Beranikah Umno Perjuangkan Royalti Untuk Kelantan
HUJUNG bulan ini Umno akan mengadakan perhimpunan agung tahunannya kali ke- 62 Kerana perhimpunan ini adalah berdekatan dengan pilihan raya umum ke-13 tentulah ia akan memberi fokus lebih kepada pilihan raya.
Perwakilan Umno seramai 4,500 akan berbahas dan mengemukakan apa-apa saja idea, pandangan dan cadangan untuk memastikan Umno menang besar dalam pilihan raya nanti. Pilihan raya ke-13 menjadi ibu segala pilihan raya kepada UBN - bakal menentukan perjalanan masa depan apakah terus atau terhenti! Pilihan raya ke-13 pasti akan menjadi perhatian dunia.
Hajat utama Umno ialah menang dengan mendapat majoriti 2/3 di parlimen. Kegagalan UBN berbuat demikian adalah keaiban paling besar buat parti tersebut. Tidak mustahil UBN akan terpaksa surrender sebelum cukup tempoh penggal parlimen ke-13 sekiranya parti itu gagal mendapat majoriti 2/3. Apa lagi kalau UBN gagal merampas balik Selangor dan Kedah ia akan mempercepatkan untuk Umno kibar bendera putih. Kalaulah menang.
Hajat lebih besar serta terdesak dari itu ialah untuk merampas balik Selangor dan Kedah yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya lalu. Untuk itu saya yakin Umno akan mengatur tektik dan strategi khusus untuk kedua negeri berkenaan. Tidak mustahil kalau pilihan raya ke-13 ini 'berjeluah' dengan kejebatakan dan kejahatan.
Mungkin manifesto khas dikeluarkan untuk negeri-negeri yang menjadi fokus itu. Walaupun hajat sama ada terhadap Kelantan tetapi hati kecil Umno mengakui ia masih sukar. Kenyataan untuk merampas Kelantan setakat ini hanya sebagai mimpi saja. Umno Kelantan masih tercari-cari siapakah tokoh paling layak untuk mengambil alih tempat Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Keserabutan dan perebutan untuk menjadi calon di kerusi tertentu di beberapa kawasan boleh menyebabkan momentum yang baik untuk Umno menang akan musnah. Politik cas keting masih berlaku di Kelantan. Golok dan parang untuk memacung di antara satu sama lain sedang bergemerciangan diasah dan dikilir.
Berlainan dengan Terengganu nampaknya dengan senang Umno boleh menggulung Pas seperti menggulung tikar buruk sekiranya Pas tidak bangkit melakukan perubahan. 'Kewakyahan' menteri besar Terengganu Mat Said hari ini tidak diambil kesempatan sepenuhnya oleh Pas. Pas Terengganu seakan hilang akal bagaimana hendak merebahkan UBN.
Justeru ada sesuatu perkara yang besar dan penting yang perlu dilakukan Pas Terengganu kalau mereka mahu memakan telor penyu pada pilihan raya ke-13 nanti. Pengorbanan besar di kalangan pemimpinnya harus dilakukan. Peminat apa yang saya namakan sebagai pemimpin Van C twenty perlu berkorban. (Akan diulas di lain masa).
Di sini saya hanya akan mengulas mengenai peluang Umno di Kelantan saja. Saya ingin menabur idea sedikit kepada Umno Kelantan sekiranya mereka benar berhajat untuk menggulung tikar penguasaan Pas Kelantan dan menyandarkan di batang sejarah. Harap Mustapa Mohamed mendengar dan berani mengambil tindakan ke atas cadangan saya ini. Ia bukan memerlukan modal besar dan kewangan yang banyak. Ia hanya memerlukan kebernanian dan politik yang rasional.
Apa yang saya maksudkan ialah Umno Kelantan harus mengubah pendekatan politik mereka. Politik bebal dan ego yang diamalkan Awang Adek Hussein yang bukan saja tidak mahu menyokong agar royalti minyak diberikan kepada Kelantan, tetapi poster kempen royalti juga ditolak dan ditekis hendaklah ditohok jauh dari hidup Umno. Sudah sampai masanya Umno mengambil pendekatan terbuka dan ikhlas kepada rakyat Kelantan. Politik peninggalan Mahathir Mohamad yang menganiayaan Kelantan berpuluh tahun perlu disingkirkan.
Sikap mementingkan diri sendiri menerusi parti tidak wajar diamalkan lagi. Kenapa pemimpin Umno Kelantan tidak menyokong supaya royaliti minyak diberikan ialah kerana mereka lebih mementingkan diri dan perut sendiri. Kalau mereka meletakkan kepentingan rakyat Kelantan di hadapan mereka akan menyokong agar royalti diberikan. Mereka akan mengangkat sepanduk mendesak Ha Najib memulangkan wang dan hak rakyat Kelantan menerusi instrument undang-undang sepatutnya.
Mustapa sendiri kena ubah sikap dan pendekatan. Sebagai ketua beliau harus berfikir untuk rakyat bukan untuk parti dan diri sendiri. Beliau kena putarkan kepalanya ke arah lawan jam bukan mengikut denai dan lorong yang diamalkan selama ini. Beliau harus berani mencipta sejarah dan bukan hanya membaca sejarah. Orang Umno lain juga perlu bersikap dinamik dalam hal ini.
Makanya di dalam perhimpunan Umno hujung bulan ini Umno Kelantan harus berani merombak paradigma lama yang lapok dan menyebabkan parti itu tidak polpular di kalangan rakyat Kelantan. Untuk tujuannya ini hendaknya Mustapa akan berani membuat keputusan mendesak atau pun membenarkan kerajaan Pusat memberi royalti kepada Kelantan secara jujur dan ikhlas.
Kalau Mustapa sendiri merasa malu alah untuk bercakap, beliau boleh beri green light kepada kepada perwakilan lain untuk melontarkan cadanagan itu. Mereka yang dilantik menjadi jurucakap Umno Kelantan perlu diberikan keizanan untuk mereka menjadi berani dan kurang ajar meminta Ha Najib memberikan royalti minyak kepada kerajaan Kelantan bukannya menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) atas nama wang ehsan.
Tindakan dan keberanian seperti itu menyalahi adat. Tetapi saya yakin dalam berdepan dengan rakyat Kelantan dan pengundi berpendidikan mereka suka dan menerima cadangan dan keberanian itu satu transformasi terbaik oleh Umno. Politik menghukum, mendenda membalas dendam sudah tidak sesuai lagi dizaman manusia lain sudah berani dan memiliki ilmu untuk hidup.
Saya rasa jurucakap Umno Kelantan nanti tidak akan segan silu untuk membuat desakan dan permintaan. Dalam hal ini orang paling layak ialah Mohamad Alwi Che Ahmad (foto). Serahkan kepada Mohamad Alwi. Lagi pun selama ini beliau menampakkan akan politik terbuka dan rasional. Walaupun dalam hal tertentu beliau bersetuju tindakan politik menghukum rakyat Kelantan diamalkan di zaman regim Mahathir turut dibencinya. Apakah Mustapa berani membuat keputusan dan mengambil risiko ini? Iya kalau Mustapa seorang pejuang tulen dan anak jantan beliau tidak ada masalah untuk menerima idea ini demi kebaikan Umno juga.
Saya cukup optimis perkembangan dan senario baru politik Kelantan selepas perhimpunan agugn Umno akan dapat disaksikan kalau cadangan ini menjadi realiti dalam perhimpunan agung Umno kelak. [wm.kl. 2:16 petang 24/11/11]
No comments:
Post a Comment