pas boleh melanggar adat yang disebut Abdul Hadi tadi kalau ia tidak ditangani dengan baik dan fatanah. Apa membimbangkan lagi kesan pemilihan itu akan meninggalkan parut walaupun lukanya sudah tiada, dimana partu itu akan dijadikan tanda untuk membabas dendam di kemudian hari.

Justeru seeloknya pertelingkahan dianggap kecil itu hendaklah dibendung dengan segera. Formula untuk membendung ini, kedua puak perlu saling menerima pandangan antara satu sama lain atas semangat persaudaraan seagama dan separti. Dalam hal ini ia sangat memerlukan kebijaksanaan Abdul Hadi bersama pemimpin ternama lain mengurus parti, bagaikan menarik rambut dalam tepong.

Di sini saya tidak nampak kaedah lain melainkan diadakan kompromi  atau syura. Mungkin untuk melaksanakan ini sukar kerana dalam Pas kini semua orang sudah pandai bercakap soal kebebasan bersuara dan demokrasi. Walhal dalam kebebasan bersuara itu dari segi praktisnya tidak luhur ia seperti mana sahaja kata kerajaan Malaysia kononnya negara ini mengamalkan demokrasi tulen sedang ianya banyak kecacatan. Begitu juga suasana dalam Pas sebagai sebuah badan siasah.

Saya tidak yakin kepada kebebasan dan semangat demokrasi dibentuk oleh sistem janaan Barat. Maka cara terbaik ialah syura atau kompromi.

Tidak perlu saya menunjuki jalan lebih terang daripada itu. Cukup setakat menyebut kompromi dan syura sahaja. Ingin diingatkan kegagalan menyelesaikan masalah pemilihan dalam Pas ia akan membawa bahanan besar kepada parti agama itu. Sama-samalah meletakkan rasa kasih kepada parti melebihi daripada rasa 'gila' kepada hal-hal lain dan buang perasaan syok sendiri. Segenap ahli Pas dari pucuk pimpinan sampai kepada ahli dan pengikut perlu buktikan yang mereka adalah sebuah jemaah yang memperjuangkan agama. [wm.kl.1:13 pm 13/04/15]

1 comment:

bat8 said...

Tuan Haji

Pertama, kemelut dan keadaan carcamarba yang sedang melanda PAS sekarang, seperti saya kata semasa krisis MB Selangor, ialah kerana kegagalan kepimpinan TGHH sebagai Presiden PAS.

Apa yang bermula sebagai satu perbezaan pendekatan strategi politik telah dibiarkan melarat sehingga ada kumpulan yang boleh menggunakan platform PAS sewenang-wenangnya untuk kepentingan puak mereka. Ini tidak sepatutnya berlaku.

Perbezaan àrah halatuju politik bukan perkara baru didalam PAS. Kemelut-kemelut sebelum ini hatta episod tahun 1982 dulupun kerana perbezaan pendapat tentang arahtuju politik PAS.

TGHH gagal sebagai Presiden untuk mengembeling kepelbagaian pendapat yang sentiasa wujud didalam PAS ini menjadi satu kekuatan yang ampuh sebagaimana yang telah dibuat oleh Almarhum Ustaz Fadhil Nor dulu. Yang lebih memburukkan keadaan TGHH gagal bersikap neutral dalam masaalah yang menimpa PAS. Sebaliknya beliau telah membiarkan dirinya dipergunakan oleh salah satu puak untuk mencapai tujuan mereka.

Kemelut ini sebenarnya kecil diperingkat awal dan boleh ditangani dengan mudah diperingkat awal melalui kepimpinan yang sepatutnya. Musyawarah mungkin boleh menyelesaikan masaalah ini pada peringkat awal.

Dengan apa yang kita lihat sekarang, kemelut ini sudah menjadi parah. Ia mengancam PAS itu sendiri. Yang kita lihat sekarang ia bukan lagi masaalah perbezaan halatuju tetapi sudah menjadi satu pertarungan maut - the winner takes all and the loser perishes. Amat menyayatkan hati....

Sebena4nya jika TGHH menanggani dengan berhemah dan bijaksana, ruang untuk m3ncari titik damai antara puak, puak yang menyerang dan puak diserang amat mudah di cari, apatah lagi kedua-dua pihak berjuang diatas landasan Islam. Tetapi tidak sekarang. Keseluruhan organasasi PAS telah dirampas oleh satu puak, perl3mbagaan dibakul sampahkan. Tidak ada jalan damai lagi kerana puak yang menguasai PAS sekarang termasuk d3ngan Presidennya sendiri sudah menutup sebarang jalan damai. Mereka sudah nekad untuk bertarung maut. Sedih kerna puak2 ini adalah puak2 tok lebai belaka.

Pada saya mesyuwarah yang tuan cadangkan sudah terlambat. Saya tidak mempunyai jawapan. Saya kira tuan lebih arif tentang PAS, yang pasti masaalah sekarang amat serius kerana ada puak sudah melibatkan pihak luar iaitu musuh politik tradisi PAS dalam kemelut dalaman ini.

Tuan tokleh lagi pakai sipi-sipi......mesyuawarah dah xleh jalan kersna ada puak yang dah tutup jalan itu dan sedang kelaparan darah lawan di muktamar jun ini.