Monday, November 28, 2011

Politik Penyu

Pemimpin Van C Twenty
Naungi Politik Pas Terengganu
(Bhg Pertama dari dua siri)

ANTARA soalan yang kerap diajukan kepada saya ialah, apakah Pas berjaya merampas Terengganu dari tangan UBN dalam pilihan raya ke-13 nanti. Jawaban mudah saya, setakat ini saya tidak nampak apa-apa tanda yang Terengganu akan dapat balik kepada Pas. Mungkin jawaban itu tidak menyenangkan tetapi itulah jawaban saya secara jujur dan tanpa bias.

Kenapa saya berkata demikian? Biasanya kalau bumi akan disirami hujan, maka akan ada tanda-tanda atau bunga hujan dilangit. Awam akan gelap berarak perlahan kemudian cepat, kemudian perlahan dan ia berhenti (beradu) itu tanda-tanda bunga hujan. Selepas awan bertompok kehitaman hujan akan turun dengan lebatnya.

Dalam pemerhatian saya politik Terengganu dalam konteks Pas tidak ada tanda-tanda "hujan" akan turun atau dalam kata direct Pas akan berjaya merampas Terengganu dalam pilihan raya ke-13 kelak.

Namun para pemimpin Pas tidak pernah diam terus menggerak minda dan fizikal berusaha untuk menawan Terengganu. Tetapi gerakan dan kerja keras itu tidak akan memberi guna kalau ia tidak disertai dengan perancangan dan startegi yang ideal dan mampan. Mungkin kalau niat baik apa yang dapat pahala di akhirat saja.

Yang Dipertua Pas Kemaman, Hanafiah Mat beberapa kali mengajak saya turun ke kawasannya, melihat perubahan atau mood rakyat di situ. Beliau tidak menceritakan apa yang berlaku tetapi mahu saya saksi sendiri. "Anta turunlah ke Memaman dan buat penilaian sikit". Saya tidak kesempatan untuk memenuhi pelawaan Hanaifah itu. Manakala Cikgu Hussein Speaker pula turut mengajak saya turun ke Terengganu bukan untuk melihat gerak kerja Pas tetapi melihat perusahaan burung walidnya.

Sewaktu dalam perjalanan ke Kuala Berang Jumaat lalu sesampai di Kemaman saya menghubungi Hanafiah harap-harap boleh singgah dan meninjau suasana di Kemaman. Sayangnya beliau berada di sebuah kampung sedang bergotong royong membangunkan rumah orang miskin. Saya faham kalau Hanafiah beriya mengajak saya ke Kemaman. Tetapi apakah perkembangan dan mood di Kemaman itu melambangkan perkembangan dan mood di seluruh Terengganu, di Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun, Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan lainnya?

Abu Bakar Chik (Datuk Ustaz) juga sering melemparkan pertanyaan sama; "macam mana enta fikir Terengganu boleh tawan semula ke tidak". Bakar Chik mahu pandangan luar yang bebas dan tidak ada kepentingan. Pemimpin veteran ini pada saya agak terbuka dan seorang yang rajin berusaha untuk membangunkan semula tiang-tiang panji Pas di Terengganu yang dirobohkan UBN. Tetapi cukupkah kalau beliau seorang bekerja keras berputar macam Ibnu Batutah tanpa ada kerjasama dan gerakan bersepadu dengan mereka yang lain khasnya jenerasi muda?

Kepada saya Bakar Chik ada keistimewaan dan berjiwa besar. Walaupun kadang-kadang apa yang saya kata dan tulis memedihkan lidahnya tetapi ditelan juga. Satu masa saya kritik Presiden Pas Abdul Hadi Awang, saya tahu Bakar Chik tersinggung, tetapi ditelan juga. Inilah sikap pemimpin yang kita mahu sedia menerima pandangan dari luar kerangka pemikiran dan agendanya boleh mengasingkan antara hubungan peribadi sebagai guru dan ustaz dengan hubungan kepimpinan yang perlu dikritik.

Dalam impian untuk kembali memerintah Terengganu pemimpin negeri itu meletakkan beberapa faktor. Antaranya ialah perpecahan dalam kepimpinan Terengganu yang parah dikala ini. Umno Terengganu kini ada dua kumpulan, kumpulan Idris Jusoh dan kumpulan Ahmad Said. Kumpulan ex MB dengan kumpulan MB.

Dua kumpulan ini tidak mungkin bercantum kekal. Kalau bercantum pun sementara, dendam antara kedua kumpulan ini menebal. 12 orang pemimpin yang menyokong Idris dan berada dalam Dewan selamanya tidak akan akur kepada Mat Said. Mereka inilah dikatakan bakal menjadi pendesak agar Mat Said selepas ini tidak menjadi MB lagi. Usaha itu termasuklah kalau tidak ada cara mereka akan memastikan Umno kalah demi Mat Said tidak akan jadi MB.

Pas mengharapkan perbalahan itu sebagai advantage untuk mereka. Namun bagi saya perbelahan ini tidak menjadi bekas kepada Pas. Ia bukan nilai tambah yang boleh diambil kira dan dijadikan bahan dagangan komersil. Dalam politik, Pas Terengganu kena ada kekuatan dan wisdomnya sendiri. Kena ada modal sendiri dan bukan menumpang modal angin. Kalau kebetulan hakikat itu berlaku ia adalah bonos buat Pas yang sengaja dilakukan Tuhan untuk memberi peluang kepada Pas memerintah Terengganu sekali lagi.

Kalau mengharapkan kepada peprecahan Umno itu modal angin namanya. Dak rak cetung .. kata anak beranak saya di Kuala Berang. Saya juga sudah ada waris di Terengganu, jadi Mat Said jangan pakai hentam saja ikut sedap tuduh saya cuba memfitnahnya dalam surat 'kerbau' Utusan Malaysia!

Apakah modal dan kekuatan Pas? Hampir tidak ada lansung. Tidak ada gerakan yang mengorbit ke dataran yang dapat dilihat oleh umum. Tindakan atau program Pas Terenggan tidak boleh dijadikan satu marcu tanda untuk melihat Pas negeri itu sudah bangkit. Kalau ada pun setakat himpunan dan ceramah, tetapi tidak ada prgoram sosial. Idea atau gagasan pemimpin Pas Terengganu tidak menjadi fenomena yang akan merubahkan landskap politik negeri Penyu itu. Penyu tidak akan menjinaki Pas dengan pendekatan yang diambil waktu ini.

Cuma dalam pengamatan saya kalau ada sedikit fenomena yang memihak kepada Pas ialah kehadiran Ustaz Azhar Idrus sebagai penceramah bebas yang popular ketika ini. Anak-anak muda begitu berminat dengan cara penyampaian dan dakwah politik Azhar. Saya kira tokoh paling menjadi perhatian di Terengganu ketika ini ialah Azhar Idrus. Tetapi sejauh mana Pas memanfaat atau pun mengutip hasil dari pendekatan yang diambil Azhar untuk kepentingan Pas dan Islam.

Begitu juga kritikan terhadap pentadbiran Mat Said tidak dilakukan sepenuhnya. Malahan tidak kedengaran langsung yang keluar dari mulut pemimpin Pas. Kenapa? Yang dikirik Pas Terengganu ialah pelbagai bentuk pembangunan yang dibawa oleh Idris Jusoh. Apakah Pas Terengganu belum kabar lagi yang menjadi MB dan ketua Umno kini bukan Idris Jusoh lagi tetapi Mat Said.

Menghairankan kenapa Pas tidak menyerang Mat Said? Pas seolah terkaku dan hilang akal untuk mencari punca bagaimana hendak serang Mat Said. Apakah kerana Mat Said dikatakan MB yang dilantik oleh Sultan Terengganu maka Pas jadi malu alah? Pas takut untuk mengkritik Mat Said, begitukah. Adalah kurang cerdik kalau Pas membuat sifir congak begitu. Pas harus asingkan antara Mat Said dengan Sultan. Mat Said tidak ada kena mengena dengan sultan dia dilantik kebetulan kerana tidak ada tokoh macam kepala lain selepas Idris Jusoh ditolak.

