Tuesday, May 26, 2020

Suara Teresa dan Najib bagaikan suara gagak...

SESUDAH SUBUH

PENGUNGKITAN oleh Teresa Kok berhubung pengumuman Pengerusi Lembaga Getah (LGM) yang baru Ahmad Nazlan Idris yang juga ahli Parlimen Jerantut mengenai projek pusat teknologi getah (RTC) bernilai RM100 juta di Jerantut hanya sia-sia sahaja tidak lebih daripada suara gagak yang sering kita kedengaran. Arkkk....arkkkk... 

Teresa mempersoal pengumuman projek itu sebagai membawa balik projek ke kawasan sendiri setelah ahli Parlimen itu dilantik menjadi pengerusi LGM.
Ahmad Idris baru sahaja dilantik ke jawatan itu yang dikira sebagai ghanimah oleh Muhyiddin Yassin atas keberhasilan menumbangkan kerajaan PH. 

Kita tahu tujuan Terasa membangkitkan hal itu untuk menimbulkan kemarahan rakyat atas perbuatan itu sebagai menjelekkan. Alasan yang beliau gunakan untuk mempertikaikan projek itu, seolah-olah pengumuman projek itu dibuat secara tergesa-gesa tanpa kajian mendalam dan ia juga dianggap tidak perlu kerana duit itu lebih baik digunakan untuk tujuan lain yang lebih diperlukan rakyat.

Persoalan dibangkit ahli parlimen Seputih itu ditempelak oleh bekas perdana menteri yang dalam perbicaraan, Najib Razak yang mempersoalkan rancangan untuk membina pusat rehabilitasi bernilai RM500 juta yang bakal menjadi paling terbesar di Asia Tenggara seperti mana diumumkan oleh Menteri Kewangan ketika itu Lim Guan Eng. 

Najib telah memulangkan paku buah keras kepada Teresa Kok, kerana kerajaan PH sebelum ini juga berbuat hal yang sama, apa lagi ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran yang juga menteri dan adalah daripada DAP.

Apa yang Najib hendak tonjolkan, kalau di zaman kerajaan PH ahli parlimen yang memegang sesuatu jawatan yang boleh membawa apa-apa projek untuk kawasannya, kenapa tidak dengan kerajaan PN? 

Dari sisi lain pertikaian oleh Teresa Kok kemudian dibalas oleh Najib itu semacam berbau perkauman sedikit yang sebenarnya kalau keduanya mengamalkan politik profesional boleh dielakkan.

Teguran Teresa Kok itu ada kebenaran jika dilihat daripada semangat pengurusan pentadbiran yang mahukan ketelusan. Manakala begitu juga dengan balasan oleh Najib itu juga tepat, kerana Teresa lupa dan bersikap "nampak kuman di seberang laut tetapi tidak nampak gajah di birai mata." Sifat dan perangai begitu adalah budaya orang politik. 

Tradisi lama.
Sebenarnya perkara itu, membawa projek termasuk projek raksasa ke kawasan diwakili tidak perlu dipersoalkan. Amalan menteri atau mereka berjawatan dalam politik membawa pulang projek ke kawasan masing-masing berlaku sejak lama dahulu lagi dan ia sudah mentradisi dalam politik Malaysia. Ia sudah jadi semacam satu kemestian. Mungkin kerana terlalu ingin dilihat sebagai sebuah kerajaan bersih dan telus, namun ia tidak sempat membudaya dalam kerajaan PH. Mungkin sebab itu jugalah kerajaan PH pendek umur? 

Semua ahli parlimen yang mahu dilihat rakyat sebagai berjasa dan berkhidmat kepada mereka, akan berusaha untuk membawa sebarang projek ke kawasan mereka. Itulah dinamakan ahli parlimen yang aktif dan kreatif serta pandai mengambil kesempatan. Apa lagi kalau mereka kebetulan mempunyai kedudukan dan ada kuasa dalam kerajaan, maka usaha mereka tambah menjadi-jadi.

Ahli parlimen yang menjadi menteri kabinet adalah antara wakil rakyat yang banyak menggunakan peluang kedudukan itu untuk membawa projek ke kawasan masing-masing. Di Kelantan cukup kalau saya sebut dua orang menteri yang berbuat demikian. Ahli parlimen Ketereh Annuar Musa dan ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed. 

Dua kawasan parlimen ini dimegahi di Kelantan sebagai kawasan yang kaya dan melimpah dengan pembangunan bernilai berbillion. Sebab apa, kerana kedua ahli parlimennya menjadi menteri. Apa yang tidak ada di Ketereh dan di Jeli, semua ada, daripada sekecil-kecil projek hingga ke projek menelan ratusan juta ringgit. Semua diangkut dan dipunggah ke kawasan itu. 

Sehinggakan Kelantan dilihat semacam ada dua buah kawasan parlimen sahaja, sementara kawasan lain terbiar, kering dan kematu setengah ada yang menjadi macam kawasan cowboy.

Mengenai ahli parlimen yang jadi menteri ini, ia berlaku di zaman kerajaan UBN lagi. Semua menteri ada projek masing-masing sebagai legasi. Projek juga dijadikan sebagai sumber atau daya tarikan bagi mengekalkan mereka di kawasan berkenaan. Zahid Hamidi dan Hishamuddin Hussein ketika menjadi menteri pertahanan telah membina kem tentera di kawasan masing-masing. Pembinaan kem ini bagi menambahkan undi kepada mereka.  

Hanya Mohamad Sabu sahaja, barang kali terlupa atau tidak terfikir kerana terlalu syok jadi menteri dapat tabik hormat sepanjang masa, untuk membina kem atau apa-apa institusi ketenteraan di kawasannya? Atau mungkin bagi beliau tidak perlu kerana, beliau tidak ada kawasan yang tetap, sering berpindah ke kawasan hampir setiap kali Piraum. 

Bawa projek ke kawasan masing-masing tidak menjadi masalah asalkan ia dapat dimanfaatkan oleh rakyat. Apa yang kita tidak mahu ialah projek yang menggunakan peruntukan ratusan jutaan ringgit itu hanya dijadikan saluran untuk mendapat komisyen, yang kemudian projek itu menjadi projek gajah putih. Barangkali inilah yang dipertikaikan oleh Teresa Kok itu sebab banyak projek raksa yang menjadi gajah putih di zaman kerajaan UBN. 

Sayangnya semasa memerintah dahulu kerajaan PH tidak sempat menyenarai dan mengira berapa banyak peruntukan hangus begitu sahaja lantaran projek-projek gajah putih tersebut. 

Mengenai pertikai Teresa Kok itu kononnya untuk jadi integriti atau mengharap wakil rakyat tidak bermain "ilat" dalam politik menggunakan kedudukan untuk memperluaskan pengaruh dan seterusnya mengukuhkan kedudukan, hanya sia-sia sahaja. 

Ia seperti mahu mengajar ketam agar berjalan lurus, sedang berjalan mengiring itu adalah perjalanan yang benar dan semulajadi bagi sang ketam. [wm.kl.7:35 am 26/05/2020]

Glossori:
Ilat = salah, jahat, atau tipu.

No comments: