Para Serigala Sudah Mendapat Habuan
SEORANG demi seorang para pengampu dan oportunis politik sudah mendapat upah dan habuan masing-masing. Ternyata kesediaan mereka menjadi serigala pemburu kononnya atas nama untuk menyelamatkan maruah agama, bangsa dan negara telah mendatangkan hasil buat mereka.
Salakan dan pekikan meleking leking mereka bagaikan serigala tidak sia-sia, akhirnya berhasil walaupun ia bersifat sementara.
Sama ada habuan itu diberi dengan penuh keikhlasan atau dengan terpaksa dan menyampakah, mereka peduli apa. Bagi mereka soal tembolok harus diutamakan. Soal apakah kaedah mereka itu halal atau tidak, tidak menjadi perhitungan. Politik matlamat menghalalkan cara ada budaya mereka.
Semuanya mendapat habuan mengikut sais perut dan juga sekuat mana mereka meminjam suara serigala untuk mendokong individu tertentu dan menyala individu tertentu lain untuk membolehkan mereka mendapat upah.
Serigala yang menjaga pintu pagar rumah diberikan roti kering, sekadar untuk membolehkan mereka mengeluarkan suara dan membuat kenyataan akhbar. Yang menjaga peribadi tokoh tertentu diberikan ayam dan daging supaya fizikal mereka kuat, sanggup melakukan aksi-aksi ganjil dan berani sehingga menggerunkan orang lain.
Serigala yang menjadi tukang merancang dan mengatur strategi diberikan pil-pil menguatkan minda berupa projek. Mereka inilah yang mengemukakan apa-apa strategi dan tektik bagi menjatuhkan pihak lawan dengan cara tidak bermoral.
Manakala serigala yang sedia sudah tidak ada moral sanggup menggunakan bahan lucah untuk memburuk lawan diberikan kedudukan di GLC ataupun jawatan berupa senator. Yang kecil pula diberikan jawatan untuk menjadi setiausaha kepada tokoh-tokoh tertentu. Paling kecil ialah jawatan peon di pejabat pengarah GLC.
Di satu pihak menganggap usaha mereka ini sebagai usaha pejuang dan pembela negara. Kononnya merekalah penyelamat negara dan bangsa dari dikhianti yang orang yang satu masa dulu merekalah yang mendolornya. (Dolor ertinya mengangkat punggung tokoh yang mereka jadikan idola itu, kandati dalam keadaan punggungya belengah kerana najis). Walhal tahi mereka ini pun ayam tidak sudi patut lagi.
Bagi saya mereka ini tidak ada guna dan sampah kepada negara. Dalam kata lain mereka juga boleh disifatkan musuh dan bandit kepada negara. Para oportunis politik inilah sebenarnya yang menimbulkan masalah dan sekaligus menjadikan kredibiliti dan moral politik hancur. Gelagat mereka menyebabkan orang akan hilang kepercayaan dan rasa hormat terhakis.
Cuba teliti dan tilik diri mereka ini satu persatu. Tenguk latar belakang mereka dan apakah asas perjuangan mereka. Mereka menyertai sesuatu parti politik bukan bertolak dari prinsip perjuangan. Mereka tidak ada prinsip dan matlamat yang jelas. Mereka masuk menyokong batang tubuh seseorang dan bukan berlandaskan nilai perjuangan.
Apa ertinya, mereka mengharap orang yang mereka sokong itu boleh memberi upah dan kedudukan kepada mereka dengan kuasa. Mereka menanti setelah orang itu berkuasa, jadi menteri dan perdana menteri ia diharap akan memenuhi mereka.
Jadi nilai mereka lebih kurang penarik kereta sakit saja. Mereka tarik kemudian minta duit upah untuk diberikan kepada anak isteri dan selebihnya untuk mabuk dan berpoya-poya mencari keseronokan.
Sebab itu mereka seperti ini tidak akan tahan berada dalam perjuangan mereka. Mereka akan mudah cemas dan mudah dipengaruhi. Mereka tidak ada teras akan hanyut dan tenggelam bila dilanda arus cabaran dan dugaan. Paling dahsyat mereka muda ‘terpana’ dengan wang ringgit dan pangkat. Mereka akan tidak peduli kepada maruah. Kepada pengikut dan penyokong sebegini yang penting tembolok bodoh mereka penuh.
Kewujudan kelompok ataupun serigala ini dominan sejak berlakunya krisis politik Melayu ekoran pemecatan Anwar Ibrahim dari Umno. Krisis pemimpin Melayu ini memberi ruang untuk mereka timbul dan mencari rezeki. Mulanya mereka berarak bagaikan awan biru di kala petang menyokong Anwar.
Selepas Anwar kelihatan kabur untuk menjadi pemimpin untuk mereka ‘rukahi’ maka mereka beralih kiblat menyokong orang yang mereka keji dan kecam sebelum ini. Kekosongan perut yang masuk angin sejak Anwar tidak berkuasa menyebabkan mereka mudah untuk berpaling arah.
Sebenarnya golongan serigala oportunis inilah yang merosakan politik negara ini. Merekalah yang membawa kucir kacir. Mereka juga menjadi penyebabkan moral politik kita musnah dan kepercayaan kepada orang politik terhakis. Merekalah yang merupakan virus kepada dunia politik kita.
Kenapa tidak gara-gara mereka yang boleh tukar sokongan dan sanggup mengkhianti penyokong, meninggalkan rakyat di kawasan menjadikan orang benci kepada politik dan sistem demokrasi.
Awasilah dengan golongan ini dan hendaknya tidak akan ada serigala baru selepas ini. Sucikan politik negara daripada dihidap wabak serigala oportunis ini. [wm.kl.10:45 am 03/11/11]
No comments:
Post a Comment