Sunday, May 17, 2020

Harap Sanusi tidak jadi seperti Sanusi

SESUDAH SUBUH

Muhammad Sanusi Md Noor
PETANG ini dijangka akan berlangsung upacara angkat sumpah Menteri Besar Kedah yang baru, yang juga merupakan MB yang ke-14. Dalam Wikipedia sudah dimasukkan nama MB Kedah yang ke-14 itu adalah Adun Jeneri Muhammad Sanusi Md Noor.

Apa yang berlaku di Kedah hari ini satu lagi sejarah penting yang sudah tentu akan tercatat dalam kitab politik negara dengan pelbagai rasa, suka, gembira sedih dan marah.

Sejak meletusnya krisis kepercayaan terhadap bekas MB Mukhriz Mahathir ekoran tumbangnya kerajaan PH di peringkat Persekutuan, nama Sanusi adalah antara yang dijaja dan disebut-sebut akan mengambil alih tempat itu.

Awal-awal lagi Sanusi sudah dilihat orang penting dalam menggerakkan untuk menumbangkan kerajaan PH di Kedah. Dan kebetulan daripada beberapa nama itu, ternyata beliau mempunyai hak dengan kedudukannya dalam hierarki Pas Kedah selaku Timbalan Pesuruhjaya I dan Pengarah Pilihan Raya sangat signifikan dengan posisi itu.

Apabila ramai tokoh Pas Kedah meninggalkan parti itu tahun 2015 untuk menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah), Sanusi adalah dianggap sebagai "pemanggung" Pas. Kekosongan yang luas itu diisi oleh beliau bersama beberapa pemimpin pelapis lain. Namun beliau sudah terserlah ke hadapan.

Memasang cita-cta.
Sanusi memang dikesani sejak awal lagi mempunyai cita-cita untuk menduduki jawatan itu. Beliau adalah antara tokoh muda Pas yang sudah menunjukkan belang. Sejak dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada bekas MB Azizan Abdul Razak (Allahyarham), beliau sudah menyerlahkan gaya sebagai seorang politis masa depan.

Gerak kerja dan gaya dan penampilan sudah ke arah itu. Kesempatan dia berkhidmat dengan Azizan  sebagai Setiausaha Politik memberi kesempatan baik untuk beliau belajar seluk beluk politik dan membina rangkaian dan berkomunikasi dengan orang ramai.

Nama Sanusi mulai terukir dalam Pas Kedah apabila dilantik sebagai Ketua Penerangan Pas Kedah ketika itu Mahfuz Omar memegang Pesuruhjaya. Boleh dikatakan Mahfuzlah yang bertanggungjawab membawa dan memperkenalkan Sanusi ke arena politik dan menjadi salah seorang perancang Pas. 

Sebenarnya pemilihan beliau dianggap sebagai tepat dan Pas Kedah pula kebetulan tidak mempunyai pilihan lain.

Kerajaan Kedah yang dibentuk hari ini, komposisinya hampir sama dengan kerajaan Pas (Pakatan Rakyat) pada tahun 2008 dahulu. Dimana ketika itu Pas bersama PR yang terdiri daripada PKR dan DAP membentuk kerajaan apabila dalam Piraum (pilihan raya umum) ke-12 Pas menenangi 16 DUN  kerusi, PKR enam (6) manakala DAP satu kerusi. Sementara Umno menang 14 kerusi dan hilang kerajaan yang dikuasinya sejak tahun 1955.

Dan kerajaan Kedah yang baru akan dipimpin oleh Sanusi adalah kerajaan campuran Pas dengan sokongan beberapa orang Adun pecahan daripada Bersatu (kumpulan Muhyiddin Yassin) dan pecahan daripada PKR kumpulan Minrit, serta bersama Umno.

Pas yang bersama Umno membentuk Muafakat Nasional memiliki 17 kerusi, (15 Pas dan dua Umno) dan kini mendapat majoriti apabila dua Adun PKR istyhar keluar parti dan empat Adun Bersatu menyatakan sokongan kepada PN menjadikan gabungan itu mempunyai 23 kerusi.

Angka itu agak lumayan berbanding dengan kerajaan PH sebelum ini yang bentuk kerajaan dengan kelebihan dua kerusi.

Sebagai rekod dua Adun PKR yang keluar parti Adun Lunas (Azman Nasirudin) dan Adun Sidam (Robert Ling Kui Ee), manakala empat Adun Bersatu, dua daripadanya Adun Kuah (Firdaus Ahmad) dan Adun Ayer Hangat (Juhairi Bulat). Kedua mereka membuat keputusan menyokong PN sesuai dengan langkah dibuat presiden mereka, Muhyiddin Yasin.

Sudah tentu tanpa sokongan enam Adun yang sebelum ini bersama PH itu, Pas tidak berbau kerajaan. Mungkin ia terpaksa menunggu tiga tahun lagi untuk merampas Kedah, dalam pilihan raya ke-15.

