Tuesday, July 21, 2009

Renungan Petang

Dalam Mengobarkan Semangat Akhlak Juga Perlu Dijaga!

RAYUAN dan nasihat ikhlas yang diberikan oleh bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang meminta para pemimpin Pas menasihat pengikutnya agar tidak memaki hamun pihak-pihak yang tidak sealiran dengan pemimpin mereka dalam blog-blog rasanya perlu diberi perhatian.

Alasan Asri (foto) ialah kerana Pas menggunakan nama Islam. Menurutnya adalah tidak kena kalau ahlinya bersikap demikian. Tentunya nasihat Asri itu lebih meluas lagi kepada parti-parti lain juga (yang tidak menggunakan nama Islam), agar tidak berpolitik secara sembrono dan memaki hamun pihak lain.

Tetapi di sini beliau menumpukan kepada Pas kerana Pas menggunakan nama Islam dan mendakwa lebih Islamik daripada parti lain khususnya Umno dan PKR. Saya percaya kalau Pas tidak menggunapakai nama Islam, semisalnya parti liberal atau sosialis, Asri tidak akan membuat teguran berupa rayuan itu. Beliau juga mungkin bersedia untuk dikritikan oleh para pembambu Pas yang dimaksudkan itu apabila membuat teguran itu.

Memang buruk sangatlah kalau parti Islam terikut-ikut dengan gelagat dan telatah parti sekular lain. Sewajarnya parti Islam menjaga akhlak dan menunjukkan suri teladan yang murni kepada rakyat.

Banyak orang yang menjadi mangsa maki hamun pengikut Pas, (yang pada saya mereka ini tidak pernah menerima tarbiah Pas - Islam sejati). Bukan saja Mufti Perak, Harunssani Zakaria dan Asri sendiri tetapi ramai yang menjadi mangsa termasuk dikafirkan oleh Pas. Saya juga turut sama menerima maki hamun sekali sekala bila idea saya bercanggah dengan kehendak naluri mereka.

Namun itu bagi saya ianya perkara biasa saja, memandangkan yang memaki hamun ini kalangan remaja yang penuh dengan emosi dan semangat perjuangan menurut acuan 'hora hore' mereka.

Saya percaya bila mereka dewasa kelak mempunyai otak penuh mereka akan mengubah sikap dan mula mencari kebenaran dalam apa yang mereka perjuangkan itu.

Hendaknya pemimpin Pas perlulah menerima pandangan Asri itu secara terbuka. Tanggungjawab mendisplinkan ahli atau penyokong atau simpatisan terletak kepada pemimpin. Pemimpin Pas kena memantau dan tidak boleh membiarkan ia menular. Wibawa dan maruah Pas sebagai parti Islam perlu diawasi dan tidak dicemari anasir-anasir sekular alias jahiliah.

Selain itu pemimpin Pas juga harus menjaga tatatertib diri mereka sendiri. Pemimpin tidak sepatutnya menggunakan kata-kata kesat dalam menolak sesuatu kerana kata-kata itu akan ditutur ataupun dijadikan fatwa untuk menghalalkan tindakan mereka kepada pihak lawan atau orang yang tidak sebulu dengan mereka oleh pengikut bawahan.

Makanya di sini sesetengah pemimpin Pas itu yang perlu diakhlakkan. Mereka yang perlu dibetulkan agar menjaga akhlak dan memastikan aqidah mereka benar. Ura-ura untuk mengetatkan disiplin dalam Pas sangat dialu-alukan. Kenapa sesetengah pemimpin Pas berani bertindak diluar batas susila parti dan adat budaya dan agama, kerana peranan dan fungsi jawatankuasa disiplin itu tidak ketat lagi. Lantaran itu sesetengahnya merasa dirinya sebagai maksum dengan kedudukan dan pemujaan ke atas dirinya.

Dulu Pas sangat menjaga fiil perangai ahlinya. Mereka yang melanggar hukum agama tidak teragak-agak akan dipecat dari Pas. Begitu juga mereka berkelakuan yang boleh menjejaskan aqidah akan dipecat atau digantung. Apa yang berlaku kepada salah seorang ahli Parlimen dari Perak, cikgu Hahsim Gera, adalah sejarah dan pengajaran. Beliau dipecat dari Pas hanya kerana menari di satu majlis santai di Parlimen. Pas tidak pernah mengira atau merasa sayang untuk bertindak meskipun beliau adalah ahli Parlimen.

Mungkin tindakan itu kolot dan dianggap usang tetapi itulah sebenarnya pribadi ataupun yang membezakan Pas dengan parti-parti siasah lain.

Betapa Pas waktu itu sangat menitik berat kepada disiplin dan kemurnian akidah ahlinya. Kerana itulah Pas dihormati oleh pihak kawan dan lawan.

Seharusnya Pas di era kepimpinan ulama lebih menekan soal ini. Sewajarnya kalau Pas juga turut memberi nasihat kepada mana-mana pemimpinnya yang berkahwin dua tetapi tidak mendaftar perkahwinan ataupun bercerai tetapi enggan membayar nafkah dan sebagainya.

Pas juga perlu menengur sesetengah pemimpinnya yang turut membakar lilin sebagai menyatakan simpati kepada mendiang Teo Beng Hock. Ulama Pas perlu menjelaskan apakah tindakan itu tidak merosakan aqidah muslim mereka? Ingatlah sesuatu kemungkaran itu tidak boleh dilakukan walaupun kerana apa termasuk politik!

Walaupun itu urusan peribadi tetapi ia perlu dipelihara kerana mereka adalah pemimpin parti parti Islam.

Semasa pilihan raya kecil Manik Urai baru-baru ini saya nampak dan dengar sendiri apa yang anak-anak muda Pas yang memakai kopiah memaki hamun atau melaungkan kata-kata kurang manis kepada pengundi warga emas yang dikira tidak mengundi mereka. Antara yang tertangkap di telinga saya, misalnya kata-kata berbunyi; pak cik insaflah gigi sudah tinggal dua, takkan nak undi Umno lagi?

Mungkin kepercayaan anak muda itu benar bahawa Pas lebih suci daripada Umno. Tetapi kenapa harus menggunakan kata-kata kesat begitu untuk berdakwah? Rasulullah s.a.w. mengajar umatnya agar menggunakan kata-kata yang sesuai dalam berdakwah. Bukan bermakna kita tidak boleh mencaci dan mencerca, boleh, tetapi biarlah ianya digunakan pada masa dan tempat yang sewajarnya dengan penuh keadilan.

Mungkin menyedari situasi beginilah menyebab Asri bersuara meminta pemimpin Pas mendisiplinkan para penyokongnya. Bukan itu saja, apabila Pas bergerak atas nama Islam mungkin beliau bimbang takut Islam itu disalah anggap oleh mereka yang kurang faham dengan Islam.

Dengan beberapa tindakan yang melampau dilakukan oleh setengah pengikut Pas itu menyebabkan orang bukan Islam menerima pakai apa yang salah itu sebagai benar dan keadaan ini sangatlah malang dan mencemarkan Islam itu sendiri.

Alasan bahawa Umno juga mencaci dan mencera orang tidak boleh dipakai dan dijadikan fatwa menghalalkan tindakan kita. Masakan kita yang mengaku cerdik, beriman, lebih hampir dengan syurga bersedia untuk mengikut sikap dan perangai mereka yang dianggap jahiliah dan berada jauh dari birai syurga? [wm.kl. 5:00 pm 21/07/09]

12 comments:

Pemikir Ore Kelate said...

Salam Tuan MSO
Bagi saya, apa yg nak dipeliknya, kalau Musyidul Am sendiri iaitu org yg paling alim dalam PAS boleh kutuk org sesuka hati dengan panggilan komunis, ayah pin, sesat, kafir, dll, so apalah sangat para pengikut, kalau mereka nak kutuk, maki, pihak UMNO yg rata2 bagi mereka adlah Kafir.
nizam

AlHadi Tok Ayah Su (atas) said...

Salam hormat !

Ada orang "main wayang" kononnya hendak tegakkan disiplin tapi dimasa yang sama mencampur adukkan dengan amalan kotor sepak teranjang politik,yang jadi mangsa ialah agama,kerana itu saya teringat disuatu zaman dimana kerajaan BN telah mengesyorkan agar perkataan "islam" itu digugur dan tidak digunakan olih mana mana pertubuhan parti politik,olih kerana kita tidak mahu pisang berbuah dua kali makanya adalah menjadi tanggung jawab kita untuk berfikir betul betul...!

denaihati said...

Bila kita memperjuangkan ISLAM...UMNO jangan dijadikan perbandingan tetapi Al-Quran, hadis dan akhlak Rasulullah menjadi dasar perjuangan....jangan HANYA kerana POLITIK segalanya menjadi HALAL....ingat ALLAH sentiasa melihat...orang yang berILMU itu lebih besar DOSAnya apabila melakukan kesilapan....dan tidak mustahil PAS akan dihukum oleh ALLAH kerana keterlanjuran walaupun sekecil-kecil BAHASA KASAR....

Tuan Khemah said...

Tidak bolih dinafikan apa yang MSO catatkan adalah sesuatu yang benar berlaku,dari dulu hingga sekarang.
Sebabnya cukup mudah.
1.Perasaan kebencian yang cukup kuat pada lawan(UBN)menyebabkan para pennyokong menghalalkan apa saja yang terkeluar dari mulut pemimpin mereka.
Contohnya:Noh Omar mengarahkan semua pegawai pertanian supaya memboikot aktiviti kerajaan negeri dikuasai Pakatan.Arahan ini tidak terdapat celaan dan makian,orang UBN akan melihat ia sesuatu yang baik untuk politik UBN,tetapi tidak pada penyokong Pakatan.Sebagai jawapan akan ujudlah rentetan apa sahaja yang berkaitan Noh Omar akan diulas,termasuk kes tuduhan mengedar ganja olih adiknya suatu ketika dulu)
2.Menjadi keinginan dan kegilaan mereka yang hadir diceramah ceramah PAS untuk mendengar satu nada yang berlainan daripada ceramah dan pentas UBN.
Jesteru itu tidak heranlah jika sekiranya ada tiga ceramah pada satu tempat dan ketika (satu ceramah agama,satu lagi ceramah PAS,dan satu lagi ceramah Keadilan),akan dapat kita lihat ceramah Keadilan akan lebih menjadi tumpuan kerana "umh" makiannya lebih hebat daripada dua ceramah lagi.

NIZAM MAT SAARI said...

Salam Sdr.

Saya sangat setuju kalau PAS dapat memenangi hati rakyat dengan cara yang benar-benar Islamik; dengan menunjukkan akhlak yang baik, tutur-kata yang baik, sopan, beradab dan seumpamanya.

Kalau PAS benar-benar dapat mencerminkan akhlak dan nilai-nilai Islam yang sebenarnya, saya tidak ragu-ragu untuk menyokong PAS.

Masalahnya, saya lihat PAS pun sama. Kalau dah UMNO main kotor, kenapa PAS pun main cara yang sama. Tunjukkan cara yang lebih mulia, yang lebih Islam itu.

Di blog saya (http://nizammatsaari.blogspot.com) saya cukup konsisten mengkritik cara PAS yang saya nampak tidak Islamik itu.

Takkanlah perang politik menghalalkan maki hamun, carut-mencarut dan tidak bermoral punya kata-kata seperti yang ramai penyokong PAS buat sekarang ini.

Jika PAS masih begitu, maka setialah PAS bersama penyokong tegarnya dan sama sekali tidak dapat memancing pengundi bebas seperti saya ini.

Kecualilah PAS berubah dan kembali benar-benar mengamalkan Islam dengan sebenar-benarnya!

andakmaon said...

Salam Politik menghalalkan cara adalah amalan pemimpin Pas sejak dulu lagi.Apa saja yang baik adalah Pas dan yang buruk adalah Umno. Matlamat akhirnya Pas menang dan Umno kalah. Soal halal,haram,caci dan maki bagi pemimpin Pas tak timbul.Yang penting Pas menang. Soal melayu sebenarnya tak ada dalam kamus Pas.Kononnya perjuangan mereka sematamata kerana Islam.Yang sebenarnya mereka menjadikan Islam itu sebagai kuda tunggangan mereka untuk mencapai cita-cita politik.Apabila dah menang mereka tak buat apa pun. Tengok saja Kelantan.Apa yang mereka buat selama menang ini.Nik Aziz hari hari pergi ceramah.Tak buat apa kerja pun.Tak tahu macam mana mereka menilai keupayaan Nik Aziz ini. Kalau alim,ramai lagi yang lebih alim.Kalau diukur dari segi ilmu,ramai lagi yang lebih berilmu.Kalau dia bijak memerintah Kelantan, takkan negeri itu paling mundur.Yang ketara, dia sangat bijak mengeksploitasi Islam untuk dijadikan kudanya. Bayangkan apabila dia menghalalkan mencarut kerana katanya tuhan pun mencarut dalam al quraan, tak de sesiapa pun ahli Pas yang berani menyanggah !

Unknown said...

andakmaon
MSO,walaupun berbeda pendapat adalah baik,tetapi menyiarkan ulasan seperti andakmoun ,bagi pendapat saya adalah satu kesilapan.ianya bukan ulasan tetapi satu posting yang sama taraf dengan isi apa yang tuan catatkan.dikatakan PAS penuh dengan benda tidak baik,lihat pula apa ayat yang baik keluar dari catatannya.apa yang dicatatkan bukan ideanya tapi copypaste apa yang terdapat dalam kebanyakan media utama yang dibawah kawalan BN.

melikapakjangak said...

Kalau Pas istiqomah dengan perjuangan asalnya, saya yakin sekalian makhluk di langit dan di bumi akan sokong dan bantu Pas. Yang orang nak adalah kerajaan ikut acuan Pas, bukan iku acuan PR yang bukan sahaja tidak akan berbveza dengan Umno/BN tetapi akan lebih teruk memandangkan yang akan jadi leder dalam PR nanti bukan Pas.
Jangan gelojoh nak kemaruk duduk kerusi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan anggota kabinet. Berjuanglah dengan tulus ikhlas san istqomah untuk dinikmati oleh generasi 50 tahuh
akan datang. Pas kena tanding kesemua 222 kerusi atau kalau terpaksa berada dalam PR, Pas kena tanding kerusi lebih banyak supaya Pas yang nampak leader. Jangan takut kalah kerana kalah menang bukan kerja kita. Tugas kita berusaha, selebihnya berdoa dan berserah kepada Allah. Keutamaan kita kena laungkan (pada masa yang sama kena buatlah) hala tuju perjuangan kita adalah sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran dan Hadis. Kalau asyik berak besar nak tumbangkan kerajaan untuk diwujud kerajaan dan diperintah secara Islam tetapi jumlah kerusi yang ditanding tidak melayakkan Pas jadi leader dalam PR, ianya bukan retorik tetapi bersifat menipu rakyat. Bukankah menipu itu berdosa. Kalau tidak menipu pun Pas akan terkategori sebagai panjang angan-angan, bukankah panjang angan-angan itu telarang.
Kalau sah kerajaan pengganti BN nanti akan ikut acuan Pas, ramai yang akan sanggungp habiskan harta benda, tenaga dan fikiran untuk Pas. Tapi bila Pas berada dalam keadaan umpama ayam yang disembeli secara halal bercampur gaul dengan ayam yang mampus dipulas tengkok, nak sokong pun orang akan melihat dari pelbagai sudut. - RAMLI ABDUL HALIM

Ku ingat Taqwa said...

Salam. Nampak sgt andakmaon ni umno. cubalah bagi komen yg positif sikit, jgn nampak ada ruang nak kutuk TGNA, terus kutuk jer. Belajar menjadi orang yg positif.

firdaus said...

kalau saydina umar al-khattab boleh menerima teguran dari seorang wanita tentang syarat mas kahwin dan kemudian saydina umar dengan setulus hati meminta maaf dan mengakui kesilapan beliau mengenai hal tersebut, mengapa TGNA tak meminta maaf kalau beliau juga pernah terlanjur kata.....

maaf tok guru, kami tetap sokong pas

payabakau said...

Dari dulu sehingga kini pemimpin Pas hanya leka dengan ceramah politik yang hanya menonjolkan keburukan induvidu BN, tetapi terlupa untuk membentuk pengikut-pengikutnya bagaimanakah cara berpolitik yang berlandaskan Islam. Sebagai parti yang mendakwa Islam adalah teras perjuangan, pemimpin Pas seolah-olah sudah mabuk untuk berkuasa. Berarak menyalakan lilin pun dihalalkan. Asalkan kuasa dapat ditangan. Musibah hilang kuasa di Perak tidak direnungkan. Ingin menguasai Negara Malaysia adalah idaman Pas, namun sejauh mana keamanan dan ketenteraman akan dapat diwujudkan? Wallahualam.

Unknown said...

Salam...

Tuan kata..
Masakan kita yang mengaku cerdik, beriman, lebih hampir dengan syurga bersedia untuk mengikut sikap dan perangai mereka yang dianggap jahiliah dan berada jauh dari birai syurga?

Saya kata...
sebab mereka rasa mereka 'lebih hampir dengan syurga' lah, bila bab maki-memaki ni mereka rasa bukan satu kesalahan, maklumlah.. 'dekat dengan syurga' katakann! Kalau berhujah, tak dei dua lekok, keluar la ayat menyumpah & maki tu.

saya 'dah kalih' dengan ayat maki orang PAS ni!