Najib Sebenar Jelma Selepas 100 Hari
HARI ini genaplah 100 hari Najib Razak menjadi perdana menteri Malaysia ke-6. Tempoh 100 hari ini dianggap sebagai tempoh percubaan awal untuk melihat keupayaan Najib menerajui negara ini dan sejauh mana penerimaan umum kepadanya.
Biasanya dalam tempoh ini kemampuan, keupayaan dan kehebatannya seseorang itu sebagai pemimpin akan dinilai. Pun begitu tidak semua orang dapat menunjukkan kebolehan dan aura sebenarnya dalam tempoh ini. Tetapi biasanya begitulah. Tempoh ini sebagai warm-up sebelum ianya berlari membawa wawasan perjuangan ke satu masa sehingga memaksanya berhenti.
Najib sendiri mungkin menyedari yang beliau akan dinilai selepas habis pantang ini. Justeru dalam tempoh itu beliau membuat persediaan serapinya dengan penampilan, idea dan sikapnya kerana ia akan dinilai.
Tentulah Najib berusaha melakukan terbaik dalam tempoh ini. Meminimumkan kesalahan dan kemarahan umum. Kerana itu jika diperhatikan dalam tempoh edah ini Najib dan orang-orangnya sangat menjaga tata tertib dan juga kerenah-kerenah politiknya. Manakala cabaran dan provokasi politik terhadapnya semuanya dilayan dengan penuh terbuka dan tenang.
Penilaian ke atas Najib akan berbeza. Tentu ada kritikan positif dan negatif. Namun Najib tidak perlu bimbang menerima itu semua. Kalau beliau ikhlas beliau akan menerima sebagai panduan untuk memperbaiki diri, pentadbiran dan dalam skop lebih luas menerima untuk kebaikan kepada bangsa, negara dan agama.
Penilaian ini juga akan datang dari berbagai orang, entiti atau pun puak. Sudah pasti mereka yang berkepentingan dan mengharap sesuatu dari Najib ataupun yang taksub kepadanya akan memuji Najib tanpa ada cacat celanya. Mereka akan melihat Najib begitu excellent, mulia dan putih bersih berbanding dengan perdana menteri sebelum ini. Di sini akan ada pemeran menjadi penasihat seperti sokong yang membawa rebah.
Bagi mereka ini tidak akan ada yang negatif kepada Najib semuanya positif. Biasalah kalau kita sudah menyenangi dan menyanyangi seseorang, bak orang dalam berkasih kata orang kentut pun bau wangi. Dan para pentaksud ini pula akan menjaga tokoh idola mereka macam ibu rimau atau singa menjaga anaknya.
Mengenai Najib ini saya juga ada penilaian sendiri. Penilaian ini dari kaca mata saya dan kapastiti saya sebagai orang yang bebas tanpa apa-apa kepentingan. Pandangan saya tanpa kompromi dengan segala itu penyanjungan untuk hidup. Saya tidak perlu memuji Najib atau sesiapa untuk hidup, cukuplah Tuhan yang mencukupkan! Makanya penilaian saya mungkin tidak disenangi.
Dari segi idea Najib nampaknya ada idea berbanding dengan Abdullah Badawi. Ada inspirasi. Beberapa langkah dan pendekatan pentadbiran kerajaan dan pemulihan ke atas parti dilakukan Najib. Dalam soal ini pada saya langkah Najib ada yang bersifat drastik dan megejutkan walaupun sesetengannya ianya adalah pengulangan harapan-harapan lama yang dijelmakan dalam jenama baru saja.
Misalnya slogan 1 Malaysia, sama saja dengan Islam Hadhari atau Wawasan 2020. Begitu juga slogan "Rakyat didahulukan, Pencapaian Diuatamakan sama juga dengan Cemerlang, Gemilang dan Terbuilan atau Malaysia Boleh. Cuma ia diberi fokus pada sudut berlainan saja. Islam Hadhari dan Wawasan 2020 juga untuk memajukan negara dan membawa perpaduan kepada rakyat, maka begitu juga dengan 1 Malaysia. Ia tidak lebih dari seruan untuk membangkitkan semangat kekitaan dalam negara ini di kalangan berbagai ethnik.
Slogan-slogan ini hanya tagline bagi membezakan satu orang dengan orang lain saja. Ia adalah nama lain bagi Najib, bagi Abdullah dan bagi Mahathir. Ia tidak banyak membawa perubahan kerana hakikat dan sikap mengenainya sama. Sebaliknya dasar dan approach kerajaan Najib yang perlu diberi perhatian. Sikap dan moral yang akan cuba ditampil dan dibudayakan kepada rakyat itu yang lebih penting.
