Wednesday, May 13, 2020

Sudah sampai akta lompat parti digubal

SESUDAH SUBUH

Tengku Razaleigh Hamzah
HASRAT Tengku Razaleigh Hamzah untuk membenteras politik wang dalam parti Umno dengan mencadangkan perlembagaan parti itu dipinda, satu pandangan jauh demi kebaikan politik masa depan bukan sahaja bagi Umno tetapi parti-parti lain juga, ia patut disokong dan dialu-alukan.

Tentu dari kaca matanya sebagai politis veteran politik wang yang berlaku dalam parti itu sangat bahaya, kalau tidak masakan beliau bercakap perkara itu. Bagi mereka mementingkan prinsip dan integriti, akan membenci politik wang dan melihatnya sebagai najis kerana ia boleh memburukkan keadaan.

Menariknya sehubungan itu ahli Parlimen Gua Musang itu dalam interviewnya dengan sebuah portal juga memberi tahu beliau sedang berfikir mencari idea macam mana satu akta digubal di peringkat parlimen agar politik wang atau penggunaan wang dalam pilihan raya diadakan.

Pewujudan akta di peringkat parlimen itu sudah tentu ia hanya tidak terbatas kepada Umno sahaja tetapi terpakai sama kepada parti-parti lain juga. Sesiapa yang menggunakan wang akan tertakluk kepada akta berkenaan.

Perluas ke akta lompat parti.
Sehubungan itu di sini saya ingin sarankan usaha murni Tengku Razaleigh itu agar ideanya diperluaskan lagi bukan sahaja kepada maksud membenteraskan politik wang yang jijik itu, tetapi turut sama berusaha membendung kejadian lompat parti di kalangan wakil rakyat. Kejadian lompat parti ini sudah menjadi satu fenomena yang sama kotor bahkan lebih huduh dan jijik dari politik wang.

Kejadian atau perbuatan melompat parti ini kesannya lebih besar daripada politik wang. Kalau politik wang boleh menodai perjalanan dan kebersihan dalam sesuatu pilihan raya bagi mendapat kerajaan, lompat parti pula sebaliknya, ia boleh menyebabkan sesebuah kerajaan itu hilang. Kesan perbuatan itu juga ikut sama ke atas rakyat atau pengundi.

Perkara ini ditimbulkan bukan kerana merujuk kepada apa yang terjadi hari ini, keruntuhan kerajaan PH di peringkat federal dan kerajaan-kerajaan negeri dibawah PH; Johor, Melaka, Perak dan terbaru Kedah yang disebabkan berlaku pembelotan daripada wakil rakyat, mereka yang mewakili parti kerajaan PH, telah menyeberang ke parti yang membentuk kerajaan hari ini. Fenomena yang hangat diperkatakan kini ia bukan baru sebenarnya, tetapi sudah lama terjadi, cuma dalam skala kecil.

Perdebatan untuk mengujudkan undang-undang mencegah lompat parti ini sudah lama dibincangkan tetapi ia tidak pernah ada solusi. Setiap kali berlaku kejadian ini maka ia akan diperkatakan. Malangnya tidak pernah dibahas ke peringkat penggubal undang-undang. Negeri-negeri yang terlibat dengan peristiwa adanya wakil rakyat lompat parti ini, pernah mencari penyelesaian atau bertindak dengan membawa mereka ke mahkmah tetapi gagal. 

Mahkamah melepaskan mereka sebagai tidak bersalah atau terkait dengan mana-mana akta berdasarkan prinsip demokrasi dan perbuatan mereka itu terlindungi dalam klusa hak asasi.

Dua buah negeri yang pernah membawa kes lompat parti ini Kelantan dan Sabah. Tetapi kedua-dua kes itu ditolak mahkamah atas alasan ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Di sini apa dapat difahami kes lompat parti boleh dibawa ke mahkamah dan berkesan setelah perlembanggan yang membatalkan tindakan itu dipinda.

Sepatutnya kejadian ini tidak boleh dihalalkan, jauh sekali untuk membiarkan si pelakunya di lindungi atas prinsip demokrasi. Kalau perbuatannya boleh mengecewakan sehingga meruntuhkan kerajaan yang dibentuk melalui mandat rakyat yang diwakil kepada mereka (pelompat), ia bukan lagi sesuatu yang enteng, tetapi satu aksi serius.

Kejadian lompat parti ini sama buruk dan bahaya dengan politik wang yang disebut oleh Tengku Razaleigh tadi. Bahkan lompat parti ini lebih menjijikan. Politik wang masih lagi berlegar dalam ruang lingkup sempit tidak melibatkan rakyat serta membawa implikasi sehingga runtuhnya sebuah kerajaan. Tetapi lompat parti ia terang-terangan telah membabitkan rakyat yang memberi mandat serta meruntuhkan kerajaan dipilih rakyat.

Ia (perbuatan) satu pencabulan demokrasi.

Kita selama ini menerima sistem demokrasi sebagai tatacara terbaik, tetapi tidak terfikir bahawa fenomena lompat parti ini ia telah mencemar dan merosakkan kesucian demokrasi maka ia wajar difikirkan untuk membersihnya. Caranya tidak lain dengan menemui kaedah menghalang perbuatan itu dan mengenakan denda atau hukum berat kepada pelakunya. Perwujudan akta ini bukan bertujuan menafikan hak asasi, atau menganggui sistem demokrasi yang ada sebaliknya demi menjamin sistem demokrasi dalam keadaan sempurna.

Sekali lagi diulangi tujuan akta itu dipindah bukan kerana apa yang berlaku hari ini, tetapi ia adalah untuk kebaikan bersama. Saya rasa semua parti merasai perlunya akta ini digubal kerana apa yang berlaku hari ini semua parti terlibat dengan kejadian itu. Semua parti kecuali Pam, sedang merasai perit dan sedih atas perbuatan wakil rakyat mereka yang lari siang bolong. Parti yang menerima si pelompat itu tidak begitu mendukacita kerana menguntungkan mereka, tetapi parti yang kehilangan pelompat itu sangat menyedihkan.

Ia juga untuk kebaikan bersama. Tidak kira pihak mana yang memerintah atau berjaya membentuk kerajaan dimasa akan datang, pasti akan dihantui ataupun dibayangi dengan peristiwa ini. Kejadian lompat parti akan menjadi phobia.

Pada hari ini mana-mana wakil rakyat bila-bila masa sahaja boleh berpaling tadah menyebabkan sehingga jatuhnya sesebuah kerajaan itu. Mereka bebas untuk berbuat begitu kerana tidak ada apa-apa tindakan kepada mereka. Mereka tidak mengalami apa-apa kerugian material kecuali air muka kerana tidak ada akta menghalang atau mencegah. Sekadar air muka apa mereka hairankan sebab kebanyakan muka politis setebal belulang kerbau dibagian punggung.

Jika wujud akta berkenaan sudah pasti parti politik tidak akan bimbang dengan kejadian tidak bermoral dan melanggar prinsip syariat agama Islam itu.

Halangan atau perjanjian bagi memastikan wakil rakyat tidak belot telah dibuat oleh beberapa parti politik tetapi ia tidak berkesan. Misalnya ada parti membuat perjanjian akuan beresumpah (SD) dengan bakal-bakal calon wakil rakyat, menyatakan bersetuju untuk diambil tindakan, atau dikenakan denda jika mereka belot. Tetapi perjanjian itu tidak valid sampai menjejaskan atau menghalang kesan pembelotan itu.

Misalnya PKR telah membuat aku janji dengan bakal-bakal calon mereka sekiranya menang dan mereka melakukan pengkhianatan, lompat parti dan sebagainya, mereka dikenakan bayaran sekian-sekian jumlah. Perjanjian itu tidak menjejas dan menghalang perbuatan mereka yang memberi kesan buruk dan merugikan kepada parti itu. Kalau pun perjanjian itu valid tetapi proses menyelesaikannya di mahkamah memakan masa dan ia tidak praktikal.

Tindakan itu tidak akan memberi kesan menghalang implikasi daripada lompatan itu. Tindakan itu  bukan merupakan satu tindakan mengikut akta. Begitu juga dengan apa dipraktikkan oleh parti PDMP (Pam) dengan sumpah ba'iahnya di kalangan calon-calon mereka, mengakui sekiranya mereka khianat mereka akan dilaknat dan sebagainya. Cara itu juga tidak terpakai dalam undang-undang menyebabkan mereka tidak boleh dipidana dengan mana-mana akta.

Undang-undang atau akta yang perlu ialah yang memberi kesan teruk kepada pelaku. Misalnya, sekiranya mereka lompat parti atau mengkhianat, boleh menyebabkan mereka akan kehilangan kerusi yang mereka menangi atas tikit parti asal mereka itu. Bentuk tindakan begini lebih berkesan dan menakutkan. Atau pun mungkin ada mekanisme lain untuk menghukum boleh difikirkan.

Oleh kerana itu sudah sampai Malaysia mempunyai undang-undang untuk menghalang kejadian lompat parti memandangkan ia kian menjadi-jadi sekarang ini. Ia bukan sahaja untuk memastikan mandat rakyat tidak dikhianati, atau kerajaan akan tumbang dengan kejadian itu, tetapi lebih penting bagi menjaminkan bahawa politik kita ada moral dan integriti. Kuasa dan undi rakyat diberikan terpakai untuk tempoh lima tahun dihormati.

Tanpa ada akta sedemikian ia seolah-olah memberi "blank check" kepada wakil rakyat mereka boleh lakukan apa sahaja yang mereka suka tanpa mengambil kira perasaan pengundinya. Sepatutnya tempoh lima tahun yang diberikan kepada mereka itu dihormati dan dalam tempoh itu mereka tidak boleh memungkiri dan mengkhianati suara pengundi kecuali dengan persetujuan para pengundinya.

Macam mana mekanisme untuk membentuk undang-undang itu, ia boleh diserahkan kepada pihak berwajib, pembuat undang-undang boleh fikirkan untuk dimasuk atau dipinda mana-mana undang-undang untuk mengguna pakai akta berkenaan. Mungkin ia sesuai diletak dibawah Akta Suruhanjaya Pilihan Raya.

Antaranya:

a) Wakil rakyat yang lompat parti atau meninggalkan parti asalnya boleh digugurkan atau dibatalkan statusnya serta merta.

b) Atau pengundi boleh mengemukakan petisyen mereka kepada SPR terhadap wakil rakyat yang khianat, dan sekiranya kadar atau jumlah pestisyen itu mencukupi (tetapkan kadar tertentu) atau munasabah secara automatik status wakil itu terbatal.

c) Wakil rakyat yang meninggal partinya untuk menyertai parti lain, statusnya atau kedudukannya tidak berlaku maksudnya ia tidak memberi nilai tambah kepada pihak yang disertainya itu.

d) Kenakan denda dengan sejumlah wang ke atas wakil rakyat belot itu sebagai bayaran diat kepada parti asalnya.

Saya rasa semua pihak tidak akan menolak akta berkenaan kerana ia bermaksud menyelamatkan semua pihak yang menjadi kerajaan. Akta itu akan melindungi mana-mana kerajaan yang dibentuk selesai pilihan raya. Satu kongres atau seminar berkaitan perwujudan akta ini boleh diadakan dikalangan parti-parti politik sebagai mencapai kata sepakat.

Dan lebih penting, akta itu dapat menjaga, mengawal dan memastikan bahawa demokrasi di negara kita tidak jadi macam demokrasi haiwan dalam hutan belantara di mana mereka boleh sepakat, kemudian boleh bergaduh hatta kerana berebut betina atau makanan. Dan pergaduhan haiwan sampai boleh membawa maut. Kita tidak mahu demokrasi dan politik kita juga macam politik mereka, haiwan. [wm.kl.6:32 am 13/05/2020]

No comments: