Wednesday, November 9, 2011

Catatan Misi Pintu Korban

Dari Banda Aceh Terus Ke Gual Nibong

SEPATUTNYA cerita Acheh bersambung semalam tetapi kerana keletihan dan ada sedikit halangan, pagi ini baru dapat mencatat criteria di Acheh. Sebaik sampai dari Banda Acheh saya terus pulang ke Kelantan untuk menemui bonda tersayang. Ada sedikit khabar kurang enak memberi tahu ibu saya terjatuh pada hari korban. Dia terjatuh semasa lembu kesayangannya hendak ditumbangkan.

Entah macam mana ketika memberkasnya tiba-tiba si Abu, (nama lembunya) melompat tinggi menyebabkan ibu terkejut dan jatuh. Katanya ibu hampir-hampir pengsan.

Mendengar itu tanpa peduli kepada kecapekan dan keletihan saya terus ke Kelantan. Walaupun dalam keadaan kaki terhinjut-hinjut kerana tumit pedih dan ngilu, (gout memperhambakan diri) terpaksa juga memandu kembali ke kampung. Alhamdulilah sepanjang jalan selamat.

Menjelang tengah malam sampai di rumah ibu, dan terus mendapatkannya. Hati rasa lega apabila melihat beliau tidak apa-apa. Ibu masih kukuh bagaikan pohon mengebar. Kepulangan saya yang mengejutkan itu menggembirakannya. Paling gembira ialah saya kerana beliau tidak ada apa-apa.

Hampir sekerat pagi itu dipenuhi dengan cerita dia terjatuh dilantun lembu, sehingga cerita Acheh terkambus. Keletihan dan kepenatan saya juga tersapu dengan hilai tawa ibu yang lucu mengenangkan apa yang berlaku. Ah ibu... seninya hidupmu dan kasihmu masih belum terbalas walaupun sejemput oleh daku.

Dan selepas memeluk dan mencium ibu, saya yang pulang bersama isteri dan seorang anak berpatah balik semula ke KL. Alhamdulilah sekali lagi perjalanan yang sesekali dihalang jam berbatu-batu di Machang hingga Kuala Krai dan ditambah sedikit di Bentung Pahang itu selamat dan sempurnannya.

Di sini saya akan menyambung kisah di Acheh, misi "Pintu Korban Di Acheh 2011" yang diadakan pada tahun ini. Misi kali ini sangat bermakna sekali. Syukur segala hajat dan niat dapat dilaksanakan dengan sempurna. Tuhan mempermudahkan perjalanan ala-ala Siti Hajar kepada saya kali ini. Dan Tuhanlah juga yang menyempurnakan hajat kawan dan sahabat yang ikut sama menghulurkan sumbangan atas niat berkorban Nenggore Aceh. Semua sempurna setuntasnya.

InsyaAllah mungkin untuk siri akan datang akan dilaksanakan dengan lebih teratur dan sistemetik lagi. Mungkin dilain kali kita akan menyertainya secara rombongan. Mungkin awal-awal lagi misi ini dilancarkan... agar tiada yang berhajat tertinggal. Hari itu saya terpaksa menutup lebih awal pintu korban dan saya mohon maaf kepada penjenguk yang menghubungi untuk ikut sama mengambil bahagian berkorban. Saya percaya darah korban anda tetap juga mengalir membasahi bumi keimanan.

Di pagi Aidil Adha itu, sebelum ke lokasi pengorbanan paling dekat saya bersembahyang raya di masjid Baiturrahaman di Banda Aceh. Satu pengalaman baru untuk saya di Acheh.. inilah pertama kali solat raya di sini. Sebelum ini saya sudah beberapa kali solat raya baik Aidil Fitri atau Adil Adha di hampir serata Indonesia.

Ternyata apa yang berlaku di sini unik dan sungguh menggugahkan perasaan. Perkara paling menyentuh hati ialah melihat bagaimana umat Islam Acheh tidak kira kecil besar, tua muda, sihat dan usuzr berduyun-duyun datang ke masjid untuk bertakbir, tahmid dan berhari raya. Setiap wajah yang masuk ke laman masjid terbayang kesucian dan ketulusan. Kehidupan mereka yang agak terkebelang dari kita juga tidak terbayang langsung. Kemiskinan berbanding dengan kita bukan penghalang dan ternyata mereka kaya raya dengan zuhud dan ketakwaan.

Kandatipun mereka tidak mengenakan pakaian yang mewah, dan ala kadar sahaja, tetapi mereka tetap nampak gagah sebagai jemaah Allah. Pancaran melusan dan ketulusan iman terpantul dari raut wajah.

Pagi itu perkarangan masjid Baiturrahaman tidak ubah seperti di padang Arafah penuh dengan lautan manusia. Di sekeliling masjid kelihatan seperti ladang kapas yang sedang berkembang, putih memutih dengan wajah-wajah yang jernih dan ceria. Paling teruja dan menyentuh hati ialah apabila melihat gerombolan muslimat yang berada di dataran masjid - tanah lapang di bahagian hadapan masjid. Di dalam masjid usah cerita, sendak dan padat macam sadin dalam kaling.

Pandangan paling mengharu saat mereka bangkit untuk mengangkat takbir, saya nampak ia persis seperti ombak yang membadai secara serentak. Ombak itu mulanya bergerak perlahanan kemudian menjadi cepat dan bergulung kemudian bersatu dengan bumi. Takbir itu yang bergema saya merasakan seolah-olah benteng kepada tsunami.

Pandangan seperti ini tidak pernah berlaku di Malaysia kecuali di negeriku negeri Kelantan Darunaiam. Di sinilah kalau boleh dikatakan ada persamaan di antara Acheh dengan Kelantan, di mana kaum muslimat iktu sama turun ke lapangan untuk bermunajat dan berdoa kepada Allah. Di Kelantan sejak negeri itu dipimpin oleh Tokguruku Nik Aziz, kerap kali dapat menyaksikan suasana demikian apabila kaum muslimat turut berhimpun di stadium dalam keadaan mengenakan pakaian solat apabila sesekali ada majlis doa, solat hajat dan munajat. Solat aidil fitri dan aidil adha adalah himpunan meneguhkan iman.

Dalam sebak hati dan derai air mata menyaksikan kehebatan rakyat Acheh, - melihat kumpulan muslimat yang memutih suci, hati saya tersentuh dan terus mengenang apakah suasana demikian (di Stadium Sultan ke-IV) akan ada lagi selepas ini setelah Tokguruku Nik Aziz sudah tiada di dunia ini? Apakah selepas ketiadaan beliau maka semua momentum dan himpunan sebegitu akan hilang? Semoga tidak, Tuhan akan memberi pengganti yang lebih hebat dari Tokguruku itu bagi mengekalkan Kelantan sebagai jiran Acheh Darul Salam.

Dari masjid saya bertolak ke lokasi korban. Salah satu lokasi yang sempat hadiri ialah di Kampung Garun, mukim Ujung Batil. Beberapa lokasi lagi tidak sempat hadir dan diserahkan kepada wakil yang dilantik khas. Di sini seekor lembu dan tiga ekor kambing dikorbankan. Acara ini dikepalai oleh Tok Imam di sini, Tengku Jamel.

Acara di Kampung Garun ini adalah simbolik kepada majlis korban di lokasi-lokasi lain. Untuk upacara atau majlis seperti ini, masyarakat kampung mudah memberi kerjasama. Mereka akan bekerja sama dan sifat permaufakatan masih kental. Melihat korban di Acheh ada beberapa keunikan yang mungkin boleh dikongsikan. Di sana masih ada lagi perbuatan atau pun kepercayaan-kepercayaan yang agak sumbang dan anih tidak kedapatan di tempat kita.

Misalnya bagaimana haiwan khususnya kambing yang hendak dikorbankan dirai dan dihiasi demikian rupa. Seharian sebelum hari korban kambing akan dimandi dan dibersihkan terlebih dahulu dan dihias dengan seindahnya. Di kepalanya akan diletakkan bunga sebagai mahkota.

Disaat ia hendak dikorbakan, tukang 'jemelih' (sembelih) akan mengkosmetikkan kambing berkenaan. Dipakai gincu, dibedak, disikat, disembur dengan minyak wangi. Sesudah itu kambing itu akan disuakan cermin untuk melihat wajahnya apakah cantik atau tidak. Tukang jemelih, sambil menghulurkan cermin akan menolog; "cantik... cantik...cantikkan..."

Selepas semua selesai kambing itu akan didukung oleh dua orang untuk dibawa ke tempat pengorbanan. Sebuah lubang kecil digali untuk memastikan darah kambing tidak berladum di merata tempat.

Sebelum disembelih sehelai kain putih dibentang di atas sebagai lelangit dan dipayungi dengan sekaki payung. Saat leher kambing itu dipotong orang ramai yang berada di situ akan menggemakan laungan takbir, Allahuakbar... Allahuakbar Allahuakbar walhamdulilah ilhamd...

Semula melihat ini timbul perasaan kurang senang di hujung hati saya. Apakah ianya bersalahan dengan hukum sehingga menimbulkan bidaah dan sebagainya. Saya tidak berani untuk mengulas sesuatu tetapi yang jelasnya upacara mengkosmetikkan kambing itu tidak bersalahan dengan hukum ia adalah adat betapa penghormatan kepada haiwan ternakan Rasulullah.

Akhirukalam...khas kepada penjenguk yang menyertai misi Pintu Korban Acheh 2011, saya menyampaikan salam segenap masyarakat Acheh di sana yang menyentuh dan merasai manisnya daging korban kalian semua. Pastinya walaupun kita tidak dapat merasai semua, manis dan lemaknya daging korban, namun telah kita wakil kepada lidah mereka untuk merasainya.

Titisan darah setiap dari haiwan korban itu adalah saksi kepada pengorbanan kita untuk sesama manusia dan terpuncaknya tentunya sebagai menyatakan kepasrahan kita kepada-Nya. Wassalam. [wm.kl.10:46 09/11/11]









No comments: