Kemeriahan Hari "Memegang" Di Aceh
[kemaskini] SEHARIAN cuaca di Tanah Rencong Nenggore Acheh Darulsalam ini mendung dicelah dengan gerimis. Keadaan menjadi dingin dan sejuk. Kubah hitam masjid Baiturrahman yang dapat dicuri pandang dari bilik penginapan ini nampak kelabu.
Pemandangan menjadi agak kabur dan berbaur apabila ada manik-maniki tetes hujan yang melekat di kaca tingkat. Kubah hitam yang warna sama hitam dengan Kaabah di Makkah ini sering kali menggamit perasaan saya!
Entah... setiap kali saya melangkah ke Tanah Rencong ini, bila terpandang Baiturrahman kenangan saya terus mengimbau ke Makkah. Sejuta kenangan bergelombang ke dalam diri dan menggelegak bagaikan gulai..kambing campur nangka.
Mengenangkan cuaca yang redup terbetik di dalam hati apakah esok keadaan ini akan berterusan? Gerimis dan mendung. Atau akan berhenti secara tiba-tiba. Naluri juga mengusik apakah keadaan ini menandakan satu lagi tsunami akan melanda Acheh dan ikut sama memangsakan aku? Bagi kita yang tidak terbiasa dengan olengan laut dan hayunan gempa bumi akan berfikir demikian. Walhal bagi penduduk Acheh ia sudah biasa dan tak ada apa-apa lagi. Kata orang Acheh mereka seolah berada di atas buian sepanjang hari... alah bisa tega biasa. Hilang debar kerana takdir.
Kalau maut dan ajal sudah datang mengundang duduklah di mana, dalam keadaan apa... di singgahsana tinggi menggunung.. kita terpaksa akur juga. Kerja Allah tidak akan lambat sesaat dan tidak akan cepat sesaat. Ia adalah tepat dan tuntas. Seharusnya dalam hidup kita perlu mengambil iktibar dan memperlajari dari apa yang Allah anjurkan. Belajar mematuhi masa adalah amat penting untuk berjaya. Bacalah surah al asr.
Saya berdoa agar cuaca akan menjadi terang dan gerimis akan berhenti. Sebab hari ini, siang akan menyelesaikan urusan korban. Memastikan apakah lembu korban sudah sampai ke lokasi dan juga menemui wakil penduduk untuk membincang beberapa keperluan, persiapan terakhir sebelum korban dilakukan. Biar semua sempurna dan lancar.
Saya kalau boleh mahu merasai manisnya daging korban yang dimasakan ala Acheh bersama dengan penduduk dan anak-anak yatim.
Selepas itu akan ke tempat pesta "Hari Memegang" di mana upacara penjualan daging lembu. Ini juga satu tradisi di Acheh di mana upacara Hari Memegang ini diadakan menjelang dua hari sebelum tibanya raya baik Aidil Fitri dan juga Aidil Adha. Penjualan yang dibuat secara berkelompok ini sungguh meriah di mana orang ramai akan datang untuk mendapatkan daging bagi persiapan lauk paut juadah hari raya.
Sebelah malamnya nanti adalah acara yang ditunggu-tunggu. Satu himpunan dan perarakan akan diadakan di perkarangan masjid Baiturrahaman. Sebaik selesai solat Isyak acara akan bermula. Perarakan ini disertai orang ramai dan juga jabatan-jabatan kerajaan. Puluhan kereta berhias akan melalui jalan-jalan utama di sekitar masjid Baiturrahaman. Sambil itu di belakang pula diikuti oleh ribuan orang ramai yang ditangan masing-masing memegang jamur... "karak".
Sambil berarak mereka akan menggemakan takbir raya beramai-ramai dan bersahutan. Perarakan ini akan berakhir menjelang tengah malam dan semua akan berhimpun di perkarangan masjid untuk mengikuti syarahan agama dan sebagainya.
Sementara di perkarangan masjid pula diadakan jamuan kueh mueh yang dibawa oleh orang ramai. Mereka akan sama-sama makan beramai-ramai di perkarangan masjid. Tanah lapang di sekiling masjid akan menjadi pesta malam yang indah. Saya rasa budaya ini tidak ada di tempat kita.
Saya bercadang mengikut perarakan itu dan cuba memberi gambaran untuk penjenguk blog Merah Tinta. Justeru saya mendoakan agar cuaca malam ini cerah tidak diguris gerimis dan kaki saya sendiri biarlah lega dan kedua tumit kaki tidak pedih dan ngilu kerana gout sudah memperhambakan diri.
Pagi-pagi selepas Subuh saya menuju ke sebuah tempat penjualan daging "Hari Memegang" yang terletak di sebatang jalan di daerah Kuta Alam. Walaupun hari masih pagi tetapi orang ramai sudah berpusu-pusu untuk mendapatkan daging. Di sepanjang jalan ini dipenuhi dengan penjual daging.
Satu pesta baru yang dapat saya saksikan. Dari sini terserlah akan kehebatan orang Aceh membuat persiapan untuk menyambut hari raya korban. Memiliki daging hatta seketul sudah menjadi satu kemestian. Tetapi itu bagi yang kaya, yang berada di Banda Acheh atau di kota-kota, tetapi yang nun jauh di pedalaman tidak merasai, usahkan daging berbau darah pun tidak.
Hari Memegang dilalui juga tetapi tidak dengan membeli daging, mungkin cukup untuk seekor ayam... atau pun hanya mendengar dari cerita-cerita orang saja. Kenapa tidak... lembu di Acheh bukan sembarangan. Sekilo daging yang dijual di Kuta Alam itu dan di tempat lain juga Rp120,000 atau kira-kira RM45 atau RM50 sekilo. Bayangkan berapa mahal berbanding di tempat kita. Misalnya sekilo usus yang ditempat kita hanya RM7 di Aceh RM19.
Dari lokasi Kuta Alam saya bergerak ke luar pinggir kota untuk melihat bagaimana kemeriah di tempat jualan daging Hari Memegang di lokasi lain. Ternyata keadaannya juga tidak kurang meriah. Boleh dikatakan di setiap pekan ada seekor dua kambing atau lembu yang disembelihkan untuk menyambut hari memegang.
Terlepas perarakan.
Setelah selesai menguruskan urusan korban yang terletak kira-kira 100 km dari bandar Acheh saya kembali ke kota - Banda Aceh untuk menanti saat di tunggu-tunggu perarakan kereta berhias mengelilingi Masjid Bairurrahman. Sebelum itu saya ke rumah seorang teman untuk berbuka puasa. Hujan gerimis seperti tidak mahu berhenti, terus turun.
Keadaan ternyata tidak begitu menyenangkan. Ditambah lagi dengan keadaan kaki tidak selesa, menyulitkan untuk saya bergerak. Kesakitan yang menyocok tumit secara lebih kencang lagi menyebabkan saya tidak berlama di masjid. Isyak masih belum 'masuk'. Orang ramai sudah memenuhi sekitar masjid.
Orang Acheh sudah betah dengan hujan dan gerimis, tetapi tidak dengan saya. Saya mengambil keputusan untuk kembali ke penginapan dan membiarkan acara itu dirakam sdr Rushdan Mustafa dan seorang lagi pembantu. Nampaknya acara yang ditunggu-tunggu itu akan terlepas juga.
Jam 10:00 malam acara perarakan sudah bermula. Dari celah tingkat hotel sudah kedengaran takbir raya yang menusuk kalbu dari arah masjid yang terletak kira-kira 200 meter dipisahkan sebatang sungai. Saya cuba menjenguk dan membuka tingkat untuk mengintip dan mendengar lebih cerat. Baru hendak bangun entah macam mana kaki terseliuh dan jatuh. Dup... tingkap masih tertutup tetapi takbir raya menerawang seolah mahu masuk ke bilik saya. Ia benar-benar mencabar...
Saya mencuba mengagahi diri, namun tidak berdaya. Denyutan dan kepedihan seakan menerkam dan meramas seluruh diri saya. Di sini tiada sesiapa yang boleh diminta tolong. Saya tidak mahu menelefon Rushdan bimbang menganggui kerjanya, hendak tak hendak terpaksa menelan kesakitan bersendirian. Dalam kepedihan itu saya cuba membayangkan kepedihan Siti Hajar ketika berlari dari Safar ke Maruah untuk mendapatkan air buat Ismail yang kehausan.
Dalam kejap bayangan kepada Hajar dan Ismail itu itu saya terlena... sendirian dan terkejut apabila pintu kamar diketuk Rushdan yang membawa balik sedikit rakaman upacara berkenaan.
Alhamdulilah... sambil menyaksikan rakaman menerusi Galaxy yang discreenya diletakkan gambar isterinya (anggun) sayup gema takbir dan tahmid di luar sana masih berterusan dan berbaur memanggil-manggil umat Islam agar sama-sama melakukan korban pada esoknya. Bersambung. [banda aceh. 8:20 am 05/11/11]
No comments:
Post a Comment