Wednesday, July 8, 2009

Berita Terkini

Isu PPSMI
Akhirnya Berakhir Dengan Kemenangan!


PELBAGAI pihak mengalu-alukan keputusan Kabinet memansuhkan PPSMI seperti mana diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin hari ini. Kecuali Dr Mahathir Mohamad yang melahirkan rasa sedih atas tindakan itu, mereka yang lain menyatakan rasa gembira dan puas hati atas tindakan kerajaan itu.


Isu PPSMI ini berlarutan selama enam tahun. Ia mula dicurigai kemudian dibantah sejak awal diperkenalkan tahun 2002


Walaupun masih ada tiga tahun lagi pelaksanaanya, di mana pemansuhan bermula tahun 2012,tetapi ia sudah menampakkan ada cahaya terang di hujung terowong. Usaha pencinta bahasa, sasterawan, seniman negara dan mereka yang cintakan bahasa ibunda dari pelbagai etnik akhirnya membuahkan hasil


Pemansuhan PSPMI merupakan kemenangan untuk rakyat jelata. Segala kepedihan para pejuang bahasa dan pelopor anti PPSMI sampai ada yang dilingkungi polis atau diheret ke balai polis berbaloi juga akhirnya.


Kejayaan ini menjelaskan tindakan secara berpasukan membabitkan gerakan massa yang dikendalikan para profesional membawa natijah diharapkan. Belum tentu kalau isu itu diperjuangkan oleh badan siasah ia akan menemui pengakhiran. Sudah tentu kerajaan akan berkeras untuk memansuhkan walaupun ada bukti-bukti jelas mengenai ketidakberkesanannya kerana bimbang akan dianggap sebagai akur kepada tuntutan politik.


Manusia politik adalah seangkuh-angkuh dan sedegil-degil manusia untuk mengakui kesilapan mereka meskipun jelas dan terang!


Menerima kemenangan rakyat hari ini, seharusnya pujian patut diberikan kepada Muhyiddin Yassin, selaku Menteri Pelajaran yang bertanggungjawab langsung dengan hal ehwal pendidikan. Tindakan diambil Muhyiddin adalah satu keberanian dan bijaksana menggambarkan beliau mendengar kepada suara rakyat.


Saya yakin kalau menteri pelajaran masih dijabati Hishmuddin Hussein belum tentu isu PPSMI ini menemui perakhirannya. Mungkin berpuluh kali lagi persidangan meja bulat (yang tidak perlu itu) diadakan untuk mengkaji keberkesanan PPSMI atau membaca laporan-laporan mengenainya. Entah berapa ratus juta lagi wang rakyat juga terpaksa dikorbankan.


Sebelum ini ada oranag mengatakan PPSMI lambat untuk dimansuhkan kerana ingin menjaga periuk nasi orang- orang tertentu yang membuat kerak menerusi dasar pendidikan itu.


Segala tender mengenai peralatan untuk pembelajaran itu diberikan kepada mereka yang ada hubungan dengan orang-orang tertentu. Dalam erti kata lain pertimbangan dan kajian itu bagi menimbunkan berapa banyak wang kepada penender berkenaan bukannya mencari keabsahan dalam menyelesaikannya.


Tak mengapalah, yang habis biarlah habis. Yang penting apa yang dikemukakan dan diperkatakan oleh mereka yang anti PPSMI selama ini benar belaka. Saya rasa kalau semua orang yang anti PPSMI meludah dalam satu tasik, mungkin tasik itu sudah melimpah dengan air liur kebencian dan kecemuhan mereka kepada PPSMI yang diilhamkan Dr Mahathir Mohamad itu.


Bermula daripada NGO, parti politik, pejuang bahasa dan budayawan sehingga melibat sasterawan negara turut sama memerangi PPSMI yang akhirnya membawa kepada kewujudan apa yang dinamakan Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP). GMP inilah badan yang paling berkesan dan digeruni kerajaan sehingga akhirnya PPSMI dimansuhkan. GMP memulakan langkah untuk menentang PPSMI dari kaki lima Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman sampailah ke Parlimen hinggalah menjelajahi ke pentas-pentas ceramah oposisi.


Apa yang dapat direnungi disebalik keputusan hari ini menjelaskan tindakan kerajaan dalam hal ini ternyata tidak sempurna dan salah. Ia dibuat secara ad hoc tanpa perundingan dan perbincangan dengan rakyat dari semua lapisan khasnya yang bakal mengenai pendidikan dan pengembangan bahasa Melayu. Makanya, kerajaan Najib Razak harus belajar dan mengambil iktibar daripada kesilapan besar yang merugikan bangsa dan wang rakyat ini.


Mana-mana polisi dan dasar yang melibatkan orang ramai sebelum hendak dilaksanakan perlulah diadakan kajian dan pandangan secara komprehensif dan tidak bersifat tergesa-gesa.


Jelas keputusan dibuat ala diktatorship oleh Dr Mahathir akan menjahamkan negara. Bayangkan berapa banyak wang yang dilaburkan untuk melaksanakan dasar berkenaan yang ternyata gagal total. Betapa tidak seperti kata Muhyiddin peningkatan kualiti bahasa Inggeris menerusi dasar berkenaan hanya 3% saja dalam tempoh enam tahun. Manakala kemerosotan pelajar dalam kedua mata pelajaran itu begitu ketara sekali.


Makanya di sini sama-samalah kita mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat baik secara kumpulan atau individu dalam memperjuangkan bahasa Melayu menerusi pengnyahan PPSMI.


Terlalu ramai nama kalau hendak disenaraikan. Di posting ini biarlah saya mencatat beberapa nama yang sinonim dengan perjuangan ini yang mengerakan menerusi GMP. Mereka ialah Dr Hassan Ahmad, Prof Abdullah Hassan, Puan Ainon Mohd, Prof Zaharin Mat Zain, A Samad Said, Abu Bakar Chik, Annuar Ridhwan, Dr Awang Sariyan, Zainal Abidin Ahmad, Dinsman, Pyan Habib, Dr Ghafar Ibrahim dan lain-lain. Tahniah!


Percaya dan yakinlah usaha kalian akan dicatat dalam buku emas dengan tinta emas dan akan dikenangkan bangsa bukan hari ini tetapi 100 tahun lagi. [wm.kl. 10:00 pm 08/06/09]


PPSMI Akhirnya Dimansuh

Akhirnya pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan, demikian diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Muhyiddin Yassin sekejap tadi. Pemansuhan itu akan berkuat kuasa 2012. [jln pahang 3:10 am 08/07/09]

6 comments:

Ab Razak Hj Ahmad said...

Setuju dimansuhkan. Why have to wait till 2012. One more thing, peralatan PPSMI yang berbillion to nak buang kat mana...???

Habis lah supplier barang PPSMI.. Gulung tikar la.....

AlHadi Tok Ayah Su (atas) said...

Salam hormat !

Jika kerajaan sanggup memansuhkan dasar pendidikan PPSMI maka saya kira tidak mustahil kerajaan BN juga rela syorkan kebawah kebawah DYMM al Sultan Perak berkait dengan kesan kekalutan DUN perak untuk diselesaikan.......apa pun ini akan bergantung dengan keputusan yang bakal diketahui didalam PRK Manik Urai....fikir betul betul !

secara peribadi saya sendiri suka pada inggeris pertuturan tetapi tidak suka dibebankan dalam Met & Sains !

Unknown said...

Asalamualaikum,

Tahniah kepada menteri pelajaran kerana telah memaklumkan tetang pemansuhan PPSMI. Tentang peralatan PPSMI tu ianya boleh diteruskan digunakan sebagai alat bantu mengajar untuk meningkatkan pemahaman mata pelajaran sains dan matematik.

Perawi said...

teringat mansuh tulisan jawi disekolah oleh khir johari...suka yahudi sebab ramai tak pandai baca quran

firdaus said...

mungkin kerajaan patut perkenalkan saja teknik pembelajaran Linguaphone di sekolah-sekolah.

ia lebih mudah hanya belajar melalui kaset,buku,dan kecanggihan multimedia

mungkin lepas ni ada gerakan untuk menghidupkan tulisan jawi pula dan juga gerakan utk mengangkat mata pelajaran agama Islam sebagai matapelajaran wajib lulus dalam upsr,pmr dan spm

Guntar Gemuruh said...

Salam Hormat Tuan MSO
Salam sejahtera semua

Mungkin Para pembekal bagi peralatan PPSMI tidak perlu gulung tikar pada 2012 ,kerana tempoh 3 tahun diberikan Muhyiddin tan sri adalah cukup bagi mereka bersedia menjadi pembekal baru bagi peralatan pengajian math dan sains yang akan bertukar ke Bahasa Melayu.Tengoklah!