Thursday, November 10, 2011

Jangkaan Petang

Parlimen Tidak Akan Bubar Esok?

ESOK 11.11.2011 tarikh yang dikatakan diminati oleh Haji Mohd Najib. Kononya Najib akan menggunakan tarikh itu sebagai tarikh untuk membubarkan Parlimen. Kalau Parlimen dibubarkan esok, bererti dalam masa 60 hari pilihan raya umum ke 13 akan diadakan. Kesegeraan Haji Najib membubar parlimen bererti dia mahukan pilihan raya diadakan pada tahun ini juga.

Kemungkinan itu pada saya amat mustahil. Ertinya esok tidak ada pembubaran parlimen oleh Najib. Banyak sebab kenapa saya mengatakan demikian. Dalam tempoh sebulan ini rakyat negara ini sibuk menghadapi sisa-sisa usia tahun ini. Rakyat sibuk untuk menyediakan bajet masing-masing untuk digunakan tahun depan.

Bajet rakyat juga akan bergerak seiringan dengan bajet kerajaan. Kalau kerajaan mengunjurkan pertumbuhan ekonomi 5.6 peratus, rakyat akan menganjurkan angka lebih rendah dari itu. Rakyat tidak percaya kepada unjuran kerajaan.

Dalam kesibukan rakyat itu, tidak mungkin pilihan raya pada bulan Disember. Lagipun banyak perkara yang belum siap dan perlu diperkemaskan oleh Najib. Dari sudut kesediaan untuk berdepan dengan pilihan raya nampaknya Pakatan Rakyat lebih bersedia. Begitu juga dengan rakyat, masing-masing menanti untuk melalui pilihan raya ke-13.

UBN belum menuba atau saiko rakyat habis-habisan lagi. Peruntukan untuk rakyat menerusi wang segera (one-off) juga masih ada yang belum diterima. Setengahnya akan diberikan pada awal Januari. Itupun kalau duit ada, kalau tak ada hanya boleh dengar figure sahaja. Figure tidak boleh dimakan.

Klinik 1 Malaysia, Kedai Rakyat 1 Malaysia juga masih bermasalah. Harga barangan di Kedai Rakyat 1 Malaysia tidak stabil, dan ada barangan harganya lebih mahal dari kedai runcit orang Acheh atau kedai mamak di celah flat. Semua itu kena diperkemaskan oleh Najib sebelum parlimen dibubarkan.

Selain isu-isu lain juga banyak dan makin bertambah. Nama-nama calon UBN juga difahamkan belum selesai dan masih ada yang belum putus. MCA menuntut kerusinya, manakala Umno mahu mengambil mana-mana kerusi yang gagal dimenangi MCA. Begitu juga dengan MIC. Khabarnya sesetengah orang Cina yang menyokong MCA sudah bersiap sedia untuk swing kepada Pakatan Rakyat ramai-ramai kalau kerusi mereka diambil. Salah satu ialah di Wangsa Maju.

Secara diam MCA memprotes dan mendesak Najib. MIC juga khabarnya memberi kata dua kepada Haji Mohd Najib. Mereka sedia menerima apa saja pemberian projek, tetapi mereka tidak akan bertolak ansur dengan kerusi. Mereka - MCA dan MIC sudah mengira kalau kerusi mereka mengecil akhirnya mereka kehilangan kuasa. Hendak tak hendak mereka kena mempertahanakna kerusi mereka untuk dipertandingkan.

Perlantikan menteri menerusi senator tidak menjadi kuasa mereka akan kekal. Ia hanya mampu bertahan selama tiga tahun saja. Mereka sedar akan tektik dan strategi memancing sokongan menerusi kedudukan dan pangkat ini. Jadi masalah ini masih 'berpolet' dan 'berbalut', makanya tidak mungkin Haji Najib akan segerakan pilihan raya.

Tidak cukup itu konsensus dengan parti-parti komponen lain juga belum selesai seutuhnya. PPP pimpinan Kyevas juga menuntut dua tiga buah kerusi. Belum nampak bayang kerusi mana yang akan dilepaskan kepada PPP. Salah satu kerusi diminta PPP ialah Parlimen Kuala Krai di Kelantan. Naib Presidenya, Nik Sapia berhajat bertanding di situ. Tetapi sebahagian besar ahli Umno mahukan kerusi itu dikekalkan kepada BN.

Begitu juga dengan Sabah dan Sarawak. Yang paling rumit kepada Haji Najib untuk menghadapi masalah bakal ditimbulkan oleh PBB di Sarawak. Hubungan Najib dengan Taib Mahmud belum pulih molek. Kritikan Najib kepada Mahmud kerana lama berkuasa masih luka dan terus berdarah. Permintaan Haji Najib agar Taib Mahmud berundur benar-benar menyinggung hati Taib Mahmur sampai Taib kata orang Semananjung jangan buat pandai di Sarawak.

Itu masalah besar. Ada khabar sekiranya kena cara dan saluran PBB akan bertanding secara bersendiri, maksudnya tetap guna lambang BN tetapi kalau menang belum tentu mereka akan memberi sokongan kepada BN. Tidakkah haru kalau begitu.

Kewujudan Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) juga menjadi gangguan kepada Najib. Walaupun Amanah baru tetapi Ngo pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah itu tetap menjadi gangguan. Kalau sebelum ini Haji Najib menerima cadangan Umno Gua Musang supaya tidak mencalonkan Tengku Razaleigh untuk kerusi Parlimen Gua Musang, tetapi mungkin cadangan itu kena direnung kembali. Kalau Tengku Razaleigh terus diberi kerusi apakah Ketua Pemuda Umno Bazlan tidak akan mengamuk!

Sebuah lagi Ngo yang masih belum selesai dan dapat kata putus iaitu kedudukan Perkasa(m). Ada pendapat mengatakan presidenya akan diberi laluan untuk kerusi Pasir Mas. Tetapi ahli pertubuhan itu khasnya pemimpin yang berwibwa juga mahukan kerusi tersebut. Kalau mereka tidak diberikan kerusi dan cukup menghadiahkan kepada ketua mereka saja, tentu akan bangkit kemarahan.

Manakala penyerahan kerusi parlimen Pasir Mas kepada presiden Perkasa(m) itu menjatuhkan maruah Mustapa Mohamed, Awang Adik Husin dan sekalian pemimpin terbesar di Kelantan. Mereka akan dilihat sebagai pemimpin yang tidak ada batu ***** kerana terpaksa akur dan tunduk kepada ketua Ngo itu. Rasanya lebih baik UBN hilang kerusi Pasir Mas daripada menanggung aib dihina apabila kerusi itu dipajakkan oleh ketua Ngo itu.