Jika itulah yang menjadi punca kenapa Pas enggan mengkritik Mat Said, bermakna Mat Said kini seolah-olah sudah berjaya meletakkan istana sebagai tembok perlindungan. Kalau ituah perasaan yang ada ternyata ia silap kerana Pas sengaja membiarkan Mat Said gemuk dalam kandang eksekutifnya.

Pas Terengganu kini umapama perahu yang teroleng oleng sendiri di tengah laut dan mengharapkan tipuan angin. Tidak ada enjin dan pendayun yang kuat. Ada sedikit layar itu pun ia sudah carik dan robek. Kalau kebelutan angin berhembus kuat maka ia akan menggelusur kuatlah perahu Pas. Kalau ada gelombang maka cepat ia akan menggelosor ke tepian. Kalau tidak ada angin dan gelombang maka bahtra hijau itu akan terus teroleng-oleng kehilangan destinasi di tengah lautan membiru.

Gelombang itulah yang saya maksudkan boleh membantu Pas. Apakah gelombang yang Pas cipta di Terengganu? Kalau Umno semasa hendak rampas Terengganu dulu mencipta gelombang biru maka Pas perlu mencipta gelombang hijau. Gelombang hijau ini bukan sahaja setakat berhimpun tetapi kena kreatif melakukan tindakan politik, desakan politik dan membuka jalan-jalan baru dalam politik. Salah satunya ialah menyerang pentadbiran Mat Said. Mat Said bukan MB yang perfect. Dedahkan penyelewengan dilakukan di zaman pentadbir Mat Said?

Dua orang rakan bloger yang berada dekat dengan politik Terengganu yang sempat minum bersama saya, membilang akan kelemahan-kelemahan Pas dan kekuatan-kekuatan Umno kepada saya. Apa yang dibilang dipihak Pas ialah mengenai kepimpinan dalam Pas. Menurut mereka sudah sampai masanya Pas Terengganu menyalin pemimpin veteran yang sudah tidak mengancam lagi kepada pemimpin muda yang lebih dinamik dan progresif dan kaya dengan idea dan wawasan.

Saya bersetuju 100 peratus dengan pandangan mereka itu kerana itulah juga yang bermain dalam benak saya bila menoleh ke Terengganu. Selagi Pas Terengganu dipimpin oleh golongan veteran maka perubahan dinamik tidak akan berlaku. Walaupun sudah ada peralihan di peringkat Pesuruhjaya dan Dewan Harian tetapi ia tidak mencukupi.

Saya melihat pemimpin veteran masih menaungi Pas Terengganu menyebabkan beberapa kerat pemimpin muda yang datang dari berbagai profesional tidak dapat memancu idea mereka sepenuhnya. Suara dan pandangan mereka ditenggelami oleh ketohohan pemimpin muda yang sudah tidak mempunyai banyak 'reng' politik itu. Suara dan idea orang muda tersekat kerana hendak bersuara bimbang dikatakan melanggar adat?

Naungan ini sudah tidak perlu lagi. Zaman mereka sudah pun berakhir. Bukan bermakna mereka tidak penting dan pendekatan mereka sebelum ini; menterbiah, usrah dan mengajar di surau tidak berkesan, berkesan. Tetapi zaman atau era itu sudah berubah. Zaman sekarang zaman IT di mana manusia boleh mendapat dan menerima maklumat di mana saja dan dalam masa terpantas.

Justeru Pas Terengganu memerlukan pendekatan baru yang kontemporari dan memenuhi selera semasa. Pas kena ingat jenerasi duduk mencangkung atas padang dalam hujan mendengar pembacaan sirah Rasulullah yang digumpal dengan poitik ekstrem sudah berakhir atau kurang menarik lagi. Sikap menerima seadanya pemimpin yang tidak reti dan bersalaman dengan orang kerana dia ulama sudah berubah. Rakyat mahukan pemimpin yang mesra rakyat dan tahu mengurus diri.

Wahid Enduk yang kini menjadi pesuruhjaya menggantikan Harun Taib tidak berjaya membawa perubahan atau melakukan proses penyalinan kepimpinan seperti diharapkan. Orang-orang lama yang tidak kepuasan memenang jawatan kerana kalah seperti Mustapa Ali, Abdul Hadi Awang, Hussein Awang, Abu Bakar Abdullah, Bakar Chik dan beberapa kerat yang lain seharusnya sudah berundur. Mereka adakalanya bukan saja setakat perlu insaf tetapi kena bertaubat!

Mustapa walaupun tidak ada kena mengena dengan Terengganu tetapi statusnya sebagai Setiausaha Agung Pas masih lagi dilihat memonitor Pas Terengganu. Wahid Enduk tidak akan pandai-pandai membuat keputusan sendiri atau tidak rujuk kepada Mustapa Ali. Umum juga cukup faham apa hubungan dan peranan Mustafa dengan Abdul Hadi Awang. Kalau Abdul Hadi faham akan kapasitinya dia perlu berundur secara terhormat tanpa disengjah serban dari belakang.

Langkah terbaik dalam pilihan raya ini semua pemimpin veteran yang saya sifatkan Pemimpin Van C Twenty tidak perlu bertanding lagi. Harun Taib, Abdul Hadi Awang, Mustapa Ali, Bakar Chik, Hussein Awang dan Abu Bakar Abdullah dan Wan Mustalib Embong jangan bertanding lagi. Lepaskan kepada pemain muda kalau pun tidak menang sekurang-kurangnya memberi pengalaman untuk mereka demi membuat persediaan di masa akan datang.

Pemimpin Van C Twenty ini masih boleh berperanan kepada parti dengan menjadi penasihat dalam semua aspek dan sesekali hadir dalam majlis sebagai membaca doa. Mereka semua harus menjadi Ayutullah kepada Pas Terengganu bukanya sebagai penentu hala tuju Pas lagi.

Jawatan dalam parti bukan alasan untuk mereka bertanding dalam pilihan raya. Misalnya kerana mereka ahli jawatankuasa agung, setiausaha atau presiden... tidak bermakna mereka perlu bertanding. Jawatan itu bukan diperlembagakan mereka harus bertanding. Jawatan adalah untuk memimpin... bertanding bukan mutlak dalam memimpin. Mempastikan Pas menang adalah salah satu tanggungjawab dan tugas memimpin yang utama.

Itulah yang antara lain saya bilang kepada dua bloger di hadapan pantai Batu Buruk pada petang itu. Mereka menyetujui dan mereka juga sudah nampak akan masalah di Terengganu. Masalah Umno banyak wang dan Pas tidak punya wang bukan penghalang dan bukan penitik segala-galanya. Dulu pun Pas sudah tidak mempunyai wang dan Umno banyak wang. Tetapi kenapa Pas boleh menang? Dua kali Pas menafikan kerajaan UBN di Terengganu. Peluang yang pernah Allah berikan itu perlu difikir dan dijadikan iktibar.

Ertinya Pas sudah ada track record di Terengganu menjadi kerajaan sebanyak dua kali. Kemenangan boleh dicapai apabila kerja mencapai kemenangan itu disusun dan ia disertai dengan niat ikhlas. Kepada saya kalau bertanding untuk jadi MB, menteri dan Exco ia bukan ikhlas itu adalah tamak haloba.

Tegasnya kalau pemimpin yang menjadi tauke dan menaungi Pas Terengganu tadi tidak sedia berkorban, ibarat kata bulan akan terus sambang di Terengganu kalau pun tidak gerhana pernuh dan dacing akan terus menimbang dalam kesengitannya. Yang malang dan menjadi mangsa kegelapan dan kesengetan timbangan ialah rakyat Terengganu termasuk anak menantu saya di Kuala Berang. Bersambung. [wm.kl.10:29 28/11/11]

2 comments:

Bosan said...

Ya betul , PAS perlu berani menampilkan pemimpin yang baru. UMNO walaupun kotor dan busuk sudah tukar dua presiden selepas Mahathir. Namun adakah PAS berani juga Nik Aziz tak bertanding di Kelantan dan seterusnya meletak jawatan Mursyidul Am.

akbajalil said...

Satu pandangan bernas yang bukan sahaja molek dihayati dan dipraktikkan oleh pemimpin PAS Terengganu malah oleh para pemimpin PAS negeri lain.