Tuesday, April 11, 2017

Ke arah gabungan politik agama (Islam) - bangsa Melayu terbesar

LONTARAN CITA

Dalam muktamar parti agama (Islam) se Malaysia (Pas) hujung bulan ini ramai pemerhati dan mereka yang concern dengan politik mahu melihat ada pertandingan merebut jawatan penting dalam parti itu setidak-tidaknya untuk jawatan naib presiden kalaupun bukan timbalan presiden. Perebutan itu dinanti-nanti dan ditunggu-tunggu untuk dibuat tafsiran akan berlaku ethnik clensing kedua dalam parti itu sesudah ia dilakukan pada tahun 2015 di Kuala Selangor.

Kuala Selangor telah menjadi pengkalan untuk menghanyutkan orang-orang yang dikatakan cuba menukar isme politik Pas selama ini. Selamanya Kuala Selangor dikenang sebagai tapak pembunuh beramai-ramai dalam Pas. Dengan penyingkiran secara "seraga ayam" itu maka kukuhlah kedudukan orang yang berasa dirinya berpegang kepada isme agama sebenar, menguasai parti itu.

Penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah) pula memberi peluang untuk bekas pemimpin Pas itu membukti dan menunjukkan apakah idealisme siasah mereka diterima atau ditolak.

Bertolak dari situ, apabila ada kenyataan-kenyataan daripada pemimpin Pas sekarang ini yang dilihat kurang senada dengan kenyataan tegas (konsisten?) presiden maka ia dikira akan berlaku pembersihan puak yang kedua dalam parti tersebut. Ada saki baki pro-lib (profesional-liberal) dalam parti itu yang menjadi duri dalam daging.

Pembuangkan golongan profesional tempoh hari jelas, ia terarah kepada dua matlamat disamping untuk mengukuhkan cengkaman puak agamawan dalam Pas terhadap parti itu, ia adalah untuk merangka tahalul syiasi politik lebih bermakna dan tepat dengan latar belakang Pas dengan (baca dengan Umno).

Betapa itu yang ditunggu-tunggu untuk dilihat perkembangan selanjut dalam Pas, tetapi bagi saya muktamar bakal diadakan di Kedah hujung bulan ini tidak menimbulkan banyak masalah kepada Pas. Muktamar itu dari segi perebutan jawatan akan berlangsung dalam keadaan aman damai penuh harmonis dan semangat RUU 355.

Walaupun ada pencalonan untuk mencabar jawatan diperingkat timbalan presiden dan naib, saya kira ia akan dilengsaikan dengan baik. Mereka yang dicalon tidak akan meneruskan hajat dan akan menarik diri demi menyerlahkan semangat ukhwah Islamiyah.

Penarikan diri suatu tindakan berbentuk tektik dan muslihat dalam politik. Cara itu untuk menunjukkan betapa ikhlas dan wala'nya orang-orang dalam Pas yang ada hari ini. Mereka yang bermukim dalam Pas kini bukan seperti golongan atau puak profesional yang ingin mengubah "dasar" dan polisi Pas yang telah hilang ketaatan dan tidak tahu menghormati ulama.

Jadi penarikan diri itu adalah tektik bagi menunjukkan dalam Pas kini semuanya mereka bertaraf ahli syurga. Mereka ikhlas dan tidak mengilakan jawatan kerana itu semua kununnya duniawi.

Maka pertandingan dan suasana yang disukai oleh pihak luar Pas itu, bagi saya tidak akan berlaku. Hatta untuk peringkat jawatankuasa kerja juga tidak akan berlaku perebutan melibat begitu ramai calon. Jadi "kertas chai" tidak perlu disediakan kali ini seperti mana dalam muktamar di Kuala Selangor itu. Mungkin kalau ada perebutan pun bertujuan untuk menyulat mana-mana ahli jawatankuasa kerja yang relatif tidak berdaya maju dan kerap tuang mesyuarat atau keuzuran.
 
Walaupun begitu bagi saya muktamar itu dikira masih penting untuk digunakan sebaik mungkin kerana ia adalah muktamar terakhir sebelum Piraum ke-14. Pas perlu menggunakan sidang itu untuk memberi sesuatu impak besar dan mencapai konsensus penting menjamin kemenangan besarnnya nanti, atau membuktikan bahawa Pas adalah pesaing Umno dan terus akan diharap menjadi parti alternatif. Paling penting Pas harus menguak ke arah perjuangan lebih terbuka dan Abdul Hadi Awang perlu mencetak sejarah tersendiri.

Apa yang saya maksud di sini, Pas patut menggunakan muktamar berkenaan bagi mengambil keputusan mengenai strategi parti itu untuk menang dalam Piraum akan datang. Dalam kancah politik hari ini masalah besar yang berhadapan dengan Pas ialah perpecahan mereka dan pemisahan daripada parti pembangkang Pakatan Harapan. Pas kini sudah tidak dianggap sebagai komponen pembangkang lagi dan jalan untuk bersatu sudah tipis.

Dalam senario hari ini, Pas tidak boleh bersendirian. Melarikan diri dari mana-mana kumpulan dan hidup secara kera sumbang, terpencil.. kerana ia sangat bahaya. Pas akan jadi seperti anak kambing terpisah dari kumpulannya, ia mudah akan dibaham serigala. Maka Pas perlu kepada gandingan baharu untuk terus dilihat sebagai parti yang bermaruah. Untuk ini tidak ada lain cara Pas perlu bergabung dengan UMNO. Penggabungan ini boleh dilakukan dengan berbagai cara, sama ada langsung atau tidak langsung tetapi bukan persefahamn tersembunyi seperti hari ini -- ta'awun. Pas harus gentlemen.

Rintis kerjasama

Kerjasama politik kena dirintis atau kalau sudah dirintis ia kena diikat. Penggabungan dengan Umno memberi kesan besar kepada politik negara ini. Penggabungan Pas - Umno adalah penggabungan dua isme (fahaman ideologi) politik, Islam dan Melayu. Pas mewakili atau menunggaki isme Islam manakala Umno Melayu. Apabila wujud penggabungan itu maka terhasilah sebuah gabungan bergagaskan politik Melayu - Islam terbesar di negara ini yang sebenarnya sudah lama didambakan.

Gabungan politik ini sangat tepat dan wajar untuk Pas dan Umno berlawan dengan gabungan satu lagi yang mana dalam gabungan itu mengabungkan isme-isme, liberalime Islam, liberalisme Melayu dan demokrat sosialis. Maka jika ini menjadi kenyataan negara akan bergerak ke arah sistem dua parti berasaskan isme atau aliran, Melayu Islam dengan liberalisme demokratik sosialis.

Teknik atau mekanisme kerjasama antara Pas dengan Umno boleh dilakukan dengan cara; pertama, Pas boleh bergabung dengan Umno untuk berada dalam BN. Untuk ini Pas kena berikat dahulu dengan Umno, bukan kemasukan seperti tahun 1971 secara sebuah parti komponen. Kedua, Pas boleh bergabung dengan Umno menarik Umno keluar dari BN mewujudkan sebuah gabungan Melayu Islam tadi tanpa dicampur dengan isme atau fahaman-fahaman dan ideologi lain.

Saya rasa sudah lama orang Melayu khususnya mengimpikan untuk melihat penggabungan sebegini. Baik Pas dan Umno tidak perlu takut dengan penggabungan ini. Tidak perlu malu dikatakan sebagai rasis. Bukankah kita mendakwa orang Melayu kuat menyokong kita? Melayu tradisi kental dengan Umno manakala orang Islam pula bersimpul mati dengan Pas?

Keadaan itu sudah pasti akan mengejap dan mengukuhkan gabungan kedua parti itu. Lagipun selagi wujud dua parti Melayu - Islam terbesar begitu, dunia akan melihat Melayu masih terpisah dan dipecahkan. Halangannya ialah politik. Halangan nafsu politik ini perlu dihapuskan dan ia tidak perlu wujud di zaman tanpa sempadan yang penuh mencabar ini.

Pas dan Umno tidak perlu malu untuk mengorak langkah ke arah ini. Apa lagi segan dengan pihak lain. Jangan peduli kepada kecaman lawan. Teruslah bersanggama. Kalau ini hendak dilakukan ia bukan mengaibkan sebaliknya suatu tindakan jauh ke depan yang sangat rasional dan progresif bagi bangsa.

Ia juga tidak akan menjatuhkan martabat, sebaliknya menambahkan ukhwah Melayu. Kedua parti itu juga harus peka dengan perubahan dunia, serta himpitan globalisasi. Dalam dunia sedang menuju ke puncak perubahan pembentukan dan perancangan sosio ekonomi dan agama menjadi roh perjuangan, ia sangat baik.

Kesempatan ini pada masa ini juga baik apabila Umno dan Pas sudah mengendurkan fanatisme kepada ideologi (dogma) Islam dan nasionalis yang selama ini saling bertentangan. Kejayaan rancangan ta'awun yang sudah mulai diterima rakyat patut diambil kesempatan dengan baik. Umno dan Pas perlu bertindak sebelum rakyat tertuba dan menjadi lebih mabuk dengan serangan lawan. Pensanggamaan mereka berdua diharap akan lahir anak halal bukan anak luar nikah.

Peristiwa perobohan Berliner Mauer - Tembok Berlin boleh dijadikan panduan dan dikutip untuk dijadikan semangat pendorong.Tembok Berlin berdiri memisahkan Jerman Barat dan Jerman Timur selama 30 tahun. Akhirnya kerana kesedaran rakyat di kedua belah blok dan untuk mencari kekuatan, serta menyedari pemisahan itu perbuatan bodoh, tembok yang dianggap trirai besi di Jerman itu akhirnya dirobohkan.

Perlu menggali apakah signifiken tujuan di sebalik perobohannya dan keuntungan kepada Jerman selepas 30 tahun kemudian. Dari segi asasnya ia mahu membebaskan manusia berada dalam satu sepadan geografi agar tidak terikat dengan fahaman yang merugikan bangsa. Tetapi hasil perobohan itu menjadikan keselamatan Jerman lebih kuat dan ditakuti musuh-musuhnya. Perobohan itu juga mengurangkan masalah besar buat Censelornya.

Perbezaan dan perwujudan Pas di satu sisi dan Umno di satu sisi lain itu bagi saya, adalah seperti pembinaan tembok Berlin itu dahulu yang saling ingin menunjukkan kekuatan dan kebenaran yang kemudian keduanya berkorban mendapatkan kebenaran yang sebenar.  Nah, begitu juga dengan Pas dan Umno sudah sampai waktunya meruntuhkan tembok yang memisahkan mereka dalam dua ideologi yang banyak merugikan bangsa. [wm.kl.11:28 am 11/04/17]

3 comments:

lenups said...

pandangan sisi lain yang terbaik...

Abang Ily said...

Terbaek tuan MSO..

HASSAN SHEIKH SEYLAN said...

Tapi jgn lupa mca mic dll dlm bn. Juga umno terlalu banyak skeletons in the cupboard - kena dibersihkan dahulu baru boleh dpt sokongan majmuk melayu/islam.