Semua masalah-masalah itu perlu diselesaikan dahulu kalau Haji Najib hendak bubar Parlimen. Kalau ia dibubar dalam keadaan belum bersedia ibarat kata Haji Najib sengaja belayar malam waktu hujan ribut. Saya tidak fikir Haji Najib sedia berbuat begitu kerana masa masih ada untuk menanti hujan ribut reda dan menanti mentari baru 'jeluah' semula diufuk timur. Tempoh berakhir penggal parlimen ke-13 ialah pada Mac tahun 2013.


Di sini cuma saya nak tanya apakah ilham (waridat) yang Haji Najib perolehi selama 10 hari di Arab Saudi itu? Mat Maslan tentu boleh menjawabnya. [ttdi.2:40 pm 10/11/11]

Wednesday, November 9, 2011

Susupan Petang

Menilik Ngo Bernama Amanah

AMANAH Merdeka (Amanah) yang dilancarkan tiga bulan lalu sudah pun didaftarkan sebagai sebuah NGO yang sah. Perkara ini diumumkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah sebagai presiden bersama barisan kepimpinannya semalam di Kuala Lumpur.

Mulai saat ini Amanah sudah menjadi sebuah NGO rasmi yang boleh bergerak mengikut lunas undang-undang. Kita yakin selepas ini Tengku Razaleigh akan mengumumkan apakah plan bergerak Amanah dan juga aktiviti yang akan dilaksanakan. Ia akan disusun bagaimana untuk meletakkan Amanah ditengah-tengah massa dan dapat dimanfaatkan oleh semua.

Kewujudan Amanah itu sendiri nampaknya terbuka dan bersifat nasional - Malaysia. Ia bukan jumud dan rigid seperti pertubuhan Ngo Melayu lain yang agak ekstrim dan juga lebih tegar kepada keMelayuan. Dengan penyertaan beberapa bekas pemimpin parti politik berbagai kaum, aktivis sosial menjelaskan Amanah adalah bersifat kebangsaan dan bersendikan kepada perjuangan bersama.

Antara tokoh politik yang bersama Amanah ialah bekas timbalan presiden MIC S Subramanian, bekas presiden MCA Ong Tee Keat, timbalan presiden United Pasokmomogun Kadazan Dusun Murut Organisation (Upko) Datuk Wilfred M Bumburing.

Lainnya ahli politik veteran Sarawak Datuk Daniel Tajem, bekas presiden Majlis Peguam Datuk K Ragunath dan bekas pesuruhjaya Suhakam, Tan Sri Simon Sipaun serta beberapa bekas pemimpin veteran Umno yang lain seperti Kadir Sheikh Fadzil dan lain-lain.

Susunan barisan kepimpinan juga ia melambangkan Amanah sebauah Ngo yang mempunyai aspirasi Malaysia.

Kombinasi pimpinan ini sesuai dengan aspirasi amanah itu sendiri ialah untuk memperjuangkan agenda atau pun pesaka perjuangan yang ditinggalkan oleh Bapak Malaysia Tunku Abdul Rahman. Dalam erti kata lain Amanah akan memikul amanah dan aspirasi Tunku Abdul Rahman yang ternyata berjaya meletakkan asas dan tapak kukuh dalam pembinaan bangsa dan negara.

Sudah tentu kewujudan Amanah itu mengambil fungsi itu. Amanah adalah amanah dan responsbiliti untuk meneruskan jihad dan matlamat perjuangan yang jelas dan sudah diterima umum. Kenapa ia diwujudkan juga mungkin kerana pemimpin Ngo itu keliru dan tidak yakin dengan peranan dimainkan oleh parti-parti politik hari ini khasnya Umno dan BN dalam mempersatukan rakyat Malaysia menjadi satu warga yang bersepadu dalam erti kata apa yang menjadi cita-cita dan harapan bersama.

Secara umum dapat difahami kewujudan Amanah ialah untuk dijadikan wadah atau forum rakyat negara ini menyampaikan apa-apa suara atau rintihan jiwa mereka kepada kerajaan yang sukar dilakukan. Khasnya suara itu dari bekas pimpinan Umno dan juga ahli yang komited tetapi terhalang kerana sebab-sebab tertentu misalnya masalah kepuakan dan kroni. Begitu juga halnya dengan BN... di mana ahli-ahli yang mempunyai pandangan dan idea tidak dapat tembus untuk menyampaikan buah fikiran mereka.

Tengku Razaleigh sendiri banyak menyatakan kekesalan dengan cara parti Umno diuruskan sekarang ini. Ahli Umno sudah tidak dapat memberi pandangan atau membuat teguran kerana birokrasi begitu menebal dalam Umno. Perhimpunan Umno hanya mengendorsekan apa-apa yang telah ditetapkan oleh pucuk pimpinan tertinggi saja. Dalam kata lain forum tahunan itu bukan sesuatu yang realistik lagi melainkan...beg perwakilan yang berubah wajah setiap tahun.

Gara-gara itu menjadikan ahli Umno mandul, tidak merasakan mereka ada wibawa sebagai ahli kerana suara mereka disekat dan dihalang. Naluri dan hajat akar umbi juga tak sampai ke puncak. Sebab itu juga rumusan dan konklusi yang dicapai dalam himpunan itu hambar dan tidak dilaksanakan dan bersepai begitu saja. Sebabnya Umno sudah tidak ada roh dan semangat.

Bertolak dari itu saya tampak Amanah ditubuhkan untuk menjadi saluran. Saluran ini juga tentulah bukan saja kepada ahli Umno, atau ahli lain-lain parti dalam BN tetapi kepada seluruh rakyat dan warga yang lain khususnya generasi muda. Amanah adalah wadah alternatif massa.

Mengenai ke mana Amanah selapas ini apakah ia menjadi sebuah badan politik atau tidak, belum tentu. Tetapi kalau Ngo ini mendapat sambutan dan kepercayaan saya yakin Amanah boleh muncul menjadi Ngo yang bertindak sebagai suara kedua selain dari politik negara ini. Gerakan ini boleh bertukar daripada badan pemantau kepada badan bertindak. Suara ini akan jadi penting dan besar kalau keahliannya dalam jumlah yang besar.

Apa yang penting juga sama ada Ngo ini akan dihormat atau tidak ia bergantung kepada bagai mana ia diuruskan. Kalau ia dijadikan alat politik murahan tidak mustahil ia akan dianggap sama saja dengan Ngo-Ngo lain yang sudah wujud berlambak sebelum ini. Amanah akan gah diawal tetapi akan pudar di hujung.

Justeru kita berharap Amanah akan menjadi wadah tempat dimana berhimpunnya suara yang tidak berpuas hati kepada gelagat politik. Hendaknya Amanah akan menajadi wadah kepercayaan rakyat negara ini. Mungkin ia sukar diyakini sebab sebahagian besar pemimpinnya orang politik, tetapi itu tidak menjadi masalah kalau keputusan, pandangan dan rumusan yang dibuat tadi bersikap adil, berlandaskan kepada perjuangan bangsa dan tidak miring kepada kepentingan peribadi dan satu-satu pihak ia akan berjaya.

Mengambil amanah Tunku Abdul Rahman sebagai teras dan intipati perjuangan, maka tidak ada sebab untuk orang lain melihat kehadiran Amanah sebagai sesuatu yang menganggu perjuangan dan agenda parti politik lainnya. Amanah adalah arkit tempat rujukan mereka yang mahu melihat Malaysia ini terbentuk mengikut acuan awalnya... menjadi satu negara yang didalamnya terbentuk satu bangsa dari berbagai kaum.

Selamat berjaya Amanah. [wm.kl.2:29 pm 09/11/11]

Catatan Misi Pintu Korban

Dari Banda Aceh Terus Ke Gual Nibong

SEPATUTNYA cerita Acheh bersambung semalam tetapi kerana keletihan dan ada sedikit halangan, pagi ini baru dapat mencatat criteria di Acheh. Sebaik sampai dari Banda Acheh saya terus pulang ke Kelantan untuk menemui bonda tersayang. Ada sedikit khabar kurang enak memberi tahu ibu saya terjatuh pada hari korban. Dia terjatuh semasa lembu kesayangannya hendak ditumbangkan.

Entah macam mana ketika memberkasnya tiba-tiba si Abu, (nama lembunya) melompat tinggi menyebabkan ibu terkejut dan jatuh. Katanya ibu hampir-hampir pengsan.

Mendengar itu tanpa peduli kepada kecapekan dan keletihan saya terus ke Kelantan. Walaupun dalam keadaan kaki terhinjut-hinjut kerana tumit pedih dan ngilu, (gout memperhambakan diri) terpaksa juga memandu kembali ke kampung. Alhamdulilah sepanjang jalan selamat.

Menjelang tengah malam sampai di rumah ibu, dan terus mendapatkannya. Hati rasa lega apabila melihat beliau tidak apa-apa. Ibu masih kukuh bagaikan pohon mengebar. Kepulangan saya yang mengejutkan itu menggembirakannya. Paling gembira ialah saya kerana beliau tidak ada apa-apa.

Hampir sekerat pagi itu dipenuhi dengan cerita dia terjatuh dilantun lembu, sehingga cerita Acheh terkambus. Keletihan dan kepenatan saya juga tersapu dengan hilai tawa ibu yang lucu mengenangkan apa yang berlaku. Ah ibu... seninya hidupmu dan kasihmu masih belum terbalas walaupun sejemput oleh daku.

Dan selepas memeluk dan mencium ibu, saya yang pulang bersama isteri dan seorang anak berpatah balik semula ke KL. Alhamdulilah sekali lagi perjalanan yang sesekali dihalang jam berbatu-batu di Machang hingga Kuala Krai dan ditambah sedikit di Bentung Pahang itu selamat dan sempurnannya.

Di sini saya akan menyambung kisah di Acheh, misi "Pintu Korban Di Acheh 2011" yang diadakan pada tahun ini. Misi kali ini sangat bermakna sekali. Syukur segala hajat dan niat dapat dilaksanakan dengan sempurna. Tuhan mempermudahkan perjalanan ala-ala Siti Hajar kepada saya kali ini. Dan Tuhanlah juga yang menyempurnakan hajat kawan dan sahabat yang ikut sama menghulurkan sumbangan atas niat berkorban Nenggore Aceh. Semua sempurna setuntasnya.

InsyaAllah mungkin untuk siri akan datang akan dilaksanakan dengan lebih teratur dan sistemetik lagi. Mungkin dilain kali kita akan menyertainya secara rombongan. Mungkin awal-awal lagi misi ini dilancarkan... agar tiada yang berhajat tertinggal. Hari itu saya terpaksa menutup lebih awal pintu korban dan saya mohon maaf kepada penjenguk yang menghubungi untuk ikut sama mengambil bahagian berkorban. Saya percaya darah korban anda tetap juga mengalir membasahi bumi keimanan.

Di pagi Aidil Adha itu, sebelum ke lokasi pengorbanan paling dekat saya bersembahyang raya di masjid Baiturrahaman di Banda Aceh. Satu pengalaman baru untuk saya di Acheh.. inilah pertama kali solat raya di sini. Sebelum ini saya sudah beberapa kali solat raya baik Aidil Fitri atau Adil Adha di hampir serata Indonesia.

Ternyata apa yang berlaku di sini unik dan sungguh menggugahkan perasaan. Perkara paling menyentuh hati ialah melihat bagaimana umat Islam Acheh tidak kira kecil besar, tua muda, sihat dan usuzr berduyun-duyun datang ke masjid untuk bertakbir, tahmid dan berhari raya. Setiap wajah yang masuk ke laman masjid terbayang kesucian dan ketulusan. Kehidupan mereka yang agak terkebelang dari kita juga tidak terbayang langsung. Kemiskinan berbanding dengan kita bukan penghalang dan ternyata mereka kaya raya dengan zuhud dan ketakwaan.

Kandatipun mereka tidak mengenakan pakaian yang mewah, dan ala kadar sahaja, tetapi mereka tetap nampak gagah sebagai jemaah Allah. Pancaran melusan dan ketulusan iman terpantul dari raut wajah.

Pagi itu perkarangan masjid Baiturrahaman tidak ubah seperti di padang Arafah penuh dengan lautan manusia. Di sekeliling masjid kelihatan seperti ladang kapas yang sedang berkembang, putih memutih dengan wajah-wajah yang jernih dan ceria. Paling teruja dan menyentuh hati ialah apabila melihat gerombolan muslimat yang berada di dataran masjid - tanah lapang di bahagian hadapan masjid. Di dalam masjid usah cerita, sendak dan padat macam sadin dalam kaling.

Pandangan paling mengharu saat mereka bangkit untuk mengangkat takbir, saya nampak ia persis seperti ombak yang membadai secara serentak. Ombak itu mulanya bergerak perlahanan kemudian menjadi cepat dan bergulung kemudian bersatu dengan bumi. Takbir itu yang bergema saya merasakan seolah-olah benteng kepada tsunami.

Pandangan seperti ini tidak pernah berlaku di Malaysia kecuali di negeriku negeri Kelantan Darunaiam. Di sinilah kalau boleh dikatakan ada persamaan di antara Acheh dengan Kelantan, di mana kaum muslimat iktu sama turun ke lapangan untuk bermunajat dan berdoa kepada Allah. Di Kelantan sejak negeri itu dipimpin oleh Tokguruku Nik Aziz, kerap kali dapat menyaksikan suasana demikian apabila kaum muslimat turut berhimpun di stadium dalam keadaan mengenakan pakaian solat apabila sesekali ada majlis doa, solat hajat dan munajat. Solat aidil fitri dan aidil adha adalah himpunan meneguhkan iman.

Dalam sebak hati dan derai air mata menyaksikan kehebatan rakyat Acheh, - melihat kumpulan muslimat yang memutih suci, hati saya tersentuh dan terus mengenang apakah suasana demikian (di Stadium Sultan ke-IV) akan ada lagi selepas ini setelah Tokguruku Nik Aziz sudah tiada di dunia ini? Apakah selepas ketiadaan beliau maka semua momentum dan himpunan sebegitu akan hilang? Semoga tidak, Tuhan akan memberi pengganti yang lebih hebat dari Tokguruku itu bagi mengekalkan Kelantan sebagai jiran Acheh Darul Salam.

Dari masjid saya bertolak ke lokasi korban. Salah satu lokasi yang sempat hadiri ialah di Kampung Garun, mukim Ujung Batil. Beberapa lokasi lagi tidak sempat hadir dan diserahkan kepada wakil yang dilantik khas. Di sini seekor lembu dan tiga ekor kambing dikorbankan. Acara ini dikepalai oleh Tok Imam di sini, Tengku Jamel.

Acara di Kampung Garun ini adalah simbolik kepada majlis korban di lokasi-lokasi lain. Untuk upacara atau majlis seperti ini, masyarakat kampung mudah memberi kerjasama. Mereka akan bekerja sama dan sifat permaufakatan masih kental. Melihat korban di Acheh ada beberapa keunikan yang mungkin boleh dikongsikan. Di sana masih ada lagi perbuatan atau pun kepercayaan-kepercayaan yang agak sumbang dan anih tidak kedapatan di tempat kita.

Misalnya bagaimana haiwan khususnya kambing yang hendak dikorbankan dirai dan dihiasi demikian rupa. Seharian sebelum hari korban kambing akan dimandi dan dibersihkan terlebih dahulu dan dihias dengan seindahnya. Di kepalanya akan diletakkan bunga sebagai mahkota.

Disaat ia hendak dikorbakan, tukang 'jemelih' (sembelih) akan mengkosmetikkan kambing berkenaan. Dipakai gincu, dibedak, disikat, disembur dengan minyak wangi. Sesudah itu kambing itu akan disuakan cermin untuk melihat wajahnya apakah cantik atau tidak. Tukang jemelih, sambil menghulurkan cermin akan menolog; "cantik... cantik...cantikkan..."

Selepas semua selesai kambing itu akan didukung oleh dua orang untuk dibawa ke tempat pengorbanan. Sebuah lubang kecil digali untuk memastikan darah kambing tidak berladum di merata tempat.

Sebelum disembelih sehelai kain putih dibentang di atas sebagai lelangit dan dipayungi dengan sekaki payung. Saat leher kambing itu dipotong orang ramai yang berada di situ akan menggemakan laungan takbir, Allahuakbar... Allahuakbar Allahuakbar walhamdulilah ilhamd...

Semula melihat ini timbul perasaan kurang senang di hujung hati saya. Apakah ianya bersalahan dengan hukum sehingga menimbulkan bidaah dan sebagainya. Saya tidak berani untuk mengulas sesuatu tetapi yang jelasnya upacara mengkosmetikkan kambing itu tidak bersalahan dengan hukum ia adalah adat betapa penghormatan kepada haiwan ternakan Rasulullah.

Akhirukalam...khas kepada penjenguk yang menyertai misi Pintu Korban Acheh 2011, saya menyampaikan salam segenap masyarakat Acheh di sana yang menyentuh dan merasai manisnya daging korban kalian semua. Pastinya walaupun kita tidak dapat merasai semua, manis dan lemaknya daging korban, namun telah kita wakil kepada lidah mereka untuk merasainya.

Titisan darah setiap dari haiwan korban itu adalah saksi kepada pengorbanan kita untuk sesama manusia dan terpuncaknya tentunya sebagai menyatakan kepasrahan kita kepada-Nya. Wassalam. [wm.kl.10:46 09/11/11]









Monday, November 7, 2011

Kemeriahan Hari "Memegang" Di Aceh

[kemaskini] SEHARIAN cuaca di Tanah Rencong Nenggore Acheh Darulsalam ini mendung dicelah dengan gerimis. Keadaan menjadi dingin dan sejuk. Kubah hitam masjid Baiturrahman yang dapat dicuri pandang dari bilik penginapan ini nampak kelabu.

Pemandangan menjadi agak kabur dan berbaur apabila ada manik-maniki tetes hujan yang melekat di kaca tingkat. Kubah hitam yang warna sama hitam dengan Kaabah di Makkah ini sering kali menggamit perasaan saya!

Entah... setiap kali saya melangkah ke Tanah Rencong ini, bila terpandang Baiturrahman kenangan saya terus mengimbau ke Makkah. Sejuta kenangan bergelombang ke dalam diri dan menggelegak bagaikan gulai..kambing campur nangka.

Mengenangkan cuaca yang redup terbetik di dalam hati apakah esok keadaan ini akan berterusan? Gerimis dan mendung. Atau akan berhenti secara tiba-tiba. Naluri juga mengusik apakah keadaan ini menandakan satu lagi tsunami akan melanda Acheh dan ikut sama memangsakan aku? Bagi kita yang tidak terbiasa dengan olengan laut dan hayunan gempa bumi akan berfikir demikian. Walhal bagi penduduk Acheh ia sudah biasa dan tak ada apa-apa lagi. Kata orang Acheh mereka seolah berada di atas buian sepanjang hari... alah bisa tega biasa. Hilang debar kerana takdir.

Kalau maut dan ajal sudah datang mengundang duduklah di mana, dalam keadaan apa... di singgahsana tinggi menggunung.. kita terpaksa akur juga. Kerja Allah tidak akan lambat sesaat dan tidak akan cepat sesaat. Ia adalah tepat dan tuntas. Seharusnya dalam hidup kita perlu mengambil iktibar dan memperlajari dari apa yang Allah anjurkan. Belajar mematuhi masa adalah amat penting untuk berjaya. Bacalah surah al asr.

Saya berdoa agar cuaca akan menjadi terang dan gerimis akan berhenti. Sebab hari ini, siang akan menyelesaikan urusan korban. Memastikan apakah lembu korban sudah sampai ke lokasi dan juga menemui wakil penduduk untuk membincang beberapa keperluan, persiapan terakhir sebelum korban dilakukan. Biar semua sempurna dan lancar.

Saya kalau boleh mahu merasai manisnya daging korban yang dimasakan ala Acheh bersama dengan penduduk dan anak-anak yatim.

Selepas itu akan ke tempat pesta "Hari Memegang" di mana upacara penjualan daging lembu. Ini juga satu tradisi di Acheh di mana upacara Hari Memegang ini diadakan menjelang dua hari sebelum tibanya raya baik Aidil Fitri dan juga Aidil Adha. Penjualan yang dibuat secara berkelompok ini sungguh meriah di mana orang ramai akan datang untuk mendapatkan daging bagi persiapan lauk paut juadah hari raya.

Sebelah malamnya nanti adalah acara yang ditunggu-tunggu. Satu himpunan dan perarakan akan diadakan di perkarangan masjid Baiturrahaman. Sebaik selesai solat Isyak acara akan bermula. Perarakan ini disertai orang ramai dan juga jabatan-jabatan kerajaan. Puluhan kereta berhias akan melalui jalan-jalan utama di sekitar masjid Baiturrahaman. Sambil itu di belakang pula diikuti oleh ribuan orang ramai yang ditangan masing-masing memegang jamur... "karak".

Sambil berarak mereka akan menggemakan takbir raya beramai-ramai dan bersahutan. Perarakan ini akan berakhir menjelang tengah malam dan semua akan berhimpun di perkarangan masjid untuk mengikuti syarahan agama dan sebagainya.

Sementara di perkarangan masjid pula diadakan jamuan kueh mueh yang dibawa oleh orang ramai. Mereka akan sama-sama makan beramai-ramai di perkarangan masjid. Tanah lapang di sekiling masjid akan menjadi pesta malam yang indah. Saya rasa budaya ini tidak ada di tempat kita.

Saya bercadang mengikut perarakan itu dan cuba memberi gambaran untuk penjenguk blog Merah Tinta. Justeru saya mendoakan agar cuaca malam ini cerah tidak diguris gerimis dan kaki saya sendiri biarlah lega dan kedua tumit kaki tidak pedih dan ngilu kerana gout sudah memperhambakan diri.

Pagi-pagi selepas Subuh saya menuju ke sebuah tempat penjualan daging "Hari Memegang" yang terletak di sebatang jalan di daerah Kuta Alam. Walaupun hari masih pagi tetapi orang ramai sudah berpusu-pusu untuk mendapatkan daging. Di sepanjang jalan ini dipenuhi dengan penjual daging.

Satu pesta baru yang dapat saya saksikan. Dari sini terserlah akan kehebatan orang Aceh membuat persiapan untuk menyambut hari raya korban. Memiliki daging hatta seketul sudah menjadi satu kemestian. Tetapi itu bagi yang kaya, yang berada di Banda Acheh atau di kota-kota, tetapi yang nun jauh di pedalaman tidak merasai, usahkan daging berbau darah pun tidak.

Hari Memegang dilalui juga tetapi tidak dengan membeli daging, mungkin cukup untuk seekor ayam... atau pun hanya mendengar dari cerita-cerita orang saja. Kenapa tidak... lembu di Acheh bukan sembarangan. Sekilo daging yang dijual di Kuta Alam itu dan di tempat lain juga Rp120,000 atau kira-kira RM45 atau RM50 sekilo. Bayangkan berapa mahal berbanding di tempat kita. Misalnya sekilo usus yang ditempat kita hanya RM7 di Aceh RM19.

Dari lokasi Kuta Alam saya bergerak ke luar pinggir kota untuk melihat bagaimana kemeriah di tempat jualan daging Hari Memegang di lokasi lain. Ternyata keadaannya juga tidak kurang meriah. Boleh dikatakan di setiap pekan ada seekor dua kambing atau lembu yang disembelihkan untuk menyambut hari memegang.

Terlepas perarakan.

Setelah selesai menguruskan urusan korban yang terletak kira-kira 100 km dari bandar Acheh saya kembali ke kota - Banda Aceh untuk menanti saat di tunggu-tunggu perarakan kereta berhias mengelilingi Masjid Bairurrahman. Sebelum itu saya ke rumah seorang teman untuk berbuka puasa. Hujan gerimis seperti tidak mahu berhenti, terus turun.

Keadaan ternyata tidak begitu menyenangkan. Ditambah lagi dengan keadaan kaki tidak selesa, menyulitkan untuk saya bergerak. Kesakitan yang menyocok tumit secara lebih kencang lagi menyebabkan saya tidak berlama di masjid. Isyak masih belum 'masuk'. Orang ramai sudah memenuhi sekitar masjid.

Orang Acheh sudah betah dengan hujan dan gerimis, tetapi tidak dengan saya. Saya mengambil keputusan untuk kembali ke penginapan dan membiarkan acara itu dirakam sdr Rushdan Mustafa dan seorang lagi pembantu. Nampaknya acara yang ditunggu-tunggu itu akan terlepas juga.

Jam 10:00 malam acara perarakan sudah bermula. Dari celah tingkat hotel sudah kedengaran takbir raya yang menusuk kalbu dari arah masjid yang terletak kira-kira 200 meter dipisahkan sebatang sungai. Saya cuba menjenguk dan membuka tingkat untuk mengintip dan mendengar lebih cerat. Baru hendak bangun entah macam mana kaki terseliuh dan jatuh. Dup... tingkap masih tertutup tetapi takbir raya menerawang seolah mahu masuk ke bilik saya. Ia benar-benar mencabar...

Saya mencuba mengagahi diri, namun tidak berdaya. Denyutan dan kepedihan seakan menerkam dan meramas seluruh diri saya. Di sini tiada sesiapa yang boleh diminta tolong. Saya tidak mahu menelefon Rushdan bimbang menganggui kerjanya, hendak tak hendak terpaksa menelan kesakitan bersendirian. Dalam kepedihan itu saya cuba membayangkan kepedihan Siti Hajar ketika berlari dari Safar ke Maruah untuk mendapatkan air buat Ismail yang kehausan.
Dalam kejap bayangan kepada Hajar dan Ismail itu itu saya terlena... sendirian dan terkejut apabila pintu kamar diketuk Rushdan yang membawa balik sedikit rakaman upacara berkenaan.

Alhamdulilah... sambil menyaksikan rakaman menerusi Galaxy yang discreenya diletakkan gambar isterinya (anggun) sayup gema takbir dan tahmid di luar sana masih berterusan dan berbaur memanggil-manggil umat Islam agar sama-sama melakukan korban pada esoknya. Bersambung. [banda aceh. 8:20 am 05/11/11]

Saturday, November 5, 2011

Salam Dari Aceh

Raya Di Tanah Rencong

Sudah dua hari saya di Aceh. Alhamdulilah urusan korban sudah selesai dilaksakan. Esok saya akan solat raya di masjid Baiturrahman. Seusai solat akan ke Ujung Batil untuk menyaksikan upacara korban di sana. Catatan di sekitar korban dan suasana aidil adha di sini akan dimuatkan dalam blog.

Dikesempatan ini saya mengambil peluang mengucapkan salam aidil adha kepada penjenguk blog teristimewa mereka yang ikut memberi sumbangan untuk korban tahun ini.





Rakaman perarakan menyambut Aidil Adha di perkarangan Masjid Baiturrahman

InsyaAllah semoga korban ikhlas kita akan diterima Allah. Selamat hari raya korban. [banda aceh.5:00 ptg 05/11/11]

Thursday, November 3, 2011

Catatan Jauh

Pengharaman Seksualiti Merdeka Tepat

TIMBALAN Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar mengumumkan festival Seksualiti Merdeka diharamkan. Semua aktiviti berkaitan fistival itu tidak dibenarkan. Katanya dalam sidang satu akhbar semua penganjur pesta itu akan di panggil dan sekiranya ada yang berdegil mereka akan ditahan.

Fedstival Seksualiti Medeka merupakan tamasyar tahunan yang diadakan untuk meraikan hak asasi manusia yang terdiri daripada pelbagai orentasi seksual dan identiti jantina. Ia dirancang diadakan pada 9 hingga 13 November dijangka akan dirasmikan oleh Pengerusi Pilihan Raya Bersih dan Adil, Berish S Ambiga Sreenevasan.

Beberapa hari lalu pelbagai pertubuhan telah membuat bantahan agar festival itu dibatalkan kerana ia tidak sesuai dengan keadaan negara ini. Turut sama membatah festival itu ialah Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dewan Pemuda Pas juga turut sama membantah festival berkenaan. Bantahan pemuda lebih awal dari Mursyidul Am Pas.

Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN) juga turut membantah. ACCIN dianggotai 17 NGO Islam, termasuk Persatuan Ulamak Malaysia (Pum), Angkatan Belia Malaysia (Abim), Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (Jim), Al Hidayah, Darul Fitrah, Macma, IIS, Muafakat, Isma, Al Hunafa, Imam, Jam'lyah, Darul Sifat, Wamy, Gapima dan Perkim.

Bantahan bersepadu itu menunjukkan semua pertubuhan berorentasi Islam memandang festival berkenaan sebagai menjaga kesucian negara ini baik dari segi budaya dan juga agama.

Justeru semua pihak perlu memhormati keputusan polis itu dan jangan ada yang cuba mengambil kesempatan dan menjadikan pengharamkan itu sebagai isu politik. Memang negara ini walaupun mengamalkan kebebasan bersuara, beraktivi tetapi aktiviti yang tergelecah dari tatacara hidup rakyat negara ini dan sopan santun ketimuran tidak mengingini festival berkenaan.

Nampaknya semua Ngo dan parti politik berteraskan Islam sepakat dalam membantah festival berkenaan kecuali PKR nampaknya berhati-hati sebelum mengambil sikap.

Sekiranya pengajur itu berkeras juga untuk mengadakan festival berkenaan mereka boleh meminjam negara lain yang menghalalkan kegiatan di luar normal manusia dan agama itu. Mereka boleh pergi ke mana-mana negara Barat atau negara jiran yang mengamalkan kebebasan seks tanpa sempadan genda itu.

Usaha mengadakan festival berkenaan juga dilihat satu cabaran ke atas perlembagaan negara ini. Mungkin mereka sengaja mengadakan festival itu walaupun sudah tahu ianya akan mendapat bantahan kerana ingin uji sejauh mana kepekaaan rakyat negara ini khasnya orang Islam.

Dari sudut lain ia juga boleh dianggap sebagai cabaran kepada majlis Himpun Sejuta Umat - menjaga akidah yang diadakan dua minggu lalu.

Ternyata bantahan itu membuktikan umat Islam negara ini masih mempunyai tanggungjawab dan kepedulian kepada agama mereka. Maka semua pihak yang cuba hendak memecahkan tradisi yang berjalan selama ini dengan amalan dan elemen hidup baru yang bebas (liberal) perlu berhati-hati bagi mengelakkan terjadi kejadian buruk. Umat Islam khususnya orang Melayu pasti tidak akan membenarkan budaya dan agama mereka dirosakkan dengan unsur-unsur luar begitu. [*** 8:28 pm 03/11/11]

Wednesday, November 2, 2011

Dalam Perjalanan

Menanti Haji Najib Dan Mak Haji Mah Balik!

PERDANA Menteri Najib Razak bersama isterinya kini sudah pun dilaporkan berada di Makkah. Beliau sudah pun melakukan tawaf hijrah. Beliau juga telah mengadakan pertemuan dengan jemaah Malaysia. Laporan sebuah saluran tv; seramai 1,000 orang jemaah beramah mesra dengan Najib.

Jemaah yang sempat berjumpa dengan Najib melahirkan rasa bangga dan bertuah kerana dapat berjumpa dan bersalaman dengan PM di tanah suci. Ada yang berair mata kerana terlalu gembira. Mungkin kalau tidak kerana berada di Makkah mereka tidak akan berjumpa dengan Najib dari dekat.

Al maklumlah perdana menteri sibuk. Najib sendiri baru setahun dua ini mulai turun pandang melakukan perangai arwah ayahnya - Tun Razak Hussein. Sebelum ini beliau agak jarang turun padang. Anak bangsawan senang di awan, bukan di sawah ladang.

Pemergian Najib ke Makkah dipandang serong oleh sesetengah orang. Berbagai kecaman dan ejekan dilakukan kepada Najib. Ada yang mengatakan Najib sengaja naik haji kerana ingin menjadi populis menjelang pilihan raya. Saya rasa bidasan itu sangat nakal.

Begitu juga dengan aksi Rosmah yang tidak menutup kepala semasa menaiki jet untuk ke Makkah. Cara berpakaian Rosmah itu menjadi cemuhan. Cara dia berpakaian ini menjadi kemarahan dan sendaan.

Saya tidak fikir ulama yang berderu dalam Umno tidak memberi pandangan. Atau Toh Puan Rahah ada apakah dia tak tegur. Atau cara Rosmah berpakaian itu tidak memberi apa-apa kesan kepada iman Rosmah dan politik Najib. Mungkin tidak menutup kepala tidak menjadi kesalahan kerana Rosmah ada hadith mengenainya, tetapi sebagai isteri politician dia sepatutnya memahami kesan yang akan diterima suaminya.

