Esok Kita Kembali Berblog
Sepanjang perjalanan tadi terfikir sesampai di rumah untuk terus mengisi blog setakat yang terdaya. Banyak cerita dan bahan untuk dikongsi bersama penjenguk setia blog ini. Sepanjang perjalanan ke Kuala Berang kemudian berakhir di Rantau Panjang semalam dan bersambung hari ini dari Pasir Puteh menerusi Kuala Krai, Gua Musang dan berakhir di rumah telah menghimpunkan pelbagai peristiwa dan maklumat.
Apa yang ada dalam kepala sudah mahu meledak dan pasti kalau tidak diluah serba sedikit membuatkan saya tidak akan lena tidur.
Di Kuala Berang tidak ada apa, melainkan majlis sambut menantu oleh besan saya. Kenduri stail kampung cukup meriah dan menyeronokkan. Biarlah tidak ada muzik, karaoke dan sebagainya tetapi suasana majlis cukup menyenangkan. Sesuai dengan jiwa saya orang kampung.
Paling bahagia ialah kesediaan kawan-kawan untuk sama menyertai rombongan 'menghantar menantu'. Dalam saat seperti itulah nilai dan harga persahabatan cukup tinggi. Nilai dan erti persahabatan kadang kala mengatasi nilai dan erti perhubungan darah daging.
Iya sahabat kita boleh herdik, mereka akan diam dan akur kepada kehendak kita. Darah daging sendiri belum tentu lagi. Dan darang daging juga boleh membusuk sepanjang zaman. Siapa kata cincang air tidak akan putus? Hanya yang tidak tamak, tidak ego dan mempunyai sikap toleransi tinggi serta ada nilai kejujuran dan ketelusan saja yang tidak putus dan kekal ke liang lahad.
Terima kasih kepada kawan dan sahabat yang telah meluangkan masa dan saya telah menyusahkan mereka; sdr Ramli Abdul Halim dan isteri barunya Norsita Abdul Rahim, Sdr Ahmad Fauzi Ibrahim dan isterinya Sharifah, sdr Sobree Shafii dan isteri Kak Ani, sdr Zainal Isa bersama isteri Nor Maskah serta anak-anak.
Sdr Mustapa dan isteri Hasmah dan anak menantu (satu-satu kelurag terdekat saya - sepupu), Idarosmawati dan suami, Yb Wan Hassan Semerak, sdr Rushdan Mustafa, Reduan dan isteri, Hj Ariffahami Abdul Rahman, sdr Nizam bersama isteri dan anak-anak. Terima kasih dan terima kasih dan terima kasih dari saya isteri dan keluarga.
Tiga hari dua malam dan perjalanan sejauh 1,500 km banyak pemandangan dan panorama politik masuk dan menyinggai birai benak saya. Bertemu dengan sumber dan rakan bloger pula memberi input yang tidak boleh dibeli di mana-mana. InsyaAllah esok saya akan cuba mengisi blog ini dengan cerita dan berita, ulasan dan analisa saya terhadap beberapa isu yang saya kira menarik termasuk juga tentang kongres Keadilan di Johor.
Yang paling menarik ialah cerita di Terengganu.... apakah Mat Said telah menghantarkan surat tuntutan untuk menyaman saya seperti mana diwar-warkan? Dan cerita di Kota Bharu... untuk pertama kali saya ngomong menerusi telefon dengan Tok Guru Nik Aziz. Tunggu esok salam dan selamat malam. Catatan: Dipostkan beberapa keping sekitar kenduri di Kuala Berang. [wm.kl.11:18 pm 27/11/11]
No comments:
Post a Comment