Friday, April 24, 2009

Warkah Petang

Nasihat Kepada Zambry dan Mat Said

SAMA tetapi tiak serupa. Itulah perumpamaan atau konotasi yang tepat untuk digambarkan kepada nasib dua Menteri Besar UBN, Ahmad Said (Mat Said) di Terengganu dan Zambry Abdul Kadir di Perak. Dua-duanya ada masalah tersendiri, dihinggapi penyakit bisul.

Zambry tidak mendapat kepercayaan rakyat, manakala Mat Said pula tidak mendapat kepercayaan partinya sendiri. Rakyat Perak yang masih hangat dengan keindahan dan kebahgaiaan (honey moon) dengan kerajaan Pakatan Rakyat masih terkenang-kenang kepada Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai MBnya menyebabkan mereka merasakan Zambry hambar dan tak ubah persis maling saja.

Walaupun berbagai keputusan mahkamah yang dibuat memihak kepada Zambry sebagai MB yang sah namun rakyat tidak dapat menerimanya. Dakwa dakwi masih berlaku sampai sekarang, belum ada keputusan tuntas. Keputusan pilihan raya kecil Bukit Gantang yang lalu juga memberi mesej jelas yang Nizar Jamaluddin diterima rakyat Perak!

Zambry pula sudah habis cara dan mekanisme untuk menyakinkan rakyat bahawa beliau adalah menteri besar yang patut disanjung dan dijunjung. Mahkamah, NGO – Badan Bertindak dan Perpaduan Melayu, istana dan sebagainya semua digunakan Zambry untuk mengesahkan jawatan itu.

Bomoh juga turut sama digunakan; Bomoh Siam, Melayu, Cina, India dan Orang Asli tidak terkecuali semuanya digunakan bagi mengatasi kemelut politik di Perak. Ikhtiar katakan! Namun rakyat yang ditunggangi pembangkang masih tetap menolak Zambry sebagai Menteri Besar.

Terbaru Zambry mahu meminta mahkamah membuat pengisytiharan yang beliau adalah MB Perak. Mungkin itu jalan terbaik dan jalan terakhir. Sangat jelas sekali apabila beliau meminta jasa baik mahkamah bermakna beliau sudah benar-benar terdesak dan ‘tertohok’.

Tetapi percayalah biarlah seribu mahkamah buat keputusan, namun beliau tetap akan ditolak rakyat. Mahkamah dari London, India atau Ethiopia sekalipun membuat keputusan yang memisahkan kepada Zambry ia tidak mengalih sikap rakyat yang mencemuhnya.

Apa yang berlaku di Perak bukan bermakna mahkamah tidak adil dan saksama lagi tetapi kerana rakyat sudah dituba dan diracuni dengan persepsi politik. Persepsi adalah satu penyakit politik yang sukar untuk diatasi mungkin sama jenis dengan darah tinggi, kencing manis atau pun gout.

Rakyat Perak juga tidak dapat membaca maknawi politik yang berlaku, mereka hanya mentafsirkan apa yang ada dipermukaan daratan sahaja. Hal-hal yang zeni dan terahsia (penuh muslihat) di bawah sana rakyat tidak peduli.

Demikian juga halnya dengan Mat Said di Terengganu. Lakukan apa juga tindakan Umno Terengganu seluruhnya akan menghormati dan menolak Mat Said. Kumpulan 10 Adun yang kini sudah menjadi 18 tetap akan menolak Mat Said.

Terbaru satu aku janji dibuat bagi menyatakan sokongan kepada Mat Said. Aku janji itu hanya sandiwara saja yang nilainya lebih rendah daripada janji budak atau janji isteri tua yang menuntut itu ini sebagai syarat membenarkan suaminya kahwin satu lagi. Apabila semua syarat dipenuhi si isteri akan mencari alasan-alasan lain untuk menghalang si suami kahwin satu lagi.

Maka jalan terbaik bagi Mat Said dan Zambry ialah pulangkan mandat kepada rakyat. Bubar DUN biar rakyat menentukannya. Kalau mereka mengharapkan kepada simpati dan sokongan isteri mendokong mereka, selama manalah sangat kuasa itu akan berpihak kepada mereka.

Istana akan melakukan yang terbaik untuk rakyat. Istana tidak memihak kepada mana-mana. Sekiranya istana melihat kuasa yang ada itu; kedudukan Mat Said dan kerajaan BN tidak mampu membawa kedamaian akhirnya Sultan akan membubarkan juga Dewan Undangan Negeri.

Jadi sebelum mendapat malu besar elok kalau Mat Said dan Zambry Abdul Kadir mengambil langkah bijak meletak jawatan atau membubar dewan sebelum rakyat menggelarkan kita sebagai hidung tidak mancung pipi pula tersorong-sorong. [wm.kl 10:00 pm 23/04/09]

1 comment:

anakjatiperak said...

teman setuju dengan tuan.zambry kena pulangkan kepada rakyat menentukannya.dan mat said kena letak lah jawatan sebabnya dah 18 orang ADUN sendiri tak sokong, apa lagi?Kalau istana tak setuju Pak deris, pilih tuan speaker sekarang tu ke..apa salahnya.Kalau mat said degil jugak,yang 18 orang tu, jabat tanganlah dengan Ust Hadi.apa salahnye..semuanya pandai baca surah dan pandai tahlil. tak kekok dok dalam usrah di Rusila.tambah ilmu..mengaji lagi.