Tuesday, July 14, 2009

Melewati Manik Urai

Pas Dijangka Menang Tapi Majoriti Turun!

MUNGKIN penjenguk blog ini tertanya-tanya kenapa tidak ada posting baru sejak kelmarin. Maaflah kelmarin seharian berada atas jalan raya, jadi tak sempat dan sukar untuk membuat apa-apa posting. Banyak perkara yang hendak ditulis dan tersendak dalam kepala di sepanjang perjalanan kelmarin tapi tak ada masa untuk dikongsikan.

Sekarang baru terluang untuk membuka laptop dan membuat catatan ini. Rasanya catatan yang paling ditunggu-tunggu ialah mengenai perkembangan pilihan raya kecil N 41 Manik Urai. Bagaimana peluang dan harapan kedua parti tradisi dalam pilihan raya berkenaan?

Jadi kebetulan perjalanan kelmarin melewati Manik Urai untuk ke Yala dan Pettani, maka sempatlah saksi sendiri suasana yang sedang berlaku di kawasan pilihan raya berkenaan. Seperti biasa gambaran umum pada sesuatu pilihan raya ialah perang poster. Perang poster ini sudah menjadi satu kemestian. Meskipun ia membazir kerana kedua-dua pihak mengeluarkan wang banyak namun inilah satu fenomena yang tidak dapat dihindarkan.

Tidak ada poster semacam tidak sah sesuatu pilihan raya itu. Sebaik saja memasuki kawasan pilihan raya selepas daerah Dabong, kiri kanan jalan utama (Gua Musang - Kuala Krai) dipenuhi bendera dan gambar calon. Bendera Pas dan BN seling seli, berkibar persis memerli antara satu sama lain. Adakala bendera Pas di sebelah kanan dan BN di sebelah kiri. Poster dan papan tanda gergasi pula turut kelihatan melambangkan kekuatan kedua-dua buah parti. Suasana di Manik Urai bagaikan 'janawari' kata orang Kelantan.

Kedua parti nampaknya tidak mahu mengalah. BN pasang poster gergasi berlatarkan
gambar Najib Razak bersama Mustapa Mohamad dan calon Tuan Aziz Tuan Mat, Pas juga pasang papan tanda gergasi berlatar belakangkan gambar pemimpin agung mereka Nik Aziz bersama Abdul Hadi Awang dan Mohd Fauzi Mohamad.

Papan tanda gergasi itu sama hebat dan sama gagah, sama cantik pula. Ini menunjukan kekuatan kewangan kedua-dua parti sama rata! Tidak cukup dengan itu berbagai jenis banner dan kain rentang di pasang ke muka-muka pintu masuk ke jalan atau lorong menuju ke perkampungan atau tanah rancangan. Pendeknya Manik Urai bermanik dengan poster, papan iklan dan kain rentang pelbagai rupa dan saiz.

Keadaan dimeriahkan lagi dengan penjual buah-buahan tempatan, durian, duku, langsat, rambutan dan mangis yang berselerakkan di tepi-tepi jalan. Ia ditambah pula dengan wujudnya gerai-gerai jualan berhampiran markaz Pas. Sekurang-kurangnya ada dua kawasan yang jualan yang diwujudkan oleh para penyokong Pas di simpang Peria dan Lakloh. Manik Urai berubah menjadi pekan sehari.

Kempen sudah memasuki ke tahap terakhir ketika saya melalui kawasan berpilihan raya itu. Kempen terbuka sudah berkurangan. Apa yang berlaku sekarang ini ialah kempen senyap dan startegi dan tektik-tektik terakhir digunakan. Dipercayai tektik itu mula berjalan sejak kelmarin dan kemuncaknya malam tadi.

Malam tadi adalah malam dikira paling kritikal dan mencabar, dan malam penentuan. Jika rasuah hendak dilakukan oleh kedua-dua pihak malam inilah waktunya. Justeru petugas parti akan memperkuatkan kawalan, agen-agen perisik juga akan melipat ganda rodaan untuk menangkap para perasuah.

Secara umumnya melihat kepada suasana dan senario sejak kelmarin, Pas masih lagi mendahului UBN. Rata-rata berpandangan Pas boleh mengekalkan kerusi berkenaan. Apa yang menjadi tumpuan dan harapan besar kini ialah kepada pengundi luar dan pengundi atas pagar.

Dari maklumat dalaman Pas sejak semalam Pas mendahului UBN sekitar 500 hingga 800 undi. Dari kira-kira hampir dua ribu pengundi di luar katanya Pas telah menguasai hampir 70%. Dari sekitar 1000 pengundi luar yang telah pulang seramai 700 telah mendaftar atau melaporkan diri kepada petugas Pas.

Bagaimana pun tidak ada stastik daripada pihak UBN. Adalah dipercayai UBN hanya memperolehi kurang daripada 20% pengundi luar.

Namun begitu ia bukan perkara senang untuk Pas menang selesa. Sasaran Pas untuk meraih hingga 2,000 majoriti mungkin tidak akan kecapaian. Tentangan diberikan UBN begitu bersungguh sekali kerana UBN mahu menghilangkan ‘phobia kalah’ di Manik Urai ini. Untuk ini UBN akan melakukan apa saja terpaksa tindakan diluar susila demokrasi seperti ungut dan sebagainya. Khabarnya UBN seang menumpukan untuk memastikan kira-kira lebih 500 pengundi yang dikenal pasti pengundi Pas agar tidak keluar mengundi.

Manakala dari laporan pihak UBN malam tadi, menurut penculaan mereka parti itu memperolehi kira-kira 4,600 undi iaini bertambah sekitar 300 undi berbanding dengan pencapaian dalam pilihan umum lalu. UBN meletakkan keadaan itu masih lagi dalam kalah tipis. Angka ini menjelaskan sukar untuk UBN memang. Melainkan kalau usaha untuk menghalang sekurang-kurang 500 pengundi berjaya mungkin UBN berpelung menang, tetapi itu amat tipis sekali. Sekiranya UBN menang majoritinya adalah dibawah 100 undi!

Kemenangan dipihak UBN hanya terletak kepada tektik dan strategi yang dilakukan pada sepanjang malam tadi saja. Sekiranya perkembangan malam tadi tidak banyak berubah dengan hari kelmarin, maka jelas Pas akan memenangi pilihan raya ini.

Yang jelas pengumuman Muhyiddin Yassin untuk membina jambatan 'emas' di Manik Urai dikira tidak banyak mengubah pendirian pengundi tegar kerana mereka sudah lali dengan janji sebegitu. Lainlah kalau kemarin Muhyiddin terus meletakan batu asas pembinaan jambatan itu mungkin pengundi Manik Urai teruja dan mengalih sokongan disaat-saat akhir.

Manakala isu yang ditimbulkan Pas mengenai royalti minyak cukup merangsang pengundi Manik Urai untuk tidak mempercayai kepada kerajaan UBN. [pattani 4:30 am 14/07/09]

2 comments:

Tuan Khemah said...

Mungkinkah disebab janji jambatan yang seakan berbentuk ugutan akan menyebabkan pengundi yang bakal memilih UBN bertukar fikiran pada saat terakhir dengan memangkah PAS

Salleh - Putrajaya said...

1. Semoga yang kalah bermuhasabah dan memperbaiki kelemahan.

2. Semoga yang menang bersyukur dan melaksanakan janji.

3. Semoga tidak ada yang menyalahkan mana-mana pihak jika kalah atau menang dengan undi yang merosot.

4. Tahniah kepada Manik Urai yang telah membuktikan Demokrasi boleh dilaksanakan tanpa menjejaskan norma-norma keharmonian masyarakat.