Bagaimana pun relatifnya, kerajaan Pas yang kedua ini berbeza dengan kerajaan Pas di Kedah yang pertama dalu. Kerajaan Pas yang dipimpin oleh Azizan Abdul Razak dibentuk menerusi Piraum ke 12 sedangkan kerajaan hari ini dibentuk dengan jalan pintas hasil daripada "pencurian" dan "pengkhianatan" enam orang Adun.

Ertinya kerajaan Pas yang pertama lebih gentlemen berbanding dengan kerajaan hari ini. Perbezaan itu sudah tentu meletakan Sanusi yang menjadi MB akan berhadapan dengan persepsi buruk yang perlu dipikulnya sepanjang menjawat jawatan itu. Banyak risiko yang tertimbun di atas bahunya.

Dibenar sistem demokrasi.
Apapun tanggapan buruk terhadap kerajaannya nanti, jahat atau tidak bermoral atau akan digelar sebagai MB "SD" dan sebagainya, kewujudannya tidak salah dari segi perlembagaan. Sistem demokrasi kita membenarkan apa yang berlaku. Hanya kalau ia boleh dipertikikan dari segi moral, etika dan juga akhlak sahaja. Mereka yang terlibat membentuk kerajaan secara curi itu membelakangkan prinsip demokrasi dan tidak menghormati mandat rakyat.

Sanusi bagaimana pun tidak perlu mempedulikan itu. Seperti mana katanya semasa sidang akhbar untuk memaklumkan Pas bersama PN bersedia untuk mengambil alih kerajaan Kedah, "buah sudah gugur, maka ambil sahajalah." Begitu simplistik filsafah Sanusi, ambil sahaja tanpa mengetahui apakah buah yang gugur itu milik orang atau pun milik siapa? Pendirian dan sikap demikian bertentangan dengan prinsip demokrasi dan juga agama.

Pas sudah tentu berbangga dengan apa yang berlaku itu kerana mereka dapat merampas balik Kedah selepas kerajaanya yang dibentuk 2008 dirampas oleh BN tahun 2013. Kejayaan membentuk kerajaan bersama PN itu bolehlah dianggap dendam terbalas. Apa lagi orang yang bertanggungjawab menjatuhkan kerajaan Pas pada masa itu adalah Mukhriz Mahathir.

Kita ucapkan selamat kepada kerajaan Kedah yang baru. Satu perkara yang hendak disebutkan disini (mungkin tidak perlu), sejarah dan nasib para MB Kedah sebelum ini wajar diingat dan diambil iktibar, khasnya kepada Sanusi Md Noor.

Bahawa mereka yang memegang jawatan itu di Kedah seperti berada atas bara api. Kerusi MB Kedah senantiasa panas. Daripada 13 MB sebelum ini hanya dua orang sahaja yang memegang jawatan itu sampai dua penggal, MK ke-4, Syed Ahmad Syed Mahmud dan MB ke-6 Osman Arof yang menjawat jawatan itu selama 11 tahun.

Mereka yang lain kecuali MB pertama, ke-5 dan ke-8 memegang enam hingga tujuh tahun. Yang lain-lain memegang jawatan tu di bawah lima tahun atau sepenggal sahaja.

Sanusi Junid yang menjadi MB Kedah ke-7  seorang tokoh yang dikira hebat pernah menjadi Naib Presiden Umno pun hanya bertahan selama tiga tahun sahaja begitu juga dengan Mukhriz kali pertama beliau jadi MB bertahan selama tiga tahun sahaja. Sementara Azizan Razak MB pertama daripada Pas, lima tahun. Perlu diingat ada persamaan MB Kedah ke-14 dengan MB Kedah ke-7, yakni namanya sama "Sanusi."

Semoga Sanusi Md Noor tidak akan jadi seperti Sanusi Junid yang hanya berkhidmat sebagai MB Kedah dengan penuh kontroversial hanya tiga tahun sahaja. Untuk memastikan Sanusi akan memecah rekod Sanusi Junid beliau tentu kena kerja kuat, perlu memastikan dalam Piraum ke-15 nanti kerajaan yang akan ditubuh hari ini dan muafakat yang membentu kerajaan itu akan kekal utuh dan kuat.

Sanusi ada dua tahun setengah sahaja, dimana realitinya hanya satu tahun sahaja untuk beliau bekerja mengukuhkan kerajaan dan memantapkan kerjasama di antara parti-parti yang membentuk kerajaan Kedah hari ini. Satu hakikat yang tidak boleh dinafikan bahawa Umno tetap menyimpan hasrat dan impian untuk berkuasa kembali di Kedah.

Kebersamaan mereka hari ini dengan Pas adalah sifat sementara sahaja. Begitu juga kedudukan Sanusi sebagai MB Kedah ke-14 itu juga bersifat sementara kerana ia bukan bermula daripada awal atau pun dilantik mengikut prosedur peralihan kerajaan selepas pilihan raya. [wm.kl.7:36 am 17/05/2020]  

No comments: