Monday, April 27, 2015

Ahmad Awang bayangkan dia akan cabar Abdul Hadi

RENCANA KHAS                                                                            

Ahmad akan cabar Hadi?
Kira-kira 200 orang yang hadir pada diskusi dengan tajuk indah, "Mempersadakan Pas di pentas perjuangan" yang menampilkan Ahmad Awang sebagai panel utama sertak itu juga perluncuran buku kecil tulisan Dr Mujahid Yusuf Rawa, berjudul: Melakar Agenda: Masa Depan Politik Malaysia, di Ampang malam tadi saya yakin mereka hadir bukan sekadar mahu membincang bagaimana hendak mempersadakan perjuangan Pas, tetapi lebih penting ingin mengintai-intai apakah Ahmad Awang akan mencabar Abdul Hadi Awang atau tidak.

Persoalan itu lebih membutuhkan jawaban daripada berkongsi idea bagaimana hendak persadakan Pas.

Secara tektikalnya Ahmad sudah pun layak untuk bertanding merebut jawatan presiden Pas apabila sudah menerima lima pencalonan. Bagaimana pun pencalonan itu bukan diperolehi secara rasmi melainkan menerusi maklumat dalam media massa sahaja. Abdul Hadi Awang penyandang jawatan presiden selama lebih 12 tahun kini jauh meninggalkan Awang dan juga Husam Musa dari jumlah pencalonan tidak rasmi, sebanyak 83 kawasan manakala Husam lapan.

Saya yakin walaupun Husam mendapat pencalonan lebih banyak daripada Ahamd Awang, bekas Exco Kelantan itu tidak berani mengambil risiko untuk menentang Abdul Hadi. Ke jawatan mana Husam masih kabur dan beliau kini benar-benar dalam keadaan tidak menentu dan sedang mambaca arah angin. Silap perhitungan Husam tidak bertanding apa-apa jawatan penting.

Berbalik kepada mauduk tadi, kalau bukan untuk melihat atau mengetahui apakah sikap Ahmad Awang itu, saya jamin tidak ramai yang datang. Kalau hanya sekadar ingin melihat perluncuran buku kecil Dr Mujahid orang ramai boleh mengikuti menerusi internet sahaja. Pedas FM sebuah rangkaian radio internet menyiarkan secara langsung majlis malam tadi.

Beberapa penjelasan oleh Ahmad apa yang berlaku di sekitar Pas, dan sedikit menjenguk ke dalam Pas sejak kebelakangan ini memberi kepuasan dan maklumat baru kepada hadirin. Mereka mendapat maklumat sahih dan cerita sebenar terutamanya peristiwa di saat-saat penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dan Selangor selepas pilihan raya tahun 2008.

Apa dijelaskan Ahmad semalam, ia sedikit mengejutkan bagi mereka yang baru mendapat maklumat fresh. Bagaimana sikap sesetengah pemimpin Pas yang mahu "bercina buta" dengan Umno kerana mengejar kedudukan. Begitu juga penglibatan Mufti Perak Harusani Zakaria dalam politik di negeri itu sehingga sanggup berkereta ke Kota Bharu dalam hujan malam dan memanipulasikan hasil perjumpaan dengan Allahyaraham Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ahmad juga mendedahkan bagaimana beliau diasak oleh pimpinan tertinggi Pas agar menerima kerjasama dengan Umno.

Bagaimana pun malam tadi orang ramai pulang dengan tanda tanya apabila Ahmad enggan menegaskan apakah dia akan mencabar Abdul Hadi atau tidak. Situasi masih suspen. Sebenarnya naluri orang ramai malam tadi mahukan penegasan daripada bekas Pesuruhjaya Pas Perak itu setidak-tidak untuk memuaskan hati, bahawa kedudukan Abdul Hadi yang disifatkan sesetengah orang menjadi liabiliti kepada Pas akan dicabar dan tidak menang percuma.

Sebaliknya naluri itu dilayan oleh Ahmad dengan menjawab dia akan tunggu dan lihat kepada pencalonan. Menurutnya masih ada sekitar 30 kawasan yang belum membuat keputusan. Tetapi daripada apa yang dibayangkan semalam menunjukkan sekiranya ada pencalonan sampai 40 kawasan dia pasti akan mencabar Abdul Hadi. Tampak Ahmad sangat berhati-hati dan menyerlahkan sebagai sifat al ulama sebenar yang tidak gila kepada jawatan dan gila glamour.

"Kita tengok pencalonan nanti, sejauh mana, ada 30 kawasan yang masih belum membuat keputusan dan ada juga kawasan yang tidak mencalon sesiapa," katanya.

Hurainya apabila ada kawasan yang tidak mencalonkan sesiapa, ia seperti tidak bersetuju dengan presiden kerana dalam keadaan orang mahukan presiden mempertahankan jawatan tetapi sesetengah kawasan itu mengambil sikap berkecuali. Dapat difahamkan yang tidak mencalon presiden itu ialah kawasan yang tidak mahukan kepadanya?

Sindiran atau gambaran harapan itu sebenarnya sangat jelas bagi saya, Ahmad sudah bersedia untuk berdepan dengan Abdul Hadi. Ini dikukuhkan lagi kekerapan beliau turun padang sejak ke belakangan ini, seperti hadir ke penamaan calon pilihan raya kecil Rompin dan juga Permatang Pauh. Dalam usia 79 tahun beliau masih lagi mengagahkan diri dan bersemangat memberi petunjuk beliau sedia untuk memimpin Pas.

Malam tadi pun Ahmad sanggup berdiri untuk menjawab pertanyaan hadirin, sikap itu menjelaskan dia masih kuat dan bersemangat untuk bertanding.

Sekiranya bekas Naib Presiden Pas itu melawan Abdul Hadi bukan menunjukkan dia membenci presiden itu, tetapi perlawanan itu sebagai teguran secara demokratik kerana Pas sebuah parti demokrasi. Jadi tindakan Ahmad itu nanti masih berpelembagaan. Justeru tidak betullah kalau ada sesetengah budak-budak hingusan dalam Pas, kalangan ustaz juzu amma, mengatakan Ahmad Awang jahat dan khianat kepada kepimpinan ulama.

Pandangan dan analisa Ahmad kepada apa yang berlaku dalam Pas kini juga menarik. Katanya pertelingkahan yang berlaku dalam Pas kini, bukan disebabkan perbezaan golongan ulama dan profesional, tetapi apa menyebabkan berlaku pertelingkahan kini kerana ada yang kesal dan kecewa atas kegagalan pemimpin termasuk presiden menguruskan parti secara adil dan saksama.

"Bukan soal jalur ulama atau profesional, tetapi amanah dan keadilan yang sepatut dilaksanakan secara baik tidak berlaku dalam Pas, inilah menjadi punca wujudnya kekecewaan dan kekesalan, pertelingkahan," begitulah kira-kira katanya sangat jelas dan tepat.

Menilai sosok Ahmad Awang untuk diangkat sebagai presiden Pas beliau memiliki kelebihan dan keistimewaan tersendiri. Mungkin bagi mereka yang baru semalam memasuki Pas atau baru baligh dalam Pas tidak mengenali siapa dia Ahmad. Beliau tidak dikenali kerana tidak ada yang menobat dan menjunjungnya macam tapai beras.

Ahmad Awang sebenarnya lebih luas pengalamannya dalam gerakan Islam, khasnya dakwah Islamiyah berbanding dengan Abdul Hadi sendiri. Beliau pernah berkhidmat di Pusat Islam dengan memegang jawatan selaku Pengarah Dakwah, dimana orang yang bertanggungjawab merangka dan membina modul dakwah di negara ini menerusi institusi berkenaan. Selain itu juga beliau pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia (PUM), sebuah organisasi dakwah yang berpengaruh hingga ke peringkat antara bangsa. Dalam kata lain Ahmad mempunyai ilmu dan pengalaman mengurus secara sistemetik dan bukan seperti mengurus surau atau masjid sendiri.

Dalam erti kata lain beliau lebih awal menggerakkan aktiviti dakwah berbanding dengan tokoh-tokoh lain dalam Pas termasuk Hadi sendiri. Hebat atau tidak, berkesan atau tidak beliau menggerakkan dakwah semasa menjadi Ketua Pengarah Dakwah, sehinggakan beliau ditekan oleh pemimpin Umno termasuk Dr Mahathir Mohamad sendiri.

Seperti ceritanya bekas Setiausaha Agung Umno (saya percaya Sanusi Junid) mendesak agar Ahmad Awang meninggalkan Pusat Islam kerana beliau telah menjadikan Pusat Islam sebagai satu entiti kepada Pas. Dr Mahathir pula tidak habis-habis memperli dan menekan Ahmad Awang kerana penglibatan beliau mengembangkan Islam sejajar kehendak Pas di Pusat Islam itu. Bagi Umno secara diam Pusat Islam tekah ditadbirkan oleh Pas dengan Ahmad Awang sebagai ketuanya.

Pernah dalam satu perhimpunan agung Umno, Dr Mahathir menyindir Ahmad Awang yang mengetuai Persatuan Ulama Malaysia dengan mengatakan di negara ini kalau anda mahu dikenali sebagai ulama dan menjadi ulama, sertailah Persatuan Ulama Malaysia, anda akan jadi ulama secara automatik. Sangat mudah untuk anda menjadi ulama. Begitu sekali Dr Mahathir mengkritik Ahmad Awang dan menghina institusi Islam.

Kenapa Mahathir mengkritik dan menekan Ahmad ialah kerana dari persepktif Mahathr peranan yang dimainkan Ahmad Awang menerusi jawatannya itu membahaykan Umno dan menyebabkan Pas makin subur dan diterima umum. Menyedari hakikat itulah menyebabkan Ahmad Awang akhirnya dibeku dan diturunkan pangkat sebagai pengarah Dakwah Pusat Islam.

Memahami tindakan kerajaan UBN ke atas Ahmad itu menunjukkan beliau seorang yang bahaya dari konteks Umno. Ahmad ada keupayaan dan idea kepimpinan tersendiri bagi mengembangkan Islam di negara ini. Ini sangat berbeza dengan batang tubuh Abdul Hadi dalam mata Mahathir. Seingat saya Mahathir tidak pernah sekali pun mengkritik atau menegur Abdul Hadi seperti mana dilakukan kepada Awang Awang dan juga Nik Abdul Aziz. Bahkan semasa Abdul Hadi kuat "mengucar" sehinggakan mengeluarkan Amanah Haji Hadi, Mahathir biarkan sahaja tanpa mengenakan apa-apa tindakan.

Kenapa, ini kerana bagi Mahathir, tahu Abdul Hadi tidak seorang sosok yang bahaya kepada Umno. Mungkin dengan ilmua psykologis yang tinggi yang dimiliki oleh bekas PM dia sudah dapat membaca bahawa tindakan dan corak kepimpinan Abdul Hadi memberi kebaikan kepada Umno kerana itu baginya beliau tidak dikritik dan terus diharapkan menjadi pemimpin Pas kerana ia melabakan Umno selagi Hadi menjadi orang nombor wahid.

Apa yang dirasakan itu hari ini sudah menunjukkan bukti dan hasilnya. Dengan Abdul Hadi menjadi presiden Pas selama 12 tahun, Umno menjadi lebih mudah untuk mengukuhkan kuasanya dan juga menarik perhatian orang Melayu supaya bersama dengan Umno. Pas hari ini pun berada dalam keadaan tidak mantap dan kemas. Dan Terengganu yang tersimbah tsunami Reformasi 1999 dikuasi Pas, tetapi 2008 kalah kembali.

Kelemahan daya kepimpinan presiden Pas itu sehinggakan ia meresahkan orang ramai, membuktikan Abdul Hadi telah berjaya melaksanakan harapan dan impian Mahathir, dimana kenaifan kepimpinan Abdul Hadi itu melemahkan Pas dan menjadikan Umno tidak perlu berfikir bagi mana untuk mengatasi Pas. Isu-isu Hudud, pertelingkahan Abdul Hadi dengan PKR dan DAP secara tidak langsung kerja-kerja Umno telah dibeli oleh Abdul Hadi.

Sebab itu kalau diperhatikan Umno beriya-iya benar mempertahankan Abdul Hadi sebagai presiden sampai menggunakan Utusan Malaysia kerana bagi Umno selagi Hadi berada di kerusi itu Umno tidak begitu bahaya dan tidak perlu berkerja kuat untuk memasti kemenangan kerana ia telah dibantu oleh Hadi dan mereka sepagar seteman dengannya.

Berbalik kepada soal Ahmad Awang tadi saya yakin pada Jun depan, dua anak Awang akan berentap untuk merebut jawatan utama Pas. Kalah menang bagi Ahmad tidak menjadi persoalan, yang penting dia menjalankan tanggungjawabnya cuba mengisalahkan parti yang disayanginya, menerusi kebenaran demokrasi yang diamalkan dalam Pas. Bagaimana pun bagi anak Awang seorang lagi beliau harus insaf kalau pun tidak bertaubat, bahawa kepimpinannya sudah mulai dicabar.

Inilah bahananya Pas tidak terbuka hati untuk mengamankan Pas (Ahmad) dengan melantiknya sebagai Mursyidul Am seperti mana saya cadangkan sebelum ini.  [wm.kl.10:25 am 27/04/15]
Post a Comment