Friday, July 17, 2009

Reaksi Dari Gerak

Elak Kejadian Buruk: Gerak Cadang Empat Langkah

SEMUA pihak memandang berat tragedi kematian pegawai Exco Selangor, Teo Beng Hock yang ditemui mati di atas bumbung bersebelah pejabat SPRM Selangor di Wisma Masala tengah hari semalam. Semua pihak mahu pihak berwajib menyegerakan siasatan mencari punca kematian dan sebab musabab kenapa Beng Hock yang disoalsiat berhubung rasuah melibatakan wakil rakyat Selangor itu berlaku.

Turut sama member perhatian berkaitan kes itu ialah, Gerakan Anti Kosupsi (Gerak) Malaysia. Dalam kenyataan yang diemailkan ke blog ini, Gerak memgemukakan empat langkah yang perlu dilakukan segera oleh SPRM bagi mengelakkan kejadian seumpama itu yang boleh menimbulkan kontroversi berulang.

Langkah-langkah itu berkaitan dengan keadah soal siasat dijalankan termasuk juga waktu. Gerak mencadangkan seseorang disoalsiasat hendaklah dihantar atau dilepas pulang dengan pengawasan sekurang-kurang dua pegawai mengiringinya.

Berikut adalah kenyataan penuh Gerak;

Gerakan Rakyat Integriti & Anti Korupsi (Gerak Malaysia) dan Majlis Integriti Angkatan Muda Malaysia menyarankan agar pihak polis dan SPRM menyegerakan pengumuman hasil siasatan lengkap kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Pengumuman segera ini amat penting bagi mengelakkan spekulasi negatif berterusan terhadap kewibawaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga memberikan penjelasan seadilnya terhadap masyarakat umum dan keluarga mangsa tentang kejadian.

Justeru, Gerak Malaysia menyarankan empat langkah segera yang perlu diambil oleh SPRM bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seumpama ini berlaku lagi. Saranan tersebut adalah:

1) Pihak SPRM hendaklah dengan kadar segera memasang kamera litar tertutup (CCTV) disetiap cawangan SPRM Negeri termasuk di bilik siasatan dan ruang premis berkenaan pada lokasi yang strategik.

2) Jangka waktu siasatan haruslah ditetapkan dengan waktu yang lebih wajar dan tidak melebihi jam 9.00 malam bagi mengelakkan risiko keselamatan terhadap saksi.

3) Bagi kes-kes penting dan memerlukan rakaman percakapan dalam tempoh 24 jam, pihak SPRM adalah wajar untuk memastikan keselamatan saksi termasuk menyediakan pengawal pengiring sehingga dipastikan saksi selamat beredar daripada pejabat SPRM.

4) Saksi yang terpaksa disiasat sehingga lewat malam haruslah dipastikan pulang dengan sekurang-kurangnya dua orang wakil keluarga yang boleh datang mengambil saksi bagi memastikan kondisi mental, fizikal dan emosi terakhir saksi selepas di soal siasat oleh pihak SPRM.

Gerak Malaysia yakin jika langkah-langkah segera ini diambil, maka kemalangan yang tidak diingini terhadap saksi boleh dikurangkan risikonya secara segera.

Dalam masa yang sama, Gerak Malaysia berharap agar pihak SPRM terus mengekalkan darjah profesionalisme dengan tidak hanya menyiasat kes-kes terpilih. Kita juga menyarankan agar mana-mana pihak yang terlibat dalam siasatan termasuk saksi memberikan kerjasama penuh bagi memastikan kelancaran siasatan.

Mana-mana saksi yang diugut sama ada oleh pegawai SPRM ketika siasatan ataupun oleh orang luar yang disyaki terlibat dengan rasuah adalah wajib melaporkan kejadian itu terhadap pihak Jawatankuasa Aduan SPRM atupun pihak polis bagi memudahkan tugasan pihak berkuasa melakukan pemantauan terhadap keselamatan saksi.

Gerak juga bersetuju dengan langkah Kerajaan Negeri Selangor untuk melantik pakar patologinya sendiri bagi membantu pakar-pakar patologi polis dalam melengkapkan kertas siasatan kes kematian Setiausaha Politik Exco Selangor terbabit. Langkah ini juga penting bagi memastikan ketelusan, keadilan dan dapat memuaskan hati kelurga mangsa terhadap laporan siasatan nanti.

Dalam perkembangan lain, Gerak Malaysia amat mengalu-alukan langkah SPRM untuk menubuhkan panel baru yang mewakili rakyat awam bagi memaklumkan keputusan yang telah dibuat SPRM terutamanya kes-kes yang tidak dituduh di mahkamah. Panel baru ini bertanggungjawab untuk menyenaraikan sebab-sebab dan faktor-faktor kes yang tidak dituduh di mahkamah supaya orang ramai faham mengapa kes-kes itu tidak dibawa ke mahkamah.

Jika sebelum ini ramai yang beranggapan SPRM tutup kes tetapi sekurang-kurangnya dengan adanya panel baru yang mewakili rakyat awam ini , maka daptlah dimaklumkan kepada orang ramai apakah faktor dan sebab-sebab rasional tersebut.

Gerak juga menyarankan agar semua pihak bertenang dan memberikan ruang buat pihak polis dan pakar perubatan menjalankan siasatan bagi memastikan keadilan buat semua. Jika terdapat bukti ada pihak yang bersalah, Gerak Malaysia menyokong tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang bersalah tersebut. Jika tidak berlaku kesalahan maka nama baik SPRM juga wajar untuk dibersihkan dan tidak dilakukan tuduhan melulu terhadap mereka.

MOHD NAZREE MOHD YUNUS
Pengerusi GERAK MALAYSIA &
Majlis Integriti Angkatan Muda Malaysia
[wm.kl. 12:15 t/hari 17/07/09]

Thursday, July 16, 2009

Tragedi Panas

Kematian Teo Beng Hock Pasti Akan Dipolitikan

POLITIK negara nampaknya kalut lagi. Konflit antara Pakatan Rakyat dengan BN tidak akan berakhir malah akan menjadi hangat dan panas. Kematian pegawai khas Exco Selangor, Teo Beng Hock, 30 secara misteri hari ini yang dikatakan terjatuh dari tingkat 14 Ibu Pejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam, Shah Alam.

Walaupun kematian Beng Hock itu atas kehendaknya sendiri atau sebaliknya ia tidak dapat lari daripada akan diperkatakan dan dijadikan isu politik. Sudah barang tentu di pihak Pakatan Rakyat khususnya DAP tidak berpuas hati dengan kejadian itu yang menimbulkan berbagai tanda tanya.

Selepas ini akan adalah tuntutan agar siasatan rapi dan terperinci dilakukan bagi memastikan punca kejadian itu. Akan adalah juga selepas ini tunjuk-tunjuk perasaan, protes, penyerahan memorandum dan sebagainya. Dalam sidang parlimen akan datang pastilah ianya akan dibangkitkan. Dan seperti biasa SPRM akan menjadi sasaran pembangkang dengan tohmahan-tohmahan yang perit untuk didengarinya.

Walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Aziz meminta agar jangan dispekulasikan kejadian itu dan tunggu siasatan polis selesai dibuat namun ianya tidak mudah dipedulikan. Hari ini pun salah seorang Exco Selangor, Ronnie Liu telah mengamuk di pejabat SPRM ekoran kejadian itu, ingin mengetahui apakah punca kejadian malang itu.

Semestinya SPRM harus memberi penjelasan di atas apa yang berlaku secara jujur dan telus. Adalah dibimbang kalau ia bersifat menyembunyikan keadaan sebenar kes ini akan menjadi polimek berpanjangan dan menyebabkan keyakinan umum kepada SPRM yang sering dipertikaikan akan terus diragui.

Beng Hock dipanggil ke pejabata SPRM semalam untuk disoal siasat berhubung penyalahgunaan peruntukan kerajaan negeri yang disalurkan kepada wakil rakyat melalui pejabat daerah Petaling. Wakil rakyat Selangor diperuntukan sebanyak RM500,000 setahun. Beliau disiasat hingga jam 3:00 pagi dan dijangka akan menyambung hari ini dengan mengemukakan beberapa dokumen (bukti) yang diminta.

Seramai tujuh Adun Selangor termasuk Exco dari Pakatan, kesemuanya keturunan China disiasat oleh SPRM. Mereka ialah, Teresa Kok (Kinrara), Hannah Yeoh (Subang), Elizebeth Wong (Bukit Lanjan), Dr Chean Wing Yih (Damansara Utara), Edward Leu (Bukit Gasing).

Disebabkan kesemua Adun yang disiasat itu keturunan Cina menyebabkan ada Exco mempersoalkan siasatan berkenaan sebagai sengaja dan bermotif tertentu. Bagaimana pun perkara itu telah dijelaskan oleh Pengarah Siasatan SPRM, Mohd Shukri Abdul siasatan itu adalah prosuder biasa bila mana ada laporan mengenainya.

Menurutnya juga tidak perlu mana-mana pihak merasa gentar atau bimbang dengan siasatan itu kerana kalau mereka yang disiasat itu tidak bersalah mereka tidak dikenakan apa-apa tindakan. Sebaliknya kalau didapati ada bukti melakukan kesalahan tunggulah di mahkamah.

Untuk sementara waktu seeloknya semua pihak tidak mudah membuat andaian-andaian dari sentimen peribadi apa lagi bermotif politik, sebaliknya serahkan sahaja kepada SPRM dan pihak polis tanpa prejudis terhadap tanggungjawab mereka. [d'kota kl. 9:15 pm 16/07/09]

Celoteh Murai 49

Jangan Biarkan Hati Orang PKR Terguris Lebih Dalam

LAMA Murai tidak muncul, bukan apa-apa cuma seminggu dua ni tak ada nafsu untuk bercakap atau berkokok mengenai politik. Bukan bermakna Murai sudah pencen, Murai masih ada dan akan tetap bersiul dan berkokok mencerita dan membuka kisah demi kisah yang tersorot di celah-celah sampah sarap.

Kali ni Murai nak ceritakan perihal satu email yang masuk ke dalam box email tuan Murai. Mulanya Murai malas nak baca, tetapi selepas menyilaunya dua tiga ayat, menarik pula email ini. Ada isu yang hendak dituturkan dan elok kalau didedahkan.

Kisahnya ialah mengenai perasaan orang-orang PKR Kelantan yang tidak berpuas hati dengan sikap rakan mereka di Kelantan. Email ini menceritakan mengenai hubungan PKR dengan Pas yang tidak begitu ceria. Kerana itu katanya dia tidak hairan kalau dalam pilihan raya Manik Urai lalu Pas menang dengan majoriti yang sedikit, cukup untuk dibuat penawar! Sebabnya pilihan raya itu tidak didepan dengan semangat perpaduan yang ulit.

Pengiriman ini memberi contoh kepada apa yang berlaku ke atas dirinya (PKR) sendiri semasa pilihan raya berkenaan. Katanya dia dan rakan-rakannya yang beriya datang ke Manik Urai untuk membantu Pas, tidak diberikan peranan. Sedihnya, katanya seolah kedatangan mereka itu seperti tidak diperlukan.

Murai tidaklah dapat mengatakan benar atau tidak apa yang didakwan oleh pengirim ini. Yang pastinya apa yang Murai tenguk tidak banyak bendera Keadilan dikibarkan pada pilihan raya berkenaan seperti selalunya. Tetapi mungkin juga kerana SPR larang, maka kuranglah bendera Keadilan. Maka kekurangan bendera ini tidak boleh dijadikan hujah dan bukti yang timbul rasa kurang senang Pas dengan PKR?

Tetapi kalau sudah ada ahli Pakatan sendiri yang mengaku, ini bermakna benarlah bahawa pilihan raya kali ini tidak dihadapi dengan semangat kerjasama yang tinggi. Murai yakin atas apa yang diceritakan itu kerana orang Pas sendiri ada yang dimurih dan dihalang jangan pergi ke Manik Urai.

Sejajar mengenangkan hal ini Murai teringat kepada runggutan seorang Ketua Keadilan di Kelantan mengenai nasib parti itu di Kelantan. Ketua itu pernah merungut dan merintih mengenai layanan kurang adil dan memuaskan kepada PKR di Kelantan sebagai rakan dalam Pakatan. Rintihan ini sudah lama dicurahkan tetapi Murai buat-buat tak peduli saja.

Kata ketua itu, apa yang dilaungkan oleh Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat yang begitu kental sekali dengan Pakatan Rakyat tidak seperti mana yang dipraktikan. Bikin tidak seperti dikatakan, katanya. Di Kuala Lumpur Nik Aziz seolah menyimpul mati dirinya dengan Pakatan Rakyat. Sehinggakan beliau sanggup meminta orang yang bercakap nak berunding dengan Umno supaya keluar parti dan letak semua jawatan. Kemarahan Nik Aziz ini menunjukkan dia begitu ‘mmeruk’ dengan Pakatan Rakyat, kata ketua itu.

Tindakan Nik Aziz itu menjelaskan beliau benci kalau Pas bercakap soal perpaduan dengan Umno. Nik Aziz percaya dan yakin Pakatan Rakyat akan dapat membentuk kerajaan bersama Pakatan Rakyat. Semua pandangan dan pendirian Nik Aziz itu disokong. Ahli dan penyokong Pakatan baik PKR dan DAP mengalu-alukan. Nik Aziz menjadi simbol pengukuhan Pakatan Rakyat dan mursyid yang menolak rundingan Pas dengan Umno.

Bagaimana pun apa yang dikesalkan si ketua itu, berlainan dalam praktikannya di Kelantan. Beliau memberi tahu Murai misalnya dalam soal pembahagian kek kemenangan di Kelantan PKR dilayan sebagai anak tiri sahaja. Saguhati untuk PKR tidak seberapa malah tidak kelihatan langsung.

Katanya PKR tidak mendapat apa yang sepatutnya diperolehi. Mislanya jawatan penyelia DUN Pengkalan Kubur dan Nenggeri yang sebelum ini diperuntukan kepada PKR ditarik balik. Penyedia untuk DUN yang kalah itu diberikan kepada Pas. Katanya kalau ikut amalan biasa kawasan yang diperuntukkan kepada PKR seharusnya diisi oleh wakil PKR bila kalah. Itulah baru dikatakan persahabatan.

Bukan itu saja kata ketua bahagian itu, jawatan-jawatan dalam PBT, badan berkanun dan lantikan politik seperti penghulu, guru halaqah dan sebagainya tidak mengikut kouta yang sewajarnya. Misalnya perlantikan penghulu wakil PKR diberikan seorang saja untuk satu kawasan parlimen yang memperuntukkan 50 orang penghulu. Yang lainya disapu oleh Pas.

Wakil PKR dalam PBT pula hanya dua atau tiga orang daripada lebih 12 ahli. Manakala dalam badan berkanun pula wakil PKR hanya dilantik sebagai ahli saja, jawatan berprestaj seperti pengerusi dan ketua dikebas oleh Pas.

Ketua itu mengakui bahawa PKR hanya melukut di tepi gantang di Kelantan. Tetapi kalau mengikut semangat Pakatan Rakyat, PKR seharusnya tidak diperkecil begitu. Melukut juga perlu diberi tempat seadil-adilnya. PKR harus dilayan sama rata dan sepandan dengan keupayaannya. Walaupun ia melukut, namun kehadiran melukut di hujung badang itu ada juga gunannya.

Ketua itu merasa anih, Pas Kelantan nampak begitu berminat dengan Anwar Ibrhaim saja tetapi tidak suka kepada penyokong dan ahli partinya di Kelantan. Sikap ini kata ketua itu samalah orang yang suka kepada susu tetapi benci kepada sapi. Sesuatu yang Murai rasa cemas bila ketua bahagian itu memberi ingatan kepada Pas, agar jangan berlebih sangat menganiaya PKR bimbang berlaku sesutau yang tidak diingini.

"Jangan buat nyanya ke PKR nanti, PKR juga orang bukan tunggul kayu," begitulah luah ketua itu kesal.

Makanya bagi fikrian Murai, kerajaan Kelantan harus melayan PKR Kelantan dengan adilnya. Jangan mereka dipergunakan sewaktu dalam keadaan susah, tetapi bila sudah lepas dan bebas dilupakan begitu saja. Apa yang berlaku ke atas bekas parti Semangat 46 dulu jangan berulang lagi. Jangan jadi si buta yang 'hagah', melempar tongkat selepas menyemberangi jambatan...

Jadi sebelum perasaan ahli dan penyokong PKR Kelantan terguris lebih dalam hendaknya adalah mana-mana pemimpin Pas mengajak pemimpin PKR khasnya ketua bahagian berkenaan untuk duduk makan nasi kerabu dengan kopi O menyelesaikan masalah yang masih kecil dan putik ini. Dan jika ada pemimpin PKR datang menemui Exco Pas jangan buat layan-layan kucing saja, bercakap pun tidak tengok ke mata kerana asyik membelek surat khabar. Jangan..., jangan!

Murai: Hanya melaporkan saja untuk pengetahuan orang Pas.

Ulasan 2: Pilihan raya Manik Urai

Cikgu Rahim & Fatah Penasihat 30%

PENASIHAT operasi Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN) Pas Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah tampil memberi penjelasan kenapa Pas telah membuat prediction awal mengatakan Pas menang dengan majoriti 1,700 undi sedangkan proses pengundian sedang berjalan.

Menurut cikgu Rahim pengumuman dibuat pengarah pilihan raya Pas, Abdul Fatah Haron itu adalah sebagai serangan psikologis untuk menarik sokongan pengundi kepada calon Pas, Mohd Fauzi Abdullah (foto).

Menurut cikgu Rahim kenyataan yang dianggap sebagai over confident oleh Fatah itu juga bertujuan melumpuhkan keghairahan kempen jentera UBN dua jam terakhir untuk mendapatkan undi. Bagi perkiraan mereka bila diwar-warkan Pas sudah menang besar maka UBN akan lemah dan mengaku kalah sebelum sampai saat nokhtah.

Kenyataan atau penjelasan cikgu Rahim itu senada dan seirama dengan jawaban Fatah mengenai kemunasabahan beliau berbuat penyataan mendahului takdir. Menurut Fatah pengumuman awal kemenangan besar Pas itu sebagai strategi politik tanpa mengira maruahnya sebagai pemimpin yang boleh diragukan.

Mungkin bagi mereka yang bukan strategis menerima penjelasan cikgu Rahim dan Fatah itu mentah-mentah dan menganggap mereka berdua bijaksana. Tetapi bagi mereka yang tahu seluk belok politik dan dapat membezakan mana strategi yang positif dan negatif boleh mempertikaikan kewibawaan mereka selaku pengarah dan penasihat jentera pilihan raya.

Mungkin cikgu Rahim berbuat begitu dengan tujuan seperti mana disebutkan itu. Bila UBN telah mengetahui Pas menang besar menyebabkan mereka (UBN) lemah semangat untuk berkempen dan akhirnya akan meninggalkan pusat pengundian begitu saja. Maknanya UBN akan memberi kemenangan percuma kepada Pas.

Tetapi soalnya apakah bilik gerakan Pas mendapat maklumat tepat mengenai apa yang berlaku di pihak UBN untuk mengguna pakai strategi itu? Dan apakah cikgu Rahim dan Fatah tidak terfikir apabila mereka membuat kenyataan itu menyebabkan pengundi Pas yang rasa selesa dengan angka itu merasakan tidak perlu keluar lagi? Ini merugikan di pihak Pas!

Ataupun tidak terfikirkah dengan kenyataan itu juga menjadikan pengundi atas pagar dan yang bersimpati dengan UBN tidak jadi lemah longlai sebaliknya mereka menguatkan lagi usaha dan semangat untuk keluar mengundi. Sudah tentu jentera UBN yang benar-benar mengharapkan mereka dapat mengurangkan majoriti juga akan meningkatkan usaha mereka habis-habisan apabila mendengar kenyataan itu.

Strategi yang dibuat Cikgu Rahim dan Fatah ini nampaknya tidak begitu bijak dan mengambil kira berbagai aspek dan kemungkinan yang kemudian membidas balik kepada Pas. Pertamanya mengenai moral Pas itu sendiri. Ternyata apabila Pas akhirnya menang dengan hanya 65 undi menyebabkan kenyatana itu memakan diri sendiri. Orang akan melihat bahawa kenyataan atau prediction mereka berdua meleset sama sekali dan di sinilah wibawa mereka sebagai pengarah dan penasihat jentera pilihan raya boleh dipertikaikan.

Mungkin di sinilah menyebabkan timbul persoalan sejauh manakah mereka ini mempunyai kepakaran dalam mengatur strategi dalam pilihan raya yang terkapit seperti di Manik Urai itu? Sepatutnya mereka tidak menggunakan strategi serangan psikologis yang boleh memakan diri seperti itu.

Dalam keadaan begitu apa yang sepatut dilakukan ialah merendah diri atau pun bersikap tenang menunjukkan Pas dalam keadaan kalah. Dengan cara itu ia boleh menggamit mana-mana pengundi Pas untuk jadi lebih agresif untuk keluar mengundi bagi memastikan calon mereka menang.

Pada saya strategi ini adalah strategi songsang menggambarkan kesempitan dan kelemahan jentera pilihan raya yang dipandukan oleh kedua-dua Abdul ini. Apa yang berlaku itu sudah pasti ada kena mengena dengan tindakan mereka yang enggan menerima pandangan tokoh-tokoh lain kerana begitu yakin dengan kebolehaan mereka yang sememanya belum teruji.

Sekiranya mereka meluaskan meja perundingan pasti strategi yang 'leweh' itu tidak digunakan. Apabila mereka mengguna pakai strategi ini maka kelas mereka sebagai pengarah dan penasihat bertaraf penasihat 30%.

Sepatutnya Pas tidak membiarkan cikgu Rahim menjadi penasihat kepada JPN dan memainkan peranan penting dalam pilihan raya kecil itu. Pas harus melihat sejauh mana kemampauan Wan Rahim semasa beliau menjadi pengarah pilihan raya umum Kelantan tahun 2004 dulu. Seharusnya orang yang sudah kondem tidak lagi terus digunapakai kerana kelemahannya sudah jelas. Makanya keputusan buruk pilihan raya itu seharusnya dijadikan ukuran untuk menerima pakai khidmat cikgu Rahim dan juga Fatah.

Dalam pilihan raya 2004 dulu beliau jadi pengarah. Pas mengalami kekalahan teruk sehingga hampir kehilangan kerajaan. Dalam masa sama juga beliau turut bertanding di Kuala Krai dan turut kalah. Sepatutnya sebagai pengarah beliau tidak bertanding dan menumpuan kepada kerja-kerja pengarahan kepada seluruh jentera di Kelantan.

Atau pun mungkin juga dengan politik liberal yang dipraktikan Pas sekarang ini strategi ataupun ilmu siasah Cikgu Rahim dan Fatah sudah usang dan tidak relevan lagi. Maka elok kalau Pas Kelantan mula mencari dan mengenal bakat-bakat atau ahli strategi baru yang lebih bijaksana, bersikap terbuka serta luas pengetahuan dalam aspek perancangan politik dan diplomasi. [wm.kl. 1:00 am 16/07/09]

Tuesday, July 14, 2009

Ulasan 1: Pilihan Raya Manik Urai

Kemenangan Tipis 'Pengajaran' Kepada Pas

SEPERTI mana diduga awal-awal (tetapi dugaan ini sangat tidak disukai oleh sesetengah orang Pas), keputusan pilihan raya kecil Manik Urai hari ini tepat. Bahawa Pas bukan saja menang dengan majoriti (dijangkakan) 500 undi, tetapi jauh merudum dari itu. Pas hanya menang tipis dengan mendapat 65 undi sahaja.

Dengan majoriti sebanyak ini, bermakna UBN hanya perlu merampas 33 undi saja lagi untuk memenangi kerusi Manik Urai.

Apakah undi sebanyak 65 itu disumbangkan oleh Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa yang dihalang turun oleh Pas Kelantan tetapi turun juga disaat-saat akhir demi penghormatannya kepada pilihan raya berkenaan?

Keputusan sekejap tadi sudah pasti menggembirakan UBN. UBN boleh berbanga kerana kejayaan mereka mengurangkan majoriti diraih Pas menerusi Pak Su Weil dalam pilihan raya umum dulu dari 1,352 undi kepada hanya 65 undi sahaja, iaitu penurunan sebanyak 1,267 undi.

Kejayaan ini memberi kebanggan berganda kepada UBN kerana dalam lima pilihan raya kecil lain sebelum ini mereka kalah. Setengahnya dengan majoriti bertambah kepada pembangkang tetapi berlainan di Kelantan. Undi UBN bukan merosot tetapi bertambah berpuluh kali ganda.

Apa lagi dalam keadaan Pas dikatakan begitu kukuh dan kerajaannya (kerajaan Kelantan) menjadi kebanggaan seluruh orang Pas, tiba-tiba ia berjaya dikejutkan UBN begitu rupa sekali? Di lihat dari sudut mana sekalipun Pas Kelantan harus merasa malu dan perlu mahasabah diri dengan apa yang berlaku hari ini.

Keputusan ini sudah pasti akan dijadikan kayu pengukur dek UBN untuk membuat persediaan bagi menghadapi pilihan raya di masa akan datang termasuk pilihan raya umum. Mustapa Mohamed yang diberi tanggungjawab semula selaku Pengerusi Umno Kelantan sewajarnya boleh tersenyum dengan keputusan itu.

Mustapa boleh mendakwa bahawa beliau lebih diterima dari sesetengah pemimpin Pas di Kelantan yang mendabik dada dan cuba menunjuk hebat dan kononnya digilai rakyat Kelantan pada masa ini.

Baiklah... melihat kepada nasib yang dialami Pas ini, apakah ianya boleh dibiarkan begitu saja dan dianggap sebagai satu takdir Allah? Ataupun orang Pas Kelantan masih boleh terus ‘manggak’ dengan beranggapan bahawa mereka masih menang dan masih berkuasa dan masih kuat? Begitukah? Anggapan demikian pada saya tak ubahlah si buta yang jatuh ke dalam telaga tetapi berhelah untuk menutup malu dengan mengatakan dia sengaja turun kerana ingin minum air di bawah.

Bagi pemerhati politik mereka tetap akan membuat analisa mengenai keputusan hari ini. Mereka yang rasional dan faham politik tidak boleh menerima kemenangan Pas yang tipis ini sebagai takdir atau kehendak Allah begitu saja. Sebab dan musabab 'kekalahan' itu perlulah diselidiki untuk menjustifikasikan keputusan hari ini bagi dijadikan iktibar di masa depan.

Analisa ini perlu telus dan saksama untuk memberi ingatan kepada Pas agar tidak merana dilain kali. Dan ahli Pas termasuk yang taksub juga hendaklah terima dengan terbuka dan rela hakikat yang berada di hadapan mata.

Selama lapan hari berkempen tidak ada kejadian yang buruk berlaku. Tidak kedengaran UBN bertindak secara agresif ataupun berlaku jahat dan bermain kotor seperti mana dakwaan-dakwaan dilakukan UBN sebelum ini. Keseluruhan pilihan raya itu berjalan dalam suasan baik dan bersih.

Jadi kakalahan ini Pas tidak boleh menunding kepada Umno...seperti mana selalunya. Seperti kerana ada pengundi hantu, ugutan, rasuah dan sebagainya. Dalam hal ini kemenangan tipis itu Pas hendaklah meletakkan petaka dan celakanya ke atas batang tubuhnya sendiri. Pas jangan mencari kambing 'jamnapari' hitam untuk dipersalahkan!

Apa yang sempat dihimpunkan di sini dalam melihat kemenangan tipis Pas ini ialah disebabkan beberapa faktor berikut;
  • Pas telah silap dalam meletakkan tema pilihan raya berkenaan dengan cuba melokalitikan pilihan raya berkenaan dan tidak mahu ianya dilihat sebagai pilihan raya nasional. Ini bertentangan dengan skop perjuangan Pas itu sendiri yang bersifat nasional yang memakai slogan Pas for All.

  • Pas terlalu mempercayai kepada kredibiliti dan personaliti Tok Guru Nik Aziz sebagai modal dan aset, sehingga Pas merasakan tokoh-tokoh lain tidak memberi sumbangan kepada Pas dan mereka tidak penting malah dianggap sebagai libaliti kepada Pas.

  • Pas bersikap cuba menghadapi pilihan raya itu dengan anak beranaknya sendiri tanpa mahu melibatkan orang luar. Pas cuba menunjukkan keheroan ataupun cuba menampilkan hero lokal mereka dalam berpilihan raya dengan harapan akan menjadi hero di peringkat nasional. Justeru kerana itu ada petugas tidak rasmi Pas dari Kelantan yang menghalau petugas negeri lain agar tidak datang bergelewat di Manik Urai.

  • Begitu juga, mereka merekakan cukup kekuatan tenaga dan kewangan kerana mereka memegang kerajaan selama 18 tahun maka mereka merasakan tidak lagi memerlukan sumbangan dari ahli luar. Sikap ini menyebabkan komitmen ahli luar dalam pilihan raya Manik Urai tidak sekuat komitmen mereka pada pilihan raya kecil sebelum ini.

Rumusan daripada itu semua menjelaskan Pas menghadapi pilihan raya itu tanpa sokongan menyeluruh ahli Pas dari negeri-negeri lain. Begitu juga tanpa sokongan rakan dalam pakatan terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kelantan. Ini terbukti bilamana tokoh-tokoh Pas dari negeri lain tidak disenaraikan ataupun ada yang sama sekali dilarang agar menghadiri diri di Manik Urai manakala tenaga dan sumbangan PKR dipandangan lekeh.

Tindakan-tindakan itu pula secara tidak langsung menjelaskan Pas menghadapi pilihan raya Manik Urai dalam keadaan bermasalah dan tempang. Paling parah lagi ketempangan itu bukan saja Pas melarang penceramah dari luar tetapi tokoh-tokoh Pas dari Kelantan juga diketepikan ataupun tidak diberikan peranan sewajarnya. Tindakan ini ialah kerana ada golongan yang ingin menonjolkan ‘tanah rancanganya’ saja dan dalam masa sama mahu menenggelamkan ‘tanah rancangan’ orang lain.

Perkara lain yang nyata dalam pilihan raya ini ialah kelemahan pada jentera pilihan raya Pas bermula dari peringkat pengarah dan pegawai. Ternyata pengarah pilihan raya kecil Manik Urai termasuk juga penasihatnya operasinya sudah usang dan ketinggalan zaman.

Arahan-arahan atau keputusan yang dibuat oleh JPN ini khasnya Abdul Fatah Haron tidak profesional dan berbau ‘perkauman’ sesama sendiri dan sikap ini dapat dirasai oleh kebanyakan ahli Pas. Sepatutnya sikap jumud dan manggak ini tidak ada kepada JPN dan sepatutnya ia menerima semua orang sebagai satu saf dalam perjuangan tanpa diasingkan dengan motif politik peribadi yang merugikan parti.

Mungkin sikap ini berlaku kerana over confident? Sebab itulah awal-awal lagi JPN telah meletakkan sasaran Pas boleh menang sehingga 2,000 undi dan enggan sumbangan pemimpin di luar Kelantan daripada ikut berkempen di Manik Urai? Perang saraf dengan angka ini agak melampau dan ego. Keadaan ini terbawa sehingga ke hari mengundi bila mana belum apa-apa Fatah terlah membuat kenyataan media kononnya Pas menang dengan majoriti 1,700 undi.

Dengan keputusan hari ini adalah elok kalau Tok Guru Nik Aziz Nik Mat melipat ganda sembahyang tahjut atau hajat bagi mencari di mana silap dan salahnya dan mendapat petunjuk dari Allah bagaimana untuk memperbetulkan semula keadaan menyebabkan Pas menang tipis. Sekiranya beliau merasakan badan perhubungan Pas disusun semula maka beliau perlu bertindak tanpa bertanya kepada para penasihat yang sifatkan menyesatkan itu untuk mendapat pertunjuk dan formulanya.

Adalah lebih baik kalau kali ini beliau cuba untuk tidak akur kepada penasihat yang sebegitu dan cubalah melihat kepada arah mana bayang mentari jatuh. InsyaAllah Pas boleh perbetulkan apa yang pincang dalam Pas Kelantan hari ini.

Kemenangan tipis siang tadi menjelaskan bahawa para general yang dipercayai Tok Guru kini ditolak oleh rakyat menerusi peti undi di Manik Urai itu. Kalaulah pengundi Manik Urai yang dianggap sebagai pengundi pedalaman dan buta IT boleh melihat kemudaratan itu apa lagi dengan pengundi yang celik IT dan bijak menikah politiking pemimpin, tidak hairanlah kalau mereka akan lebih menolak Pas!

Sementara seafdal-afdal tindakan mereka yang merasa hero dan bangga kerana diberi kepercayaan untuk mengatur tektik dan strategi pilihan raya kecil itu ialah dengan melepaskan jawatan sebagai membuktikan bahawa mereka gantlemen dan mengambil tanggungjawab atas kemenangan tipis itu. Lakulah demi masa depan Pas Kelantan! [wm.kl. 10:30 pm 14/07/09]

Langsung Dari Manik Urai

Muktamad Pas Menang Hanya 65 Undi

[kemaskini 9: 15 malam] Baru sekejap tadi Pengurus pilihan raya kecil DUN Manik Urai mengumumkan Mohd Fauzi Abdullah calon Pas sah memenangi pilihan raya berkenaan. Fauzi mendapat 5,348 manakala calon BN, Tuan Azmi Tun Mat mendapat 5,282 undi.

Majoriti ialah 65 undi.

Sebanyak 115 kertas undi yang ditolak. Manakala peratus keluar mengundi ialah 87% kira-kira 10,746.

Keputusan ini menunjukkan undi Pas merosot sebanyak 398 undi manakala undi BN meningkat sebanyak 889 undi.

Pas Menang Hanya 65 Undi

[kemas kini 7:50 malam] Sejarah kekalahan Pas dalam pilihan raya umum DUN Manik Urai dengan majoriti tipis 53 undi nampaknya berulang hari ini apabila UBN pula kalah dengan majoriti tipis sebanyak 65 undi.

Jelas kemenangan tipis Pas ini memberi kejutan besar kepada penyokong Pas yang menduga dan yakin mereka akan memperolehi majoriti lebih daripada dicapai Ismail Yaacob dalam pilihan umum 2008.

Apapun Pas tetap juga menang kerana menurut demokrasi sesiapa menang dengan majoriti satu undi dikira menang.


[kemaskini 7:45 malam] Pengiraan undi untuk semula peti-peti undi di sembilan pusat pengundian dikira semula apabila berlaku perbezaan kecil undi Pas dengan UBN. Dalam perkiraan pertama Pas dikatakan menang dengan majoriti tipis, kurang 100 undi dan ini menyebabkan pihak UBN meminta agar dikira semula.

Misalnya untuk satu peti undi persilisihan hanya belas-belas saja.

Ekoran ini kemungkinan keputusan rasmi pilihan raya kecil N41 Manik Urai sedikit lambat diumumkan.

UBN khabarnya mengharap sesuatu yang ajaib berlaku di sebalik pengiraan semula itu manakala Pas dikatakan dalam keadaan cemas dan sedikit tertekan.

Apa-apa pun mungkin boleh berlaku. Situasi kini menolak sama sekali andaian awal di pihak Jabatan Pilihan Raya Pas Negeri (JPN) yang memberi maklumat kepada media kononnya Pas menang dengan majoriti 1,700 undi. Bersambung...

Pas Menang Tipis?

Laporan tidak rasmi selepas hampir ke semua peti undi di sembilan pusat pengundian dibuka menunjukkan Pas menang tipis. Majoriti kemenangan Pas jauh lebih rendah daripada sasaran 2,000 undi seperti mana disasarkan Pas.

Angka itu juga dikatakan jauh lebih rendah daripada majoriti yang dilapor oleh beberapa protal berita dan juga laporan liar menerusi SMS mengatakan Pas menang sehingga 1,700 undi.

Kemenangan tipis ini sudah tentu mengejutkan Pas dan ianya memberi semangat kepada UBN.
Bersambung.. [*** 7:15 pm 14/07/09]

Melewati Manik Urai

Pas Dijangka Menang Tapi Majoriti Turun!

MUNGKIN penjenguk blog ini tertanya-tanya kenapa tidak ada posting baru sejak kelmarin. Maaflah kelmarin seharian berada atas jalan raya, jadi tak sempat dan sukar untuk membuat apa-apa posting. Banyak perkara yang hendak ditulis dan tersendak dalam kepala di sepanjang perjalanan kelmarin tapi tak ada masa untuk dikongsikan.

Sekarang baru terluang untuk membuka laptop dan membuat catatan ini. Rasanya catatan yang paling ditunggu-tunggu ialah mengenai perkembangan pilihan raya kecil N 41 Manik Urai. Bagaimana peluang dan harapan kedua parti tradisi dalam pilihan raya berkenaan?

Jadi kebetulan perjalanan kelmarin melewati Manik Urai untuk ke Yala dan Pettani, maka sempatlah saksi sendiri suasana yang sedang berlaku di kawasan pilihan raya berkenaan. Seperti biasa gambaran umum pada sesuatu pilihan raya ialah perang poster. Perang poster ini sudah menjadi satu kemestian. Meskipun ia membazir kerana kedua-dua pihak mengeluarkan wang banyak namun inilah satu fenomena yang tidak dapat dihindarkan.

Tidak ada poster semacam tidak sah sesuatu pilihan raya itu. Sebaik saja memasuki kawasan pilihan raya selepas daerah Dabong, kiri kanan jalan utama (Gua Musang - Kuala Krai) dipenuhi bendera dan gambar calon. Bendera Pas dan BN seling seli, berkibar persis memerli antara satu sama lain. Adakala bendera Pas di sebelah kanan dan BN di sebelah kiri. Poster dan papan tanda gergasi pula turut kelihatan melambangkan kekuatan kedua-dua buah parti. Suasana di Manik Urai bagaikan 'janawari' kata orang Kelantan.

Kedua parti nampaknya tidak mahu mengalah. BN pasang poster gergasi berlatarkan
gambar Najib Razak bersama Mustapa Mohamad dan calon Tuan Aziz Tuan Mat, Pas juga pasang papan tanda gergasi berlatar belakangkan gambar pemimpin agung mereka Nik Aziz bersama Abdul Hadi Awang dan Mohd Fauzi Mohamad.

Papan tanda gergasi itu sama hebat dan sama gagah, sama cantik pula. Ini menunjukan kekuatan kewangan kedua-dua parti sama rata! Tidak cukup dengan itu berbagai jenis banner dan kain rentang di pasang ke muka-muka pintu masuk ke jalan atau lorong menuju ke perkampungan atau tanah rancangan. Pendeknya Manik Urai bermanik dengan poster, papan iklan dan kain rentang pelbagai rupa dan saiz.

Keadaan dimeriahkan lagi dengan penjual buah-buahan tempatan, durian, duku, langsat, rambutan dan mangis yang berselerakkan di tepi-tepi jalan. Ia ditambah pula dengan wujudnya gerai-gerai jualan berhampiran markaz Pas. Sekurang-kurangnya ada dua kawasan yang jualan yang diwujudkan oleh para penyokong Pas di simpang Peria dan Lakloh. Manik Urai berubah menjadi pekan sehari.

Kempen sudah memasuki ke tahap terakhir ketika saya melalui kawasan berpilihan raya itu. Kempen terbuka sudah berkurangan. Apa yang berlaku sekarang ini ialah kempen senyap dan startegi dan tektik-tektik terakhir digunakan. Dipercayai tektik itu mula berjalan sejak kelmarin dan kemuncaknya malam tadi.

Malam tadi adalah malam dikira paling kritikal dan mencabar, dan malam penentuan. Jika rasuah hendak dilakukan oleh kedua-dua pihak malam inilah waktunya. Justeru petugas parti akan memperkuatkan kawalan, agen-agen perisik juga akan melipat ganda rodaan untuk menangkap para perasuah.

Secara umumnya melihat kepada suasana dan senario sejak kelmarin, Pas masih lagi mendahului UBN. Rata-rata berpandangan Pas boleh mengekalkan kerusi berkenaan. Apa yang menjadi tumpuan dan harapan besar kini ialah kepada pengundi luar dan pengundi atas pagar.

Dari maklumat dalaman Pas sejak semalam Pas mendahului UBN sekitar 500 hingga 800 undi. Dari kira-kira hampir dua ribu pengundi di luar katanya Pas telah menguasai hampir 70%. Dari sekitar 1000 pengundi luar yang telah pulang seramai 700 telah mendaftar atau melaporkan diri kepada petugas Pas.

Bagaimana pun tidak ada stastik daripada pihak UBN. Adalah dipercayai UBN hanya memperolehi kurang daripada 20% pengundi luar.

Namun begitu ia bukan perkara senang untuk Pas menang selesa. Sasaran Pas untuk meraih hingga 2,000 majoriti mungkin tidak akan kecapaian. Tentangan diberikan UBN begitu bersungguh sekali kerana UBN mahu menghilangkan ‘phobia kalah’ di Manik Urai ini. Untuk ini UBN akan melakukan apa saja terpaksa tindakan diluar susila demokrasi seperti ungut dan sebagainya. Khabarnya UBN seang menumpukan untuk memastikan kira-kira lebih 500 pengundi yang dikenal pasti pengundi Pas agar tidak keluar mengundi.

Manakala dari laporan pihak UBN malam tadi, menurut penculaan mereka parti itu memperolehi kira-kira 4,600 undi iaini bertambah sekitar 300 undi berbanding dengan pencapaian dalam pilihan umum lalu. UBN meletakkan keadaan itu masih lagi dalam kalah tipis. Angka ini menjelaskan sukar untuk UBN memang. Melainkan kalau usaha untuk menghalang sekurang-kurang 500 pengundi berjaya mungkin UBN berpelung menang, tetapi itu amat tipis sekali. Sekiranya UBN menang majoritinya adalah dibawah 100 undi!

Kemenangan dipihak UBN hanya terletak kepada tektik dan strategi yang dilakukan pada sepanjang malam tadi saja. Sekiranya perkembangan malam tadi tidak banyak berubah dengan hari kelmarin, maka jelas Pas akan memenangi pilihan raya ini.

Yang jelas pengumuman Muhyiddin Yassin untuk membina jambatan 'emas' di Manik Urai dikira tidak banyak mengubah pendirian pengundi tegar kerana mereka sudah lali dengan janji sebegitu. Lainlah kalau kemarin Muhyiddin terus meletakan batu asas pembinaan jambatan itu mungkin pengundi Manik Urai teruja dan mengalih sokongan disaat-saat akhir.

Manakala isu yang ditimbulkan Pas mengenai royalti minyak cukup merangsang pengundi Manik Urai untuk tidak mempercayai kepada kerajaan UBN. [pattani 4:30 am 14/07/09]

Saturday, July 11, 2009

Ole-ole Manik Urai

Strategi Jahat Umno Menyuburkan Pas

MARAH betul kawan saya (seorang bloger) kepada sepasang guru yang juga pengundi di Manik Urai kerana tidak bersedia mengizinkan rumahnya dijadikan tempat makan malam Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yaasin. Pasangan itu adalah guru, suami mengajar di Sekolah Menengah Manik Urai dan isterinya mengajar dii sekolah Menengah Lakloh.

Menurut catatan kawan itu dalam blognya, suami isteri itu mengunci rumahnya dan lari meninggalkan rumah apabila menyedari Umno mahu menjadikan rumahnya sebagai tempat makan malam atau persinggahan sambil berkempen oleh Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran.

Alasan kenapa rumah pasangan itu dipilih ialah kerana ia mungkin agak selesa berbanding dengan rumah orang lain.

Membaca catatan itu saya bukan terkejut dengan tindakan pasangan itu tetapi terkejut dengan kawan itu yang marah kepada pasangan guru berkenaan. Katanya sikap guru itu sebagai tidak tahu nilai kemanusiaan dan sebagai ‘out date’ kerana tidak menyokong Umno dan tidak membenarkan menteri naik ke atas rumahnya.

Saya tidak tahu apakah relationship kawan saya itu dengan guru itu. Tetapi yang jelasnya kawan saya itu ahli Umno Kelantan. Pernah bertanding sekali tetapi kalah. Pernah pegang jawatan Ketua Pemuda peringkat kawasan. Apakah pasangan guru itu warisnya maka beliau begitu marah sekali?

Saya turunkan catatan kemarahanya;

Disini nampaklah bahawa masih ada dikalangan guru-guru yang 'out date' kerana tidak menyokong UMNO/BN mereka rela tidak mahu menerima seorang pemimpin negara naik kerumahnya yang pelik lagi mereka tidak sedikit pun memberi muka kepada Menteri Pelajaran iaitu majikannya untuk bertemu mata.

Itulah yang dikatakan penganut parti yang kolot, yang bodoh, yang tidak ada nilai kemanusiaan, dah lah mujur dapat mengejar didepan rumah, ditunjuk pula dengan jelas bahawa mereka tidak menyokong Kerajaan, Hagas, Hagas benar (Sombong benar). Tapi orang UMNO Kuala Krai tak ada batu kalu.

Nampaknya kawan ini beremosi benar. Sudahlah marah kepada pasangan berkenaan tetapi dihalaknya supaya Umno mengambil tindakan kepada pasangan berkenaan. Beliau mencabar dan menyindir Umno Kuala Krai sebagai tidak ada 'batu'... maknanya orang Umno boleh pandang begitu saja kepada pasangan itu tanpa mengambil tindakan.

Saya hanya tersenyum saja membaca catatan itu sambil bertanya diri sendiri siapakah sebenarnya yang ‘out date’ meminjam istilah kawan itu. Apakah pasangan itu atau pun dirinya sendiri yang 'out date' atau kolot dan tidak memahami erti dan makna demokrasi?

Saya rasa walaupun kawan ini sudah berpolitik sejak bah merah lagi, (bah besar melanda Kelantan tahun 1960-an) tetapi dia tidak faham-faham mengenai demokrasi dan politik. Dia tidak faham mengenai hubung-tara antara pegawai kerajana (guru) dengan Umno dan kerajaan. Masih lagi dia beranggapan Umno dan kerajaan itu dua perkara yang sama, tidak terpisah. Seolah demokrasi mewajibkan semua pegawai kerajaan menyokong UBN. Kalau begitu di manakah kebebasan bersuara yang dilaungkan dalam demokrasi!

Kalau dalam agama tidak ada paksa untuk menerima mana-mana agama, apa lagi dengan parti politik?

Atau pun dia faham tetapi kerana merasakan Umno terdesak di Manik Urai maka buat-buat tidak faham. Guru itu adalah pegawai kerajaan. Dia harus taat kepada Muhyiddin sebagai Menteri Pelajaran (majikan) tetapi bukan sebagai Timbalan Presiden Umno. Mungkin pada firasat pasangan itu kehadiran Muhyiddin itu atas kapasitinya sebagai timbalan presiden Umno bukannya sebagai meteri pelajaran maka mereka tidak benarkan Muhyiddin memijak rumah mereka.

Mungkin pasangan itu menganut ideologi politik Pas. Jadi dalam rukun parti dan oragnisasi adalah satu kesalahan kalau dia membenarkan orang nombor satu Umno pergi makan di rumahnya apa lagi dalam keadaan sekarang, berpilihan raya kecil. Tetapi kalau Muhyiddin hendak tumpang sembahyang di rumahnya di luar keadaan hari ini mungkin akan diizinkannya, bahkan akan ditanak pulut makan dengan durian kunyit.

Mengenai cadangan agar Umno mengambil tindakan ke atas pasangan guru itu, ia adalah tindakan yang kolot dan tidak tamadun. Inilah perangai orang Umno dulu, kini dan selamanya. Bila mereka mendapati mana-mana pegawai kerajaan khasnya guru tidak menyokong mereka, maka ditukarlah guru jauh ke pedalaman. Disusapayahkan kehidupan mereka, diasingkan dari isteri ayah, anak-anak dan ibubapa dan keluarga lain. Tujuannya supaya tidak aktif dalam Pas.

Tahun-tahun 1960an, 70-an dulu mana-mana guru yang dikenali pasti menyokong Pas, hatta tidak menjadi ahli pun dan hanya pergi ke tempat cermaah Pas saja nombor kereta mereka akan dicatat dan dihantar ke pejabat pelajaran. Dua tiga bulan kemudian guru berkenaan akan dikirimkan jauh di pedalaman termasuk ke kawasan Manik Urai itu sebagai hukuman.

Umno harus sedar dan membuang tektik dan kerja-kerja jahat bersifat hukum rimba itu. Umno tidak sedar disebalik tindakan jahat mereka itu menyebabkan Pas berkembang subur. Mereka yang menghidupkan Pas di kawasan pedalaman, menubuhkan cawangan-cawangan Pas di hulu ialah guru-guru yang mereka hantarkan itu. Strategi jahat Umno itulah yang mengembangkan Pas.

Makanya bila hari ini Umno cuba berjinak dengan mereka, sudah pastilah mereka akan menutup pintu rumah mereka. Mungkin juga pasangan berkenaan adalah mangsa tindakan jahat Umno sekitar tahun 70-an dulu, di mana mereka bermukim di situ barangkali kerana ayah mereka ditukar ke kawasan pedalaman itu. Sebab itulah mereka jadi alergik kepada UBN. [wm.kl. 6:15 pm 10/07/09]

Menilai Najib

Najib Sebenar Jelma Selepas 100 Hari

HARI ini genaplah 100 hari Najib Razak menjadi perdana menteri Malaysia ke-6. Tempoh 100 hari ini dianggap sebagai tempoh percubaan awal untuk melihat keupayaan Najib menerajui negara ini dan sejauh mana penerimaan umum kepadanya.

Biasanya dalam tempoh ini kemampuan, keupayaan dan kehebatannya seseorang itu sebagai pemimpin akan dinilai. Pun begitu tidak semua orang dapat menunjukkan kebolehan dan aura sebenarnya dalam tempoh ini. Tetapi biasanya begitulah. Tempoh ini sebagai warm-up sebelum ianya berlari membawa wawasan perjuangan ke satu masa sehingga memaksanya berhenti.

Najib sendiri mungkin menyedari yang beliau akan dinilai selepas habis pantang ini. Justeru dalam tempoh itu beliau membuat persediaan serapinya dengan penampilan, idea dan sikapnya kerana ia akan dinilai.

Tentulah Najib berusaha melakukan terbaik dalam tempoh ini. Meminimumkan kesalahan dan kemarahan umum. Kerana itu jika diperhatikan dalam tempoh edah ini Najib dan orang-orangnya sangat menjaga tata tertib dan juga kerenah-kerenah politiknya. Manakala cabaran dan provokasi politik terhadapnya semuanya dilayan dengan penuh terbuka dan tenang.

Penilaian ke atas Najib akan berbeza. Tentu ada kritikan positif dan negatif. Namun Najib tidak perlu bimbang menerima itu semua. Kalau beliau ikhlas beliau akan menerima sebagai panduan untuk memperbaiki diri, pentadbiran dan dalam skop lebih luas menerima untuk kebaikan kepada bangsa, negara dan agama.

Penilaian ini juga akan datang dari berbagai orang, entiti atau pun puak. Sudah pasti mereka yang berkepentingan dan mengharap sesuatu dari Najib ataupun yang taksub kepadanya akan memuji Najib tanpa ada cacat celanya. Mereka akan melihat Najib begitu excellent, mulia dan putih bersih berbanding dengan perdana menteri sebelum ini. Di sini akan ada pemeran menjadi penasihat seperti sokong yang membawa rebah.

Bagi mereka ini tidak akan ada yang negatif kepada Najib semuanya positif. Biasalah kalau kita sudah menyenangi dan menyanyangi seseorang, bak orang dalam berkasih kata orang kentut pun bau wangi. Dan para pentaksud ini pula akan menjaga tokoh idola mereka macam ibu rimau atau singa menjaga anaknya.

Mengenai Najib ini saya juga ada penilaian sendiri. Penilaian ini dari kaca mata saya dan kapastiti saya sebagai orang yang bebas tanpa apa-apa kepentingan. Pandangan saya tanpa kompromi dengan segala itu penyanjungan untuk hidup. Saya tidak perlu memuji Najib atau sesiapa untuk hidup, cukuplah Tuhan yang mencukupkan! Makanya penilaian saya mungkin tidak disenangi.

Dari segi idea Najib nampaknya ada idea berbanding dengan Abdullah Badawi. Ada inspirasi. Beberapa langkah dan pendekatan pentadbiran kerajaan dan pemulihan ke atas parti dilakukan Najib. Dalam soal ini pada saya langkah Najib ada yang bersifat drastik dan megejutkan walaupun sesetengannya ianya adalah pengulangan harapan-harapan lama yang dijelmakan dalam jenama baru saja.

Misalnya slogan 1 Malaysia, sama saja dengan Islam Hadhari atau Wawasan 2020. Begitu juga slogan "Rakyat didahulukan, Pencapaian Diuatamakan sama juga dengan Cemerlang, Gemilang dan Terbuilan atau Malaysia Boleh. Cuma ia diberi fokus pada sudut berlainan saja. Islam Hadhari dan Wawasan 2020 juga untuk memajukan negara dan membawa perpaduan kepada rakyat, maka begitu juga dengan 1 Malaysia. Ia tidak lebih dari seruan untuk membangkitkan semangat kekitaan dalam negara ini di kalangan berbagai ethnik.

Slogan-slogan ini hanya tagline bagi membezakan satu orang dengan orang lain saja. Ia adalah nama lain bagi Najib, bagi Abdullah dan bagi Mahathir. Ia tidak banyak membawa perubahan kerana hakikat dan sikap mengenainya sama. Sebaliknya dasar dan approach kerajaan Najib yang perlu diberi perhatian. Sikap dan moral yang akan cuba ditampil dan dibudayakan kepada rakyat itu yang lebih penting.

Najib telah cuba melakukan beberapa pendekatan atau dasar yang dratik ke arah memperbaiki kerajaan dan keyakinan rakyat kepada UBN. Nampaknya Najib menumpu ke arah pembaik pulihan keyakinan. Ada strategi serapang dua mata di sini, selain membawa kemajuan kepada rakyat Najib mahu menguatkan UBN. Dalam fokus ini Najib sanggup melakukan rombakan pemanipulasian kuasa (lantikan) politik di Sabah dan Sarawak dengan memberi peluang ahli politik Sabah dan Sarawak menikmati jawatan-jawatan yang sebelum ini mutlak untuk ahli Umno saja.

Manakala langkah meliberalisasikan ekonomi, ia adalah satu polisi baru untuk membangun ekonomi yang diterima sebagai langkah berani. Najib mengira cara itu memberi peluang lebih ramai dan adil kepada semua orang menguasi ekonomi. Tindakan paling merujakan dalam hal ini apabila membenarkan syarikat asing dibenarkan memiliki 70% saham dalam syarikat tempatan.

Sementara dalam usaha untuk mengukuhkan parti dan menjamin sokongan bukan Islam kepada Umno Najib melakukan beberapa tindakan yang dikira negatif oleh sesetengah orang. Antaranya mewujudkan Biasiswa Nasional yang akan diberikan kepada semua murid mengikut merit. Tindakan ini dikira sudah menceroboh hak asasi Melayu yang dilindungi di bawah hak-hak kepentingan Melayu dalam perlembagaan.

Langkah ini dilihat satu keadilan dan satu perjudian yang dilaburkan Najib. Najib melakukan ini semata-mata ingin mengambil hati rakyat bukan Melayu yang sudah menunjukkan sikap kecuriagaan mereka kepada dasar dan polisi ekonomi yang diamalkan Umno selama ini. Najib juga memperdagangkan hak Melayu itu kerana semata-mata ingin bersaing atau termakan dengan ajakan pembangkang.

Dalam tempoh itu juga Najib menunjukkan aksi mesra rakyat dengan turun ke bawah, stesen bas, LRT dan sebagainya menemui rakyat marhean. Dalam masa sama Najib menunjukkan yang dia prihatin kepada suara rakyat. Tuntutan agar PPSMI dimansuhkan yang akhirnya ditunaikan menjelaskan Najib sedia mendengar pandangan.

Pada saya semua dilakukan Najib dalam tempoh itu positif dan menyerlahkan Najib sebenarnya. Ada nilai-nilai dan budi Tun Razak, bapanya yang dikenali sebagai bapa pembangunan yang jinak dengan rakyat. Najib cuba mengikut rentak atau mengembalikan nostalgia bapaknya untuk dilihat sebagai pemimpin berwibawa dan berjiwa rakyat. Apa yang Najib lakukan itu adalah tindakan mengikiskan gambaran kebangsawanan yang melekat dan dilekatkan pada dirinya yang secara tidak langsung seolah-olah membezakan statusnya dengan rakyat.

Bila mengenang Najib apa yang membimbangkan dan perlu diberi perhatian bukan dalam tempoh 100 hari lepas. Tetapi di luar lingkungan itu. Seperti dikatakan tadi dalam tempoh itu Najib menyiapkan dirinya dengan keperluan untuk dinilai oleh umum. Sudah tentu bagi melalui ujian itu Najib melaksanakan homework sebaik mungkin. Najib sebenarnya akan menjelma selepas tempoh itu dan pada hari-hari seterusnya.

Di luar jangkauan edah berpantang itu Najib akan mula membuat tindakan-tindakan yang bukan untuk dinilai lagi tetapi lebih kepada memperkasakan politik peribadinya. Untuk tujuan ini Najib akan melakukan sesutau yang bukan dilakar dan difikir bersama lagi, tetapi banyak kepada kehendak atau berpandukan kepada bisikan-bisikan orang yang mengelilinginya. Selepas ini nanti akan adalah apa yang digelar sebelum ini kumpulan 'tingkat empat' 'kerajaan dua beranak' dan sebagainya.

Makanya saat inilah nanti umum baru dapat melihat di mana budi dan ehsan Najib sebagai pemimpin sebenarnya. Baru rakyat dapat menilai Najib sebagai perdana menteri orang yang berkuasa di negara ini. Penilaian paling tepat dan adil kepada Najib ialah selepas ini dan bukan kepada kerja-kerja yang dibuat dalam tempoh 2,400 jam itu. [wm.kl. 10:00 am 11/07/09]

Friday, July 10, 2009

Marah Jumaat

Lepas Fatah & Cikgu Rahim, Kini Nik Aziz Pula Meraban

SATU masa dulu sekitar tahun 90-an seorang ahli parlimen bergelar ustaz meminta saya memohon maaf kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sebabnya, kata bekas wakil rakyat itu kerana saya derhaka kepada Tok Guru. Saya dikatakan derhaka kerana mengkritik dan menegur sikap Tok Guru itu menerusi buku berjudul “Kesan dan Akibat – Pindaan Perlembagaan Kelantan.”

Apa yang saya kritik dalam buku itu ialah mengenai sikap Tok Guru itu yang bercakap berubah-rubah dan tidak konssten, meraban. Saya mengistilahkan sikap itu sebagai berdolak dalih.

Permintaan bekas ahli Parlimen itu dibuat menerusi seorang bekas kawan saya, (bukan orang itu tetapi orang lain).

Saya menjawab kepada orang yang menyampaikan permintaan bekas wakil rakyat berkenaan; Kenapa saya harus memohon maaf, dan bila saya derhaka kepada tok guru? Apakah kritikan kepada orang politik dianggap derhaka? Apakah konotasi derhaka sebenarnya?

Selepas itu saya bersemuka dengan bekas wakil rakyat berkenaan di parlimen. Saya bertanya beliau apakah istilah yang boleh saya pakai terhadap seseorang yang bercakap tidak betul dan merubah-rubah isi kata-katanya? Saya tidak mahu menanyai hukumnya, tetapi bertanya apakah sifat orang berkenaan.

Hari ini cakap begini esok cakap lain pula dan lusa menarik balik apa yang dicakapkan. Kata saya kepada bekas wakil rakyat itu kalau dalam bahasa Inggeris orang yang bercakap tidak tetap dan berubah-rubah dipanggil over laping. Atau dalam bahasa Kelantan dikatakan ‘belawak” (bohong). Manakala dalam bahasa Arabnya disebut munafik.

Orang munafik kalau menurut ustaz-ustaz otodoks di kampung-kampung bila mati nanti lidahnya akan dipotong ataupun disula dengan api neraka.

Saya bertanya kepada bekas wkail rakyat, bila Tok Guru Nik Aziz cakap begitu apakah istilah yang tepat untuk dipakai? Perkataan apakah yang tepat untuk dikiaskan? Dia tidak menjawab dan hanya diam saja seolah cuba menafikan yang dia ada mengatakan sesuatu kepada saya.
Dan saya merasakan tuduhan beliau ke atas saya derhaka kepada Tok Guru itu tidak betul.

Tidak menurut sifat-sifat derhaka yang sebenarnya. Ia dibuat kerana rasa taksub dan teruja bekas wakil rakyat itu kepada Tok Guru berkenaan. Menegur sesuatu kesalahan seseorang bukan derhaka tetapi tanggungjawab yang perlu dilakukan dengan bijaksana.

Moral kisah yang saya cuplikkan itu bagi menunjukkan bahawa perangai Nik Aziz bercakap tidak betul dan berputar-putar itu bukan baru berlaku. Ianya sudah lama diamalkan sebelum ini. Kalau orang mengatakan dia nyanyuk dengan cakap yang tidak istiqamah itu adalah tidak betul. Dia bukan nyanyuk tetapi itu mungkin tektik politiknya. Mungkin strateginya untuk jadi popular.

Mungkin Nik Aziz menerima pakai berbohong itu adalah sebagai strategi politik yang ampuh. Mungkin dia tahu hukumnya mengenai itu. Mungkin juga dia menerima pakai istilah bohong sunat yang diamalkan oleh para pengawal poligami! Ataupun berbohong itu adalah keistimewaan yang Pas berikan kepada orang yang memegang jawatan Mursyidul Am.

Sebab seseorang yang memegang jawatan Mursyidul Am tentulah mereka yang bertaraf ulama, suci, terhindar dari dosa besar dan dosa kecil. Mempunyai moral yang baik, akhlak yang baik dan saksyiah yang tinggi dan luhur. Makanya mereka yang memiliki kecemerlangan itu tidak mungkin mudah untuk ‘berjibah’ dengan dosa-dosa kecil dan dosa besar.

Justeru apabila Nik Aziz berdolak dalih atau berbohong dalam kes membabitkan Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa ia tidak menghairankan kerana itulah stail Tok Guru itu. Jika diperhatikan apa yang berlaku ke atas Nasharudin jelas Timbalan Presiden Pas itu menjadi mangsa stail politik Nik Aziz yang dibatasi susila Melayu dan Islam!

Hari ini beliau telah menjadikan Nasharudin sebagai bola politiknya. Dia boleh tendang ke mana saja dia suka. Sekejap dia suruh Nasharudin letak jawatan, keluar Pas dan menyertai Umno. Pada masa lain pula dia menafikan apa yang dihemburkan itu dan meminta maaf. Nik Aziz melihat semua itu hanya sebagai satu tektik saja tanpa merasai perasaan orang lain.

Serangan atau tendangan kepada Nasharudin tidak habis-habis. Terbaru dia meminta Nasharudin berkempen di Manik Urai pula. Sebelum ini dia yang melarang Nasharudin daripada hadir ke Manik Urai. Macam-macam alasan digunakan bagi menghalkan tindakan itu, kononnya untuk mengelakkan Nasharudin dari diboo.

Anihnya perbuatan Nik Aziz itu tidak dicela oleh orang Pas. Kedudunaya sebagai Menteri Besar Kelantan, sebagai Mursyidul Am dan panggil Tok Guru seolah-olah menghalalkan untuk dia melakukan itu semua. Orang Pas jadi 'malu mata' untuk menegur kesalahan Nik Aziz dan rela membiarkan dia larut dalam kesalahan yang dilakukan.

Apa yang dilakukan ke atas Nasharudin sebenarnya sesuatu yang teruk dan melampau. Ia tidak sepatutnya dilakukan oleh orang berjawatan Mursyidul Am. Kalau perbuatan itu dilakukan oleh mereka yang terdesak dan gilakan kedudukan, ada kulihanya. Tetapi bila Nik Aziz sendiri turut sama bersikap sebagai orang pendendam ia memberi gambaran nilai saksyiah yang murni sudah tidak ada dalam Pas.

Kalaulah orang seperti Nik Aziz boleh bercakap bohong, bermain politik sesama sendiri, apalah lagi pemimpin lain yang cetek dan kewarakannya boleh dipertikaikan serta menerima bulat-bulat politik sekular, apalah hendak diharapkan kepada mereka untuk membawa kebenaran dan kemurnian dalam Pas.

Cara Nik Aziz layan Nasharudin seolah-olah Nashardin seorang ahli biasa Pas dan langsung tidak menghormati kepada kedudukan Nasharudin sebagai timbalan presiden yang dipilih oleh muktamar. Satu masa dia berpegang kepada keputusan muktamar, misalnya mengenai konsensus sokongan kepada Pakatan Rakyat yang dibuat dalam muktamar di Ipoh tetapi dalam masa lain dia sendiri memungkiri keputusan muktamar. Ada sikap double standard di sini.

Justeru itu kalau sekiranya Nasharudin terus merasa ‘malu mata’ untuk tidak turun ke Manik Urai walaupun Nik Aziz merayu dan mempelawanya janganlah marahkan kepada Nasharudin. Sebagai orang yang ada perasaan, hati, perut dan pedal Nasharudin juga harus membela dirinya sendiri yang sudah dicarik-carikan itu.

Elok juga kalau Nasharudin tidak duduk satu pentas dengan Nik Aziz di Manik Urai. Saya cukup bimbang kalau Nasharudin duduk sepentas nanti ia akan dieksplotasikan oleh orang tertentu untuk terus memburukkannya. Tidak mustahil kalau kehadiran itu kelak akan dipusing menjadi cerita lain pula kononnya Nasharudin yang menangis-nangis meminta untuk turun ke Manik Urai. Dalam politik apa saja boleh berlaku tidak ada apa yang mustahil. Jadi bagi mengelakan kecelakaan berlaku bertimpa-timpa Nasharudin kena bijak mentafsiran pelawaan itu.

Persoalanya apakah bila tiba-tiba Pas Kelantan teringat kepada Nasharudin menandakan Pas ada masalah di Manik Urai? Biasanya kalau manusia sudah sakit dan terhimpit mulalah dia meraban tidak tentu fasal. Waktu inilah baru dia teringat kepada waris waras yang selama ini dijauhinya. Dasar manusia! [d'kota kl 2:15 pm 10/07/09]