Saya tidak mahu tumpang 'mengatakan' di sini. Cuma saya berharap kita semua berdoa agar Tuhan memberi taufik dan hidayah kepada mereka dan semua yang ke tanah suci. Biarlah tempiasnya juga mengalir kepada kita dan negara ini.

Itu lebih baik daripada kita dok mengata. Sama-samalah kita menanti kepulangan Haji Najib dan Mak Haji Rosmah. Mana tahu, Tuhan itu maha pengasih lagi penyanyang dan pembuka pintu hati. Salam dari kejauhan... [**** 9:00 pm 03/11/11]

Susupan Pagi

Para Serigala Sudah Mendapat Habuan

SEORANG demi seorang para pengampu dan oportunis politik sudah mendapat upah dan habuan masing-masing. Ternyata kesediaan mereka menjadi serigala pemburu kononnya atas nama untuk menyelamatkan maruah agama, bangsa dan negara telah mendatangkan hasil buat mereka.

Salakan dan pekikan meleking leking mereka bagaikan serigala tidak sia-sia, akhirnya berhasil walaupun ia bersifat sementara.

Sama ada habuan itu diberi dengan penuh keikhlasan atau dengan terpaksa dan menyampakah, mereka peduli apa. Bagi mereka soal tembolok harus diutamakan. Soal apakah kaedah mereka itu halal atau tidak, tidak menjadi perhitungan. Politik matlamat menghalalkan cara ada budaya mereka.

Semuanya mendapat habuan mengikut sais perut dan juga sekuat mana mereka meminjam suara serigala untuk mendokong individu tertentu dan menyala individu tertentu lain untuk membolehkan mereka mendapat upah.

Serigala yang menjaga pintu pagar rumah diberikan roti kering, sekadar untuk membolehkan mereka mengeluarkan suara dan membuat kenyataan akhbar. Yang menjaga peribadi tokoh tertentu diberikan ayam dan daging supaya fizikal mereka kuat, sanggup melakukan aksi-aksi ganjil dan berani sehingga menggerunkan orang lain.

Serigala yang menjadi tukang merancang dan mengatur strategi diberikan pil-pil menguatkan minda berupa projek. Mereka inilah yang mengemukakan apa-apa strategi dan tektik bagi menjatuhkan pihak lawan dengan cara tidak bermoral.

Manakala serigala yang sedia sudah tidak ada moral sanggup menggunakan bahan lucah untuk memburuk lawan diberikan kedudukan di GLC ataupun jawatan berupa senator. Yang kecil pula diberikan jawatan untuk menjadi setiausaha kepada tokoh-tokoh tertentu. Paling kecil ialah jawatan peon di pejabat pengarah GLC.

Di satu pihak menganggap usaha mereka ini sebagai usaha pejuang dan pembela negara. Kononnya merekalah penyelamat negara dan bangsa dari dikhianti yang orang yang satu masa dulu merekalah yang mendolornya. (Dolor ertinya mengangkat punggung tokoh yang mereka jadikan idola itu, kandati dalam keadaan punggungya belengah kerana najis). Walhal tahi mereka ini pun ayam tidak sudi patut lagi.

Bagi saya mereka ini tidak ada guna dan sampah kepada negara. Dalam kata lain mereka juga boleh disifatkan musuh dan bandit kepada negara. Para oportunis politik inilah sebenarnya yang menimbulkan masalah dan sekaligus menjadikan kredibiliti dan moral politik hancur. Gelagat mereka menyebabkan orang akan hilang kepercayaan dan rasa hormat terhakis.

Cuba teliti dan tilik diri mereka ini satu persatu. Tenguk latar belakang mereka dan apakah asas perjuangan mereka. Mereka menyertai sesuatu parti politik bukan bertolak dari prinsip perjuangan. Mereka tidak ada prinsip dan matlamat yang jelas. Mereka masuk menyokong batang tubuh seseorang dan bukan berlandaskan nilai perjuangan.

Apa ertinya, mereka mengharap orang yang mereka sokong itu boleh memberi upah dan kedudukan kepada mereka dengan kuasa. Mereka menanti setelah orang itu berkuasa, jadi menteri dan perdana menteri ia diharap akan memenuhi mereka.

Jadi nilai mereka lebih kurang penarik kereta sakit saja. Mereka tarik kemudian minta duit upah untuk diberikan kepada anak isteri dan selebihnya untuk mabuk dan berpoya-poya mencari keseronokan.

Sebab itu mereka seperti ini tidak akan tahan berada dalam perjuangan mereka. Mereka akan mudah cemas dan mudah dipengaruhi. Mereka tidak ada teras akan hanyut dan tenggelam bila dilanda arus cabaran dan dugaan. Paling dahsyat mereka muda ‘terpana’ dengan wang ringgit dan pangkat. Mereka akan tidak peduli kepada maruah. Kepada pengikut dan penyokong sebegini yang penting tembolok bodoh mereka penuh.

Kewujudan kelompok ataupun serigala ini dominan sejak berlakunya krisis politik Melayu ekoran pemecatan Anwar Ibrahim dari Umno. Krisis pemimpin Melayu ini memberi ruang untuk mereka timbul dan mencari rezeki. Mulanya mereka berarak bagaikan awan biru di kala petang menyokong Anwar.

Selepas Anwar kelihatan kabur untuk menjadi pemimpin untuk mereka ‘rukahi’ maka mereka beralih kiblat menyokong orang yang mereka keji dan kecam sebelum ini. Kekosongan perut yang masuk angin sejak Anwar tidak berkuasa menyebabkan mereka mudah untuk berpaling arah.

Sebenarnya golongan serigala oportunis inilah yang merosakan politik negara ini. Merekalah yang membawa kucir kacir. Mereka juga menjadi penyebabkan moral politik kita musnah dan kepercayaan kepada orang politik terhakis. Merekalah yang merupakan virus kepada dunia politik kita.

Kenapa tidak gara-gara mereka yang boleh tukar sokongan dan sanggup mengkhianti penyokong, meninggalkan rakyat di kawasan menjadikan orang benci kepada politik dan sistem demokrasi.

Awasilah dengan golongan ini dan hendaknya tidak akan ada serigala baru selepas ini. Sucikan politik negara daripada dihidap wabak serigala oportunis ini. [wm.kl.10:45 am 03/11/11]

Pemakluman

Terima Kasih Atas Sokongan Anda
Pintu Korban Sudah Ditutup

Assamualaikum wbh wbt.

Sehingga hari ini saya masih lagi menerima panggilan dan pertanyaan berhubung ibadat korban di Aceh. Masih ada rakan-rakan dan penjenguk setia blog Merah Tinta ingin ikut sama menyumbang.

Tetapi sayang masa sudah semput menyebabkan saya tidak boleh menerima sumbangan lagi. Terima kasih saya ucapan kepada rakan yang memberi komitmen atas usaha saya ini yang mana ia juga merupakan usaha bersama menerusi blog Merah Tinta.

Saya sungguh terharu di atas kerjasama dan budi baik penjenguk sekelian. Semua kebaikan itu membuktikan bahawa masih ada ehsan di jiwa kita untuk membantu atau memberi bahagia kepada rakyat Acheh khasnya mangsa tsunami.

Segala sumbangan, harapan, doa dan kerjasama baik dari anda sekalian saya tidak mampu membalasnya melainkan dapat berdoa dan meminta keampuan Allah dan semoga Allah memberi rahmat kepada kita semua. Doakan juga sumbangan kita dapat dilaksanakan sesempurnanya.

InysaAllah untuk masa akan datang saya akan mengusahakan kebajikan bentuk lain pula. Dengan ini saya istyharkan Pintu Korban di Aceh 1432 H ditutup dengan rasminya. Salam hormat MSO. [wm.kl.10:20 am 03/11/11]

Tuesday, November 1, 2011

Susupan Pagi

Bila Tengku Adnan Bersanadkan Kepada MP 9/10

SEKALI lagi Umno menerusi Setiausaha Agungnya, Tengku Adnan Mansor membaca madah dan gurindam sama untuk memburukkan Pas. Tidak menghairankan kalau madah dan gurindam itu terus dikemundangkan. Dengan madah itu Adnan dan Umno mengharap orang akan membenci dan menjauhi parti Islam itu.

Katanya, Pas ditubuhkan oleh kalangan pemimpin yang kecewa dalam pertandingan untuk memecah belah orang Melayu? Itulah hujan dan keyakinan Adnan. Terlalu keras dan zalim kata-kata itu. Sebagai seorang yang berstatus Setiausaha Agung yang dikira mempunyai tahap pemikiran yang tinggi kalau pun tidak sampai ke tahap Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moo tidak sepatutnya kalau Adnan mahu memburukkan Pas memakai hujah itu. Naif dan dangkal sangat.

Hujah itu samalah dengan hujah, Pak Cu Mat, Dollah penarik kereta, atau pun Mek Nab Tonggek di kampung yang berbahas memburukkan Pas di kedai-kedai kopi ataupun di pasar malam. Mereka mengambil modal lapok itu dan menjadi penyambung lidah syaitan menggunakan hujah yang disumbatkan oleh ketua-ketua cawangan yang tidak berapa tinggi persekolahannya. Bagi mereka itu tidak salah kerana pengetahuan dan ilmu mereka terhad di situ saja.

Tetapi bila Adnan juga menggunakan hujan yang sama, menganggap penubuhan Pas sebagai untuk memecah belah orang Melayu ini bererti kelas atau standard pemikiran setiausaha agung itu dua kali lima sahaja. Patutlah Umno tidak menampakkan kemajuan dalam membanggakan dalam era globalisasi ini. Dengan sikap dan pandangan demikian menyebabkan golongan cerdik pandai akan konfius dan tumpul untuk menyokong Umno.

Seorang yang tidak membaca sejarah, tahu menganalisa sejarah seperti Adnan itu tidak akan tahu hikmah ataupun manfaat di sebalik kewujudan Pas. Kalau dia seorang yang jauh pandangan dan penggali sejarah bangsa dia akan memahami dan kata-kata bahawa Pas diwujudkan untuk memecah belahkan Melayu tidak akan tersembur macam sepah pinang dari mulut Adnan.

Mulanya saya merasa marah dan kesal sangat dengan pandangan Adnan itu. Macam mana seorang Setiasuaha Agung boleh menggunakan hujah demikian. Kedudukan setiausaha agung adalah sebaris dengan presiden, timbalan presiden dan naib-naib presiden dalam membuat dasar dan keputusan parti.

Tetapi apabila Adnan mengambil hujah untuk mengesahkan pandangan itu dari kata-kata MP 9/10.. marah saya terubat sedikit. Sebaliknya timbul rasa kesian kerana Adnan tidak cuba membaca kitab politik lebih akurat dan agung dari itu.

Hujah menguat Tengku Adnan untuk mengatakan Pas demikian kerana memakai hujah dan pandangan MP 9/10 terhadap Pas yang menyifatkan Pas mempunyai hukum hududnya sendiri bila mana Pas membentangkan hukum hudud. MP 9/10 itu cuba memesongkan pandangan umum dengan ilmu lawyernya yang pendek dan kemetot.

Adnan nampaknya mempercayai dan menyakini hujah MP 9/10 itu. Lantaran itu beliau meminta suapaya orang Pas memperbetulkan akidah berdasarkan kenyataan MP itu yang menyifatkan hukum hudud yang Pas cuba bentangkan itu sebagai hudud Pas bukan Islam.

Waduh, kenapa begitu cetak untuk Adnan memperakui dan menjadikan pandangan biul MP 9/10 sebagai hujah untuk tolak Pas. Apakah Adnan tidak membaca balasan balas dari pemimpin Pas mengenai ketidaktepatan hujah dan dakwaan MP 9/10 terhadap hukum hudud yang dibentangkan Pas semasa memerintah Terengganu. Kejahilan MP itu sudah dijelas dan selepas itu beliau tidak lagi berani berkokok. Ada malang kalau Adnan menambahkan kebiulan nya mengenai hudud dengan kebiulan MP 9/10 tersebut.

Kalaulah hujah orang demikian dijadikan sanad oleh Adnan untuk memburukkan Pas, entahlah apa jadinya dengan politik Umno dan juga negara ini. Ternyata Adnan mengambil sesuatu iktibar dan pegangan dari orang yang jahil murakab dan naif hujahnya. Saya tidak tahu atas dasar apa kalau Umno masih mengekalkan Adnan sebagai setiasusaha agung kalau bukan daar untuk terus mengekalkan Umno dalam kepompong kejumudannya.

Bukan tidak boleh mengkritik Pas atau mahu mengajak rakyat menolak parti itu, tetapi Adnan kenalah cari hujah yang kuat. Sanadnya pula biarlah sanad yang sahih. Bergatung kepada pewari yang lemah menyebabkan orang akan mentertawakan kita. Tetapi apa dikisah, sebab Adnan juga tampak begitu tohor dalam pemahaman agama dan juga gerakan siasah.

Kalau kita seorang pemain pakau, bermain pakau sajalah jangan sesekali cuba pakaukan politik negara dengan unsur-unsur mungkar itu. [ttdi.11:00 am 01/11/11].