Najib telah cuba melakukan beberapa pendekatan atau dasar yang dratik ke arah memperbaiki kerajaan dan keyakinan rakyat kepada UBN. Nampaknya Najib menumpu ke arah pembaik pulihan keyakinan. Ada strategi serapang dua mata di sini, selain membawa kemajuan kepada rakyat Najib mahu menguatkan UBN. Dalam fokus ini Najib sanggup melakukan rombakan pemanipulasian kuasa (lantikan) politik di Sabah dan Sarawak dengan memberi peluang ahli politik Sabah dan Sarawak menikmati jawatan-jawatan yang sebelum ini mutlak untuk ahli Umno saja.
Manakala langkah meliberalisasikan ekonomi, ia adalah satu polisi baru untuk membangun ekonomi yang diterima sebagai langkah berani. Najib mengira cara itu memberi peluang lebih ramai dan adil kepada semua orang menguasi ekonomi. Tindakan paling merujakan dalam hal ini apabila membenarkan syarikat asing dibenarkan memiliki 70% saham dalam syarikat tempatan.
Sementara dalam usaha untuk mengukuhkan parti dan menjamin sokongan bukan Islam kepada Umno Najib melakukan beberapa tindakan yang dikira negatif oleh sesetengah orang. Antaranya mewujudkan Biasiswa Nasional yang akan diberikan kepada semua murid mengikut merit. Tindakan ini dikira sudah menceroboh hak asasi Melayu yang dilindungi di bawah hak-hak kepentingan Melayu dalam perlembagaan.
Langkah ini dilihat satu keadilan dan satu perjudian yang dilaburkan Najib. Najib melakukan ini semata-mata ingin mengambil hati rakyat bukan Melayu yang sudah menunjukkan sikap kecuriagaan mereka kepada dasar dan polisi ekonomi yang diamalkan Umno selama ini. Najib juga memperdagangkan hak Melayu itu kerana semata-mata ingin bersaing atau termakan dengan ajakan pembangkang.
Dalam tempoh itu juga Najib menunjukkan aksi mesra rakyat dengan turun ke bawah, stesen bas, LRT dan sebagainya menemui rakyat marhean. Dalam masa sama Najib menunjukkan yang dia prihatin kepada suara rakyat. Tuntutan agar PPSMI dimansuhkan yang akhirnya ditunaikan menjelaskan Najib sedia mendengar pandangan.
Pada saya semua dilakukan Najib dalam tempoh itu positif dan menyerlahkan Najib sebenarnya. Ada nilai-nilai dan budi Tun Razak, bapanya yang dikenali sebagai bapa pembangunan yang jinak dengan rakyat. Najib cuba mengikut rentak atau mengembalikan nostalgia bapaknya untuk dilihat sebagai pemimpin berwibawa dan berjiwa rakyat. Apa yang Najib lakukan itu adalah tindakan mengikiskan gambaran kebangsawanan yang melekat dan dilekatkan pada dirinya yang secara tidak langsung seolah-olah membezakan statusnya dengan rakyat.
Bila mengenang Najib apa yang membimbangkan dan perlu diberi perhatian bukan dalam tempoh 100 hari lepas. Tetapi di luar lingkungan itu. Seperti dikatakan tadi dalam tempoh itu Najib menyiapkan dirinya dengan keperluan untuk dinilai oleh umum. Sudah tentu bagi melalui ujian itu Najib melaksanakan homework sebaik mungkin. Najib sebenarnya akan menjelma selepas tempoh itu dan pada hari-hari seterusnya.
Di luar jangkauan edah berpantang itu Najib akan mula membuat tindakan-tindakan yang bukan untuk dinilai lagi tetapi lebih kepada memperkasakan politik peribadinya. Untuk tujuan ini Najib akan melakukan sesutau yang bukan dilakar dan difikir bersama lagi, tetapi banyak kepada kehendak atau berpandukan kepada bisikan-bisikan orang yang mengelilinginya. Selepas ini nanti akan adalah apa yang digelar sebelum ini kumpulan 'tingkat empat' 'kerajaan dua beranak' dan sebagainya.
Makanya saat inilah nanti umum baru dapat melihat di mana budi dan ehsan Najib sebagai pemimpin sebenarnya. Baru rakyat dapat menilai Najib sebagai perdana menteri orang yang berkuasa di negara ini. Penilaian paling tepat dan adil kepada Najib ialah selepas ini dan bukan kepada kerja-kerja yang dibuat dalam tempoh 2,400 jam itu. [wm.kl. 10:00 am 11/07/09]
No comments:
Post a Comment