CATATAN PETANG
Ibarat dalam sebuah negeri apabila orang menjadi raja sudah tidak boleh diharap mentadbir dan menguruskan tanah jajahan dengan baik, sama ada kerana sakit atau "lus skru", maka harus ada satu puak ataupun seseorang dalam kalangan mereka yang cerdik dan bijak akal untuk menjadi penasihat bagi menyelamatkan keadaan negeri.
Mereka harus ditampilkan sebagai pemangku bagi mentadbirkan negeri.
Seperti mana dikisahkan dalam riwayat Singapura di langgar todak, ketika itu wujud seorang budak bernama Hang Nadim yang bijak akal mengatasi masalah todak yang mengganas. Raja atau sultan sendiri ketika itu sudah tidak tahu apa hendak dilakukan lagi, biul kerana ramai penduduk negeri itu mati kerana ditikam todak.
Saat raja sudah hilang akal dan ilmu itulah Hang Nadim muncul menyelamatkan keadaan. Menjadi super hero. Dengan kelebihan akalnya dengan mudah serangan todak itu dipatahkan apabila beliau mengarahkan penduduk menjadikan batang pisang sebagai perisai.
Malangnya kehadiran Hang Nadim itu tidak dihargai oleh sultan. Sebaik Hang Nadim berjaya menewaskan todak dia dihukum bunuh. Alasan sultan ialah bimbang budak yang cerdik itu akan menguasai negeri dan mengambil alih tempatnya. Pemikiran demikian tidak patut diwarisi kerana ia merugikan.
Malang dan sedihnya tidak ada siapa yang mempersoalkan tindakan sultan pada masa itu melainkan setelah ianya terkambus dek sejarah. Mungkin rakyat Singapura semuanya taksub dan wala' bengung kepada raja itu sehinggakan semuanya terminum air kencing pandir.
Begitu juga dalam riwayat dan sejarah Melaka, tindakan raja yang tanpa usul periksa dan dibuat atas pendapat yang naif akhirnya menyesalkan dirinya. Sultan Melaka telah mengarah bendahara membunuh Hang Tuah kerana panglima itu difitnah melakukan kesalahan. Tetapi kerana kebijaksanaan bendahara, Hang Tuan tidak dibunuh sebaliknya disembunyikan di hulu Melaka.
Hinggalah sultan menyesal perbuatannya lalu, beliau teringat kepada Hang Tuah tatkala Hang Jebat mengamuk menuntut bela atas pembunuhan saudaranya yang tidak berdosa itu. Saat inilah bendahara yang bijaksana dan kasyaf itu membawa balik Hang Tuah untuk berdepan dengan Hang Jebat.
Bayangkan apa jadi kalau tidak ada bendahara yang bijaksana itu, tentu Melaka jadi huru hara dan sultan itu sendiri hilang riwayat. Demikian juga dengan kecerdikan Hang Nadim yang melawan todak itu. Kalau bukan kerana kecerdikannya itu mungkin sultan juga disodong todak.
Cukup mengambil dua sejarah separuh dongengan itu untuk dipadankan dengan apa yang berlaku dalam negeri bernama Pas waktu ini. Keadaan Pas hari ini kucar kacir dan mulai hilang rasa hormat dan sanjungan orang ramai. Semuanya ialah seperti apa berlaku di Singapura dan Melaka tadi kerana keadaan raja atau sultan yang tidak bijaksana dan sombong, degil dan enggan mendengar kata.
Ada orang mengatakan keributan dalam Pas kini disebabkan agenda musuh. Saya kurang bersetuju kerana sudah menjadi harapan musuh untuk memecahkan Pas dengan apa cara sekali pun termasuk memberi cenuai dan wang kepada orang Pas sendiri.
Kalau kita sudah tahu dengan kerja musuh untuk merusakkan Pas, kenapa kita tidak bertindak membendung kejadian itu. Apabila sudah tahu dan ahli tidak dapat dikawal maka kesalahan itu bukan lagi kepada musuh tetapi kepada diri sendiri. Kenapa hendak disalahkan kepada ibu yang mengandung?
Maka itu Pas kini memerlukan budak cerdik atau orang seperti Hang Nadim ataupun bendahara Melaka itu untuk menyelamatkan Pas. Mereka harus muncul dengan segera tidak kira datang dari gunung atau pun lembah. Sekiranya keadaan dalam Pas kini dibiarkan nescaya Pas akan menjadi caca merba dan sebuah parti yang tidak disanjung hormat lagi. Negeri Pas juga akan jadi padang jarak padang terkukur.
Ada beberapa nama yang saya lihat berpotensi untuk menjadi Hang Nadim atau bertindak sebagai bendahara Melaka dalam Pas. Tiga nama ini sangat sesuai apabila integriti mereka masih boleh dipercayai. Ianya dinilai dari sudut sikap dan cara mereka berpolitik yang cukup sedarhana dan tawaduk. Mereka ialah ketiga-tiga naib presiden Pas yang kalau dalam hierarki di Istana mereka adalah panglima; Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahudin Ayub dan Husam Musa. Inilah tiga budak cerdik dalam Pas pada waktu ini.
Cuba perhatikan mengenai sikap mereka dalam Pas, tenang dan sangat berjimat cermat dalam membuat kenyataan. Mereka tidak gelojoh, jauh sekali menunjuk hebatnya. Tuan Ibrahim dari kenyataanya menggambarkan dia seorang pendamai. Dia tidak suka kepada cara sesetengah ahli Pas yang bergasak sama sendiri yang merugikan Pas. Dalam penilaian saya dua atau tiga kali dia menyeru agar berbaik dan tidak membuka pintu kepada musuh.
Demikian juga dengan Salahudin Ayub. Dia lebih mengambil sikap mendiamkan diri dari bercakap. Salahudin mengelakkan diri terlibat atau pun terperosok dalam mana-mana kumpulan yang nampak agresif sehingga nampak kebundakannya. Salahudin juga menyesali apa yang berlaku tetapi tidak ada upaya untuk mengatasinya. Beliau seakan kecewa mengenang nasib Pas kini dan membimbangi masa depan.
Begitu juga dengan Husam Musa. Selepas diasingkan dari mainstream politik Pas Kelantan, Husam banyak bersendirian mengerjakan amal kebajikan. Dia seakan tidak pedulikan kepada apa yang berlaku dalam parti kerana menyedari power yang ada. Walaupun beliau diharap mencabar Abdul Hadi Awang tetapi saya tidak fikir Husam akan tergamak berbuat demikian. Husam juga sama seperti Salahudin dan Tuan Ibrahim bimbang dengan apa yang berlaku kini. Beliau akan meletakkan keselamatan parti lebih dari segala-galanya.
Bila saya menyebut tiga orang naib presiden ini, bukan bermakna mereka yang lain tidak cerdik. Cerdik atau menjadi sebutan saya kerana dengan kedudukan mereka sebagai pemimpin takah ketiga itu dapat mengawal diri. Mereka tidak excited untuk melonjak naik sebaliknya mengintai peluang dengan baik.
Sikap seperti inilah yang kita mahu dan dicontohi kerana mempunyai nilai kepimpinan. Mereka meletakan masalah kemaslahatan parti lebih penting daripada maslahat puak dan kumpulan. Mereka juga tidak membentuk apa-apa kumpulan untuk dilihat bagaikan kumpula rebana tertentu untuk berlawan dengan kumpulan rebana yang lain. Mereka sedar bertanding rebana tidak banyak laba kecuali dapat mendengar talun dan badan berpeluh balik rumah kalau kalah isteri marah.
Sehubungan itu saya yakin kalau mereka bertiga ini berkongsi idea dan tenaga mereka boleh muncul menjadi Hang Nadim dan bendahara Melaka dalam Pas menyelamatkan parti itu dari karam. Mungkin untuk bersendirian sukar, tetapi kalau menggunakan kedudukan mereka selaku naib presiden ia ada kekuatan dan suara mereka didengar.
Apa yang perlu mereka lakukan ialah menyeru agar ahli Pas di semua peringkat tidak ghairah untuk berlawan. Selain itu mereka bertiga juga harus "merantau" mencari penawar untuk mengubati tuan presiden yang kelihatan sakit sehinggakan tidak dapat berkhidmat dengan mampan lagi kini. Dan sebaik-baik tindakan mereka yang boleh mendatangkan keinsafan kepada orang lain mereka bertiga jangan bertanding apa-apa jawatan dalam muktamar Jun hadapan sebagai kompromi dan memberi laluan kepada yang lain yang berhajat.
Kalau mereka mengambil sikap demikian, sudah pasti orang yang ghairah untuk bertanding dengan apa jua alasan akan turut tergencat dan mudah-mudahan mereka akan ikut sama tidak bertanding dan dengan itu kemelut berebut jawatan dalam Pas kini boleh diatasi. Apakah mereka berani dan menerima pandangan ini sebagai bijaksana? [wm.kl.2:10 pm 23/04/15]
12 comments:
Salam Tn Haji MSO mohon tulis satu buku berkaitan pergolakan dalam PAS ini.
Tuan MSO. Bagimana hendak mengubati Tuan Peesiden yang telah tertelan pil kuda?.
Bukan setakat tuan presiden je tertelan pil kuda... ahlinya pun ramai telan juga.. wala kata kan..
Kami yang bukan ahli ibadah ni pun pasti berkira - kira amalan di dunia ni cukup tak nak masuk Syurga. Kamu yang agamawan ni jangan sampai sia - sia ibadah seumur hidup, tapi mati tak sempat bertaubat.Itu kelakuan yang menzalimi diri sendiri. Kita ni kena saling menasihati sebab dunia ni sementara ja, bila - bila ja kena tarik nyawa. Fitnah pil kuda, tikam belakang, dan seumpamanya, mintak la maaf selagi hidup ni. Biarlah kita direhatkan dari fitnah dunia, jangan sampai dunia direhatkan dari fitnah kita; dah terlambat nanti.
Tuan MSO
Adakah kerana TGHA mahu menyerap pahaman dan pendirian sebagai seorang Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia dimana konsep berpolitik tidak diutama didalam pertubuhan ini sehingga sudah tidak dapat membedakan tugas beliau sebagai seorang Presiden parti politik yang kekuasaan adalah matlamatnya.
Jeng....tok rok cetong berat nanang.....PRU14 KELATE pun lingkup guuuu...ubahlah cara brrfikir tu.
Satu pandangan dan pertimbangan yang adil.Berehatlah tuan presiden. Mentelah kini dah di ikiraf di peringkat dunia, berperananlah dengan lebih efektif dan komited.Berilah peluang kepada salah sorang naib untuk menenangkan keributan yang sedang melanda jemaah sekarang.
Sesungguhnya pergolakan sekarang menjarakkan mereka yg selama ini sudah mula berjinak dengan Pas.Melenturkan semangat anak-anak muda yg sedang membara utk berjuang bersama Pas.Mengecewakan non muslim melihat Pas seakan gelecah rel . Imej Pas yg cantik- bersih yg telah dipasak rapi oleh arwah TGNA seharusnya diperkukuhkan dan bukan sebaliknya.
tuan agak agak berapa ramai yg murtad kerana isu hudud ini
kerana ramai rakyat di bawah yg tidak pakar bingung dgn kenyataan politik pemimpin
yg kedua kalau pas di permainkan kali kedua oleh umno...sisapa yg akan tanggung dosa kerana mengkhianiti undi kami yg inginkan kerajaan zalim umgok di trumbangkan
tidak amanah dalm memimpin
ketiga bagaiman org bukan islam boleh percaya lagi kepada agama islam kerana parti islam terbesar skrg huru hara dgn masalah skrg
Sejak dulu, saya bukan ahli pas, tetapi saya sangat suka mengikuti perkembangan pas sebagai parti yang besar pengaruhnya khususnya dalam kalangan orang Islam. Hilangnya presidennya, Nik Fadzil dan mursidul amnya TGNA, kini pas sebenarnya sudah hilang pemimpin-pemimpin yg berwibawa melainkan TGHA berundur secara suka rela maka mungkin akan muncul pemimpin-pemimpin baru.Hilangnya rasa hormat terhadap pemimpin parti ini khususnya TGHA kerana sikapnya yang bukan sahaja degil bahkan caranya membuat kenyataan seperti kebudak-budakan sahaja. Suka mengeluarkan kenyataan tanpa menggunakan memikirkan kesan kenyataannya itu. Sikapnya sebelum ini khususnya berkaitan perlantikan Menteri Besar Selangor menyebabkan kami bukan ahli pas ini menganggap belaiu sebagai ulama yang tidak berintegriti. Cakapnya tidak boleh dipercayai, sombong dan putar belit.
Tidak dpt di sangkal ke fakehan TGHH dlm bidang agama.
Tetapi tidak jugak dapat di sangkal kegagalan TGHH dlm politik spt hilang terengganu dan kelantan. Kelemahan mengurus konflik PR dan dalaman PAS. Sukar ka utk ahli PAS mengakui hal ini? Pelik sungguh
Kecelaruan dalam PAS ini saya perhatikan bermula sejak 2008 lagi tapi dalam kaedaan samar samar. Mungkin mereka yang berperanan melakukan kecelaruan segan dengan TGNA. Kini TGNA sudah tak ada, maka puak puak ini berpesta sakan. Malah Nik Abduh sendiri sudah terikut ikut dengan rantak tari UG. Jangan lupa bahawa Hassan Ali pernah mendedah kan peranan TGHH dan si BOMOH MELAYU berkaitan dengan UG. video nya masih boleh di excess. Jangan lupa bahawa setelah di lantik sebagai Mursidul Am dengan cara yang boleh di pertikaikan, si Bomoh Melayu ini telah mengeluarkan kenyataan berbentuk ugutan supaya jawatan presiden yang sedia ada di kekal kan.
Di kala ini banyak kawasan sudah pun menghada kan mesyaurat Agong mereka. Amat mendukacita kan bila kebanyakan kawasan masih mementing kan para ulamak. Ia nya seolah olah satu trend untuk melenyapkan mereka yang pro PR tanpa menyedari bahawa kalau UMNO-BARU berjaya dalam misi ini puak puak yang pro UG akan di tendang ketepi gelanggang. Di kalau itu lah nanti baru PAS akan sedar saperti dongeng Raja Melaka yang menyuruh Bendahara membunuh Hang Tuah.
Assalamualaikum.
Hendak sgt TGHH berundur ye. Ok...naikkan Tuan Ibrahim Tuan Man...bukan org lain. Setuju...???
Post a Comment