Friday, July 24, 2009

Adun Terengganu Nak Kosong Kerusi?

Gelora Politik Terengganu & Ugutan Sekawan Samseng

POLITIK Terengganu atau tepatnya kerajaan pimpinan Ahmad Said (Mat Said) terus beralun dan berombak seakan menuruti tari dan rentak dan naluri laut Cina Selatan. Adakalanya lautan itu tenang setenang Subuh hari dan adakalanya mengganas macam harimau lapar. Apakah politik Terengganu menuruti hawa dan gelora lautan itu?

Sewaktu-waktu ia tenang dan sewaktu-waktu ia bergelombang! Selepas pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu ia bergelombang apabila kerja melantikkan MB menjadi masalah. MB yang paling gah dan berkuasa, Idris Ibni Jusoh tiba-tiba tidak diberi perkenan oleh Sultan untuk angkat sumpah jadi MB. Tempat Idris diganti oleh Ahmad Said (foto).

Kenapa Idris tidak marah, dia sudah datang ke istana siap bersamping, bertanjak dan berkeris tiba-tiba pangkat dan kedudukan tidak diserahkan kepadanya. Marah...lah..

Ekoran kemalangan itulah politik Terengganu bergolak dan berkubang. Terengganu menjadi negeri terakhir membentuk kerajaan selepas pilihan raya itu. Walaupun ditentang sampai ada yang memperolok-olokankan Sultan tetapi kerana kehendak istana, Mat Said yang sebelum ini hanya dianggap ahli nujum dan tok pawang di hujung kampung diberi perkenan menjadi MB. Gahlah Mat Said se Malaya.

Perlantikan Mat Said ini tidak disenangi oleh kumpulan bekas MB, Idris Jusoh bersama beberapa orang Exco yang tidak disambung perkhimatan mereka. Di sinilah timbul dua puak politik UBN di Terengganu kemudian meletuskan peperangan sesama sendiri.

Rasanya latar belakang politik Terengganu itu sudah diketahui umum.

Atas tanggungjawab yang harus dipikul Mat Said berusaha menenangkan lautan politik Terengganu itu. Beliau tidak menghiraukan kritikan dan kerja-kerja sebotaj seperti terdapat sekumpulan Adun UBN tidak hadir sidang Dewan atas sebab dan ancaman yang mereka buat sendiri.

Sebotaj itu tidak memberi bekas pun. Mat Said dengan selamba terus kukuh dan kekal sebagai MB. Berurutan dari kerja sebotaj itu menyebabkan ada orang tertentu terpaksa dicekup polis dan dihadap ke muka pengadilan atas dakwaan ugutan mengikut kanun jenayah.

Usaha pihak membenci Mat Said tidak berhenti di situ sahaja. Ia berterusan. Ini menunjukkan kesamsengan pihak yang berseteru dengan Ahmad Said. Satu masa dihebohkan kononnya Ahmad Said akan digugurkan sebagai MB dan diganti dengan muka baru. Kononnya masa dan hari detik perubahan itu sudah pun ditetapkan hanya menunggu masa pengumuman saja.

Gementar juga Mat Said mendengar desas desus itu. Tetapi yang benar tetap benar. Keriuhan itu reda apabila pihak Istana memberi jaminan bahawa Ahamd Said kekal sebagai MB. Kata-kata tegas itu menghentikan seketika spekulasi mengenai kedudukan Mat Said dan politik Terengganu.

Pun begitu usaha untuk menghenjuk Amad Said tidak berhenti. Kalaupun kerja-kerja nak menjatuhkan Mat Said rihat sekejap apabila berlakunya tragedi bumbung stadium tertutup Sultan Mizan roboh. Ada hikmatnya bumbung stadium itu roboh menyebabkan mereka yang ingin melihat Ahmad Said roboh tersintak sekejap.

Peristiwa itu berlaku dilihat sebagai wujudnya penyelewengan ataupun rasuah besar dalam pembinaan projek berkenaan. Tragedi itu menyebabkan ada kalangan dipihak lawan Mat Said yang dulunya berkuasa ke atas negeri Terengganu membuka semula diari lama mereka untuk melihat sesuatu catatan yang berkemungkinan ada mengenai pembinaan stadium berkenaan.

Semua orang mengira, kejadian-kejadian aneh itu memberi keinsafan dan kesedaran kepada semua pihak di Terengganu terutamanya puak yang ingin menganggu kerajaan Terengganu. Namun tidak begitu rupanya.

Terbaru ada satu lagi pelan untuk terus menggugat Ahmad Said. Persiapan sudah diatur menjelang sidang Dewan Undangan Negeri pada Ogos depan untuk memalukan Ahmad Said dengan harapan Mat Said akan berundur.

Katanya, sekawan Adun UBN yang tidak senang akan membuat keputusan drastik untuk menukar lebel di meja mereka dalam dewan dari Adun UBN, kepada Adun bebas. Katanya mereka bersedia menjadi Adun bebas yang tidak memihak kepada UBN atau Pas.

Katanya syarat dan maklumat telah diberikan kepada pihak atasan UBN. Sekiranya tuntutan ala peras ugut mereka supaya Mat Said tidak digugurkan, mereka akan membuat tindakan drastik itu.

Bagaimana bagi firasat saya, saya tidak percaya kalau kesemua kumpulan yang tidak suka Mat Said dan frustasi itu bertindak demikian. Rasanya itu hanya ugutan sahaja. Kalau dengan ancaman yang dibuat sendiri yakni enggan menghadiri sidang dewan kerana ada ancaman bunuh, apalah dengan pelan sedemikian ianya lagi rapuh dan rangup.

Saya ingin katanya kalau mereka benar-benar mengubah haluan dan pendirian mereka di DUN Terengganu, (menjadi bebas) itu menandakan dunia politik di Teregganu akan mengalami khiamat sebelum berakhirnya tahun ini.

Dalam pada itu, di samping pelan tindakan untuk bertukar menjadi Adun bebas itu, katanya ada seorang Adun sudah tekad dan bulat. Sekiranya Najib Razak tidak menyelesai dan memenuhi ugutan ala peras ugut mereka, Adun itu akan kosongkan kerusi berkenaan.

Siapakah Adun berkenaan? Apakah dia benar-benar berani? Sekali lagi saya merasakan ianya ugutan murahan saja. Saya tidak fikir Adun berkenaan berani berbuat demikian. Lagipun tidak ada rekod sebelum ini yang Adun ini telah mencipta sejarah ganjil baik di Terengganu maupun di kampungnya sendiri.

Kesimpulannya apa yang digambarkan ini bahawa Mat Said tidak perlu gerun dan gusar. MB itu terus boleh bersila atas kerusi kekuasaannya untuk berkhidmat kepada rakyat. Iya, seelokknya Mat Said tidak perlu kesal dan menangis mengenai telatah kawan-kawannya itu, sebaliknya teruslah berkhidmat dan menabur budi mengikut kadar yang Allah berikan kepada diri kita.

Tangisan kesedihan dan kedukaan biarkan saja kepada penyu bukannya perlu dikongsi oleh seorang Menteri Besar seperti Mat Said. Kambing yang dibeli dari Harun Taib tempoh hari bila agaknya akan bunting dan melahikran anak? [wm.kl. 7:10 am 24/07/09]

Perhatian: Ada sesetengah penjenguk tidak berpuas hati kerana komen mereka tidak disiarkan. Dimaklumkan di sini saya tidak bersedia menyiarkan komen yang bersifat peribadi atau jumud atau menggunakan bahasa yang tidak mencerminkan budaya ketimuran. Tidak semestinya komen yang memihak atau sealiran saya saja diutamakan. Ada pertimbangan lain kenapa sesetengah komen terpaksa didelete begitu saja. Misalnya pengomen liar yang tidak dapat ditrace identitinya saya tidak menyiarkannya. Bahkan begitu melihat namnya saja tanpa membuka bodytex saya terus mengnyahkannya. Tindakan ini adalah hak asasi saya. Untuk berhubung secara peribadi elok menerusi email yang tertera! Harap maklum.

5 comments:

Unknown said...

Payah jadinya bila haloba dan ketamakan serta kepentingan diri lebih diutamakan dari memperjuangkan kepentinagn rakyat. Sepatutnya habis PRU dan selesai perlantikan MB dan exco, masing terus menggunakan akal sebagai pemimpin yg dipilih rakyat untuk memberikan kesejahteraan yg termampu oleh kerajaan negeri. gunakan wang ehsan dgn sebaik-baiknya bukan untuk memperkayakan kroni. Sepatutnya rakyat sedar kesilapam mereka memilih pemimpin.

mantaro said...

Mungkinkah, Pilihanraya Serentak Tiga Negeri: Perak,Sarawak dan Terengganu selepas Hari Raya.Paling cepat bulan 10 DUN dibubarkan serentak 3 negeri.

akulajuki said...

Saya la ni duduk dan tinggal di Terengganu. Sempat merasa zaman Idris Jusoh jadi MB dan la ni MaT Said pulak MBnya. Keadaan tidak lah beza sangat cuma yang ketaranya orang-orang UMNO la ni taklah "gong" sangat dah tak macam zaman Deris dulu. Moleklah kalau Mat Said terus jadi MB, keadaan tak la haru biru sangat.

abu muaz said...

Lebih baik Dato Ahmad jadi MB. Nampak adalah cara mentadbir dan rasional berpolitik.Gaya Dato Seri Amar DiRaja Wan Mokhtar sedikit sebanyak diwarisinya.

Unknown said...

Sebagai seorang yg bersimpati dgn
apa yg dilalaui mat said,rasa nya
allah telah menunjukan bahwa mat said di pihak yg berhak,keruntuhan2
setraktur binaan yg di bina dlm masa idris yusuf sepatut nya sudah
dapat di jadikan iktibar kpd adun2
kaki kacau.pru13 tidaklah jauh san
gat, apalah salah kalau bekerjasa
sama dgn mat said,kerana peluang
mereka utk jadicalun sangat tipis
berdasar perngai gedebe mereka.